Monday, February 22, 2010

Sekolah Baru.- Jom Derma Buku!


Perhimpunan rasmi pagi Ahad. Ustaz Rozman dan sebahagian pelajar sekolah kami.

Nama sekolah baru saya ialah SMU (Arab) Mardziah, Kg Kubang Batang, Wakaf Bharu. Pelajarnya 66 orang iaitu dari tingkatan 1 hingga 3. Guru-gurunya sebanyak 13 orang. Barisan pentadbir yang diketuai oleh Ustaz Rozman Zakaria selaku mudir (pengetua), GPK 1 Ust. Rithauddin, Us Humaidi setakat ini memberi kerjasama erat kepada guru-guru yang kecil sahaja jumlahnya ini. Mudir pula advance orangnya kerana dapat menyediakan perkhidmatan internet (wireless) di sini. Beliau dan barisan pentadbir lain sangat prihatin akan kebajikan persekitaran sekolah ini. Prasarana asas yang lain sedang diusahakan, cuma ada masalah kekurang tempat kerana kawasan sekolah ini yang sangat terhad. Kawasan sekolah ini kecil saja dan terdapat dua bangunan utama. Ada 4 kelas, satu pejabat, satu bilik guru. Musolla yang sangat ringkas. Tiada perpustakaan, tiada makmal atau bengkel. Itu pun sekolah ini semakin maju dan ceria setelah diambil alih oleh KPM pada tahun 2008.

Semua pelajar adalah pelajar Melayu, tinggal di sekitar kawasan sekolah/daerah yang sama. Pekerjaan ibu bapa kebanyakan kerja kampung. Hobi, main bola, badminton. Cita-cita ingin menjadi ahli bomba, polis, askar dan segelintir saja guru atau doktor. Hmm, saya mengajar di semua kelas. Subjek yang saya ajar ialah KHB (semua kelas) dan quran (tingkatan 1). Setakat ini saya telah memasuki 3 daripada 4 kelas dan saya rasa ok. Saya masih dalam proses mengenali klien2 saya ini.

Pandangan saya terhadap sekolah ini. Mula-mula tentulah rasa jauh berbeza dari segi fizikal dan mentalitinya jika dibandingkan dengan sekolah saya sebelum ini. Tetapi saya cuba ubah suai cara pemikiran saya kerana pada konsepnya seseorang guru seharusnyalah fleksibel menghadapi apa-apa saja suasana tempat bekerja. Saya kena memandang daripada aspek positif dan mencari peluang. Saya kena menekankan aspek akademik.

Minda pelajar perlu diperluas. Membaca jambatan ilmu. Melalui pembacaan pelajar dapat meneroka ke dunia luar. Sedangkan masih terdapat sebahagian kecil pelajar sekolah ini yang belum celik huruf. Saya/ kami sedang berfikir cara-cara memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar. Ketiadaan perpustakaan boleh diatasi buat sementara dengan mewujudkan perpustakaan bergerak. Mula-mula sekali kena kumpulkan buku-buku, buku cerita bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab. Buku-buku diletakkan ke dalam raga dan dibawa oleh guru semasa waktu relief atau kelas Nilam.

Masalahnya, kami belum ada koleksi buku-buku cerita apatah lagi bahan bacaan lain seperti ensaiklopedia. Seelok-eloknya yang nipis dan berwarna-warni. Sesuai untuk pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Juga sesuaikan untuk pelajar yang baru nak belajar mengeja. Tentu kita masih ingat kenangan semasa kita mula-mula boleh membaca dahulu, buku yang bergambar, berwarna-warni dapat menceriakan dan memanfaatkan usia awal remaja kita. Itu untuk perpustakaan bergerak. Diharap suatu hari nanti kami akan ada sebuah perpustakaan sendiri dan mempunyai pelbagai koleksi buku akademik, buku cerita atau agama.

Kepada pengunjung semua, anda ingin menyumbang bahan bacaan? Kerjasama anda amatlah dialu-alukan.. jom derma buku! emel saya: wansalmah1594@yahoo.com

Selamat Tinggal Negeri Sembilan.

Saya dan anak-anak berkemas-kemas barangan kami di rumah yang sudah didiami hampir 11 tahun. Ada pelbagai rasa yang teradun dalam atma. Sedih, dan suka. Sedih kerana rumah ini cantik, dan nyaman. Meninggalkan kenalan yang sudah terbina ukhuwah sejak kami menetap di Rembau selama 13 tahun 2 bulan. Saya bukanlah dikenali sebagai seorang yang peramah. Saya tidak mempunyai ramai kawan. Tetapi, syukurnya di sini, saya punya banyak sahabat yang prihatin dan sama-sama menangis ketika saya berduka. Walaupun saya tidak menyatakan satu persatu nama-nama anda yang banyak membantu dan menceriakan kami sekeluarga, tapi kenangan manis itu bak seindah dan seharum mawar. Manis dan murni. Saya amat-amat menghargainya. Selama saya menumpang berteduh di bumi N. Sembilan penuh beradat ini, saya mendapat layanan yang sungguh memuaskan, sama ada sahabat, jiran sekampung atau masyarakat pekan Rembau.

