Tuesday, May 29, 2007

bioteknologi dan wto

Perspektif Ikim: Pertanian senjata baru penjajahan

Oleh Mohd Noor Omar

Barat tekan ekonomi negara membangun guna alasan globalisasi


SUATU keadaan yang pasti di lalui dalam kehidupan ialah perubahan. Itulah tandanya baharu alam ini. Dunia juga berubah daripada semasa ke semasa. Kadang-kadang sukar untuk kita fahami perubahan dan bagi mereka yang alpa sering menjadi mangsa perubahan.

Begitu juga dengan perubahan dalam bentuk kuasa dan penjajahan. Daripada zaman penjajahan bersenjata atau kekerasan, yang lemah dan tidak bersatu menjadi mangsa kuasa besar. Yang kurang sifat kemanusiaan menjadi raja berpaksikan undang-undang rimba batu.

Beralih kepada zaman penguasaan melalui kepintaran melampaui had. Kesederhanaan dalam berfikir ditinggalkan begitu saja. Takrifan agama atau cara hidup adalah berlandaskan nafsu dan kegilaan kepada kebendaan dan keutamaan untuk kelangsungan hidup kumpulan tertentu.

Jika kita tinjau globalisasi, kita dapati ia satu cara baru menguasai maklumat pihak lain.

Pada zaman dulu, globalisasi tidak wujud. Sebelum globalisasi mengambil tempat, kita didedahkan dengan modernisasi. Ia membabitkan usaha dua kuasa besar iaitu Russia dan Amerika Syarikat ingin menjadi jaguh di pentas dunia.

Pelbagai propaganda digunakan Amerika untuk menjadikan mereka kiblat. Cerita Combat yang ditayangkan hampir ke seluruh dunia memperlihatkan bagaimana Russia sebagai satu kuasa jahat dan Amerika pula wiranya.

Apabila runtuhnya Tembok Berlin, Amerika menguasai dunia. Era sudah berubah, maklumat menjadi perkara penting.

Mereka perkenalkan penggunaan internet dan laman web. Pelbagai insentif diberikan termasuk pendaftaran emel percuma, transaksi talian dan banyak lagi.

Apa yang menjadi persoalan ialah siapa yang menguasai teknologi ini? Dunia terpaksa akur dengan perubahan ini dan menerima pakainya dengan bangga.

Padahal, jika ditinjau, semua maklumat penting dan rahsia boleh dicapai orang lain dengan mudah. Akibatnya, lahir ramai jutawan Amerika.

Jika tidak kerana memperkenalkan sistem baru, hanya dengan mengetahui teknik menggodam, pelbagai masalah negara boleh timbul. Kini tiba pula suasana baru. Dalam sedar atau tidak, kita menghadapi tekanan dalam bentuk perdagangan.

Pelbagai akta antarabangsa digubal dan diperkenalkan. Mungkin kulit luarnya nampak menguntungkan negara terutama negara membangun tetapi hakikat di sebaliknya mungkin jauh berbeza.

Amerika giat berusaha memasarkan beras yang disahkan tidak selamat iaitu yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik (GE) kepada negara membangun.

Isu beras yang boleh dikatakan isu global membabitkan makanan asasi penduduk Asia diselitkan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Jika padi biasa, kita hanya perlu semai dan ia akan tumbuh tanpa sekatan tertentu.

Dengan menggunakan beras GE, benih padi mesti diimport dari Amerika yang mempatenkan hasil beras GE supaya mendapat hak di bawahnya.

Tiga jenis beras yang berteknologi GE iaitu Liberty Link LL62, LL601 dan LL604 kini secara berleluasa dikembangkan di bawah WTO melalui dua perjanjian penting iaitu Perjanjian Mengenai Pertanian (AOA) dan Perjanjian Mengenai Dagangan Berkaitan Aspek Hak dan Harta Intelek (TRIPS).

Di bawah perjanjian AOA, objektif pertama ialah ‘liberalisasi pertanian’ dengan membuang halangan perdagangan seperti tarif dan bantuan tempatan. Perjanjian itu sebagai pelindung kepada persaingan tidak adil terhadap barangan import.

Manakala, di bawah TRIPS pula, melalui hak paten yang memberi jaminan kepada negara membangun untuk menggunakan paten mereka sehingga 20 tahun.

Sebelum ini, petani tidak perlu membayar royalti terhadap paten beras tetapi dengan beras GE, petani perlu membayarnya atau dianggap sebagai lanun bio.

Contohnya, sejenis beras Basmati didaftar paten di Amerika oleh Rice Tech Inc Pada 1970, Filipina adalah pengeksport terbesar beras.

Tetapi apabila menyertai program WTO dan menandatangani perjanjian AOA, negara itu mengimport 2.2 juta tan beras pada tahun 1998 iaitu hampir 40 peratus daripada pengeluaran dalam negara.

Secara tidak langsung, perkembangan itu memberi kesan kepada petani.

Peningkatan ke atas kebergantungan kepada negara maju ketara sekali apabila kita lihat peningkatan import beras Asia daripada 4.8 juta tan kepada 15.4 juta tan iaitu peningkatan 300 peratus.

