Sunday, December 23, 2007

Siti Sarah Dalam Kenangan

Salam Aidil Adha..

Seperti yang telah saya maklumkan dalam entri sebelum ini, saya dan anak-anak akan balik ke kampung untuk menyambut Aidil Adha di sana dengan tujuan kami utama menziarah bonda yang telah uzur.
Perjalanan kami telah dirancang dengan baik, namun, takdir mengatasi segalanya. Dalam entri kali ini saya cuba meringkaskan cerita, sekadar memberi khabar kepada para pengunjung blog ini.

Kereta kami telah kemalangan berhampiran Kuala Lipis, dan salah seorang anak saya, Siti Sarah telah pergi meninggalkan kami. Saya, Hajar, Syamil, baby cedera, juga anak saudara saya yang memandu kereta. Kami telah dikejarkan ke 3 hospital berasingan, iaitu Nur Fadhilah (anak saudara) ke Gua Musang, Syamil dan Hajar ke Hospital Kuala Lipis, saya dan baby Danial ke Hospital Temerloh sebab Danial terpaksa menjalani cityscan di sana.

Sarah selamat dikebumikan di kampung kami pada jam lebih kurang 2.30 malam. Beliau mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

Semua anak saya ada keistimewaan tersendiri, tetapi Sarah (10 tahun) agak berbeza. Dia sentiasa ceria, excited dalam melakukan sesuatu, bersemangat dalam semua perkara sama ada dalam pelajaran sekolah pagi atau sekolah petang (fardhu ain). Dia juga merupakan 'backing' utama adik-adik dia terutama Syamil. Dia sentiasa mengalah dan menolong. Apabila Danial dilahirkan dia terlalu gembira. Setiap kali Danial menangis dia akan berkejar ke arah adiknya lalu mendukungnya. Sebelum kejadian dia sempat meriba adiknya.

Dia anak yang sangat baik, juga pelajar yang disenangi guru-gurunya di SMK Undang Rembau, juga di sekolah fardu ainnya. Banyak sungguh kenangan kami bersamanya.

Kami/ saya sangat sayangkannya, tapi Allah lebih menyayanginya. Saya redha akan pemergiannya, menghalalkan segala apa yang dia makan, buat, bahkan saya 'terhutang' dengan Allah kerana memberikan saya anak sebaik itu. Saya sedar dia dipinjamkan kepada saya untuk 10 tahun 10 bulan. Adat meminjam maka suatu hari saya kena redha apabila Tuan Punya memintanya balik. Terima kasih ya Tuhan kerana memberi peluang melahirkan, membesarkan anak; Siti Sarah.

Sekarang saya masih berada di kampung. Saya masih kurang sihat kesan hentakan kuat pada dashboard pada bahagian lengan dada lengan dan leher. Kaki juga terseliuh. Danial mengalami retakan di kepala dan bengkak sedikit. Syamil pula salah satu tulang bahunya patah. Hajar cedera ringan. Fadilah cedera di kaki. Saya akan pulang ke Rembau insya Allah pada 5 Januari nanti, setelah keadaan kami lebih baik.

Minta maaf saya tidak dapat menulis lebih lanjut, insya Allah lain kali sebab keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Doakan roh Siti Sarah berada di tempat terbaik di syurga sana, dan kami semua segera pulih

Jutaan terima kasih kepada semua yang telah menolong kami sepanjang kejadian; ahli keluarga, kaki tangan klinik Padang Tenku, Hospital Kuala Lipis, Hospital Temerloh, Hospital Gua Musang, polis peronda dan pemandu-pemandu kereta yang bertungkus lumus menyelamatkan dan membawa kami ke hospital. Saya tidak sedar siapa yg menolong kami. Hanya Allah sajalah yang membalas jasa baik mereka. Namun saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk hidup lagi......

Monday, December 17, 2007

Jalinan takwa hiasi perhimpunan Arafah

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

PADA Zulhijah yang mulia ini, ada satu hari yang dikatakan antara hari paling afdal di sisi Allah selain Jumaat iaitu hari 9 Zulhijah, lebih dikenali hari Arafah. Hari Arafah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah, satu daripada rukun fardu bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji di Tanah Suci.

Kemuncak daripada itu, hari Arafah adalah satu hari yang Allah akan membebaskan sesiapa menghadiri Padang Arafah dan memuliakan hari itu daripada api neraka. Oleh itu, hari keesokannya iaitu Aidiladha adalah hari kesyukuran dan perayaan bagi umat Islam menzahirkan kegembiraan serta kesyukuran ke hadrat Allah.

Kelebihan hari Arafah tidak terhad kepada jemaah yang berada di Tanah Suci, malah kelebihan itu turut dinikmati umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di seluruh dunia. Justeru, umat Islam dianjurkan berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijah terutama pada hari Arafah.

Tidak diragui lagi bahawa ibadat puasa adalah amalan ibadat yang afdal di sisi Allah berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berpuasa pada hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain ibadat puasa, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan seperti solat sunat tahajud, bersedekah, membaca al-Quran dan amar makruf nahi munkar. Perlu diinsafi setiap amalan yang dilakukan pada hari itu akan digandakan ganjaran pahalanya oleh Allah.

Begitu juga amalan paling afdal di sisi Allah seperti berjihad pada jalan Allah, tidak akan dapat meraih ganjaran istimewa 10 hari Zulhijah itu melainkan apabila seseorang Muslim tercedera atau syahid di medan peperangan.Jelas maksud hadis Rasulullah SAW, bahawa hari Arafah dan juga hari sebelumnya pada permulaan Zulhijah adalah antara hari afdal untuk beribadat kepada Allah dengan melakukan segala amalan sunat dianjurkan.


Ibnu Abbas pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari itu iaitu 10 hari pertama Zulhijah. Para sahabat bertanya: Adakah itu termasuk juga berjihad pada jalan Allah? Jawab Rasulullah SAW: Tidak termasuk berjihad pada jalan Allah melainkan orang yang keluar dengan seluruh jiwa raganya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tiada suatu hari pun dalam setahun yang amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari 10 Zulhijah. Oleh itu, hendaklah kamu perbanyakkan zikir tahlil, takbir dan tahmid.” (Hadis riwayat Ahmad)

Pada hari Arafah, setiap jemaah haji akan melaksanakan satu rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah. Amalan wukuf adalah perhimpunan besar manusia di padang yang satu di bawah terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi.

Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang bakal dihadapi setiap manusia untuk dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak. Oleh itu, setiap insan sewajibnya menghisab diri dan bertaubat terhadap segala dosa sebelum Allah pamerkan dosa itu di hadapan jutaan manusia di Padang Mahsyar.

Dari sudut sejarahnya, ada pendapat mengatakan bahawa perkataan Arafah berasal daripada pertemuan kembali Nabi Allah Adam dan isterinya Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan, akhirnya mereka bertemu kembali di lembah dikenali sekarang dengan Padang Arafah.

Ada juga ulama menyatakan bahawa ia berasal daripada peristiwa pertemuan Nabi Allah Ibrahim dengan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Allah Ismail yang lama berpisah.

Sebahagian ulama pula berpendapat perkataan Arafah adalah hasil pemahaman Nabi Ibrahim yang memahami dan menghayati perintah Allah yang tersirat dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail.

Oleh itu, hari Wukuf di Arafah dikenali sebagai hari Tarwiyah yang bermaksud hari renungan. Nabi Ibrahim sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut dan akhirnya Baginda faham (Arafa) maksud mimpi dan terus melaksanakan maksud mimpi itu.

Selanjutnya, perhimpunan secara besar-besaran di Padang Arafah menyaksikan suatu jalinan kemas persaudaraan Islam dan kesatuan ummah yang utuh supaya mereka bersatu teguh serta bersemangat padu dalam meneruskan kesinambungan Islam untuk bertapak di bumi Allah ini.

Tambahan pula, jalinan yang terbina atas paksi takwa ini dengan pakaian ihram sama putih tanpa mengira kedudukan dan pangkat seseorang, umat Islam melupakan segala prejudis perkauman atau kebangsaan.

Sunday, December 16, 2007

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Rasa sebentar sungguh masa berlalu. Tahun lepas pada waktu yang sama, saya, saudara mara, sahabat taulan dan lebih 3 juta umat Islam sedang bersiap-siap untuk menuju ke Arafah. Kawan saya, cikgu Nafizah meng sms dari Malaysia 'untung kak tahun ni diisytiharkan haji akbar'. Syukur! Bukan senang nak dapat haji akbar. Namun, dalam hati saya beringat-ingat juga. Yang penting ialah keikhlasan dan penerimaan Allah terhadap amal perbuatan kita, tak kiralah kita mendapat haji akbar atau haji biasa. Sebelum kami berlepas ke Arafah, kami diberi taklimat tentang hari wukuf. Sebelum itu kami mengerjakan amalan biasa seperti membuat umrah, tawaf di baitullah, membaca al Quran, zikir, solat sunat dsb. Para jemaah tidak digalakkan membuat umrah berulang-ulang kali kerana bimbang kehilangan tenaga pada hari wukuf, dan hari-hari jamrah nanti. Terutama semasa melontar jamrah, perjalanan pergi dan balik untuk melontar memerlukan tenaga yang banyak. Cuaca pua dijangka sejuk.

Maafkan saya sebab pada mulanya saya ingin menulis dengan terperinci tentang ibadah haji ini. Sekembalinya ke Malaysia, saya diuji lagi dengan beberapa peristiwa/ kegetiran hidup menjadikan saya tidak dapat merealisasikan impian saya itu.

Ok, sambung balik. Dari satu aspek, saya pergi ke tanah suci secara 'solo'. Ada baiknya walaupun ada payahnya. Di padang Arafah, saya cuba menumpukan sepenuh jiwa saya kepada ibadah wukuf. Syukur kerana saya diizinkan Tuhan untuk solat, berzikir, bermunajat kepada-Nya. Khatib membaca khutbah diiringi sendu dan tangis. Oh, bilalah lagi akan berulang detik-detik itu... Saya juga bersyukur kerana puas juga tawaf, saie dan cuba menghayati amalan para nabi. Juga puas kerana dapat bermunajat dan mengadu kepada sang Pencipta. Semoga arwah ayah dan ibu saya bahagia dengan apa yang telah saya lakukan. Ketika di Madinah pula, saya menghayati dan menghirup setiap sentimeter padu udara Madinah kerana Rasulullahpun mencintai Madinah dan buminya. Kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah ziarah akhir ke maqam baginda. Sebaik saja kaki menginjak Masjid Nabi, bagai satu perasaan sayu yang hinggap. Menatap saja maqamnya, saya terasa bagai direnung dengan pandangan sungguh syahdu.. ya Tuhan, aku ingin kembali lagi ke sana... bawalah lagi aku ke bumi suci-Mu itu..Kenangan-kenangan indah kurakam kemas dalam ingatan sebagai pengubat rindu..

Setahun sudah berlalu. Tapi kali ini lain pula ceritanya. Hanya Allah yang Maha Tahu. Raya Haji kami kali ini, ahli keluarga kami telah bertambah seorang. Putera kecil dan sungguh comel yang diberi nama Ahmad Luqman Danial. Dia dikandungkan dalam keadaan penuh getir, dan menjadikan saya pula boleh dikatakan tidak putus-putus berhubungan dengan sang Pencipta, kerana Dialah yang Maha Mengetahui sebab asbab terjadi sesuatu perkara. Syukur, dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, anak ini tidak banyak meragam. Saya panjangkan doa yang baik-baik untuk dia dan kami sekeluarga.

(tukar mood)
Minggu ni, negeri-negeri pantai timur, Johor telah dinaiki air. Bah. Raya Puasa yang lepas kami tidak dapat balik ke kampung. Jadi, sudah lamalah kami tidak balik ke kampung. Cuma saya seorang yang sempat balik kerana menziarah bonda saya sebelum dan selepas saya mengerjakan haji. Ahli keluarga saya yang lain dah tak balik setahun lebih. Bukan saya tak ingat dekat bonda saya, tapi keadaan agak gawat. Kali ini, Raya Haji, ahli keluarga saya yang lain di kampung memberi warning kepada saya "Mesti Balik!". Bonda asyik bertanya khabar saya dan anak-anak dengan ahli keluarga yang lain. Sampaikan mereka sama-sama mencari jalan supaya kami dapat balik bertemu bonda.

Kami mengikuti perubahan/keadaan cuaca di pantai timur. Bah kali ini agak berlainan daripada tahun-tahun lepas sebab banjir bukan disebabkan hujan tidak berhenti-henti tapi disebabkan angin hulu yang bertiup. Angin ini lebih cepat menaikkan paras air berbanding hujan. Empangan Pergau juga dilepaskan agar tidak membendung terlalu banyak air. Tapi, bila dah jadi macam ni, laporan cuaca hanya menjadi panduan langkahan kami sebab, kami mesti balik!