Saya juga tidak akan melupakan semua orang yang telah menabur bakti dan jasa sepanjang kami di perantauan, sama ada sahabat handai, jiran atau pihak pengurusan. Juga Menteri Besar N. Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Muhammad bin Hassan yang telah memberi sumbangan kewangan untuk pendidikan anak-anak saya (yang berjaya ke IPT). Saya berharap di negeri-negeri lain juga turut menyediakan sumbangan kewangan begini kerana untuk melangkah ke IPT bukan sedikit persediaan yang diperlukan terutama bagi golongan senasib saya ini..

Di negeri ini juga saya telah berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Terima kasih kepada PEN terutama Pn Nisah Haron dan Pn Mahaya Yasin. Kesungguhan dan komitmen yang diberi masih berbekas di hati ini, insya Allah akan terus dibajai.

Barang-barang atau perabot saya di sini hanya sedikit yang saya membawanya. Rumah kediaman kami di Rembau adalah banglo 1 ½ tingkat dan rumah yang saya bakal duduki di Kelantan adalah rumah teres setingkat. Saya juga telah menyiapkan pokok-pokok bunga berpasu untuk dibawa pulang sama. Terharu sungguh saya kerana toking yang menjalar di pergola seolah-olah mengucapkan selamat berpisah dengan harumnya yang sungguh memukau. Segar dan syahdu. Saya turut membawa pulang 2 pasu toking dan memotong beberapa ranting thumbergia untuk diteruskan hayat mereka di tempat baru saya.

Lori Peladang 3 tan yang penuh sarat dengan muatan bertolak meninggalkan Rembau jam 10.30 pagi lebih kurang. Kami perlu menyiapkan barang-barang yang akan dibawa pulang selebihnya dan mengemaskan barang-barang yang akan ditinggalkan sedangkan masa sungguh terlalu suntuk.

Pagi Ahad, jam 7, saya dan anak-anak menaiki 2 buah kereta menuju ke Cheras iaitu ke rumah kakak saya. Dari sana kami akan konvoi 2 buah kereta pulang ke Kelantan. Jiran kami, Makcik Esah anak-beranak mengucapkan selamat jalan dengan mata yang membasah. Dalam perjalanan saya terkenangkan kenalan saya di sini yang sungguh banyak berjasa kepada kami. Syukur walau banyak dugaan yang kami tempuh selama ini, saya telah dikurniakan dengan sahabat/kenalan yang banyak membantu. Semoga Allah mencucuri rahmat dan berkah kepada kalian (dan kami semua).

Perjalanan begitu lancar. Kebanyakan penghijrah sudah meninggalkan ibu kota semalam sempena cuti Hari raya Cina. Sebelum ini saya menghadapi masalah jika menempuh sesuatu perjalanan kerana masih trauma dan fobia dengan tragedi kemalangan 2 tahun lepas, tapi kali ini alhamdulillah. Saya memang hendakkan kepulihan sebab salah satu hobi saya ialah berjalan/makan angin. Saya ingin menjajat pantai, pulau, ke kawasan pergunungan atau jika rezeki lebih ingin ke luar negara. Angin sejuk yang membelai tubuh ketika di Cameroon Highland dan Beijing dahulu masih terasa. Panorama syahdu dan kudus di tanah suci masih bergentanyang di ruang mata.

Iswara kami dipandu oleh anak-anak bujang saya, Afiq dan Zahid. Pertama kali mereka memandu dalam jarak yang jauh (568 kilometer). Alhamdulillah perjalanan lancar. Terima kasih kepada kakak saya sekeluarga yang sanggup mengetuai konvoi itu. Kami tiba di kampung halaman jam 8 malam. Syukur..bagai mimpi menjadi nyata...

Kepulangan kami disambut oleh bonda, kakak dan ahli keluarga yang lain dengan penuh gembira dan terharu. Semua anak saya ada di sini meraikan peristiwa ini. Kami menikmati hidangan nasi kukus ayam madu bakar dan nasi minyak haji Halim yang terkenal itu. Satu permulaan yang baik.

Monday, February 08, 2010

hal pindah lagi...

Ni dah masuk macam siri 'man verses wild.' Barang yang hendak dibongkar sudah dibongkar sedang yang hendak digeledah masih banyak yang belum digeledah. Balik rumah si kenit pun minta dilayan juga, merengek-rengek. Saya mula diserang flu. Dalam hati bertarung macam-macam rasa terutama apabila si kenit mula buat hal. Beliau ni tak boleh tengok saya sibuk, mulalah nak menyibuk sama...
Aish macam mana ni, rasa-rasa nak kena ambil CRK ni..tahun lepas tidak pernah ambil CRK atau MC..Sehari tak apalah kot..

