Sunday, April 26, 2009

Monolog Hari Lahir

Ketahuilah Oleh Mu ...
Jika kamu merasa lelah dan tak berdaya daripada usaha yang seperti sia-sia..
Allah SWT tahu betapa keras engkau sudah berusaha.

Ketika kamu sudah menangis sekian lama dan hatimu masih terasa pedih...
Allah SWT sudah menghitung air matamu.

Jika kamu fikir bahwa hidupmu sedang menunggu sesuatu dan waktu serasa berlalu begitu saja...
Allah SWT sedang menunggu bersama denganmu.

Ketika kamu merasa sendirian dan teman-temanmu terlalu sibuk untuk menelefon...
Allah SWT selalu berada di sampingmu.

Ketika kamu fikir bahwa kamu telah cuba segalanya dan tidak tahu hendak berbuat apa lagi... Allah SWT punya jawapannya.

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal dan kamu merasa tertekan...
Allah SWT dapat menenangkanmu.

Jika tiba-tiba kamu dapat melihat jejak-jejak harapan...
Allah SWT sedang berbisik kepadamu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kamu merasa ingin mengucap syukur...
Allah SWT telah memberkatimu.

Ketika sesuatu yang indah terjadi dan kamu dipenuhi ketakjuban ...
Allah SWT telah tersenyum padamu.

Ketika kamu memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk dikecapi ...
Allah SWT sudah membuka matamu dan memanggilmu dengan namamu.


Ingat bahwa di manapun kamu berada atau ke manapun kamu mengadap...
Allah SWT TAHU .......



Syukur kerana memberi aku masa, kesihatan, ahli keluarga yang prihatin, sahabat yang sama-sama menangis waktu aku berduka, dan terlalu banyak nikmat kuperoleh hingga tidak terhitung... semoga umurku panjang dan diberkati, dimurahkan rezeki dan
impianku terlaksana..

Friday, April 24, 2009

PWTC/Pesta Buku, Istana Budaya dan Perpustakaan Negara.

Putera-putera SMK Undang Rembau


Cikgu Salina, saya, bersama-sama puteri-puteri SMKUR

Posing depan pintu ke panggung utama, Istana Budaya

Pada 22hb 4 yang lepas, saya telah mengikuti rombongan pelajar SMK Undang Rembau ke Istana Budaya, Perpustakaan Negara dan PWTC. Ada dua rombongan sebenarnya iaitu satu bas dari PSS dan sebuah lagi dari pelajar asrama.

Lawatan pertama ke Istana Budaya. Rasa bertuah sebab dapat diberi peluang untuk ke panggung theater dan melawat sekitarnya. Panggung ini adalah antara 10 panggung terbaik di dunia, memang canggih. Seni binanya memang kelas. Padat dengan sentuhan kreatif/ budaya Melayu. Kami diberi penerangan dan promosi untuk sesiapa yang berminat menyertai aktiviti di sini. Kami juga diberi cenderamata setiap seorang. Saya pula mendapat satu cenderamata ekstra sebab hari lahir saya jatuh pada bulan ini...terima kasih...

Kemudian kami ke Perpustakaan Negara. Teringatlah masa jadi penuntut UM dulu saya pernah ke bilik mikrofilem untuk cari bahan. Di sini pun kami dapat cenderamata. Semoga para pelajar semua mendapat semangat melihat gedung ilmu dan pelbagai pengisian ini.

Kami singgah makan dan solat di Taman Tasek. Anak kedua saya Maryam kolejnya dekat-dekat sinilah, katanya boleh berjalan kaki saja (UKM). Dia sedang menduduki peperiksaan akhir tahun 1.

Hampir jam 3 kami sampai di PWTC. Di sini kami berselerak dan saya mencuba memaksimumkan penggunaan masa untuk menjelajah mencari buku-buku yang dihajati. Kedudukan gerai buku mesra pengguna sebab di pintu masuk pun sudah terdapat booth. (Sudah 2 tahun saya tak dapat mengunjungi Pesta Buku sebenarnya).