Kami akan berlepas dari Rembau awal-awal pagi hari Selasa. Masa tu Danial berumur 36 hari dan saya masih berpantang. Perjalanan ini tidak senang tapi kami akan redah juga. ('tidak senang' ; banyak yang tersirat di sini, tapi maaf ya sebab saya masih tidak sanggup menghuraikan apa maksudnya di sini kerana terlalu peribadi). Tapi mengenangkan pengorbanan sang ibu mengandungkan saya, membesarkan saya dan melayan macam-macam karenah saya, saya mesti balik. Saya juga rindukan bonda saya..

Anak-anak saya semuanya 7. Yang sulung berada di Subang (kursus + kerja), kedua matrik Kuala Pilah, ketiga dan keempat belajar di SMKA Pedas dan yang tinggal bersama-sama saya ialah 3 anak yang kecil. Tak lama lagi 2 anak tadi akan meninggalkan saya juga. Walaupun mempunyai 7 orang anak, tapi jika seorang saja yang tidak menghubungi saya, saya sudah rasa gelisah. Apa lagilah kepada bonda saya yang sudah berumur 87 tahun. 2 minggu lepas, besan bonda (antara seorang dua warga emas yang masih ada di kampung kami) telah pulang ke rahmatullah. Kami faham hati bonda..
Jadi, kami mesti balik! Doakan kami selamat pergi dan selamat kembali.

Thursday, December 13, 2007

Wanita Malaysia jadi contoh masyarakat dunia

SEJAK diperkenalkan sebagai destinasi pelancongan homestay kira-kira tiga tahun lalu, Kampung Sungai Lang Tengah, Banting, Kuala Langat, Selangor, tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu sama ada pelancong asing mahupun tempatan.

Selain masih mengamalkan cara hidup tradisional terutama keunikan budaya masyarakat Jawa, keadaan persekitaran yang masih kekal terpelihara secara tidak langsung menjadikan kampung tersebut begitu istemewa.

Malah, penglibatan lebih 30 peratus penduduk dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut menjadi tarikan kepada pengunjung yang datang.

Dari sekecil-kecil pengeluar kuih muih tradisional yang bermodalkan hanya RM300 hinggalah kepada industri pembuatan bermodalkan RM100,000, segala-galanya ada di kampung yang berkeluasan 859 hektar dan didiami kira-kira 368 buah keluarga itu.

Lebih membanggakan, ada antara produk-produk keluaran syarikat pengusaha IKS ini berjaya menembusi pasaran luar negara.

Baru-baru ini, kampung yang pernah dinobatkan juara dan persembahan terbaik peringkat kebangsaan pada Pertandingan Kategori Ilham Desa INFRA 2005, menerima kunjungan kira-kira 20 peserta dari Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Lawatan itu merupakan sebahagian aktiviti yang diatur bagi para peserta kursus `Memperkasakan Wanita Dalam Program Pembasmian Kemiskinan Melalui Pembangunan Perusahaan Mikro' anjuran Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota NAM (NIEW), salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Biarpun lawatan sehari itu agak singkat, ia memberi pengalaman cukup berharga serta mencetuskan idea baru kepada sebahagian besar peserta yang terdiri daripada pengamal polisi, pegawai kerajaan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam proses membantu pembangunan kapasiti di negara masing-masing.

Selain Afghanistan dan Brunei, turut serta dalam lawatan tersebut ialah peserta dari Kemboja, Iran, Laos dan Lebanon. Tidak ketinggalan peserta dari Mauritius, Oman, Namibia, Pakistan, Sudan dan Uzbekistan serta Malaysia.

Penyelaras kursus, Prof. Madya Dr. Jariah Masud yang ditemui pada sesi lawatan tersebut memberitahu, lawatan tersebut bukan saja memberi peluang kepada para peserta mengenali budaya hidup masyarakat kampung di negara ini, bahkan mereka mungkin boleh belajar belajar danlebih memberi pendedahan serta pemahaman tentang usaha Malaysia dalam menangani isu serta masalah kemiskinan di peringkat luar bandar.

Beliau yang juga Pensyarah dari Jabatan Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, apa yang diusahakan penduduk kampung mampu memberi idea kepada peserta kursus bagaimana ia boleh dijadikan sebagai sumber menambah pendapatan.

Sebagai contoh katanya, menghasilkan pelbagai produk kraf daripada bahan terbuang.

“Sekurang-kurangnya melalui sesi lawatan ini, para peserta dapat membuka mata seterusnya memberi idea untuk mempraktikan perkara sama bagi membantu masyarakat di negara masing-masing apabila pulang nanti,’’ ujarnya.

Beliau turut mengharapkan agar para peserta dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam melaksanakan program-program pembangunan keusahawanan mikro dengan mengenalpasti perspektif gender sebagai salah satu mekanisme pengupayaan wanita.

Katanya, Kampung Sungai Lang Tengah dipilih sebagai kampung contoh kerana melalui perusahaan mikro sebahagian besar penduduknya telah berjaya membebaskan diri daripada kemiskinan yang selama ini membelenggu mereka.

Malah kata Jariah, konsep kerjasama dan muafakat yang menjadi amalan penduduk untuk merencana pelbagai aktiviti berjaya dilaksanakan dengan baik berikutan adanya pemimpin penduduk yang berwibawa dan berwawasan.

Selain Jariah, turut memainkan peranan penting dalam menjayakan kursus tersebut, Dr. Husna Sulaiman dan Zumilah Zainalaludin.

Sepanjang sesi lawatan itu, para peserta dibawa meninjau ke beberapa premis IKS yang hampir 90 peratus diusahakan kaum wanita.

Antaranya, Pusat Kraf Desa di Zon Satu yang bukan sahaja dijadikan pusat pengeluaran pelbagai produk kraf terbuang, tetapi juga ruang pameran dan jualan.

Sebelum diberi taklimat tentang sejarah dan pentadbiran Kampung Sungai Lang Tengah, para peserta berpeluang meninjau ke Pusat Medan Info Desa sebagai bukti mereka juga tidak ketinggalan dalam dunia komunikasi dan teknologi maklumat (ICT).

Sementara itu, lawatan ke beberapa premis industri makanan ringan seperti kerepek ubi, keropok bawang dan rempeyek yang diusahakan Norehan Abd. Manap di Zon Empat membuktikan produk tersebut tidak hanya berjaya menguasai pasaran tempatan bahkan luar negara.

Tidak terkecuali premis produk makanan Warisan Jaya @ Mama June dan Rose Enterprise di Zon Lapan menggunakan kaedah pemprosesan berteknologi tinggi.

Sementara di Pusat Aktiviti Wanita yang terletak di Zon Tiga, kegiatan wanita seperti kelas jahitan dan gubahan diadakan bagi menambahkan pendapatan keluarga.

Turut mencuri tumpuan pusat semai, landskap dan homestay yang diusahakan penduduk kampung termasuk pasangan suami isteri Zaiton Kaliwon, 55, dan Mohamed Akhsan Satiman, 48, di Zon Tujuh, serta pasangan Umi Salamah Dalail, 46, dan Othman Johari, 52.

Para peserta turut dibawa meninjau bengkel kraf desa bunga kering dan tekap yang diusahakan Esiah Kaimun di Zon Lima. Kisah kejayaan ibu tungga itul membawa produk hasilnya hingga ke luar negara sesuatu amat membanggakan.

Mengakhiri lawatan lewat petang itu, peserta dihiburkan dengan persembahan alunan muzik tradisional daripada Kumpulan Anggerik Desa Sri Damai diketuai Moaim Makom.

Musibah uji ketahanan akidah hamba Allah

Oleh Mohd Shukri Hanapi

MUSIBAH ialah bencana, kecelakaan atau malapetaka. Dalam erti kata lain, musibah dikaitkan dengan sesuatu yang tidak baik dan mendatangkan penderitaan kepada seseorang. Meskipun begitu, Allah menjadikan musibah sebagai ujian ke atas hamba-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Kemudian Allah jelaskan mengenai orang yang sabar dalam firman-Nya yang bermaksud: “(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 156)

Dalam ayat itu Allah menyatakan bahawa setiap hamba-Nya akan diuji. Ujian Allah berlaku dalam pelbagai bentuk, seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ini untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah dalam apa juga keadaan ditempuhinya.

Jelaslah orang yang sabar itu tetap beriktikad bahawa diri mereka hamba dan milik Allah walaupun ditimpa musibah amat berat. Malah mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti azab-Nya.

Ibn Kathir ketika mentafsir ayat itu menjelaskan, “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah. Allah berkuasa melakukan apa saja ke atas hamba-Nya.” (Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 1992)


Untuk memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan beberapa hadis, antaranya yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud, “Umm Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorangpun daripada kalangan orang-orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah, ayat 156 surah al-Baqarah yang bermaksud), “Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya Allah, berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.”


Umm Salamah berkata: Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah SAW sendiri. Umm Salamah berkata: Baginda SAW mengutuskan Hatib bin Balta‘ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Umm Salamah berkata lagi: Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat cemburu. Jawab Baginda SAW: Mengenai anak perempuannya kita doakan semoga Allah cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah hilangkan rasa cemburunya itu.”

Berdasarkan kefahaman hadis itu, balasan Allah atas kesabaran Umm Salamah yang diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh Rasulullah SAW.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: “Abu Sinan berkata: Selepas aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang menggembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah. Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah berfirman: Wahai Malaikat Maut, engkau telah mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya! Lalu Allah berfirman, Apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)? Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.”

Hadis kedua menjelaskan sikap Abu Sinan tetap memuji Allah walaupun anak kesayangan meninggal dunia.

Jelaslah ujian Allah adalah untuk melihat kekuatan akidah hamba-Nya, sama ada hanya bertuhankan-Nya dalam keadaan senang-lenang saja atau terus bertuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa Allah menguji keimanan hamba-Nya dengan pelbagai musibah. Musibah Allah bukan sekadar kematian saja, malah ia didatangkan dalam pelbagai bentuk serta keadaan.

Selamat Datang!

Ahmad Luqman Danial.

Wednesday, December 05, 2007

Akta OKU di Parlimen Isnin

Oleh: WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

PETALING JAYA 4 Dis. – Akta Orang Kurang Upaya (OKU) yang akan dibentangkan buat pertama kalinya di Parlimen pada Isnin ini bakal membawa anjakan paradigma baru kepada negara.

Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, akta tersebut adalah tanda negara telah memasuki satu era baru yang mengiktiraf hak-hak OKU secara rasmi.

Kelulusan akta tersebut, menurutnya, bakal membuka mata semua pihak untuk memperjuangkan bukan setakat kebajikan tetapi juga keperluan dan hak OKU dalam pelbagai aspek pembangunan negara.

“Antara soal pokok akta tersebut ialah penghapusan diskriminasi OKU khususnya peluang pekerjaan, kemudahan dari segi reka bentuk bangunan dan kemudahan awam,” katanya.

Shahrizat berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis sambutan Hari Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan ke-14 yang bertemakan Bersama Membangun Modal Insan OKU selaras dengan tema OKU antarabangsa iaitu Menyediakan Peluang Pekerjaan Sesuai kepada OKU di sini hari ini.

Melalui akta tersebut juga, tambah beliau, kementeriannya melaksanakan satu evolusi kebajikan termasuk dengan menggubal Dasar OKU dan Pelan Tindakan OKU yang melibatkan pendekatan pelbagai sektor dan disiplin.

Shahrizat juga yakin bahawa evolusi OKU bakal menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada golongan OKU dengan ahli masyarakat yang lain.

“Ia turut membolehkan tindakan yang lebih teratur dan bersepadu dapat diambil dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan kemahiran OKU,” katanya.

Justeru, beliau mahu semua pihak termasuk swasta bekerjasama menjayakan usaha mewujudkan Malaysia sebagai negara mesra OKU bertaraf dunia dan seterusnya melayakkan Malaysia digelar negara maju.

Tambah beliau, kementeriannya juga telah menghantar memorandum kepada Kabinet bagi menuntut supaya semua pengangkutan awam menyediakan prasarana mesra OKU.

“Kami juga menuntut agar pihak berkuasa tempatan tidak meluluskan sebarang projek bangunan atau perumahan yang tidak menyediakan prasarana OKU yang sewajarnya,” ujarnya.

Pada majlis tersebut juga, Shahrizat turut menyampaikan Anugerah Khas OKU Cemerlang serta beberapa anugerah kepada mereka yang memberi sumbangan dan menyediakan prasarana yang sesuai untuk golongan tersebut.

