Friday, January 01, 2010

Selamat datang 2010, Seribu Dinar

Selamat datang tahun 2010m. Ada satu kenangan manis semasa menyambut tahun baru pada tahun lepas. Iaitu pada hari pertama persekolahan, seperti biasa saya akan mendengar radio IKIM di dalam kereta saya. Apa yang menarik ialah juruhebah membacakan satu kata-kata hikmat yang dikirim oleh pendengar sebagai renungan menyambut hari/ tahun baru. Tentulah saya terkedu beberapa harakat; "ai macam pernah dengar kata-kata ni", bisik saya dalam hati.. lantas saya tersenyum sendiri. Ada rasa gembira sebenarnya.

Kata-kata itu ialah lebih kurang begini;
Hidup ini tidak akan sunyi daripada dugaan. Tatkala kita berasa berputus asa, berdoalah juga bagai orang yang berputus asa, kerana nanti kita tidak akan sangka pada saat-saat orang tidak mempedulikan kita, ada Tuhan yang sentiasa dekat, dan maha mendengar segala keluh resah kita...

Sebenarnya ayat-ayat di atas merupakan tag lama saya. Oleh sebab pengirim tidak membacakan sumber, jadi tidak tahu diambil dari mana..cuma saya kot-kot terperasan lebih sebab saya memang menjadikannya sebagai kata-kata awal pada blog saya/tag.

Tak kisahlah. Saya pun mengambilnya daripada pembacaan juga dengan sedikit ubah suai. Sempena tahun baru ini, saya ingin mengubah tag tersebut kepada ayat-ayat yang lebih mantap. Iaitu:

5c8e262b.jpg

Bermaksud :

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Marilah kita sama-sama menghayati dan mengamalkan ayat-ayat ini, semoga kita akan termasuk dalam golongan hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya



m

Maka, pada kesempatan ini, saya menukarkan tag di atas dengan ayat seribu dinar ini. Jadikan amalan, insya Allah saya cuba membacanya setiap selepas solat 3 kali, atau pada masa-masa yang sesuai. Yakinkan diri setiap membaca bait-bait suci tersebut. Saya akan cuba aplikasikan/tafsirkan ayat-ayat tersebut mengikut penghayatan saya setakat ini. Iaitu...

"Segala sesuatu di alam semesta ini adalah milik-Nya. Dia ialah raja di langit dan di bumi, di dunia mahupun di akhirat. Maka selayaknya kita menganggap-Nya sebagai "raja", pemerintah, penguasa, pemilik. Dan berbuat sesuatu perkara bertuhankan-Nya, bukan kerana lain seperti takut kepada bos, pasangan, alam dsb.
Jadi apabila kita hamba-Nya menyerah diri setulus ikhlasnya kepada raja kita, seharusnyalah kita akan disayangi oleh-Nya. Akan diberinya jalan keluar atau rezeki tanpa diduga.
Mengapa, jika kita sudah bertindak baik, tapi masih ditimpa kecelakaan. Ingatlah, kita ada rencana, Allah pun ada rencana. Rencana kita itu terlalu rapuh kerana sudut pandang kita terlalu sempit, sedang sudut pandang Allah tembus segala-galanya, Dia Maha Mengatahui.

Dia sesekali tidak menyusahkan kita, apalagi berlaku tidak adil, bahkan membenci makhluk yang dicipta-Nya. Dia menjadikan mati dan hidup untuk menguji kita. Terimalah takdir Allah kerana rencana-Nya yang sangat halus dan bijak dan tidak terduga oleh kita itu. Segala-galanya sudah dirancang kejadian langit dan bumi, hidup dan mati, alam semesta dan kiamat. Siapa kita untuk mempertikaikan?

Mengapakah aku diuji terlalu lama? Mengapakah aku diuji bertimpa-timpa? Hinakah aku, lupakah Tuhan kepadaku? Astaghfirullah...