Lori Peladang akan mengangkut barang pada pagi Sabtu. Kami pula akan berangkat meninggalkan Rembau bumi indah permai ini pada pagi Ahad. Doa-doakanlah semua berjalan lancar, dipermudahkan segala kerja, dan semuanya selamat... Insya Allah..

Terima kasih kepada Bidang Teknik dan Vokasional yang telah menganjurkan majlis makan tengah hari dan sudi menghadiahi cendera mata petang tadi.. Kenangan indah di SMKUR insya Allah sentiasa dalam kenangan..

Friday, February 05, 2010

lagi2 hal pindah

Sehari dua ini kami agak sibuk, nak uruskan rumah ini, bereskan kerja di sekolah dan menghubungi keluarga/sahabat di Kelantan..cari tempat tinggal baru, sekolah anak, penjaga anak (Danial), tinjau-tinjau tempat kerja baru dsb. Kalau sempat, saya jengok-jengok juga plan rumah yang saya download dari internet, untuk rumah baru kami nanti. Tentang rumah akan datang, tak pasti lagi keadaannya, semua bergantung pada bajet yang ada. Yang penting ialah sederhana, selesa, mudah diuruskan, tidak membebankan dari segi kewangan. Pokoknya konsep rumah ini ialah baiti jannnati dan memberi keselesaan daripada segala aspek. Semalam dah ke Pertubuhan Peladang Kg Batu, Rembau, uruskan lori. Syukur setakat ini berjalan baik. Mungkin saya tidak dapat selalu-selalu menjengok blog atau internet disebabkan keadaan kurang mengizinkan.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi mendoakan kesejahteraan kami sekeluarga dalam urusan ini. Ada juga yang menawarkan untuk membantu dengan membeli perabot. Terima kasih.

Monday, February 01, 2010

Detik-detik Akhir di Perantauan...

Syukur, berkat doa dan usaha yang tidak putus-putus daripada banyak orang, bonda saya, ahli keluarga saya, para sahabat yang memahami akhirnya saya dapat juga apa yang dihajati.
Usia bonda saya sudah mencecah 82 tahun pada tahun ini, dan sering menyebut-nyebut nama anak..dan saya yang berkelana bersendirian dengan anak-anak ini tentulah menjadi bahan kerisauan beliau. Semoga Allah memanjangkan umur kami dan dapatlah saya membuat hati bonda saya gembira...

Baiklah, mari saya telusuri detik-detik saya mendapat khabar itu. Saya cuba ringkaskan. Saya telah mendapat surat arahan pertukaran dari SMK Undang Rembau ke SM Agama Mardziah, Kelantan. . Saya mencari alamatnya di internet. Ya, sekolah agama bantuan kerajaan. Saya juga mendapatkan nombor hubungannya melalui telekom. Akhirnya saya dapat bercakap sendiri dengan mudirnya (pengetua). Saya diberi pemahaman bahawa sekolah itu ialah sekolah yang sudah agak lama beroperasi, tapi baru saja diambil alih oleh kerajaan pada tahun 2008. Kemudahan seperti makmal, bengkel dll masih tiada. Pelajarnya cuma 66 orang dan guru sedia ada 10 orang!

Saya juga diberi penjelasan iaitu, sekolah agama begini mementingkan subjek agama dan bahasa Arab. Di sekolah biasa, subjek agama hanyalah Pendidikan Islam, tapi di sini ada pelbagai contoh tauhid, fekah, semua dalam bahasa Arab. Jika saya dapat mengajar beberapa subjek B. Arab, ini dapat meringankan tugasan ustaz/ustazah yang sedia ada. Arr, macam mana ni? Saya sudah tinggalkan subjek ini lebih kurang 30 tahun.. Tapi, jika diberi, insya Allah saya tak tolak, cuma beri yang asas-asas saja dahulu, dan siap letakkan baris dan makna..(hihi)..Ini juga peluang untuk saya mengingat balik bahasa al Quran ini, bahasa ahli syurga. Mungkin Allah telah menetapkan saya menghabiskan tugas saya sebagai guru mencurah bakti di sekolah agama yang serba kekurangan ini..Ya, bahkan saya sepatutnya bersyukur atas takdir-Nya yang luar biasa ini.

Tadi saya telah ke JPNS, iaitu ke unit naik pangkat untuk memaklumkan pertukaran saya ini. Saya juga telah ke unit pendidikan Islam untuk urusan perpindahan anak saya dari SMKA Pedas ke SMKA Naim lil banat. Harap segala-galanya berjalan dengan lancar.

