Sebelum memulakan entri kali ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengunjung yang sudi ke sini. Saya tidak dapat mengupdate blog saya kerana beberapa halangan terutama internet. Sekarang saya dah tukar modem, kepada wireless modem. Insya Allah saya akan teruskan penulisan kerana ini salah satu daripada cara untuk survival dengan bersemangat dan ceria!
Tahun 2007 bagi saya dan keluarga bak kisah 'The Gladiator'. Kami telah menempuh pelbagai cabaran dan krisis; dua kemalangan yang berasingan yang menyebabkan kami kehilangan orang yang dikasihi, 2 kenderaan musnah, kecederaan, perpisahan, pertukaran yang melibatkan 3 buah sekolah yang sangat berlainan iklimnya, masalah kewangan dan lain-lain. Pada tahun lepas juga melalui HBO ditayangkan movie 'The Gladiator' yang diungguli watak utamanya Russel Crowe atau dikenali sebagai Maximus. Seorang jenderal perang Rom yang hebat telah dikhianati oleh anak Maharaja yang cemburu kerana sang ayah lebih percaya dan mengasihi Maximus berbanding dirinya, malah sang Maharaja berhajat untuk menabalkan Maximus setelah pemergiannya nanti.
Akibatnya, isteri dan anak kesayangan Maximus telah dibunuh secara menyayat hati, kediaman yang digambarkan sebagai berbau herba pada waktu pagi dan berbau jasmin pada waktu malam dimusnahkan. Maximus sendiri dihukum bunuh tetapi dapat melarikan diri tapi hanya menyaksikan kemusnahan setibanya dia ke rumah setelah berusaha keras untuk pulang. Ketika dia terbaring, pengsan dan menatapi diri dan keluarga, dia telah ditangkap dan dijual sebagai hamba. Dari situ dia dijadikan pejuang di kolesium, yang bertarung antara hidup dan mati.
Akhir sekali dia bertemu kembali dengan Commodus (anak Maharaja-Ceaser) di gelanggang, tetapi sekali lagi Commodus mengkhianati Maximus.Maximus rebah ke bumi tapi dengan sokongan rakyat Rom.
Saya juga seperti Maximus, menerima takdir yang berlaku ke atas saya secara bertimpa-timpa, seperti seorang yang ditutup mata dan dipaksa berjalan dalam keadaan tertanya-tanya. Yang berbeza ialah saya masih diberi peluang hidup dan masih berpeluang merawat/membaiki kemusnahan yang menimpa. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana di sebalik segala dugaan yang menimpa, saya dapat rasakan seribu rahmat yang tersembunyi.
Saya berharap kedatangan 2008 ini membawa harapan dan keberkatan kepada kami sekeluarga. Ahmad Luqman Danial hadir tanpa diduga seolah-olah untuk mengubati luka saya. Setakat ini anak kecil ini tidak suka meragam dan pandai membawa diri. Anak-anak saya yang lainpun menunjukkan perubahan yang positif. Syamil yang sangat bergantung kepada Sarahpun sudah belajar berdikari. Dialah yang paling terkesan akibat pemergian Sarah dan kesunyian kerana tiada teman.
Walaupun rindukan Sarah, saya sering membayangkan anak saya berpakaian indah, berterbangan bagaikan beburung syurga, dijaga oleh bapa segala nabi, Nabi Ibrahim. Dia tentu bahagia di sana. Ya Sarah, dunia ini terlalu banyak pancaroba terutama kepada gadis-gadis kecil sepertimu. Tiada penjaga sebaik Allah dan rasul-Nya.