Allah telah menentu segala-galanya dengan segala alasan yang tidak terlintas di fikiran kita. Dan segala sesuatu yang terjadi ada tempoh-tempohnya. Sehari, seminggu, sebulan, setahun, sepuluh tahun...? Kita hidup di dunia ini, bak ombak, ada pasang ada surutnya. Bagai putaran jam, sekali di atas, sekali di tepi, sekali di bawah. Jika kita teruk ditimpa kesusahan, cuba ingat-ingatkan, kita pun pernah bahagia. Tidak kira lah apa jenis bahagia. Ada keluarga, ada harta dsb. Cuba kita buat perhitungan, nikmat yang kita peroleh, dengan kekurangan yang ada. Nikmat dapat bernafas, nikmat dapat berjalan, nikmat dapat melihat, dapat merasa, dapat membuang air, dapat menikmati muzik, terlalu banyak nikmat yang selalu kita lupakan. Nikmat dapat bernafas, macam remeh. Cuba sekali kita sesak nafas, rasa macam hendak tercabut nyawa. Sedangkan nikmat-nikmat yang kita peroleh setiap hari kita hirup/telan tanpa ada kita mengucapkan terima kasih kepada pemberinya...Cuba bandingkan dengan orang-orang di sekeliling kita pula. Ada insan yang tiada pasangan. Ada yang tiada zuriat. Ada yang tiada anggota badan. Ada yang langsung tiada harta. Ada yang dinafikan hak untuk hidup. Macam-macam yang boleh kita fikirkan.

Ingatlah, dunia ini bukan neraka yang menjadikan kita ini sentiasa menderita, atau tiada harapan. Dunia ini juga bukan syurga yang menjadikan kita memperoleh apa-apa saja yang terlintas di fikiran kita. Dunia ialah pentas, dan kita ialah pelakonnya. Dan Allah ialah hakimnya...

Setiap orang di atas muka bumi ini diduga dengan bahagian masing-masing. Ada yang diuji dengan kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang, kemusnahan, kesempitan rezeki dsb dan sebaliknya ada juga yang diuji dengan memperoleh kekayaan, mendapat semua apa yang dihajati.

Maka, ketika keluh dan kesah, kita mesti sentiasa ingat pada Allah, mengharap pada Allah, bertawakkal kepada-Nya kerana Dialah pemilik segalanya yang terdapat di alam semesta ini, yang zahir mahupun yang batin.

Tidak disangkal sebagai manusia, oleh sebab terlalu lelah menahan segala ombak dan tsunami, kita mungkin akan jatuh, rebah tidak bermaya. Tidak berdaya melangkah bahkan membuka mata. Kita rasa berputus asa... Maka dalam asa yang putus, kita berdoa kepada penguasa kita... sebagai orang yang berputus asa...

Namun, setelah menjejak pelbagai onak dan duri, rebah dan jatuh tidak berdaya, ada satu perkara yang menusuk di atma saya... Ya, sebagai orang Islam, saya tidak sepatutnya sekali-kali pun berputus asa..tidak akan!

Jika jatuh, ambil nafas panjang-panjang, cuba ingat kepada Allah. Dia sentiasa ada di mana-mana, melihat kita, mengira berapa banyak air mata yang tumpah. Sentiasalah bergantung kepada-Nya. Itu adalah adalah kepada kita makhluk-Nya. Jika besar ujian itu, bukan bermakna Allah pilih kasih, tidak sayangkan kita. Bayangkan Allah merencana pelbagai perkara untuk kita. Jika Allah tidak kasihkan kita, dibiarkan kita bersendiri, diberi apa saja yang kita inginkan, tanpa mengira apa akibatnya nanti..hendakkah kita begitu, tidak dipedulikan.

