Friday, December 30, 2011

Cuti sekolah sudah hampir ke penghujung...

bebas...

Oh pejam celik pejam celik sekarang sudah tibanya minggu terakhir cuti akhir tahun persekolahan...

Hmm mari muhasabah sikit..apa yang dah dibuat ya sepanjang cuti ni.. ok listnya seperti entri sebelum ini iaitu terlibat dengan aktiviti penulisan di blog sastera Pn Azmah Nordin, alhamdulillah berjalan, dapat menghasilkan satu cerpen yang menurut sifu berjaya menjadikan beliau sebak...ala maaf sifu... juga beberapa penulisan lain (di situ juga).

Senarai kedua ialah berlawan dengan sifat mazmumah...macam perang sabil jugak ni... insyaAllah ada peningkatan... skala likert keberapa? Oh syukur... Gambarannya jika sebelum ini seketul batu besar dari gunung berapi memberat di pundak, kini saya rasa bebas, ringan dan terapung... Anda pernah mengapungkan diri, berbaring terlentang pada permukaan kolam yang tenang? Di bawah sinar mentari yang lunak kerana terlindung di sebalik awan? Sesekali air kolam yang nipis memercik muka anda. Deria telinga anda dapat menangkap irama 'plup, plup, plup' desir air yang ramah... Indah! Saya sedar, musuh utama diri kita sentiasa akan mencari jalan untuk menentang kita secara sedar atau tidak... ya, selagi jantung berdegup, selagi itulah kita perlu terus berjuang...

Cuti ini saya banyak menghabiskan masa di rumah. Selalu juga online mengikuti sidang 'mukabuku', 'youtube' dll. Jika anda inginkan yang bagus, anda dapat yang bagus di situ, begitulah sebaliknya.. dan syukur sangat-sangat walaupun saya hanya berada di rumah tetapi saya dapat mengikuti kuliah-kuliah hebat daripada para penceramah yang sangat hebat di internet, atau program keagamaan di televisyen... Syabas kepada ustaz-ustaz muda yang sangat bernas fikirannya dan bijak menyampaikan hujah. Rasa lega, sebab nanti ada pelapis yang hebat diharap dapat mengemudi anak bangsa.

Saya sempat juga tonton 2 movie walaupun lama tapi sangat2 bagus pada pandangan saya iaitu 'Di bawah lindungan Kaabah (DLK)' dan 'Apocalypto (dah tengok sebelum ini).' Kedua-dua filem memang berjaya membuatkan perasaan saya sebak. Kisah cinta sepasang anak muda yang terhalang. Dan Apocalypto ialah kisah pribumi yang tinggal aman damai tetapi telah diceroboh oleh kaum lain. Sungguh pilu melihatkan kekejaman puak lawan yang telah 'menghancurleburkan' satu populasi...Adrenalin sentiasa memercik melihat bagaimana watak utama sedaya upaya menyelamatkan diri daripada buruan musuh... dan babak yang paling saya tidak dapat menahan sebak ialah ketika siisteri melahirkan anaknya di dalam perigi yang berisi air...


Saya juga menjalankan tugas saya di sekolah, bertugas atau membuat kelas dengan pelajar. Sebelum bercuti tempoh hari, saya telah berpakat dengan beberapa orang pelajar yang berminat untuk membuat bengkel penulisan. Terdapat beberapa orang pelajar sekolah saya yang berbakat. Saya menggabungkan ilmu daripada beberapa sifu saya sebelum ini (terima kasih Nisah Haron dan sifuku Pn Azmah).

Sekolah saya kecil sahaja, sekolah agama arab terletak agak terceruk di daerah Tumpat. Dan saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk bertugas di sini. Peratusan PMR calon sekolah kami meningkat dan kami rasa macam tidak percaya (lebih kurang peningkatan 300%). Hermm... Allah memandang usaha kita, jika terasa tidak terdaya, cubalah terus berusaha, berjaya atau gagal serahkan kepada-Nya...

Alhamdulillah...

Thursday, December 01, 2011

Jom Memotivasikan Diri.


Cuti panjang. Bahagian inilah para guru berasa menang sedikit. Sekarang cuti sudah sampai minggu ke 2. Apa yang telah dibuat ya. Yang eloknya buat senarai sikit, sebab masa sekarang berjalan macam roket, rasa macam sekelip mata. Rasa baru sahaja menyambut sesi persekolahan 2011, sekarang sesi 2011 hampir berakhir.

Bagi diri saya pula, saya sedang mengikuti kursus dan sedang menfokus pada aktiviti penulisan di blog sastera yang dijayakan oleh Sifu kami iaitu Puan Azmah Nordin, penulis novel dan cerpen yang sudah menghasilkan lebih 50 buah novel. Sesiapa yang berminat bolehlah ke blog sastera azmahnordin.blogspot.com.

Pengisian kedua ialah bermuhasabah diri dengan mengikuti kuliah-kuliah agama sama ada berbentuk tulisan, video atau rakaman suara. Saya baru terjumpa blog Ustaz Pahrol Juoi dan tulisannya sungguh menyentuh hati. Terkini saya juga baru berjumpa satu blog yang diusahakan oleh Sdr Wazir yang merakamkan ceramah daripada pemotivasi terkenal tanah air masa kini iaitu Prof Dr. Muhaya bt. Muhammad. Terima kasih kepada IKIM yang kerap mengundang beliau untuk menyampaikan ceramah-ceramah yang begitu berkesan pada sanubari.

Saya bersyukur kehadrat Allah kerana intipati kuliah yang saya peroleh tepat pada masanya, bak si sakit mendapat vaksin. Itu semua adalah rahmat Allah juga.

Lain-lain? Huh. Mungkin perjalanan hidup saya sudah ditakdirkan dengan cabaran yang sengit. Tapi, seperti yang selalu diingatkan oleh penceramah/pengamal perubatan alternatif iaitu Us Sharhan, setiap penyakit pasti ada ubatnya, setiap masalah tentu ada penyelesaiannya. Justeru, jom mari kita memanfaatkan setiap masa yang ada dengan 'vaksin-vaksin', semoga segala penyakit, permasalahan akan terusir dan kita akan menjadi hamba-Nya yang boleh tenang, bahagia walaupun betapa banyak masalah yang meliliti badan kita.

Friday, November 25, 2011

Selamat Menyambut Tahun Baharu Hijrah

1 Muharram = 27.11.2011/ Ahad
10 Muharram (Hari Asyura) =6.12.2011/ Selasa

Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:

  1. Berpuasa. Maksud Hadis: Barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan Muharam pahalanya seumpama berpuasa 30 tahun. Maksud Hadis: Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
  2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
  3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Asar sebanyak 3 kali
  4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3 kali

Empat belas perkara sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram):

  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.
  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.
  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
  12. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
  13. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.


Doa Awal dan Akhir Tahun

Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.