Melaluinya juga WTO memaksa negara membangun mengamalkan Corporate Farming iaitu syarikat dari Amerika akan mengusahakannya secara besar-besaran. Tenaga buruh terdiri daripada petani tempatan yang dibayar murah.

Petani yang mengusahakan sendiri tidak lagi mampu bersaing dengan skala pengeluaran dan harga ditawarkan akhirnya rela menjadi pekerja saja.

Di samping itu, penggunaan racun yang berbahaya kepada kesuburan tanah digunakan secara berleluasa dan akhirnya tanah menjadi makin tidak subur.

Inilah bentuk baru penjajahan yang menghilangkan hak negara mentadbir.

Sejarah boleh bertukar. Jika Asia adalah pengeluar beras utama dunia, kini dengan terlaksananya tekanan melalui FTA,

Asia menjadi pengimport beras dari negara maju. Pada tahun 2004, China menghasilkan 177 jua tan, India 129 juta tan, Indonesia 54 juta tan.

Jika beras GE ini diguna pakai, kemungkinan negara ini hanya menjadi pengimport terbesar. Petani tidak mampu bersaing dengan harga beras GE yang zahirnya nampak lebih berkualiti.

Saintis Kanan Institut Dasar Pengguna Amerika Syarikat, Dr Micheal K Hansen dalam usaha memberi kesedaran kepada negara membangun menegaskan bahawa petani di Amerika kerugian hampir RM4.6 juta bilion kerana produk mereka gagal dipasarkan ke negara luar.

Kaedah baru memasarkannya ialah melalui FTA. Sementara negara seperti Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Russia, United Kingdom dan Amerika sentiasa menutup pintu bagi menerima barangan dari negara membangun.

Begitulah percaturan hidup yang dilakukan sebagai satu cara untuk mengaut keuntungan.

Bagi negara yang lemah dan kurang pengalaman dalam urusan antarabangsa dan tiada kekuatan pengetahuan, mungkin menganggap tarikan bidang bioteknologi satu peluang tanpa menghalusi bagaimana bioteknologi ini akan menghilangkan kedaulatan negara akhirnya.

Apa saja perkara dalam dunia ini tidak semudah yang disangkakan. Kalau terdetik satu keadaan mudah, pasti pemeriksaan rapi perlu dibuat bagi mengelak penyesalan di kemudian hari.

Kepada sesiapa yang berkenaan, sila baca rencana ini ya, saya tahu artikel ni berguna kepada mereka yang memerlukan.

lagi ops gaji

‘Perang peniaga tamak’

KOTA BHARU: Cuepacs mengisytihar perang terhadap peniaga tamak yang menaikkan harga barang dengan meminta lebih sejuta kakitangan awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu melaporkannya kepada kesatuan untuk disalurkan kepada pihak berkuasa.


Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan khas yang akan mencatatkan aduan dan disalurkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memerangi peniaga yang cuba memanipulasi kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan minggu lalu untuk mendapatkan keuntungan mudah.

"Cuepacs menyeru semua kakitangan awam memerangi habis-habisan peniaga tamak yang menaikkan harga barang sesuka hati. Kalau boleh, kita juga minta peniaga terbabit diboikot kerana belum lagi 1 Julai, harga barang sudah naik mendadak.

"Pengguna yang menentukannya, memang tak mampu boikot setiap hari. Tapi, kalau sebelum ini kita makan ayam hari-hari, kita boleh ubah dengan makan tiga hari sekali. Kalau biasanya peniaga jual 300 kilogram ayam sehari, turun kepada 100 kilogram, itu menunjukkan kita berjaya boikot.

"Kalau semua sejuta juta kakitangan awam ambil tindakan, sudah tentu ia akan bagi kesan besar kepada peniaga. Jadi, kita minta sesiapa yang ada maklumat, berhubung dengan Cuepacs," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Penyelenggara Stor Kerajaan, di sini semalam.

Beliau mengulas kenaikan harga barang yang dilaporkan berleluasa di seluruh negara sebaik kenaikan gaji kakitangan awam sehingga 35 peratus diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 21 Mei lalu.

Sehubungan itu, KPDNHEP melancarkan Ops Gaji bagi memerangi dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang melakukan kesalahan menaikkan harga barang sesuka hati.

Sehingga kelmarin, KPDNHEP memeriksa 15,206 premis perniagaan dan 62 premis perniagaan dikesan menaikkan harga dan akan dikenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga 1946.

Omar berkata, beliau sendiri turut menerima kesan kenaikan harga barang serta menjadi mangsa peniaga tamak apabila terpaksa membayar 40 sen untuk segelas air suam di Johor Bahru.

Selain itu, beliau meminta penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di pasar malam, kedai runcit dan restoran di taman perumahan awam dan tidak hanya tertumpu di bandar.

"Di taman awam inilah banyak penggunanya adalah kakitangan awam yang mungkin tiada pilihan untuk mendapatkan barang keperluan harian. Kita tidak mahu, lebih tujuh juta ahli keluarga kakitangan awam menjadi mangsa," katanya.