Anugerah Khas OKU Cemerlang diterima oleh Dr. Ng Chee Kyun, 32, yang merupakan pelajar cacat Cerebral Palsi (CP) pertama yang mendapat ijazah falsafah kedoktoran di Malaysia dan juga pemain bola paralimpik yang aktif.

Pemenang-pemenang lain pula ialah Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd. bagi kategori Anugerah Majikan Penyayang dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Perbikat, Bintulu bagi kategori Anugerah Pusat PDK Cemerlang manakala Anugerah Pekerja PDK Cemerlang pula dirangkul oleh Noraziah Mat Salleh dari Pusat PDK Tanah Merah, Kelantan.

Selain itu, Anugerah Pengiktirafan Bangunan dengan Kemudahan Akses bagi OKU, kategori kompleks membeli-belah dimenangi oleh arkitek Pusat Membeli-belah One Utama, CT Arkitek Sdn. Bhd.

Saturday, November 10, 2007

Hmm...

Life Goes On...

Setelah sekian lama (lama jugak la dari biasa...) akhirnya saya on line jugak.. Apa nak ulas ya..
Kehidupan perlu diteruskan...

Pakar sains survival mengatakan halusinasi (juga hibernasi;p) adalah penting untuk menyimpan tenaga yang hampir kehabisan.
Mungkin ada orang kata muhasabah diri, tafakur, tempoh bertenang, huh, apa-apalah... saya dah kembali, walaupun fizikal, material masih dok 'hibernate' tapi sekurang-kurangnya jiwa saya dah mula nak menerewang.

Cerita pertama saya ialah saya dah pindah ke sekolah baru. Haa, macam saya pernah kata dahulu, tahun 2007 ialah tahun penuh cabaran bagi diri saya dan keluarga. Satu tahun saya dah posting 3 buah sekolah; SMKA Pedas, SMK Pasir Panjang dan terkini SMK Undang Rembau. Tapi saya bersyukur kepada Tuhan sebab ketiga-tiga sekolah itu banyak pengajaran yang saya peroleh. Tempoh 9 bulan di Pasir Panjang, Port Dickson banyak mengajar saya tentang kehidupan, hakikat dunia pelajar luar bandar dan masyarakatnya. Sedih juga nak meninggalkan mereka. Tapi saya tabiklah kepada guru-guru di sana yang begitu cekal dan tabah mendidik anak bangsa. Saya bukan lari, cuma keadaan kurang mengizinkan untuk saya berlama-lama di sana. Perkara terakhir yang berlaku di sekolah ini ialah jamuan akhir tahun yang diadakan di Ilham Resort. Saya suka ke Ilham sebab suasana dan lanskapnya sungguh cantik. Juga pertandingan 2K. Tempoh persediaan untuk acara ini memakan masa 2 hingga 3 bulan tetapi perubahan sekolah ini amat ketara sekali. Kelas/ bangunan dicat, langsir yang seragam, pokok-pokok bunga yang menyeri, taman-taman dikemaskini, potpouri bergantungan di kelas-kelas, bilik-bilik juga tandas. Wangi semerbak satu sekolah. Banyak lagi perubahan yang dibuat. Hii..kalu tak menang tak tau la.. Tapi dalam hati saya, saya bagi 'star' untuk sekolah ini.
Terima kasih kepada Zaidi (yang selalu singgah di blog saya) kerana menghantar kad raya ke sana, surprise sungguh!

Pada 1 November lepas, saya berpindah ke SMKUR (URESS). Bezanya ialah kalau dulu jam 7.11 pagi saya sedang membelah jalan di sekitar Pedas/Kundur/Linggi,(masih jauh lagi nak sampai) sekarang pada masa yang sama saya sudah pun punch card, macam tak percaya pula. Duduk di SMKUR 2, 3 hari beberapa calon SPM datang berbincang soalan-soalan SPM, sempatlah saya berikan beberapa tips untuk mereka. Walaupun tak banyak, tapi sekurang-kurangnya saya harap mereka dapat sedikit tips/ mnotivasi. Sebelum itu, saya terfikir nak tengok kotak surat di sekolah ini, wah tak sangka sebab bekas pelajar saya, Firdaus ada hantar poskad dari Korea. Kebetulan pelajar-pelajar saya tengok poskad itu, mereka pun rasa seronok melihat pelajar kita yang berada di oversea. Moralnya dari cerita ini ialah walaupun kita rasa kita sudah tak larat/tak berupaya, cubalah buat sesuatu yang positif, yang baik, walaupun sedikit, kerana mungkin itu boleh memanfaatkan diri kita dan orang lain juga.

Lusa, 12 November, pelajar-pelajar kita akan mula menduduki SPM. Tahun ini (walaupun tak banyak), sentuhan tangan saya melibatkan 3 buah sekolah termasuk SMKA Pedas. Doa saya kepada kalian semoga kalian menjawab dengan tenang, tekun, dan skor yang terbaik. Luv U all..

Tahun depan saya akan fokus kepada sekolah baru saya, Insya Allah. Cuma pada awal tahun saya masih bercuti, sesi persekolahan saya secara individu mungkin bermula lewat sebulan berbanding orang lain. Tapi, janganlah bimbang, setakat ini saya agak komited dengan kerja saya, cuma, kita kadang-kadang dikuasai oleh sesuatu kuasa yang kita tidak dapat kawal. Hu hu hu..

Friday, September 21, 2007

Salam untuk segala-galanya..

Tajuk entri kali ini agak sukar dimengertikan..tapi, sudah adat permainan hidup. Resam hidup tidak ada yang kekal.

Kepada pelayar yang sudi singgah, tersinggah, saya ucapkan selamat berpuasa dan semoga puasa kita kali ini penuh dengan mujahadah. Masing-masing punya mujahadah dan penuh mengerti akan bawaan diri memasing.

Sebenarnya emosi saya agak tersentuh dengan beberapa isu, dan terbaru tentang tragedi yang menimpa anak kecil, gadis sunti Nurin. Gadis malang itu merupakan rentetan tragedi sadis yang menimpa anak-anak kecil dan gadis-gadis Malaysia. Setiap kali peristiwa sebegini berlaku, hati kita akan disayat sembilu..bilakah ia akan berakhir? Sedang anak-anak lain sedang bergelak ketawa dengan keluarga dan kawan-kawan... semoga kedua-dua ibu bapa Nurin dan mangsa-mangsa keganasan yang lain ditabahkan hati. Tidak ada perkataan lagi untuk saya teruskan kisah pilu di atas..semoga roh kalian dicucuri rahmat Illahi..

...

Berbalik kepada kisah saya, nampaknya saya terpaksa mengubah plan yang dah ada. Saya telah menanda kertas percubaan SPM pelajar-pelajar saya dan hasilnya amat mencemaskan. Hei tidak sanggup aku meninggalkan keadaan gawat ini dan membawa diri ke sekolah baru, dan apa akan jadi pada result SPM sekolah lama saya nanti? Pelajar-pelajar yang gagal tak nampak takut, saya/ para guru pula yang lebih-lebih..Pengetua memujuk supaya saya teruskan lagi di sini sehingga akhir bulan 10 ini... Saya menerima usulan beliau dengan hati terbuka kerana jika pelajar gagal seorang pun (di sekolah lama saya) saya sudah tidak senang duduk, apa lagi peratusan lulus sekolah ini bagi subjek saya untuk tahun lepas cuma 38%. Keadaan fizikal saya akhir-akhir ini juga agak kurang baik, dan pelbagai dugaan lagi yang saya hadapi, menjadikan ramadhan kali ini agak luar biasa..

Saya tidak pasti bilakah entri ini akan bersambung lagi, esok, lusa, minggu depan, bulan depan, atau tahun depan, 3 tahun lagi...i'm taking 3 - 5 years to recover myself/family..sob sob..

Jadi, jikalah entri ini tidak tahu bila akan bersambung, pada kesempatan ini, saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat untuk segala-galanya, lailatul qadr, nuzul Quran, juga hari lebaran... juga kepada pelajar saya, ex student, do your best, hidup hanya sekali, jangan tersilap langkah...kepada yang duduk dekat-dekat, jomlah ke rumah, atau smslah sebagai penyambung silaturrahim...

Kepada yang mengenali saya, salam sayang buat kalian...walaupun jauh, namun kalian tetap dekat di hati..Maaf dan ampun jika ada tersilap, tersalah kata, terguris perasaan, juga jutaan terima kasih atas segala bantuan yang diterima sama ada cedukan info, ilmiah, nasihat dsb, May Allah bless us...

Monday, September 17, 2007

Hari yang sibuk..

Mari baca kisah yang akan saya paparkan, iaitu 2 per dua puluh lima daripada kesibukan yang saya alami hari ini.

Hampir jam 7 pagi saya dan dua anak saya yang bersekolah di SKUR bertolak ke sekolah mereka yang jaraknya lebih kurang 5 minit dari rumah kami. Letak SKUR dan SMUR (sekolah baru saya) bersebelahan. Kemudian, saya ke sekolah baru saya. Rasa pelik pula sebab cepat benar sampai ke sekolah. Budak-budak dan cikgu-cikgunya masih tidak ramai. Berbeza ya, biasanya saya sampai di SMK Pasir Panjang pelajar sudah memenuhi ruang perhimpunan atau sekolah.

Oleh sebab hari ini hari Isnin, ada perhimpunan rasmi di SMUR. Ada majlis pelancaran minggu Bahasa Inggeris. Sempatlah saya diperkenalkan oleh GPK 1 dan menonjolkan diri buat beberapa ketika di depan budak-budak dan guru-gurunya.

Saya sempat melawat beberapa tempat utama di SMKUR. Apa yang seronok ialah ketika waktu transit tengah hari, ada antara anak cikgu di sini yang bersekolah di SKUR datang ke bilik mereka. Berbeza dengan sebelum ini, apabila anak saya balik awal, saya sudah susah hati bagaimana ingin mengambil mereka, dan ke manakah mereka hendak pergi. Hendak balik dari Pasir Panjang mengambil mereka oh cukup jauh. Syukur kami telah dipermudahkan dalam urusan keluarga kami. Setelah melaporkan diri, saya meminta izin daripada GPK 1 untuk pulang ke SMK Pasir Panjang dan membereskan kerja-kerja saya selama seminggu di sana. Kebanyakan cikgu dan staf terkejut akan pertukaran saya .Apa boleh buat, rezeki kami anak beranaklah tu. Pengetua kami, iaitu Puan Heng meminta saya menanggguhkan pemergian saya ke SMUR atas dasar kesihankan pelajar yang bakal menduduki SPM tak beberapa lama lagi. Mendengar rayuan beliau naik hiba pulak hati ini. Saya pun bersetuju dan akan memohon menunda pemergian saya ke sana. Lagi pula, cikgu SPM di SMUR sudah cukup.

Inilah pertama kali saya bertugas di bawah majikan berbangsa Cina. Beliau yang gila kerja itu amat mencabar kami semua. Tapi, oleh sebab kami/saya sudah biasa dengan cabaran dan budaya gila kerja ini, saya rasa saya boleh geng dengan beliau. Banyak betul ilmu baru yang 'hidup' saya timba. Sedih juga nak tinggalkan sekolah ini...

Saturday, September 15, 2007

Syukur!

"Sesungguhnya selepas kesusahan itu akan diikuti kesenangan, dan selepas kesusahan itu akan diikuti kesenangan"

Ketika kita dirundung rasa sedih dan beratnya dugaan hidup, kita rasa kitalah manusia yang teruk dan malang. Kita akan resah dan gelisah, seolah-olah itulah penghujung hidup kita.

Namun, kita patut ingat, hidup ini bagai roda, sekali kita berada di atas, nanti akan ada hari yang kita jatuh tersungkur. Jika sudah jatuh tersemban, tersungkur, ingatlah lagi pada-Nya, jangan berputus asa, kerana kita masih diberinya nyawa. Tanpa kita sedari akan adanya rahmat, hikmat dan kasih sayang-Nya yang misteri.

Syukur kepada-Mu Tuhan yang tidak terhingga. Dalam aku meredah hari-hari penuh liku ini, Engkau tidak meninggalkanku. Akulah yang teruk kerana sering melupakan-Mu dan keluh kesah 'bila diduga.

Namun Tuhan, sungguh di sudut hatiku yang bening, aku akur akan kasih sayang-Mu yang tumpah, Kau sirami dan membelainya. Betul, Engkau masih ada di situ tetapi mataku yang sering kabur.