Diberinya kita ujian, supaya kita lebih kuat (jika berjaya melepasinya, bak kita menghadapi peperiksaan lainnya), dugaan untuk menghapus dosa, dugaan untuk mengangkat martabat kita. Mungkin kita meminta sesuatu ganjaran yang terlalu tinggi nilainya, rutin biasa yang kita jalani tidak mampu kita melunasi permintaan yang kita hajati, jadi Allah berikan kita ujian yang sangat berat. Contoh, kita berdoa agar Allah memasukkan kita ke dalam syurganya yang sangat indah-indah, bersama-sama kesayangan kita. Murahkah harga syurga? Apatah lagi syurga itu ada tahap-tahapnya. Adakah Allah akan memperkenalkan permintaan kita hanya dengan berdoa? Tanpa usaha, tanpa diuji?

Saturday, December 19, 2009

Cuti Lagi..

Afiq, meraikan kejayaan dapat menjadi pelatih MAS
Hajar, Syamil, Danial dan saya
Anak saudara saya, Ahmad Ghazee dan Nur Asyikin
Saya dan bonda saya pada majlis menyambut menantu (anak saudara saya) Hari mula-mula Danial masih takut air, tengok saja dulu..

Alhamdulillah...
Setelah terasa cuak, fobia dan pelbagai kebimbangan untuk pulang ke kampung akibat tragedi berdarah lebih kurang 2 tahun lepas, alhamdulillah, saya dan 3 orang anak berjaya juga pulang bercuti di kampung kelahiran saya di Kelantan. Sebelum ini saya hendak menyambut Hari Raya Haji di kampung, tapi, apabila tiba masanya, ada pula aral datang melintang, terpaksalah saya batalkan. Tetapi, hajat kesampaian juga, dan kami pulang dari 10hb 12 hingga 17hb 12.

Perkara pertama yang menyambut kepulangan kami ialah betapa terharunya bonda saya menyambut kami berempat. Beliau yang sudah mencecah 82 tahun begitu lama memeluk saya, mungkin tidak menduga akan dapat berjumpa kami lagi. Dengan Danial yang pertama kali dilihatnya semasa berumur 36 hari kini sudah berusia 2 tahun.

Doa saya supaya kepulangan kali ini mengembirakan, nampaknya anak-anak sayalah terutamanya begitu gembira di sini. Syamil seronok kerana dapat bertukar angin, berjalan-jalan, dapat ke kolam renang (4x), makan-makan dan berakhir dengan Kem Menggilap Permata di masjid dekat rumah kami. Ada juga berita yang berat untuk ditelan, tapi, saya menerimanya sebagai satu daripada adat kehidupan. Syukur kerana Allah memberi saya/kami kekuatan dan, ramai yang sanggup bersusah bersama-sama kami dan meringankan bebanan kami. Saya tidak akan lupakan semua jasa2 yang dicurahkan, semoga Allah anugerahkan yang terbaik...

Jadi, kami akhiri tahun hijrah yang lepas dengan 'bahagia' dan syukur. Hari itu saya juga sempat menziarah kuburan anak saya, juga ayah saya (dll). Sudah dua tahun 1 bulan arwah anak saya bersemadi di sini. Tepat 2 tahun dia disemadikan, anak saya Maryam bermimpi berjumpanya dan arwah menyebut2 diri saya. Betullah roh balik ke dunia dan dapat melihat kita... Subhanallah!

Doa tahun baru hijrah kami dapat baca di dalam perut bas Transnasional 2 tingkat dari KB menuju Seremban. Azam tahun baru? Semalam ialah sejarah, hari ini ialah misteri, dan esok ialah harapan... Allah tahu kepada siapa Dia duga. Dia Tuhan Yang Maha Adil, Pengasih, Penyayang dan tidak sesekali menyusahkan hamba-hamba-Nya. Sedangkan makhluk-Nya yang begitu halus di dasar laut pun, Dia tahu, apa lagi kita makhluk-Nya manusia ini...

Tuesday, December 08, 2009

Selamat bercuti...