Hmm kalau kat mana2 harga barang atau perkhidmatan dinaikkan sesuka hati tu laporlah segera kpd KPDNHEP dengan segera, bagi kena kompaun sikit. Ada ke milo ais sampai RM1.80, air suam 40sen. "Pengguna adalah raja", jadi marilah kita buat pakatan, kurangkan penggunaan barang-barang yang dinaikkan harga itu atau kalau tak perlu sangat boikot teruslah, cari alternatif lain. Tak boleh jadi, gaji belum naik, harga yang naik-naik. Kesihan kat pekerja bawahan sektor swasta, orang-orang kampung yang kerja sendiri kan, tak fasal-fasal terjerumus dalam konflik ni.

Ops Gaji

Carrefour labur RM20j jaya kempen jual murah


KUALA LUMPUR: Enam pasar raya besar dan gedung beli-belah yang bersetuju menyertai Kempen Penurunan Harga sedang merangka senarai 2,000 barang keperluan terpilih untuk dijual pada harga potongan sehingga 30 peratus untuk manfaat pengguna.


Pasar raya di seluruh negara yang terbabit adalah Carrefour, Giant, Tesco, Mydin, The Store dan Jaya Jusco.

Pasar raya besar Carrefour akan merintis kempen berkenaan apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal melancarkannya, hari ini.

Antara barang yang harganya akan diturunkan adalah barangan runcit, makanan, minuman, pencuci, produk penjagaan diri, tekstil dan barangan segar seperti makanan laut, ayam dan sayur-sayuran.

Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Carrefour, Yuswanis Yusof, berkata pihaknya melabur RM20 juta untuk memastikan kempen berkenaan berjalan lancar di semua 10 cawangannya di seluruh negara.

“Tahun lalu, kami memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk 1,200 barang dan jumlah itu meningkat tiga kali ganda kali ini untuk 2,000 barang keperluan pengguna,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengarah Urusan Mydin Mohamad Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata semua pasar raya Mydin akan menawarkan potongan harga pelbagai barangan harian pengguna sehingga 30 peratus, seperti yang diarahkan kerajaan.

Pengurus Perhubungan Awam GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Zamri Maulan, berkata ketika ini, pihaknya masih di peringkat perbincangan dengan pengeluar untuk mendapatkan persetujuan berhubung harga.

Bagaimanapun, katanya, apa yang pasti pasar raya besar berkenaan akan menyenaraikan lebih 2,000 barangan sepanjang kempen berkenaan.

“Kami menjangka Kempen Penurunan Harga di Giant akan bermula Jumaat ini,” katanya.

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perundangan Tesco Stores (M) Sdn Bhd, Azlam Shah Alias, berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk membiayai penurunan harga produk di semua pasar raya berkenaan tahun ini.

Katanya, peruntukan itu membabitkan 800 produk sejak pelaksanaan skim harga rendah itu bermula pada Mac lalu.

“Bagaimanapun, kami akan meneliti kemungkinan meningkatkan jumlah produk sempena Kempen Penurunan Harga,” katanya.

Pengurus Barangan The Store (M) Sdn Bhd, Mark Loo pula memaklumkan pihaknya masih di peringkat mengumpul maklumat mengenai pelaksanaan kempen berkenaan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHE).

Beliau berkata, ketika ini, pasar raya berkenaan menawarkan potongan antara 10 hingga 15 peratus membabitkan 150 barangan pengguna, manakala sehingga 70 peratus di bahagian pakaian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Iskandar Halim Sulaiman, berkata penguatkuasa kementerian itu akan meneruskan operasi harian bagi memastikan semua peniaga mematuhi arahan kerajaan.

“Kita mahu peniaga menerima dengan jelas mesej supaya peniaga menurunkan harga barangan di pasaran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Iskandar Halim juga mengingatkan pengguna supaya mengambil kesempatan sepanjang pelaksanaan Kempen Penurunan Harga dengan membeli barang keperluan di premis yang menyertai kempen berkenaan.

Statistik Ops Gaji sehingga 27 Mei menunjukkan aduan kenaikan harga meningkat kapda 66 kes.

Sebanyak 123 kes lain dikesan termasuk 68 kes melanggar Akta Kawalan Harga 1946, 39 kes Akta Timbang dan Sukat serta 16 kes melaggar Akta kawalan Harga 1946.

Sepanjang tempoh sama, kementerian mengeluarkan kompaun bernilai RM7,630 selain merampas dan menyita barang berharga RM4,651 menerusi 18,674 pemeriksaan premis perniagaan di seluruh negara.

Jumaat ni ya, marilah kita pergi ke tempat2 yg disebutkan di atas untuk mendapatkan barang2 keperluan kita. Harap2 mereka bukan omong kosong saja. Kat Rembau ni, masya Allah, kos hidup mahal ampun! Klinik tak pantau ke? Anak saya si Syamil demam pulak dah, ubat demam dll RM25. Ni kena pergi klinik kerajaan nih. Hmm pandai pandai la bawak diri kan..