Buat pelayar blog yang singgah di sini dan mengenali saya, berita gembira yang boleh saya kongsi bersama kalian ialah saya baru mendapat arahan untuk bertukar sekolah. Tempat kerja baru saya ialah SMK Undang Rembau, iaitu kira-kira 5 minit daripada rumah saya. Berbeza dengan sekolah saya sekarang yang mengambil masa kira-kira 35 - 40 minit untuk sampai. Rembau ke Pasir Panjang (Port Dickson), lebih kurang 35 km jaraknya. Selama lebih kurang 7 bulan ditugaskan di sini, pelbagai catatan dan nostalgia yang terukir di minda ini. Tempoh yang sekejapan itu bagaikan melakar sebuah cerita yang panjang, berliku tapi saya cukup bersyukur atas peluang yang diberikan Tuhan sepanjang saya di sini. Menempoh awal pagi yang dingin dan sepi sendirian, dan dua kali kancil comelku meredah banjir sehingga mindaku membayangkan bagaimana jika kami dihanyutkan dibawa arus? Namun, itu hanya guruan Tuhan kepadaku agar aku sentiasa ingat dan berharap kepada-Nya.

Aku juga berhadapan dengan 'klien2' yang janggal di mataku, tapi mereka telah membuka mindaku, bahawa itulah dunia kita yang sebenar. Sebagai guru aku tidak boleh menghukum, aku cuma diamanahkan untuk mendidik anak bangsa walaupun aku berasa sungguh tercabar. Sahabat-sahabat guru, aku tentu merindui kamu. Barisan pentadbir, jutaan terima kasih kerana telah memberi tunjuk ajar dan aku rasa sungguh terharu. Staf sekolah, aku tidak akan melupakan jasa-jasa kalian sepanjang aku di sana.

Oh Tuhan, betapa aku mensyukuri setiap takdir yang Kau tentukan kepadaku, ketika aku gembira dan ketika aku berduka. Aku lebih suka begitu kerana aku tahu Engkau sentisa ada di sisiku memerhatikan aku dengan agenda misteri-Mu!

Semoga Ramadhan ini membawa seribu rahmat kepada kita semua!

Friday, August 31, 2007

Pasangan unik 31 Ogos 1957

Oleh Halina Mohd Noor

SECARA sedar atau tidak, keserasian adalah elemen penting dalam mencari jodoh. Sesetengah masyarakat mengukur keserasian antara lelaki dan wanita melalui waktu dan tarikh mereka dilahirkan. Kononnya bagi mengelakkan hubungan pasangan menjadi panas dan sering berlaku pergaduhan. Faktor lain diambil kira seperti bintang kelahiran yang turut dipertimbangkan bagi memastikan pasangan sesuai hidup sebagai suami isteri.

Bagi Ismail Md Isa dan isteri, Saudah Wahid, tidak pernah terlintas di fikiran menjadikan faktor tarikh lahir atau bintang kelahiran sebagai alat menimbang keserasian antara mereka sebelum mendirikan rumah tangga.

Walaupun keduanya bergelar Anak Mereka dan dilahirkan pada hari dan tahun sama iaitu pada 31 Ogos 1957, itu bukanlah antara faktor utama mereka sepakat untuk mendirikan rumah tangga.

Saudah berkata, keserasian antara dirinya dan Ismail wujud sebagai rakan biasa kerana sebelum berkahwin mereka sering bertemu dalam program yang diatur untuk Persatuan Anak Merdeka (PAM).

“Sebelum ini, kami hanya berkawan seperti biasa sejak 2000. Oleh kerana masing-masing aktif dalam aktiviti Persatuan Anak Merdeka, setiap tahun kami bertemu dalam pelbagai program menjelang Hari Kemerdekaan. Abang (Ismail) sudah berkeluarga, jadi tidak pernah terlintas untuk bertemu jodoh dengannya,” katanya ketika ditemui di ibu negara, baru-baru ini.

Kata Ismail, selepas berpisah dengan isterinya, beliau menduda selama tiga tahun tanpa pengetahuan rakan PAM lain termasuk Saudah. Mungkin kerana sudah jodoh, hatinya terdetik untuk melamar Saudah yang masih membujang. Tanpa banyak bicara, niat murninya diluahkan.


“Sebagai rakan, saya rasa Saudah, gadis paling sesuai untuk mengisi dunia sunyi sebagai duda. Pada masa itu, Ramadan, terasa begitu kesunyian. Bila hajat diluahkan, Saudah terkejut kerana fikir saya masih beristeri. Selepas dibuktikan saya sudah kembali solo, Saudah minta seminggu untuk beri keputusan sama ada menerima atau sebaliknya lamaran itu. Akhirnya kami disatukan pada Februari lalu,” katanya.

Berkongsi tarikh lahir, tahun dan bintang yang sama, keduanya mengakui pertemuan jodoh mereka sebagai sesuatu yang unik. Ia mungkin berlaku satu dalam sejuta masyarakat. Saudah dilahirkan pada sebelah petang Merdeka, manakala Ismail pada subuh hari keramat itu.

Bagaimanapun, Ismail dan Saudah tidak begitu merasakan pengaruh perkongsian berkenaan dalam membina keharmonian rumah tangga mereka. Berbintang Virgo, keduanya mengakui pemalu, mudah merajuk dan kuat bergaduh. Namun, apa yang penting, suami isteri perlu ada sikap mengalah bagi meredakan suasana tegang.

“Suami isteri mana yang tidak bergaduh? Paling penting, salah seorang mesti mengalah. Kalau dua-dua degil, habislah. Setakat ini, hubungan kami seperti ketika masih bergelar kawan. Sebenarnya ia lebih memudahkan dari segi komunikasi antara suami isteri,” kata Saudah.

Kedua-duanya juga berkongsi hobi sama iaitu berkaraoke, minat menikmati masakan yang sama dan menonton gusti. Akui mereka, ia bukan sesuatu yang dibuat-buat, tetapi lumrah suami isteri yang sering terikut atau terpengaruh dengan minat pasangan masing-masing.

“Dulu Saudah tidak suka menonton ‘wrestling’, tetapi ikut juga menonton. Akhirnya, dia yang terlebih minat. Kami juga berkongsi minat dalam bidang seni, tetapi lain cabang. Saya suka menyanyi, manakala Saudah suka mendeklamasikan sajak pada aktiviti PAM. Apa yang pasti, kami masih aktif dengan pelbagai program PAM termasuk pada tahun ini,” kata Ismail.

Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, tanggal 31 Ogos 2007 menjadi tarikh paling bererti dan istimewa untuk Ismail dan Saudah. Selain menyambut kemerdekaan negara daripada penjajah, keduanya tidak sabar menanti detik 12 malam untuk menyambut hari jadi masing-masing.

Ismail sudah menyediakan hadiah istimewa untuk isteri tercinta, tetapi dirahsiakan sehinggalah detik manis itu tiba, manakala Saudah berterus terang akan membawa suaminya bercuti ke Pulau Pangkor sebaik selesai majlis sambutan kemerdekaan di sini.

“Sebelum ini kami hanya bersalam-salaman sambil mengucapkan tahniah antara satu sama lain pada malam Merdeka. Tahun ini kami menyambutnya sebagai suami isteri. Sudah tentu ia adalah saat paling membahagiakan,” kata Ismail.

Ternyata kebahagiaan suami isteri bukan terletak pada faktor tertentu, tetapi sikap toleransi antara kedua-duanya. Persamaan itu boleh dipupuk bagi mengeratkan lagi rumah tangga.

Pada kesempatan ini, juga bulan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan selamat :
menyambut kemerdekaan kali ke-50 kepada semua warganegara Malaysia. Jagalah tanah air tercinta ini kerana hanya inilah tanah air yang kita miliki. Malaysia setakat ini (dan semoga hingga kiamat) aman dan damai daripada mala petaka seperti yang tertimpa oleh negara-negara lain, khususnya negara-negara Islam yang terhina oleh bangsa-bangsa asing. Tidak sanggup rasanya mengenang apa-apa yang sedang dialami oleh saudara kita di Palestin, Iraq dsb. Ngeri apabila saya menonton satu video klip bagaimana seorang lelaki (Iraq kalau tak silap) dipenggal kepala dalam tempoh beberapa saat sahaja. Itu baru satu contoh yang nampak. Di manakah maruah diri wahai saudara-saudaraku? Saya amat sedih melihatkan laku perangai anak-anak muda sekarang yang tidak tahu menghargai harga sebuah kemerdekaan, harga sebuah tanah yang berdaulat, tidak bertanggungjawab dan hanyut dalam badai sendiri.

Selamat yang kedua untuk anak-anak yang bakal menduduki UPSR, tangga pertama untuk kecemerlangan seterusnya.

Ketiga untuk pelajar-pelajar Kuiz Pengguna, buat yang terbaik, untuk diri sendiri, untuk sekolah, untuk negeri masing-masing, dan menjadi pengguna yang bijak dalam mengatur kehidupan.

Kepada semua pelayar blog, tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan. Ada yang dah mula berpuasa sunat Rejab dan Syaaban. Syukur kerana dipertemukan lagi dengan bulan-bulan mulia ini. Semoga diri kita semakin hampir kepada-Nya.

Dan kepada pasangan Ismail dan Saudah di atas, syukur dan tahniah. Semoga istana yang baru terbina teguh dan utuh hingga ke akhirat. Ajaib dan indahnya ciptaan Tuhan. Diberinya rahmat dan kasih sayang tanpa kita duga! Kebahagiaan tergapai 'di hujung usia..'

Friday, August 24, 2007

akhirnya...



Syukur, setelah berhempas pulas membanting tenaga dan otak akhirnya selamat juga saya menamatkan pengajian sarjana saya. Kelihatan teman-teman sekuliah Sarjana Pendidikan, (Perniagaan dan Keusahawanan, Ekonomi) bergambar bersama-sama.

Semoga ijazah yang dikejar dan kini digenggam ini dapat menjadikan kami para sarjana yang akan menjadikan Malaysia ke arah negara ekonomi yang mantap, maju dan Islamik.
Insya Allah!

Pakej akuakultur RM2 bilion

Oleh: ZABRY MOHAMAD

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Kerajaan menawarkan pakej bernilai RM2 bilion kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi usahawan akuakultur.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui pakej tersebut kerajaan akan menyediakan tapak penternakan, infrastruktur asas, pinjaman kewangan dan peluang pasaran ke luar atau dalam negara.

Menurutnya, mereka yang berminat hanya perlu mengusahakannya dengan kepakaran serta teknologi yang dimiliki masing-masing.

Katanya, sebanyak 39 kawasan disediakan di bawah konsep Zon Industri Akuakultur (AIZ) untuk tujuan berkenaan yang akan dimulakan penghujung tahun ini.

‘‘Infrastruktur asas dalam pakej ini termasuk jalan raya, sumber air dan talian komunikasi manakala pinjaman disediakan oleh Bank Pertanian dengan kerjasama beberapa institusi kewangan lain.

‘‘Pihak swasta yang berminat mengusahakannya hanya perlu menyuntik kepakaran teknologi yang mereka miliki,’’ katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Penerangan Teknikal dan Perdagangan Antarabangsa Tilapia kedua di sini hari ini.

Sebanyak 340 peserta dari 46 negara dan 32 penceramah khas menghadiri seminar selama tiga hari itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, industri akuakultur di negara ini menghasilkan keluaran sebanyak 203,000 tan metrik bernilai RM1.3 bilion tahun lalu.

Menurutnya, penyumbang terbesar hasil pengeluaran tersebut adalah kerang-kerangan, ikan air tawar dan udang.

Katanya, pada 2010 sasaran jumlah pengeluaran akuakultur adalah sebanyak 662,000 tan metrik dengan nilai kira-kira RM6.3 bilion.

Bagi pengeluarannya pula, kata beliau, ia dijangka berkembang sebanyak 21.5 peratus setahun bermula 2006.

‘‘Kawasan-kawasan berpotensi untuk dibangunkan dengan akuakultur adalah seluas 330,200 hektar dengan 35,000 hektar dijangka dibangunkan menjelang 2010,’’ katanya.

Menurut Muhyiddin, penternakan ikan tilapia dilihat mempunyai potensi besar untuk dimajukan di negara ini berdasarkan permintaan yang semakin meningkat.

Katanya, tilapia merupakan ternakan ikan air tawar kedua popular selepas kap dengan pengeluaran sedunia sebanyak 2.3 juta tan metrik pada tahun 2005.

‘‘Amerika Utara iaitu Amerika Syarikat dan Kanada merupakan pengimport terbesar tilapia diikuti negara Eropah seperti United Kingdom, Belgium, Perancis serta Kanada manakala negara Timur Tengah antaranya ialah Arab Saudi, Kuwait, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu.

‘‘China pula adalah pengeksport dan pengeluar terbesar tilapia dengan hasil keluaran sebanyak sejuta tan metrik pada 2005,’’ katanya.

Atasi halangan ekonomi bumiputera – Husni

Oleh: S. ANAND KUMAR

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Pencemaran pembangunan ekonomi bumiputera kini berada pada tahap serius kerana wujud unsur tidak sihat termasuk ketirisan, penjualan lesen, permit, kontrak, tender dan amalan ali baba.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah yang mendedahkan perkara itu menggesa kerajaan dan semua pemimpin Melayu tampil menangani masalah tersebut.