Kami juga kena merancang barang-barang yang akan dibawa pulang nanti. Kami diingatkan bahawa tuntutan perjalanan untuk membawa barang-barang masih tidak pasti, bergantung kepada kedudukan ekonomi semasa. Jadi perabot saya yang banyak ini (dah anak ramai), apakah nasibnya. Sebuah lori memang tak muat ni. Mungkin kami bawa yang penting-penting sahaja.

Saya juga bersyukur kerana banyak mendapat pertolongan Allah melalui hamba-hamba-Nya yang berjiwa pengasih. Ketika saya dirundung masalah, Dia hulurkan bantuan dengan tangan-Nya yang tak nampak. Urusan saya setakat ini berjalan lancar, sehingga saya sendiri pun kehairanan; jika dinisbahkan dengan diri saya yang serba kekurangan ini, pasti amat sukar saya melaluinya. Maka, perlahan-lahan bagai terdengar di cuping telinga saya; 'maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustai?'

Sekarang saya akur dan merasainya. Hidup ini betul-betul bagai pentas ujian. Sama ada di situ ada penonton, atau kita bersendiri, kita tetap diperhati, dihitung dan dinilai. Apa yang penting ialah hati yang bersih, dan redha dengan takdir. Mungkin kita akan kalah dengan percaturan dunia. Kita rasakan dunia ini tidak adil. Namun, itu hanyalah ukuran kaca mata manusia yang tersangatlah lemah. Jika pun hari ini kita rasakan kita dirundung malang, dan tidak mendapat apa-apa yang dihajati, janganlah menganggapnya kita telah kalah. Selagi kita berbuat yang betul di mata-Nya (dan mata masyarakat), kita bersabar akan segala dugaan, itu bermakna kita sudah menang. Hadiahnya? Mungkin dibayar tunai, segera, lambat atau 'tidak dibayar langsung'..tapi Allah tetap membalasnya di akhirat nanti, atau kepada anak-anak kita/generasi kita atau dihindari segala bala dsb.

Sesungguhnya kita merancang, Allah juga merancang, rancangan Allah yang akan terlaksana..terimalah takdir seadanya, kerana Allah sangat halus perhitungannya, sangat mengasihi hamba-hamba-Nya apatah lagi menzalimi kita.

Sehari dua ini kesihatan saya rasa terganggu. Mungkin jangkitan daripada anak-anak yang tidak sihat, terlalu banyak berfikir tentang pertukaran ini dsb. Saya menjadi sukar untuk tidur. Namun, saya mesti cekal. Saya adalah ketua keluarga, pemimpin keluarga saya. Saya patut bersyukur anugerah nyawa yang Allah kurniakan kepada saya. Jaga kesihatan, berihat yang sepatutnya dan teruskan kerja. Kerja-kerja di sekolah perlu dibereskan sebelum saya tinggalkan SMKUR, juga proses perpindahan nanti seterusnya bagaimana keadaannya setelah saya sampai ke sana. Setakat ini semuanya berjalan lancar.

Saya bukanlah sebagus mana. Seorang arkitek berbangsa India datang ke rumah saya minggu lepas. Lelaki, separuh baya. Urusan pernjualan rumah saya belum selesai. Syukur dia telah memudahkan kerja saya dengan kehendak Allah.
"Bagaimana awak tinggal di rumah ini, kalau saya, tidak!"
Mungkin dia ingin barbasa-basi dengan saya dan berpsikologi.
"Saya tidak kuat, tapi saya minta tolong sama Tuhan, kerana Dialah yang kuat," saya rasa dia faham sebab 2 minggu sebelum itu semasa saya berurusan di pejabatnya, ada banyak unsur tuhan dipaparkan menghiasi ruang.

Syukur sekali lagi. Ada seorang sahabat lama saya, iaitu sahabat dari bangku sekolah rendah lagi, dan kami sama-sama belajar di tingkatan 6 di KIK. Dia telah bermurah hati memudahkan saya mencari rumah sewa, sekolah rendah untuk anak saya, nurseri untuk si kecil saya. 'Tempat yang baik, tidak terperangkap oleh kesesakan lalu lintas dsb,' Setakat ini semuanya berjalan seperti dirancang.. malah saya rasa terharu dengan pertolongan yang Allah anugerahkan ini..'haza min fadhli rabbi..' -ini semua adalah anugerah Allah'..

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah bacaan yang bagus untuk menjadi basahan lidah atau amalan hidup. Jawapan saya, banyak. Yang mudah diamalkan ialah, ayat 1000 dinar, ayat kursi, doa nabi Yunus yang terselamat dari ikan nun, ayat 'rabbi yassir wala tuassir' dll, pokoknya hati kena sentiasa mengharap pada Allah..insya Allah..