Tertinggal komuter nampaknya entri kali ini. Apa boleh buat, masuk saja cuti streamyx rumah saya terus hi hi bye bye...
Jadi nak buat ringkasanlah sikit-sikit apa-apa yang telah dilalui seminggu dua ni..
Pertama, permohonan untuk pindah ke Kelantan tidak diluluskan...saya kehabisan kata untuk memperkatakan hal ini... ya lah, pasti ada hikmat di sebalik semua ini. Jadi, angan-angan saya untuk pulang ke kampung setelah 18 tahun berkhidmat di negeri orang (dan pelbagai alasan lagi) nampaknya terkoma di sini dulu. Ada juga rasa rajuk dan nak tinggal lagi di sini beberapa tahun lagi, menghabiskan tempoh persekolahan anak-anak saya...Laman "Oh My Home" yang saya bina khusus untuk merealisasikan angan-angan saya untuk membina rumah baru sekembalinya ke kampung nanti nampaknya akan terjeda hingga bila detiknya tidak diketahui.

Hikmah? Sebagai manusia yang tidak kasyaf bak Khidir, saya tercari-cari dan merenung-renung akan kedudukan saya di sini yang bak kolek di tengah lautan. Terolang-aling dihempas ombak. Tidak sekali dua dipukul gelora. Tapi, Allah punya seribu rahsia. Kita manusia yang lemah sentiasa ada soalan 'mengapa' dan 'mengapa'...

Err..maaflah, dah tak jadi ringkasan, teremosi pulak..

Kedua, kedua yang sebenarnya dah terlupa, tapi, cerita hari ini kira ok juga kot untuk dikongsi bersama..
Pagi ini awal-awal lagi saya sudah bersiap-siap. Ada mesyuarat di sekolah. Pada masa yang sama pelajar Ekonomi Asas saya akan menghadapi peperiksaan SPM. Kira ni kertas terakhirlah buat mereka, satu pagi 2 kertas. Jadual tahun ini memihak kepada mereka, iaitu selepas Sains 2, mereka ada ruang 5 hari untuk studi. Jadi, saya pun mengambil kesempatan ini untuk membuat kelas. Kehadiran memanglah tidak penuh, tapi, tak kisahlah (adalah difahami adanya). Saya buat salinan dan minta pelajar sebar-sebarkan kepada kawan-kawan lain.

Usai mereka menduduki peperiksaan, saya telefon salah seorang pelajar saya (saya mesyuarat hingga jam 12.15). Syukur, apa yang dibincangkan banyak keluar... Apa yang saya seronok ialah seorang pelajar saya yang selalu hantar kertas kosong sewaktu peperiksaan dalaman hari itu menulis dengan tekun.. Semoga kalian cemerlang ya...

Friday, November 20, 2009

Tahniah!

Dari kiri Syamil, tengah Sarah dan kanan Hajar.

Di sini saya ingin mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang cemerlang dalam UPSR yang baru diumumkan semalam.

Sekolah anak saya, iaitu SK Undang telah mencatat kejayaan cemerlang iaitu sebanyak 33 calon mendapat 5A, berbanding tahun lepas 16 orang, 2007 26 orang, 2006 22 orang, 2005 17 orang, 2004 18 orang dan 2003 13 orang.

Saya mendapat tahu kebanyakan sahabat arwah anak saya, Siti Sarah mendapat 5A. Tahniah. Saya pun dapat merasakan prestasi mereka yang sangat baik pada batch ini. Semasa arwah masih ada, guru-guru mereka sudah memperkenalkan konsep studi grup dari darjah 3 lagi. Mereka akan dikumpulkan mengikut tempat tinggal. Anak saya segrup dengan Liana, Iffah, Izzati(ramai lagi, sekadar menyebut beberapa nama). Liana yg biasanya offer menjadi tuan rumah, kadang2 Sarah bawa adik dia lagi iaitu Syamil. Lepas belajar mereka main2 termasuklah main piano. Liana biasanya conquer mendapat no 1. Sekali saja dalam ujian bulanan dia mendapat no. 2, no.1 ialah Sarah. (Ini rekod semasa arwah masih ada).

Semoga kamu semua berjaya dalam pelajaran, menjadi anak-anak yang soleh dan membanggakan ibu bapa kamu dan negara kita. Walaupun anak saya sudah berpindah alam, tapi saya tetap bersyukur dan bangga dengan beliau.