Beliau yang bimbang dengan gejala itu berkata, kini sudah tiba masanya semua pemimpin politik Melayu dan kerajaan memandang serius halangan itu yang membantutkan usaha membangunkan ekonomi bumiputera.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ahmad Husni berkata, kerajaan dan pemimpin-pemimpin Melayu perlu menjadikan pembangunan ekonomi bumiputera sebagai agenda utama dengan memantau perkembangannya secara teliti.

Sehubungan itu, katanya, sistem penyampaian kerajaan perlu diperbaiki supaya dilaksanakan dengan amanah, telus serta penuh integriti.

Katanya, sistem itu juga harus bebas daripada unsur rasuah terutama dalam pemberian lesen, kontrak, tender, permit dan bantuan kewangan kepada bumiputera.

Ahmad Husni juga meminta supaya sebuah Jawatankuasa Integriti ditubuhkan di setiap kementerian dan agensi bagi memastikan semua permit, lesen, kontrak, tender dan bantuan kewangan kepada bumiputera diberikan secara telus dan tidak berlaku penyelewengan.

‘‘Jabatan Audit Negara pula hendaklah melakukan audit komprehensif ke atas kementerian dan agensi dalam tempoh tiga tahun sekali,’’ katanya.

Beliau yang menyifatkan usaha membangunkan ekonomi bumiputera sedang berada pada peringkat kritikal mahu masalah itu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

‘‘Usaha membangunkan ekonomi bumiputera bukan sesuatu yang mudah. Ekonomi adalah faktor utama dalam menentukan maruah, keagungan dan keunggulan sesuatu bangsa.

‘‘Bumiputera perlu melakukan lonjakan paradigma kerana cabaran abad ke-21 memerlukan usahawan tulen yang berdikari, dapat memanfaatkan peluang kerajaan dan mampu bersaing di peringkat domestik dan global,’’ ujarnya.

Katanya, usaha sama antara usahawan bumiputera, Cina dan India perlu digalakkan agar kemampuan orang Melayu menjadi lebih luas serta mampu menembusi pasaran yang besar.

‘‘Sehubungan itu, potongan cukai, bantuan promosi dan kewangan perlu diberikan sebagai insentif kepada syarikat usaha sama itu,’’ katanya.

Sunday, August 12, 2007

Aduhai Remaja...Lari dari rumah..

Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan MOHD AMIN JALIL

Berisiko tinggi jadi mangsa rogol, lacur, bunuh

KUALA LUMPUR: Ikut kekasih, pengaruh kawan dan ingin bebas — inilah tiga sebab utama yang dikenal pasti polis sebagai punca utama remaja lari dari rumah, dengan 6,270 kes dicatatkan sejak 2004 hingga Mei tahun ini.

Paling mengejutkan, mengikut statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM), ada kes mengikut teman lelaki membabitkan remaja perempuan seawal usia 10 tahun, manakala peringkat umur 14 dan 17 tahun adalah paling ramai terbabit iaitu 4,097 orang.

Perkembangan ini seharusnya membimbangkan kerana pada usia masih mentah, golongan terbabit sebenarnya berisiko tinggi menjadi mangsa jenayah kekerasan, sama ada dirogol, dilacurkan atau dibunuh.

Ini kerana, daripada 3,246 kes orang hilang tahun lalu, 71 ditemui mati, begitu juga pada 2005 apabila 71 daripada 4,103 orang hilang ditemui mati, dengan lima disahkan dibunuh.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryll Sani Abdullah Sani, berkata daripada jumlah keseluruhan remaja hilang sejak Januari 2004 hingga Mei tahun ini, 4,237 atau 67.5 peratus sudah pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, baki seramai 2,033 lagi tidak dapat dikesan dan ini sangat membimbangkan kerana mereka dikhuatiri terbabit gejala sosial, dirogol, diserang atau ditemui mati,” katanya baru-baru ini.

Acryll Sani berkata, selain mengikut kekasih, pengaruh kawan dan ingin bebas, tiga lagi sebab utama remaja lari dari rumah ialah tidak mahu belajar, mencari pekerjaan dan hubungan tidak baik dengan keluarga.

Sementara itu, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki bulan lalu, Siti Diana Abdul Hamid, dari Senawang, Negeri Sembilan, mengakui dia bertindak tanpa berfikir panjang dan disebabkan terlalu percayakan kekasihnya.

“Saya mengikut teman lelaki ke rumah saudaranya di Rawang dan tinggal beberapa hari. Ketika itu perasaan bercampur baur kerana teringatkan keluarga dan rakan di sekolah.

“Saya ada beritahu padanya (teman lelaki) supaya menghantar saya pulang ke Senawang, tapi dia tidak berbuat demikian, menyebabkan saya terpaksa tinggal beberapa hari,” katanya.

Siti Diana lari dari rumahnya di Taman Jasmin, Senawang, dekat sini, pada 12 Julai lalu, sebelum ditemui empat hari kemudian selepas berita kehilangannya disiarkan akhbar.

Anak bongsu daripada empat beradik dalam keluarga ibu tunggal itu kini insaf bahawa perbuatannya tidak memberi faedah untuk masa depan.

“Saya menyesal lari dari rumah kerana terlalu ikutkan perasaan dan berjanji tidak mengulanginya. Asalnya saya pergi ke Rawang kerana hendak jumpa bapa di Kuala Lumpur, tapi nombor telefon bimbitnya bertukar dan tidak dapat dihubungi.

“Saya akhirnya mengikut teman lelaki, tapi kini saya insaf. Guru dan rakan sekelas turut memarahi saya dan saya juga sedar saya menyusahkan ibu dan ahli keluarga. Saya juga akan lebih berhati-hati dalam memilih kawan,” katanya.

Ibu Siti Diana, Hashimah Ismail, 47, berkata dia mahu kejadian yang menimpa keluarganya dijadikan pengajaran kepada ibu bapa lain.

Sambil bersyukur anaknya pulang dengan selamat, Hashimah berkata, Siti Diana ditemui di rumah emak saudara teman lelakinya di Rawang dengan bantuan polis selepas anaknya enggan dibawa pulang.

“Ibu bapa tidak boleh bersikap terlalu tegas kepada anak remaja hingga tidak mahu menerima pandangan mereka. Kejadian ini menyedarkan saya, dan diharap dapat diambil iktibar oleh ibu bapa lain,” katanya.

Seorang bapa yang mengalami nasib sama dengan Hashimah, Norzahan Mohammed, 42, kecewa kerana anak pada hari ini lebih mengikut kata hati tanpa memikirkan nasihat orang tua.

Norzahan, dari Bukit Beruntung, Rawang, Selangor, berkata anaknya, Nor Amira Dayana, 15, baru-baru ini lari dari rumah kerana mengikut teman lelaki.

“Remaja hari ini, tidak kira lelaki atau perempuan, tidak fikir apa yang mereka lakukan, malah apabila ditegur, mereka memberontak. Sedangkan kita bertanggungjawab mendidik dan menegur. Jika kita marah sekalipun, ia bukan bermaksud membenci, tetapi mahu mendidik mereka,” katanya.

Nor Amira hilang dari bilik tidurnya ketika ingin dikejutkan ibunya, 5 Ogos lalu, dan meninggalkan sekeping nota: “Jangan cari Mira lagi... Mira tak akan menyusahkan hidup abah dan mama... Anggaplah Mira sebagai anak angkat.”

Norzahan berkata, beberapa hari sebelum kejadian, berlaku selisih faham antara dia dengan anaknya, namun dia tidak menyangka ia membuatkan Nor Amira lari.

Katanya, kehilangan anak sulungnya kali ini yang paling lama kerana sebelum ini dia pernah beberapa kali tidak pulang ke rumah, sebaliknya tinggal di rumah jiran dalam tempoh singkat.

Begitupun, Norzahan bersyukur atas bantuan pelbagai pihak, termasuk akhbar Harian Metro yang menyiarkan berita kehilangannya, Nor Amira ditemui semula empat hari kemudian.

Dia ditemui di Cheras selepas ditinggalkan teman lelaki di sebuah stesen minyak dalam keadaan sedih.

“Ketika ditemui pekerja stesen minyak, dia menangis dan memberitahu mahu pulang ke rumah. Saya bersyukur dia selamat. Daripada pengalaman ini, saya dapat memahami perasaan ibu bapa yang hilang anak.

“Saya meminta dan berharap remaja hari ini berfikir dulu sebelum buat sesuatu seperti ini dan jangan kecewakan ibu bapa yang selama ini banyak berkorban untuk kita,” katanya.

Sebagai seorang ibu dan guru, fenomena ini amat menggerunkan. Pelbagai usaha dan kaedah dilakukan tapi mengapa kejadian ini semakin menjadi. Harap kerajaan dapat memantau rancangan-rancangan hiburan yang berleluasa di tv, terutama Astro. Pergaulan bebas, hiburan melampau yang ditanam di jiwa anak-anak yang masih kecil, kebebasan berfikir dan memilih (yang melampau) menjadikan anak begitu berani sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar dugaan.

Saya sangat tidak setuju pada beberapa rancangan televisyen yang diacarakan oleh seorang selebriti terkenal tu, walaupun ada juga positifnya untuk membina jiwa berani kepada kanak-kanak, tapi, kalau dari kecil sudah dibiasakan dengan perwatakan orang dewasa, hiburan melampau, cuba bayangkan apabila mereka menjejak sekolah menengah nanti. Mula-mula terikut-ikut, bila dah besar sedikit dibimbangi mereka tidak mahu mengikut nasihat ibu bapa/guru mereka kerana mereka rasa sudah matang berfikir.
Huh, cukup bimbang! Apa tidaknya, kalau tidak berkeras pasti tv dikuasai oleh anak-anak di sekolah rendah untuk menonton rancangan kegemaran mereka lepas satu, satu!

Saintis cipta susu daripada daging ayam

BANGKOK: Hospital Siriraj di Thailand mencipta susu bayi daripada daging ayam bagi kegunaan bayi baru lahir yang alah kepada susu lembu, kata ketua Jabatan Pediatrik hospital berkenaan, Profesor Dr Piyaskol Skolsattayathorn yang disiarkan The Nation, semalam.

Susu ekstrak ayam berkenaan adalah yang pertama seumpamanya dan paling murah berbanding susu formula dari negara lain apabila ia dianggarkan berharga 600 baht (RM66) seliter berbanding 2,000 baht (RM220) hingga 3,000 baht (RM330).

Susu itu dijangka dapat membantu kira-kira 20,000 bayi yang alah terhadap susu lembu atau kira-kira tiga peratus bagi kelahiran baru setiap tahun di negara itu.

Hospital Siriraj kini menghasilkan kira-kira 25 liter susu berkenaan seminggu.

Sekilogram dada ayam dapat menghasilkan kira-kira 24 liter susu. Hanya bahagian dada boleh digunakan kerana ia tidak mengandungi lemak dan daging yang digunakan adalah daripada ayam yang diternak untuk dieksport kerana ia tidak diberikan makanan yang mengandungi hormon.

Penghasilan susu berkenaan oleh Profesor Madya Tharathip Kholathat dan Profesor Dr Phipbob Jiraphinyo dari Jabatan Pediatrik adalah berasaskan daripada fakta bahawa bayi yang alah pada susu lembu boleh diberikan sup atau bubur ayam.

Hospital berkenaan menjalankan eksperimen terhadap projek ekstrak ayam itu sejak 10 tahun lalu. Susu berkenaan disimpan pada suhu -72 darjah Celsius dan dicampurkan dengan air panas sekiranya untuk digunakan.

Kira-kira 80 bayi yang alah kepada susu lembu diberikan ekstrak terbabit ketika tempoh ujian dan hanya dua daripada mereka didapati alah pada susu berkenaan dan diberikan susu gantian lain yang diimport. – Agensi
(Berita Minggu)

Ini baru bagus! susu soya mahal dan tak ramai yang mampu.

Pelajar tembak diri mohon maaf

BAKONG (Miri) 11 Ogos – Seorang pelajar tingkatan dua maut selepas dipercayai menembak dirinya sendiri menggunakan senapang patah di sebuah rumah panjang di Sungai Telajin, Ulu Bakong, dekat sini, hari ini.

Sekeping nota turut ditemui bersama mangsa yang berusia 14 tahun itu yang tertulis, dia terpaksa ‘meninggalkan’ ahli keluarga kerana menyesal atas kesalahan dan dosa yang dilakukan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, pelajar lelaki berkenaan yang tinggal bersendirian ketika kejadian itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di lehernya.