Saya dapat membeli beberapa buah buku; novel, buku rujukan, tentang Palestin, majalah, untuk Syamil dan Danial. Banyak juga diskaun yang diberi dan kami mendapat buah tangan yang menarik daripada penerbit-penerbit. Pelajar-pelajar saya pula begitu bangga dengan beg MOY masing-masing. Rasa nak juga satu, teringat zaman remaja dulu saya boleh tahan hantunya membca komik. Masa tu komik popular ialah Gila-gila. Saya boleh cam semua lukisan dan pelukisnya.

Syukur, kami selamat sampai tepat-tepat sebelum maghrib. Perjalanan pergi, dan ke semua destinasi berjalan lancar. Dan syukur lagi kepada-Mu kerana menghadiahkan hari yang sungguh bermakna buat kami semua...

Sunday, April 19, 2009

Santai-santai

Ni gambar Danial gayat naik tangga bergerak.

Banyak sungguh benda nak difikir ya..salah satu cara nak mendefragkan minda ialah dengan melakukan hobi dan melayan telatah budak-budak kecil. Hobi Danial ialah masuk ke dalam sesuatu...di atas dia masuk ke dalam bakul. Ada juga gambar dia masuk ke dalam periuk, tapi tak jumpa cari pulak gambar tu.. masuk dalam kuali, juga tupperware.. comel je dia..


Thumbergia

Pada bulan November tahun lepas saya telah mengisi borang tukar dari Negeri Sembilan ke Kelantan (online). Dukacita permohonan saya tidak berjaya. Saya membuat rayuan tetapi masih gagal.
Pada 1 April lepas saya sibuk mengisi borang tukar lagi, kali ini untuk DG29 dan DG41 saja yang isi secara online, saya DG44 isi secara manual. Apa cerita kali ini tak tahulah...kali ini saya betul-betul menyerahkan nasib kami anak beranak kepada perancang terbesar kita, Allah swt. Terlalu rumit untuk ditulis di sini, saya sudah buntu dan menyerahkan segala-galanya kepada takdir setelah pelbagai usaha yang telah dilakukan. Rumah saya yang dulu sudah ada pembeli nampaknya takdir saya tidak semudah itu. Perkara ini masih hang, saya terpaksa mencari pembeli baru...Maaflah ya kalau anda rasa tak faham, saya pun dah tak terlarat sebenarnya nak fikir, tapi saya sentiasa mengharap belas kasih Allah kepada kami.

Baik la, mari cerita tentang pokok di atas tu...Saya pernah menceritakan bagaimana sukarnya saya mencari benih pokok di atas. Saya ke nursery Sg Buluh, tak jumpa, saya melawat taman botani di Putera Jaya, pokoknya ada tapi tak jual benih. Pergi mana-mana nurseri tak jumpa, akhirnya ketika saya ke Tanjung Aru, Sabah, saya terjumpa pokok itu dengan meriahnya menghiasi resort semasa kunjungan peserta Kuiz Pengguna Peringkat Kebangsaan. Dengan penuh rasa teruja (dan tak malu), saya meminta ihsan staf di sana untuk memberikan sedikit benih pokok tersebut.. mereka sebaliknya melayan saya dengan baik dan berpesan supaya saya mencelupkan batang yang dipotong menyerong ke dalam penggalak akar. 2 daripada keratan itu hidup dan selepas 5 bulan saya terkejut kerana julurannya sudah mencapai pergola saya dan mengeluarkan bunga!

Jadi, sebagai persediaan untuk berpindah (bila berpindah tidak tahu...), saya pun memotong beberapa batang pokok tersebut, mencelup dalam penggalak akar dan mencucuk dalam bag polisterin. Selepas tu saya jadi budak-budak..hehe, lepas je 3 hari saya mula berulang melihat keratan-keratan tersebut..masuk hari ke 6 ada yang sudah mengeluarkan pucuk! Subhanallah! Memang saya ada banyak keratan tersebut dan mungkin akan membiakkannya lagi... Saya ada terbaca dalam Majalah Laman, ada pembaca yang membeli pokok tersebut tetapi tidak mengeluarkan bunga, yang banyak ialah daun (mabuk daun). Jadi, sesiapa yang berminat kepada spesies pokok di atas, bolehlah hubungi saya.. Marilah sesama kita berkongsi keseronokan ini ya.