Jutaan terima kasih kepada pentadbir, semua guru dan staf SKUR. 3 daripada kakak-kakak dan abang Sarah juga memperoleh 5A dari sini. Ya besar sungguh jasa SKUR kepada kami semua.

Saturday, November 07, 2009

Love is everything...

Wednesday, October 14, 2009

Hari Teknik Vokasional SMKUR 2009

"Mari kita acu cuba test tengok tahap asap kereta Cikgu Norizan ni."
Demonstrasi dari pegawai JAS.
"Begini, mula2 rendam kertas surat khabar, atau terus blend. Masukkan dalam takung yang besar. Kemudian perlahan2 ayak kertas yang dikisar halus tadi ke dalam bingkai. Sejatkan. Telangkupkan pada kain begini. Lapik dengan sehelai kain di atas kertas blend tadi, seterika perlahan-lahan. Letak di bawah cahaya matahari pun boleh juga."
Encik Daneil dari South Waste Management sedang menerangkan sesuatu kepada Encik Nasir iaitu pelukis yang membantu booth Pn. Normadiah. Encik Daniel membuat demonstrasi kitar semula kertas. Encik Nasir ialah bekas pelukis kartun Ujang.

eheh ni jawab kuiz ke apa ni? ai main tengok buku? Kira ulang kaji jugalah kot,
minggu depan peperiksaan akhir tahun...
Wakaf Cikgu Abd Rahman, pelajar MPV landskap dan jualan mereka.

Ini booth jualan kraf oleh Pn. Normadiah. Bunga angsana dinyah warna, diwarnakan kemudian cucuk pada lidi. Daun getah yang direndam, direndam juga diwarnakan dan digubah. Rotan halus dijadikan seperti bola, boleh dibuat lampu. Labu sayung kecil yang dipanggil 'groud'

Penanda buku dari kiri; 1.jerami padi, 2.batang pisang 3.batang pisang juga,
4.orkid kering 4.pandan laut 5.orkid juga,

Alhamdulillah, dalam kekangan masa, Hari Teknik Vokasional SMKUR tahun ini berjaya juga dilaksanakan. Sepanjang tahun jadual sekolah kepenuhan. Jadi, saya selaku ketua bidang, memaksakan diri dan ahli bidang untuk menjayakannya walaupun sehari.

Acara hari ini agak ringkas memandangkan mood pelajar dan guru lebih kepada peperiksaan akhir tahun. Ada acara yang terpaksa dicantas, maka tinggallah dua acara sahaja iaitu Kuiz Tekno dan pameran.

Kuiz tekno adalah untuk pelajar tingkatan 1, 2 dan 3, dan soalan yang dikemukakan berkenaan KHB tingkatan 1 dan 2. Manakala acara kedua iaitu pameran, demonstrasi, dan jualan telah disertai oleh 4 badan iaitu Jabatan Alam Sekitar Seremban, South Waste Management Seremban, usahawan kraf iaitu Normadiah dan MPV Lanskap sekolah kami yang diketuai oleh Cikgu Abd. Rahman.

Jabatan Alam Sekitar menyediakan pelbagai bahan bacaan termasuk poster. Mereka juga membuat demonstrasi menguji asap kereta guru-guru dan tahap keselamatan pendingin hawa kereta.

Manakala South Waste Management pula di samping membuat pameran bahan kitar semula iaitu tayar terpakai dan botol plastik, telah mengadakan demonstrasi membuat kertas kitar semula. Insya Allah cara-caranya masih terpahat kukuh dalam ingatan. Cara-cara membuat framenya pun saya belajar juga dan jika ada kelapangan waktu saya akan membuatnya sendiri.