Ketua Polis Daerah Baram, Deputi Supritendan Jonathan Jalin berkata, dalam nota yang ditujukan kepada ibu bapanya, mangsa memberitahu, dia mengambil tindakan itu akibat tekanan yang dialaminya.

‘‘Dia minta dimaafkan,’’ katanya sambil memberitahu kejadian hanya disedari oleh penghuni rumah panjang itu selepas mendengar bunyi tembakan.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

Masya Allah, ni apa dah jadi?

6 amalan tingkat pertanian

Oleh: ARSHAD KHAN

PEKAN 11 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan enam pendekatan atau amalan yang boleh digunakan oleh petani untuk meningkatkan hasil pengeluaran mereka ke tahap berganda.

Kaedah pertama yang juga pendekatan paling penting, kata beliau, ialah petani perlu berusaha lebih gigih dan bekerja lebih kuat.

“Pertanian moden tidak akan tercapai jika penglibatan para petani adalah sambil lewa dan tidak sanggup berusaha gigih,” katanya di sini semasa berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pekan Kali ke-29.

Pendekatan kedua, tambah Najib, ialah penggunaan segala bentuk teknologi baru dalam bidang pertanian yang dihasilkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti MARDI.

Pendekatan ketiga pula, katanya, ialah mengamalkan amalan yang terbaik dalam bidang pertanian atau dalam erti kata lain bersedia untuk melakukan perubahan.

“Apa-apa yang boleh dijadikan pandu arah atau asas petani contoh perlu kita lakukan, sikap tanam dan tuai tidak sesuai untuk melahirkan petani moden,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan keempat yang perlu menjadi amalan petani moden untuk meningkatkan hasil masing-masing ialah berusaha memasukkan nilai tambah dalam pengeluaran dan hasil.

Pendekatan kelima pula, kata Najib, mencari pasaran yang menjamin harga terbaik kepada para petani.

Katanya, pendekatan kelima itu berkait rapat dengan penggunaan teknologi baru dan beliau berharap para petani akan mula menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bagi menjayakannya.

“Saya ingin melihat petani guna ICT untuk berhubung dengan pemborong (bagi mendapatkan harga yang terbaik) dan dengan ini tidak perlu bergantung pada orang lain (orang tengah),” katanya.

Pendekatan terakhir yang digariskan beliau ialah para petani melihat pertanian seperti melihat model perniagaan yakni melibatkan unsur ‘wang masuk dan wang keluar’ atau melibatkan modal pusingan serta hasil pulangan.

“Dengan melihat pertanian sebagai konsep perniagaan, maka kita akan usahakan hingga pertanian itu menguntungkan,” katanya.

Baru-baru ini pihak kerajaan telah mengesyurkan semua IPT mewajibkan semua siswa mengambil kertas keusahawanan, untuk melatih para siswa ke arah 'usahawan sebagai satu kerjaya pilihan'. Harap dapat dilaksanakan dengan cepat. Saban tahun setiap IPT melahirkan siswazah baru, justeru, para penganggur semakin bertambah. Di negara maju pertanian dijalankan dengan teknologi canggih, tidak ada apa-apa yang hendak dimalukan.
Semoga semua pihak akan mengambil berat perkara ini. Sebagai pengguna, kita perlukan makanan segar yang banyak pilihan, harga murah/ berpatutan. Juga kepada pasar tani, janganlah jual sayur, buah-buahan, ikan ternak ke dengan harga mahal lagi.. fikirkan untuk eksport ke pulak...

Saturday, August 04, 2007

Syor wanita kerja setengah hari sepanjang Ramadan

Oleh: AMIRAH ZAWATIL AMALY

KOTA BHARU 3 Ogos – Selepas cadangan ibu-ibu berhenti kerja buat sementara setelah mendapat anak dan saranan supaya kakitangan wanita yang bersalin diberi cuti bergaji penuh empat bulan, hari ini timbul pula idea baru untuk mengatasi masalah ibu bekerja.

Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan supaya kerajaan memendekkan waktu bekerja kakitangan wanita kepada setengah hari sahaja sepanjang Ramadan yang akan disambut mulai 14 September ini.

Cadangan itu dibuat untuk memberi peluang kepada kakitangan wanita terutama yang tinggal di Lembah Klang pulang ke rumah lebih awal untuk menguruskan rumah tangga masing-masing sebelum berbuka puasa.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, memandangkan keadaan lalu lintas ketika bulan puasa agak sesak, golongan pekerja wanita akan tergesa-gesa untuk pulang ke rumah dan ini mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan.

“Kaum ibu (kakitangan awam) berdepan dengan bebanan tanggungjawab sekali ganda terutama untuk mengurus anak dan membuat persiapan menyediakan juadah berbuka.

“Jadi kita cadangkan mereka diberi pelepasan setengah hari atau dua jam sebelum waktu pulang pukul 4 petang sepanjang bulan Ramadan memandangkan kita perlu menjaga peranan mereka sebagai suri rumah,’’ kata Omar kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Kesatuan Kakitangan Kumpulan Khidmat Sokongan FAMA (Kekaf) di sini hari ini.

Omar yakin tiada masalah untuk cadangan itu dilaksanakan memandangkan sebelum ini ada agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat swasta yang melaksanakan sistem pulang awal dengan mempercepatkan waktu bekerja.

Hmm, bagus, sokong sangat-sangat - Modal insan terjana dari rumah..

Monday, July 30, 2007

Noh tidak puas hati pelajar dibuang

KUALA LUMPUR 29 Julai – Kementerian Pelajaran tidak berpuas hati dengan cara penyelesaian kes seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kota Tinggi, Johor yang dihukum buang sekolah kelmarin.

Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi tidak mengikut arahan kementerian dalam menyelesaikan kes-kes salah laku pelajar.

Beliau yang akan melawat sekolah tersebut esok berkata, kaedah penyelesaian kes oleh sekolah itu bukan sahaja tidak memberi keadilan kepada pelajar terbabit tetapi juga pihak-pihak lain yang berkaitan.

‘‘Saya tidak akan masuk campur dalam soal hukuman, itu hak sekolah, cuma saya tidak puas hati dengan proses penyelesaian kes itu dibuat.

‘‘Jelas sekali dalam kes ini arahan yang dikeluarkan telah tidak dipatuhi sedangkan sepatutnya mesti ada keadilan kepada semua pihak,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes pelajar tingkatan lima SMK Bandar Kota Tinggi, Daud Nordin yang dibuang sekolah selepas didakwa mencekik dan menolak seorang guru wanita sehingga hampir jatuh dari tingkat dua bangunan sekolah.

Bapa pelajar terbabit, Nordin Narkam terkejut dengan tindakan pihak sekolah itu kerana hukuman ke atas anaknya diambil tanpa sebarang perbincangan terlebih dahulu.

Noh berkata, pihak sekolah dan PPD Kota Tinggi seharusnya memanggil pelajar, ibu bapa pelajar, guru terbabit, polis serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membincangkan kes itu secara adil.

Malangnya, kata beliau, menurut laporan akhbar, hukuman buang sekolah itu diputuskan oleh pengetua dan PPD Kota Tinggi sahaja.

‘‘Sepatutnya, PPD juga tidak boleh campur tangan dalam urusan memutuskan hukuman sekiranya mempunyai kepentingan, mungkin ada hubungan baik dengan pengetua.

‘‘Sebagai ganti, pegawai Pejabat Pelajaran Negeri (PPN) akan mengetuai mesyuarat tersebut,’’ katanya.

Sehubungan itu, kata Noh, pelajar terbabit boleh merayu melalui PPN untuk kembali ke sekolah setelah menjalani kursus jati diri.

Katanya, kursus tersebut bukan satu hukuman sebaliknya sebagai satu proses pemulihan bagi membina akhlak yang lebih baik.

‘‘Ia merupakan syarat yang perlu dipatuhi oleh pelajar termasuk mereka yang dibuang sekolah ekoran masalah disiplin tetapi mahu bersekolah semula,’’ ujarnya

Harap menyamarlah menjadi guru buat beberapa minggu untuk melihat telatah anak-anak sekolah. Juga menyamar jadi warden untuk beberapa minggu juga untuk melihat perlakuan dan gaya hidup seharian mereka di sekolah dan di asrama... siapa peduli nasib guru?

Bapa rayu anak diberi peluang belajar sekolah lain

Oleh Hasnurul Mohamed

JOHOR BAHRU 29 Julai – Bapa pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kota Tinggi dekat sini yang dibuang sekolah kerana didakwa mencekik dan menolak seorang guru sehingga hampir jatuh dari tingkat dua bangunan sekolah itu berharap anaknya dapat meneruskan persekolahan di sekolah lain.

Bekas kakitangan Syarikat Air Johor (SAJ), Nordin Narkam, 56, berkata, dia berharap anaknya, Daud, 17, diberikan peluang kedua kerana dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh tiga bulan lagi.

Menurutnya, dia tidak akan merayu terhadap keputusan pihak sekolah itu tetapi berpegang kepada janji Pengarah Pelajaran Negeri, Morkhy Saidon yang sedia berbincang bagi menyelesaikan masalah itu.

‘‘Saya sebenarnya kecewa dengan sikap pihak sekolah yang berjanji kepada saya untuk tidak membesar-besarkan perkara ini termasuklah membuat laporan polis tetapi nampaknya pihak sekolah tidak menepati janji mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam perjanjian antaranya dengan pihak sekolah selepas insiden itu, pihak sekolah memberi jaminan kepadanya bahawa perkara itu tidak akan dilaporkan kepada polis.

Katanya, persetujuan itu adalah untuk menjaga imej sekolah tetapi pihak sekolah tidak pula menghalang guru wanita terbabit daripada membuat laporan polis.

Bapa itu berkata, dia ada terfikir untuk turut membuat laporan polis kerana suami guru wanita itu yang juga guru di sekolah yang sama bertindak agresif dan mengancam anaknya semasa di dalam kelas.

Nordin berkata, di hadapan pelajar-pelajar lain, suami guru wanita itu dikatakan mengangkat kerusi seolah-olah mahu melemparkannya ke arah Daud.

Namun, katanya, hasrat untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu dibatalkan apabila Morkhy sedia berbincang bagi mencari penyelesaian terbaik.

Katanya, sebagai tanda menghormati sekolah, dia akur dengan nasihat Pengarah Pelajaran Negeri dan berharap perbincangan itu akan membolehkan anaknya dipindahkan ke sekolah lain.

Akur

Walaupun kesal dengan tindakan pihak sekolah yang membuang anaknya tanpa diberi peluang membela diri namun beliau akur dengan keputusan tersebut.

“Memang anak saya salah tetapi mengapa tidak disiasat terlebih dahulu perkara sebenar. Anak saya bertindak balas setelah guru wanita itu memicit lengan anak saya sehingga berdarah kerana kuku guru wanita itu panjang dan tajam.

“Guru wanita itu terkenal di kalangan pelajar sekolah sebagai seorang kaki cubit. Itulah sebabnya dia menyimpan kuku panjang,” dakwanya.

Sebagai seorang bapa, Nordin bimbang melihat anaknya yang kini tertekan dengan kejadian yang berlaku kelmarin.

“Saya kini memberinya kata-kata semangat dan perangsang supaya jangan terlalu memikirkan perkara ini. Saya faham fikirannya terganggu,’’ katanya.

Beliau berkata, sekalipun anaknya melakukan kesalahan tetapi tindakan membuang sekolah tanpa diberikan peluang membela diri adalah satu tindakan yang amat dikesali.

“Sebagai bapa, saya telah memohon maaf bagi pihak anak saya kepada guru wanita terbabit tetapi saya kesal kerana suami guru wanita itu campur tangan sehingga ke tahap gagal mengawal emosinya sendiri,” kata Nordin.

Macam-macam. Kalau tak sanggup bermain ombak jangan berumah di tepi pantai. Kalau tak sanggup menghadapi karenah pelajar yang semakin membimbangkan, dan ibu bapa yang terlalu membela anak-anak mereka, jangan sanggup menjadi guru.

Guru alaf kini bukan macam guru zaman ibu bapa kita dulu. Untuk memanusiakan manusia kita sanggup berkorban masa, tenaga dan perasaan kita juga.

Wahai para guru, teruskan perjuangan kalian. Meski di depanmu ada api, di kiri kananmu ada api, dan di belakangmu ada api, teruskan juga perjuangan, kerana, tanpamu para guru, apakah yang akan terjadi kepada anak-anak bangsa kita nanti?

Biarlah tiada sesiapa yang akan menyanjung kita, kita ada visi dan misi kita sendiri. Tak perlu ada pingat atau bintang disemat di dada, dapat mengajar walau sepatah A, itu adalah satu tugas yang sangat-sangat mulia!

Ayuh, teruskan perjuangan!