Saya ada juga membiakkan pokok kemuning. Kali ini percubaan saya sudah masuk kali ketiga, tapi masih tidak menjadi, sedih juga ni...apa formula ya.. Buat pengetahuan anda, pokok kemuningnya mungkin spesies jasmin, berjambak, putih dan sangat wangi. Kalau berbunga biasanya penuh satu pokok..ni yang buat orang gila ni.. Saya pula menanamnya berhampiran ruang lepak kami dan dekat juga dengan ruang tamu..wuih..segar dan ringan rasa kepala..
Tapi, macam mana nak buat pokok ni tumbuh ya. Saya nak jadikan sebagai pagaran. Bayangkan kalau semuanya berbunga...

Wednesday, April 15, 2009

Komunikasi isyarat tubuh

Ramai beranggapan isyarat tubuh atau bahasa isyarat hanya untuk golongan kurang upaya. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa ia sangat efektif dalam komunikasi antara ibu dan si kecil.




KETIKA berusia 14 bulan, Shawn Wong menghidap demam panas dan seperti kanak-kanak lain seusia dengannya, dia akan merengek dan menangis pada waktu tengah malam kerana berasa tidak selesa.

Apabila dihampiri ibunya, Jamie Solomon, tangan si kecil itu akan mengepal dan membuka semula berulang kali sebagai tanda isyarat permintaannya.

"Melihat sahaja tangannya, saya sudah tahu bahawa Shawn mahukan susu," ujar Solomon ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sekiranya Shawn tidak menunjukkan isyarat tersebut, Solomon berkata, dia tentu beranggapan bahawa anaknya mahukan ubat, dipangku atau ditukar lampin sebelum pilihan terakhir, menyusu.

"Tanda isyarat 'susu' itu membolehkan komunikasi efektif antara Shawn dan saya.

"Dia tidak perlu menangis lama untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya dan saya tidak berasa putus asa untuk mengetahui apa yang sebenarnya diperlukannya," tambahnya.




Solomon merupakan Pengarah BabySigns Malaysia Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang menyediakan program mendidik bayi berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat.

"Sebelum ini, bayi mengekspresikan diri mereka melalui kesan emosi seperti gelak ketawa atau tangisan.

"Adakalanya, ini menyukarkan kita memahami apa yang bayi inginkan, minat atau rasa," ujar Solomon.

BabySigns, katanya, mengajar kanak-kanak yang tidak mengalami masalah pendengaran bahasa isyarat yang berdasarkan kepada program Bahasa Isyarat Amerika (ASL).

ASL digunakan dalam kalangan individu yang mengalami masalah pendengaran di Amerika Syarikat.

Menceritakan tentang latar belakang BabySigns, Solomon berkata: "Pada tahun 1982, pakar perubatan, Dr. Linda Acredolo dan Susan Goodwyn mendapati bayi mampu menggunakan isyarat tangan secara spontan untuk mewakili ayat yang tidak mampu mereka suarakan.

Mereka akan menghidu untuk 'bunga' atau mengepakkan tangan di sisi badan sebagai tanda 'burung'. Kedua-dua doktor berkenaan berfikir, bagaimana sekiranya ibu bapa membantu dalam proses tersebut.


KOLEKSI buku isyarat bayi membantu komunikasi proaktif antara ibu bapa dan bayi mereka.


Sehubungan itu, lahirlah program BabySigns, bahasa isyarat semula jadi yang membenarkan bayi dan ibu bapa berkomunikasi dengan menggunakan isyarat ringkas untuk perkara-perkara penting seperti lapar atau dahaga, haiwan, emosi dan rasa.

"Melalui penyelidikan yang kebanyakannya ditaja oleh Institut Kesihatan Kebangsaan selama dua dekad, Acredolo dan Goodwyn telah menunjukkan bahawa program tersebut mempunyai pelbagai manfaat besar kepada bayi dan ibu bapa," kata Solomon.

Katanya, banyak yang ingin diperkatakan oleh bayi, sungguhpun mereka masih belum mampu untuk berkata-kata.