Tuesday, July 24, 2007

Dugaan

Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi dari setiap dugaan dan ujian.
Apa yang boleh saya katakan, sebagai umat Islam seharusnya kita yakin
sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih
sayang Allah terhadap kita.

Berdasarkan dalil daripada ayat 15-17, surah al-Fijr, kita harus fahami bahawa setiap kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN bermakna Allah telah memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan ujian dan cubaan itu BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.

Ibnu Qayyim dalam mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut menyatakan golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian.

Apa yang penting bersabar dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt.
Setiap orang yang beriman pasti akan menerima cubaan. Yang pasti, setiap ujian itu akan sentiasa kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan bentuknya mungkin berbeza-beza.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis, Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah saw., ”Siapakah orang yang paling berat cubaannya ?”

Jawab baginda, "Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya.

Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya.”
(Riwayat Tirmizi)

Setiap kali diuji, walau seberat manapun cabarannya, ketahuilah... ianya akan menjadi kayu pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang.

Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu, adalah bukti kasih sayang pencipta terhadap hambaNya. Dan juga untuk memastikan kita semua memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan penuh kesabaran.

Imam Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub,”Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak
seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan
bersabar.”

Selain bersabar. Apa yang paling penting ingatlah Allah dan berdoalah selalu. Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad dah’ Wad Dawaa’, “Doa adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun
sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang.”

Sesungguhnya berdoa itu adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda
Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab sahihnya yang berasal dari Ali bin Abi Talib ra., sabda Rasulullah saw,

“Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit serta bumi.”

Akhir sekali, cuba baca perlahan-lahan dan hayatilah sabda Rasulullah saw dibawah yang maksudnya cukup indah dan mendalam sekali. Semoga ianya serba sedikit boleh menjadi penawar ataupun sekurang-kurangnya memberi sedikit suntikan kekuatan untuk kita di dalam menempuh apa saja ujian yang datang.

Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw,
“Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah akan menghapuskan
keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Semoga kita semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu
di dalam menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang.

PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu…
(dipetik daripada blog cik Pingu)

Peserta SMKA Pedas dan peserta SMK Pasir Panjang bergambar bersama-sama guru penasihat - jumpa lagi tahun depan..

Juara merakam kenangan bersama guru penasihat, us Muaz dan saya...

Para pemenang bergambar dengan hadiah kemenangan masing-masing.

Kuiz Kepenggunaan Sekolah-sekolah Menengah Negeri Sembilan 2007

Pejam celik pejam celik acara tahunan 'kuiz pengguna' datang lagi. Kali ini saya membawa pasukan sekolah SMK Pasir Panjang yang terdiri daripada 4 pelajar tingkatan 4. Walaupun dah berpindah sekolah tapi acara ini saya tak boleh terlepas, maklumlah banyak memori kuabadikan di sini.

Nampaknya pasukan sekolahku bagi musim ini tidak ada rezeki. Tahun depan kot. Namun mereka kelihatan bersemangat untuk mencuba lagi. Semoga berjaya.

Juaranya? Hehe, orang lama..SMKA Pedas. Dan ini merupakan kali ke-6 sekolah ini menjejak ke peringkat kebangsaan. Tapi sedih oo..sebab biasanya saya akan bersama-sama mereka ke sana. Nak buat macam mana, kita dah bukan warga sekolah itu lagi..

Kali ini SMKA Pedas membariskan Nadiratul Amirah sebagai ketua, diikuti oleh Hidayat, Firdaus dan Shahrul Hidayah. Walaupun dah tidak sama sekolah, saya masih rapat dengan mereka dan cuba membantu apa-apa yang boleh.

Pertandingan tagi tadi sungguh sengit dan mendapat sambutan hangat daripada sekolah-sekolah menengah seluruh Negeri Sembilan. 3 buah sekolah yang terpilih ke pusingan akhir iaitu SMKA Pedas, SMK Seri Perpatih dan SMK Seri Pagi. SMKA Pedas memberi tentangan hebat dengan markah 53 berbanding 20 dan 16.

Pertandingan di peringkat kebangsaan akan diadakan pada Oktober nanti di Negeri Johor. Rasa sangat-sangat nak menyertai kamu tapi apa boleh buat..
Buatlah yang terbaik ya dan ulangilah kegemilangan kita tahun 2004 dulu.
Good Luck, wish u all the best..!

Sunday, July 22, 2007

Bangsa Yahudi kian pupus

Bangsa Yahudi kian pupus
Oleh Nurul Adlina Kamaludin

Kurang anak, kahwin campur punca rakyat berkurangan: Kajian


KETIKA dunia terus menyaksikan sandiwara Israel yang tidak berkesudahan bagi menjejaskan proses damai di bumi Palestin, ada satu lagi isu yang memeningkan Perdana Menteri Ehud Olmert dan pemimpin kumpulan pelobi utama Yahudi di negara lain.

Ia tiada kaitan dengan nasib penduduk Palestin yang terus dianiayai atau taktik terbaru memperkotak katikkan pemimpin tertentu Palestin dan Arab yang terus menjadi buah catur permainan licik rejim Zionis.

Sebaliknya, ia menyentuh isu lebih penting iaitu kelangsungan bangsa Yahudi, kewujudan Israel sebagai negara mutlak penganut Yahudi dan persepsi bangsa itu di mata dunia.

Masalah itu ibarat barah yang melenyapkan kelangsungan bangsa yang biarpun nampak hebat, tetapi goyah dari segi bilangan penduduknya. Biarpun kelihatan kuat, hakikatnya, Israel terpaksa bergantung harap kepada simpati dunia menerusi peristiwa Holocaust dan bantuan Amerika Syarikat.

Kemelut utamanya adalah masalah kurangnya zuriat bagi meneruskan keturunan Yahudi ini, seperti dipaparkan kajian kumpulan pelobi utama Yahudi, The Jewish Agency menerusi Institut Perancangan Dasar dan Penduduk Yahudi yang diketuai tokoh akademik, Profesor Yechezkel Dror.

Kajian institut berpejabat di Baitulmaqdis yang menyentuh keadaan semasa dan masa depan Yahudi, antara lain mendedahkan bilangan penduduk Yahudi di seluruh dunia kini susut 25 peratus sejak 1970. Ia disebabkan kadar kelahiran rakyatnya yang rendah dan peningkatan perkahwinan campur, di dalam dan luar Israel. Statistik 2006 menunjukkan penduduk Yahudi mencecah 13 juta.

Pada 1939, ada 17 juta penduduk Yahudi di dunia dan ia makin berkurangan sejak 40 tahun lalu. Jika keadaan berterusan, masyarakat Yahudi mungkin terus berkurangan atau semakin ‘pupus’ pada 2080.

Israel mahu menjadi negara mutlak Yahudi dunia seawal 2020 dan menempatkan bilangan penduduk Yahudi paling ramai di dunia menjelang 2050, sama ada menerusi kelahiran baru atau pun penghijrahan penganut Yahudi dari luar.

Namun, berdasarkan perkembangan semasa, harapan Israel mungkin sukar dicapai.

Negara yang hebat dalam ketenteraan, perubatan, kewangan, perdagangan, taktik politik, pelobi, licik dan pembunuh anak Palestin dan Lubnan, kini ketandusan bayi atau zuriat bagi meneruskan kelangsungan bangsa Yahudi.

Lebih sukar, ia turut berdepan krisis identiti diri. Ada penganut Yahudi malu mendedahkan identiti sebenar kerana bimbang menjadi sasaran bukan saja daripada masyarakat Islam, tetapi masyarakat lain yang memandang sinis kepada Yahudi.

Kaum Yahudi digambarkan sebagai kaki ampu, memonopoli kuasa ekonomi dunia dan tidak setia, seperti dibuktikan hasil tinjauan terbaru di enam negara Eropah, yang diumumkan Selasa lalu.

Separuh responden dalam kajian di Austria, Belgium, Britain, Hungary, Belanda dan Switzerland secara terang-terang meragui kesetiaan penduduk Yahudi yang dilihat lebih setia kepada Israel berbanding negara tumpangan mereka.

Tinjauan kumpulan pelobi Yahudi Anti-Defamation League (ADL) juga menunjukkan 34.5 peratus yakin Yahudi menguasai sektor kewangan dan perniagaan dunia. Tidak cukup dengan itu, 43 peratus lain berpendapat bangsa Yahudi terlalu banyak bercakap mengenai peristiwa Holocaust yang didakwa pembunuhan berjuta-juta Yahudi oleh Nazi ketika Perang Dunia Kedua.

Kajian itu menunjukkan peningkatan sikap antiSemitik yang lebih ketara, berbanding tinjauan sebelumnya pada 2005 dan Hungary adalah negara paling tinggi memaparkan sikap antiSemitik berbanding negara Eropah yang lain.

“Kami bimbang apabila mendapati peratusan besar responden dan majoriti di Austria, Hungary dan Switzerland yang yakin penduduk Yahudi Amerika Syarikat mengawal dasar Washington ke atas Asia Barat,” kata Pengarah ADL Abraham Foxman.

Beliau menyifatkan perkembangan itu amat membimbangkan kerana masih ramai rakyat Eropah meragui penduduk Yahudi, sedangkan ia sepatutnya sudah terkubur selepas kejatuhan pengaruh komunis.

Hakikatnya, biarpun rakyat Hungary paling syak wasangka terhadap bangsa Yahudi dan Israel, Britain – sekutu AS yang juga rakan baik Israel, terbukti lebih lantang.

Bayangkan dalam masa tidak sampai setahun saja, tokoh akademik, wartawan, arkitek, doktor dan terbaru pekerja pengangkutannya menerusi kesatuan masing-masing yang mencecah hampir sejuta anggota, melancarkan usaha memboikot Israel atas kekejaman rejim Zionis itu terhadap penduduk Palestin.

Ia bermula April lalu apabila Kesatuan Wartawan Kebangsaan Britain, menyokong usaha pemulauan barang Israel. Sebulan berikutnya, Kesatuan Arkitek dan Perancang Britain menyelar rakan profesional mereka di Israel kerana menyertai projek pembinaan negara Yahudi di wilayah Palestin yang dicerobohi. Kesatuan Universiti dan Kolej (UCU) yang juga persatuan terbesar pensyarah institusi pendidik Britain, pula menyokong tindakan kesatuan sekerja Palestin memulaukan ahli akademik dan pusat pengajian tinggi Israel. Terbaru, Kesatuan Pekerja Pengangkutan yang juga antara yang terbesar di negara Barat itu, memboikot semua produk Israel.

Perkembangan itu sudah pasti diberi tumpuan pentadbiran Olmert dan sekutunya, Presiden George W Bush.

Di Iran, masyarakat Yahudi menolak tawaran wang tunai sehingga £30,000 (RM210,000) bagi setiap keluarga untuk berpindah ke Israel, seperti didedahkan akhbar Guardian, Rabu lalu.

Siapa sangka di sebalik kehebatan Israel, ada hakikat suram sedang membelenggu mereka. Hakikat ibarat barah yang mengancam kelangsungan bangsa Yahudi dalam bentuk kekurangan zuriat serta pengaruhnya yang makin suram pada peringkat antarabangsa.

Apa guna kuasa, wang, pengaruh dan kehebatan tentera jika pada kesudahannya Israel dan bangsa Yahudi makin pupus.

Friday, July 20, 2007

Kerajaan nafi urus niaga ringgit dilonggarkan

Tiada perubahan dasar kawalan mata wang tempatan: Najib

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan spekulasi bahawa kononnya kerajaan akan melonggarkan kawalan terhadap urus niaga ringgit.

Katanya, setakat ini beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan dasar kerajaan dalam kawalan urus niaga mata wang tempatan itu.

"Saya tidak mendengar apa-apa. Itu hanya khabar angin pasaran, bukan dari pihak kerajaan. Saya juga tidak dimaklumkan mengenai sebarang perubahan dasar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaksanaan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan di pejabatnya di Putrajaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi di pasaran ketika ini bahawa kerajaan akan melonggarkan lagi kawalan terhadap ringgit.

Spekulasi itu telah mengukuhkan ringgit sejak kebelakangan ini.

Pada penutup urus niaga semalam, mata wang tempatan itu diniagakan pada pada RM3.4330/4380 berbanding satu dolar Amerika Syarikat daripada penutupan RM3.4500/4530 kelmarin.

Peniaga berkata, ringgit mendapat permintaan tinggi, terutama daripada pelabur asing selepas tersebarnya spekulasi kononnya Bank Negara akan mengumumkan langkah bagi mengukuhkan lagi pasaran tukaran asing, termasuk melonggarkan lagi urus niaga ringgit.