Walaupun demikian, Solomon berkata, kebolehan bayi berbahasa isyarat bergantung kepada apa yang telah diajar oleh ibu bapa.

"Tetapi ada kalanya, bayi akan membentuk sendiri bahasa isyarat mereka dan ibu bapa harus peka apa yang bayi mereka 'katakan'."


ANTARA tanda-tanda bahasa isyarat yang dipelajari melalui program BabySigns.





Solomon menggalakkan pengajaran tanda isyarat tangan yang digabungkan dengan percakapan bermula sejak lahir lagi.

Bercakap sambil berisyarat kata Solomon akan mendedahkan kanak-kanak dengan perkataan.

"Sungguhpun bayi tidak memahami sepenuhnya apa yang diperkatakan, tetapi dengan terus mengajar mereka, lama-kelamaan mereka akan berjaya.

"Ingin kami tekankan bahawa progres setiap bayi adalah berbeza," katanya yang melibatkan Shawn dalam program BabySigns pada usia 10 bulan.

Dengan kesungguhannya mengajar Shawn berbahasa isyarat, kanak-kanak yang kini berusia setahun itu mampu melakukannya dalam masa hanya dua bulan.

Sehubugan itu, Solomon merasakan usia tiga bulan merupakan waktu yang sesuai untuk memperkenalkan program BabySigns kerana pada peringkat itu, bayi lebih sedar dan masih belum mampu bergolek atau merangkak.

"Mereka memberikan tumpuan kepada anda. Namun demikian, bayi yang lebih berusia akan lebih cepat 'tangkap' apa yang ibu bapa ajar."

Mengulas manfaat program BabySigns, Solomon berkata: "Daripada segi perkembangan kognitif dan bahasa, manfaat lain adalah mengurangkan tangisan, perasaan marah dan putus asa antara kanak-kanak dan ibu bapa, membenarkan orang dewasa berkongsi dunia dengan si kecil, mengukuhkan ikatan antara anak dan ibu bapa, meningkatkan keyakinan diri anak, memudahkan pembelajaran bertutur dan merangsang perkembangan intelektual."

Program BabySigns, ujar Solomon, akan menggalakkan komunikasi proaktif antara dua pihak.

"Contohnya, sekiranya bayi tidak berbahasa isyarat, mereka akan menangis dan menunjuk sesuatu yang ada kalanya orang dewasa tidak memahami apa yang cuba mereka sampaikan.

"Melalui isyarat, bayi-bayi akan memulakan satu perbualan dan ibu bapa akan memberikan respons bercakap dengan mereka. Ini akan menambahkan kegembiraan kanak-kanak dan menggalakkan mereka berkomunikasi," katanya.

Mengakui antara perkara yang merunsingkan ibu bapa adalah sama ada program tersebut akan melembapkan anak-anak mereka untuk bercakap, Solomon menjelaskan: "Hakikatnya, program BabySigns itu bukan untuk melambatkan tetapi sebenarnya membantu mereka bercakap.

"Ia seperti kanak-kanak yang merangkak sebelum berjalan. Jadi, mempelajari bahasa isyarat akan menambahkan motivasi mereka untuk bercakap."

Ini katanya dibuktikan oleh satu kajian pada tahun 1980-an yang dijalankan oleh Acredolo dan Goodwyn yang menunjukkan manfaat program itu dalam perkembangan bahasa termasuk apabila kanak-kanak berusia dua tahun yang mengikuti program BabySigns menunjukkan perbendaharaan kata yang lebih besar berbanding kanak-kanak yang tidak mengikuti program tersebut.

Solomon yang merupakan instruktor bertauliah bebas antarabangsa yang pertama untuk program BabySigns di Malaysia berkata, program tersebut bukanlah sukar untuk diajar atau dipelajari bagi ibu bapa dan anak-anak mereka.

"Sebenarnya, bahasa isyarat adalah satu perkara yang semula jadi dan terbentuk daripada apa yang sememangnya diamalkan sejak sekian lama.

"Ini boleh dilihat dalam tanda isyarat melambai untuk 'bye-bye' atau mengangguk (ya) dan menggelengkan kepala (tidak). Ia seperti juga penggunaan tangan dan riak muka ketika menyanyikan lagu-lagu kanak-kanak.

Berdasarkan model ini, program BabySigns, kata Solomon lagi, membantu dalam apa yang telah pun dilakukan secara semula jadi.

"Pada mulanya, bayi-bayi ini akan mengetahui satu perkataan dan lama-kelamaan, mereka mampu menghubungkan satu perkataan. Seperti Shawn, perkataan pertamanya adalah more (lebih banyak). Kemudian, pada suatu hari ketika di pasar raya, dia berisyarat more biscuits atau lebih banyak biskut.

Antara isyarat yang diajar kepada peserta termasuklah haiwan, emosi, waktu, ibu dan bapa serta objek seperti bola dan buku.

Sehubungan itu, BabySigns Malaysia menawarkan bengkel ibu bapa yang direka untuk membimbing penjaga tentang bagaimana menggunakan program BabySigns di rumah.


PROGRAM BabySigns membantu proses pertuturan anak-anak.


Ia juga menawarkan kelas Sign, Say and Play yang merupakan enam siri kelas interaktif dan menyeronokkan yang membolehkan ibu bapa dan bayi mereka belajar bahasa isyarat dalam persekitaran yang santai dan penuh sokongan.

"Di samping itu, kami juga menawarkan rangkaian produk yang komprehensif bagi membantu proses pembelajaran bayi seperti buku-buku, DVD dan sumber lain yang menjadikan pembelajaran bahasa isyarat menyeronokkan dan mudah untuk semua.

Terbaru, BabySigns Malaysia menawarkan kursus latihan kepada pendidik peringkat awal kanak-kanak.

"Seorang instruktor bertauliah bebas akan datang ke pusat-pusat terlibat untuk menunjukkan cara tentang bagaimana menggunakan sumber-sumber yang ada.

"Terdapat tiga aras latihan untuk dipilih. Kesemuanya menunjukkan bagaimana guru-guru boleh menggunakan program BabySigns dalam bidang perkembangan bahasa, emosi, sosial, fizikal dan kognitif dalam kurikulum pembelajaran sedia ada," kata Solomon.


Penjual buku terbitan Grolier suka menggunakan prinsip ini. Dahulu saya ada membawa anak-anak saya ke Pesta Buku di PWTC. Kalau berjalan dekat pernerbitan tersebut anak saya akan 'hilang', kena 'culik' oleh staf syarikat terebut. Mereka akan bertanya dan main-main dengan anak saya.

Soalan tipikal yang diberikan kepada ibu/bapa ialah, "puan/encik, ada anak kecil tak?."

"Ada, 1 tahun"

"Agak-agak bila anak mula belajar?"

"(Jawapan mudah), Bila memulakan kelas tadika la"

"(Dia dah terperangkap)", Puan, kajian menunjukkan bahasa boleh diberikan kepada anak-anak bermula semasa berumur 4 bulan (ada yang lebih awal/ dari kandungan).

Bla..bla..bla..

Sekarang saya nak cuba gunakan kepada anak kecil saya, Danial. Rekod kesihatan dia yang menyebabkan dia terlantar di hospital selama 7 minggu menjadikan perkembangan dia agak lambat jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya. Tetapi akhir-akhir ini saya lega sebab dia sudah menunjukkan kesan positif.

Sekarang, jika saya kata sembahyang, dia mulalah terus sujud (tertonggeng..). Mulut dia berbunyi psss, membacalah tu.. tapi oleh sebab saya yg teruja sangat setiap kali dia 'membaca' menjadikan dia dah kurang pss nya. Bila azan dia akan melekapkan tangan di telinga dan 'azan'.. Semoga Allah makbulkan doa mamanya supaya dia menjadi hafiz dan (belajar di universiti Madinah nanti) menjadi pejuang agama Allah nanti.


Yang lambat sikit ialah bercakap. Setekat ini hanya boleh sebut "mama" dan "maa". Maa ialah untuk nak, sayu saja bunyi dia..

Jadi, saya akan cuba gunakan pendekatan di atas kepada Danial. Mungkin kit itu saya akan buat sendiri (lukis), gunting dan tampal gambar-gambar dari buku-buku lama..

Yes you can!