Walaupun kerajaan telah menghapuskan sebahagian besar kawalan modal yang diperkenalkan pada 1998 bagi menangkis serangan spekulator mata wang ketika kemuncak krisis kewangan Asia Timur pada 1997/1998, termasuk memansuhkan tambatan ringgit kepada dolar Amerika Syarikat pada Julai 2005, namun dasar untuk tidak membenarkan mata wang tempatan itu diniagakan di luar negara masih kekal.

Sementara itu, spekulasi berkenaan turut dinafikan oleh Bank Negara Malaysia.

Timbalan Gabenornya, Datuk Zamani Abdul Ghani menegaskan, beliau tidak tahu menahu mengenai langkah untuk melonggarkan lagi dasar berhubung urus niaga ringgit.

“Tidak setakat yang saya tahu,” katanya semasa diminta mengulas mengenai spekulasi itu ketika ditemui media selepas mewakili Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia ke-11 di Kuala Lumpur, semalam.

Sunday, July 08, 2007

Everest.

Sebulan dua ini boleh dikatakan kehidupan saya agak mencabar, sama ada dari segi kerjaya, kehidupan berkeluarga atau peribadi. Ini menjadikan saya agak gelut dan rutin kehidupan seharian banyak berubah dan tersasar.

Dah buat suspens pulak ya. Tak payah suspens suspenslah. Macam roda, kehidupan kita tidak pernah tetap..bagi semua orang, tak gitu? Sesekali kita berada di kemuncak, tapi awas, kali lain jangan tidak terduga pula jika kita jatuh tersadung.

Pada tajuk entri saya kali ini tertera perkataan Everest. Hrm, dalam kekalutan ini saya telah tidak dapat mengikuti siri-siri kegemaran saya di kaca televisyen. Dapat beritapun kekadang melalui online. Jadi, semalam, Sabtu, saya membulatkan nekad untuk mematungkan diri di hadapan televisyen menonton koleksi "Everest, Beyond the limit". (Discovery channel) Sebelum ini cuba juga tengok tapi zon 10.00 malam merupakan zon kritikal bagi saya (zon alam bawah sedar..)

Saya suka kisah-kisah adventure sebegini, perjuangan untuk kesurvivalan hidup. Sesekali difikir, buat apa manusia mempertaruhkan diri, nyawa, harta benda untuk ke sebuah tempat yang tandus, penuh bahaya, dingin, tinggi yang tidak tercapai oleh helikopter itu? Itulah perjuangan namanya; kepuasan diri, visi diri dan negara dan bagi sesetengah orang seperti Mark Inglis (New Zealand), Morgens (Denmark), mereka ada misi sendiri kepada rakan-rakan senasib bahawa tanpa kesihatan dan anggota badan yang sempurna pun kita masih boleh mencapai impian hidup kita. Pada akhir siri ini tercetus kisah dramatik iaitu Tim (US)dan Gerard (Peranchis, 62 tahun) yang bermati-matian ingin meneruskan perjuangan hingga ke kemuncak kerana 'the summit' (kemuncak) hanya 100m dari jangkauan mereka. Tapi, menimbangkan bekalan oksigen dan tenaga mereka berdua yang hampir kehabisan, ketua ekspedisi (Russel) dan rakan-rakan sepasukan memujuk supaya mereka turun sahaja. Sherpa yang tahu akan risiko kedegilan mereka berdua berasa simpati kerana memikirkan banyak faktor terutama maruah diri yang dipertaruhkan.

Namun, sebarang silap percaturan akan melibatkan masa dan nyawa. Akhirnya mereka terpaksa akur akan arahan ketua dan rakan-rakan, pentingkan nyawa dan berazam akan datang lagi...oh sedihnya..

Tahniah kepada yang sudah berjaya sampai ke kemuncak, bak kata Russel "sesiapa yang sudah ke Everest, pasti apabila dia pulang nanti dia akan menjadi insan yang lebih baik".
(Saya cuma mendapat sedikit bayangan, iaitu semasa mendaki Tembok Besar China dulu,oh alangkah penatnya. Satu mata tangga pun sudah terlalu tinggi bongkahnya. Saya hanya sampai ke stesen tempat menjual sijil, dah habis tenaga. Ingatkan semasa perjalanan turun ia akan lebih mudah, tapi..masya Allah sama teruk dengan perjalanan naik. Sebab itulah tenaga yang sangat banyak diperlukan dalam sebarang ekspedisi. Pendaki ke Everest perlu menjalani latihan berkala seperti berjalan kaki 10km sehari, berlatih mendaki gunung bersalji, wang ratusan ribu ringgit dan bersedia jika anggota kaki tangan dipotong akibat reput frost bahkan berkubur di Everest saja..)

"Life Goes On.."

Saturday, June 30, 2007

Hari Pengguna 2007

Hari Pengguna 2007 datang lagi.

Saban tahun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengadakan Hari Pengguna untuk menimbulkan kesedaran akan hak-hak dan tanggungjawab kita sebagai pengguna.
Pada masa ini juga pelbagai pertandingan diadakan dan terbuka untuk semua warga negara yang berminat daripada pelajar sekolah, guru, pensyarah atau warga emas.
Walaupun agak lewat saya siarkan di sini, tapi masih ada masa lagikan. Tahun ini saya agak gelut sikit dengan pelbagai rencana sama ada yang dirancang atau yang datang tanpa diduga. Walau bagaimanapun, kehidupan perlu diteruskan!

Sesiapa yang berminat, layarilah www.mypengguna.com s e g e r a ..

Tuesday, May 29, 2007

bioteknologi dan wto

Perspektif Ikim: Pertanian senjata baru penjajahan

Oleh Mohd Noor Omar

Barat tekan ekonomi negara membangun guna alasan globalisasi


SUATU keadaan yang pasti di lalui dalam kehidupan ialah perubahan. Itulah tandanya baharu alam ini. Dunia juga berubah daripada semasa ke semasa. Kadang-kadang sukar untuk kita fahami perubahan dan bagi mereka yang alpa sering menjadi mangsa perubahan.

Begitu juga dengan perubahan dalam bentuk kuasa dan penjajahan. Daripada zaman penjajahan bersenjata atau kekerasan, yang lemah dan tidak bersatu menjadi mangsa kuasa besar. Yang kurang sifat kemanusiaan menjadi raja berpaksikan undang-undang rimba batu.

Beralih kepada zaman penguasaan melalui kepintaran melampaui had. Kesederhanaan dalam berfikir ditinggalkan begitu saja. Takrifan agama atau cara hidup adalah berlandaskan nafsu dan kegilaan kepada kebendaan dan keutamaan untuk kelangsungan hidup kumpulan tertentu.

Jika kita tinjau globalisasi, kita dapati ia satu cara baru menguasai maklumat pihak lain.

Pada zaman dulu, globalisasi tidak wujud. Sebelum globalisasi mengambil tempat, kita didedahkan dengan modernisasi. Ia membabitkan usaha dua kuasa besar iaitu Russia dan Amerika Syarikat ingin menjadi jaguh di pentas dunia.

Pelbagai propaganda digunakan Amerika untuk menjadikan mereka kiblat. Cerita Combat yang ditayangkan hampir ke seluruh dunia memperlihatkan bagaimana Russia sebagai satu kuasa jahat dan Amerika pula wiranya.

Apabila runtuhnya Tembok Berlin, Amerika menguasai dunia. Era sudah berubah, maklumat menjadi perkara penting.

Mereka perkenalkan penggunaan internet dan laman web. Pelbagai insentif diberikan termasuk pendaftaran emel percuma, transaksi talian dan banyak lagi.

Apa yang menjadi persoalan ialah siapa yang menguasai teknologi ini? Dunia terpaksa akur dengan perubahan ini dan menerima pakainya dengan bangga.

Padahal, jika ditinjau, semua maklumat penting dan rahsia boleh dicapai orang lain dengan mudah. Akibatnya, lahir ramai jutawan Amerika.

Jika tidak kerana memperkenalkan sistem baru, hanya dengan mengetahui teknik menggodam, pelbagai masalah negara boleh timbul. Kini tiba pula suasana baru. Dalam sedar atau tidak, kita menghadapi tekanan dalam bentuk perdagangan.

Pelbagai akta antarabangsa digubal dan diperkenalkan. Mungkin kulit luarnya nampak menguntungkan negara terutama negara membangun tetapi hakikat di sebaliknya mungkin jauh berbeza.

Amerika giat berusaha memasarkan beras yang disahkan tidak selamat iaitu yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik (GE) kepada negara membangun.

Isu beras yang boleh dikatakan isu global membabitkan makanan asasi penduduk Asia diselitkan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Jika padi biasa, kita hanya perlu semai dan ia akan tumbuh tanpa sekatan tertentu.

Dengan menggunakan beras GE, benih padi mesti diimport dari Amerika yang mempatenkan hasil beras GE supaya mendapat hak di bawahnya.

Tiga jenis beras yang berteknologi GE iaitu Liberty Link LL62, LL601 dan LL604 kini secara berleluasa dikembangkan di bawah WTO melalui dua perjanjian penting iaitu Perjanjian Mengenai Pertanian (AOA) dan Perjanjian Mengenai Dagangan Berkaitan Aspek Hak dan Harta Intelek (TRIPS).

Di bawah perjanjian AOA, objektif pertama ialah ‘liberalisasi pertanian’ dengan membuang halangan perdagangan seperti tarif dan bantuan tempatan. Perjanjian itu sebagai pelindung kepada persaingan tidak adil terhadap barangan import.

Manakala, di bawah TRIPS pula, melalui hak paten yang memberi jaminan kepada negara membangun untuk menggunakan paten mereka sehingga 20 tahun.

Sebelum ini, petani tidak perlu membayar royalti terhadap paten beras tetapi dengan beras GE, petani perlu membayarnya atau dianggap sebagai lanun bio.

Contohnya, sejenis beras Basmati didaftar paten di Amerika oleh Rice Tech Inc Pada 1970, Filipina adalah pengeksport terbesar beras.

Tetapi apabila menyertai program WTO dan menandatangani perjanjian AOA, negara itu mengimport 2.2 juta tan beras pada tahun 1998 iaitu hampir 40 peratus daripada pengeluaran dalam negara.

Secara tidak langsung, perkembangan itu memberi kesan kepada petani.

Peningkatan ke atas kebergantungan kepada negara maju ketara sekali apabila kita lihat peningkatan import beras Asia daripada 4.8 juta tan kepada 15.4 juta tan iaitu peningkatan 300 peratus.

Melaluinya juga WTO memaksa negara membangun mengamalkan Corporate Farming iaitu syarikat dari Amerika akan mengusahakannya secara besar-besaran. Tenaga buruh terdiri daripada petani tempatan yang dibayar murah.

Petani yang mengusahakan sendiri tidak lagi mampu bersaing dengan skala pengeluaran dan harga ditawarkan akhirnya rela menjadi pekerja saja.

Di samping itu, penggunaan racun yang berbahaya kepada kesuburan tanah digunakan secara berleluasa dan akhirnya tanah menjadi makin tidak subur.

Inilah bentuk baru penjajahan yang menghilangkan hak negara mentadbir.

Sejarah boleh bertukar. Jika Asia adalah pengeluar beras utama dunia, kini dengan terlaksananya tekanan melalui FTA,

Asia menjadi pengimport beras dari negara maju. Pada tahun 2004, China menghasilkan 177 jua tan, India 129 juta tan, Indonesia 54 juta tan.

Jika beras GE ini diguna pakai, kemungkinan negara ini hanya menjadi pengimport terbesar. Petani tidak mampu bersaing dengan harga beras GE yang zahirnya nampak lebih berkualiti.

Saintis Kanan Institut Dasar Pengguna Amerika Syarikat, Dr Micheal K Hansen dalam usaha memberi kesedaran kepada negara membangun menegaskan bahawa petani di Amerika kerugian hampir RM4.6 juta bilion kerana produk mereka gagal dipasarkan ke negara luar.

Kaedah baru memasarkannya ialah melalui FTA. Sementara negara seperti Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Russia, United Kingdom dan Amerika sentiasa menutup pintu bagi menerima barangan dari negara membangun.

Begitulah percaturan hidup yang dilakukan sebagai satu cara untuk mengaut keuntungan.

Bagi negara yang lemah dan kurang pengalaman dalam urusan antarabangsa dan tiada kekuatan pengetahuan, mungkin menganggap tarikan bidang bioteknologi satu peluang tanpa menghalusi bagaimana bioteknologi ini akan menghilangkan kedaulatan negara akhirnya.

Apa saja perkara dalam dunia ini tidak semudah yang disangkakan. Kalau terdetik satu keadaan mudah, pasti pemeriksaan rapi perlu dibuat bagi mengelak penyesalan di kemudian hari.

Kepada sesiapa yang berkenaan, sila baca rencana ini ya, saya tahu artikel ni berguna kepada mereka yang memerlukan.