Sementara itu, Pn Normadiah, seorang usahawan kraf yang agak terkenal kerana beliau sering dijemput oleh badan-badang kerajaan untuk membuat demonstrasi dan jualan kraf seperti bunga kering, kraf daun getah. Biji pinang raja, bunga angsana, pelepah pisang, bunga kertas boleh dijadikan kraf tangan yang sangat menarik. Idea yang saya dapat di sini ialah menggunakan teknik membuat kertas kitar semula tetapi menggunakan serat pokok. Serat boleh terdiri daripada pelbagai tumbuhan seperti jerami padi, dan.. (eh lupa pulak nama dia..). Perasan tak ada sejenis pokok bunga yang daun panjang-panjang tajam di hujungnya dan selalunya diletakkan telur..haa..kan seratnya kasar, potong-potong dan boleh dijadikan kertas kitar semula juga. Tuntasnya apa saja tumbuhan yang mempunyai serat yang kasar cantik dijadikan kertas. Kalau nak bagi cantik lagi, letakkan helai-helai ranggi bunga kertas. (ps daun pandan pun boleh juga).

Nak buat apa dengan kertas kitar semula? Boleh dijadikan penanda buku dengan memotongnya memanjang. Atau dijadikan bingkai gambar. Atau boleh dibuat kraf tangan seperti beg kecil.

Bunga kertas yang berwarna ungu boleh dikeringkan dan dijadikan rantai kunci. Laminatekan dan dibubuh gegelang besi. Bagaimana nak keringkan? Seterika perlahan-lahan dengan suhu sederhana. Warna ungu biasanya kekal.

Puan Normadiah ini sudah pernah ke Jepun dan Ireland untuk produk kraf ini (banyak jenis sebenarnya). Saya suka kerana produk beliau sangat halus buatannya dan beliau tidak lokek mencurah ilmu. Insya Allah saya akan ke Kg Pelegong, Labu untuk menyaksikan industri homestay di sana.

Dalam banyak-banyak hobi saya, membuat kraf tanganlah yang paling saya suka dan paling mudah saya faham berbanding hobi lain iaitu melukis, menulis. Hobi melancong pula banyak sangat kekangannya. Maaf dah termasuk hal peribadi.

Cikgu lanskap kami telah membuka tapak gerai di wakaf yang baru siap dibina hasil usaha sama guru-guru dan pelajar lanskap daerah Tampin/Rembau. Jualan pokok-pokok bunga kelihatan sangat laris. Oleh sebab dalam kepala saya telah disetkan untuk berpindah, jadi saya memandangnya dari jauh saja. Hendak pergi dekatkan takut terkilan sebab tak boleh beli. Di sekolah kami sudah ada taman Nusantara, taman Melayu. Memang cantik hasil tangan beliau. Tahun depan insya Allah taman Islam yang lokasinya berhampiran surau.

Gambar? Hmm, semenjak kamera saya rosak ni, aktiviti merakam gambar sudah tergendala. Tapi insya Allah saya siarkan nanti dengan menggunakan kamera guru-guru lain.

Sunday, October 11, 2009

Azmah Nordin penerima S.E.A. Write Awards




BERPULUH-puluh tahun mengabdikan diri dalam bidang penulisan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilalui. Namun di sebalik perit getir menjadikan bidang penulisan sebagai keutamaan akhirnya terbayar apabila ada pihak yang menghargai usaha yang dicurahkan selama ini.

Sudah pasti segala keperitan selama ini terbayar apabila ada pihak yang nampak bakat dan usaha gigih yang tak pernah berkesudahan dalam memartabatkan bidang penulisan.

Biarpun ada yang memandang sinis dan mengatakan bidang penulisan sebagai bidang picisan tetapi hakikat itu sama sekali tidak benar dan bidang penulisan masih lagi berada dalam kelasnya yang tersendiri sehingga hari ini.

Pelbagai pihak juga memandang tinggi penulis tanah air dengan mewujudkan pelbagai anugerah kepada penulis tanah air sehingga ada yang diberikan gelaran Sasterawan Negara.

Kali ini Azmah Nordin telah membuktikan bahawa dia sememangnya layak digelar writer of the year kerana dianugerahkan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards 2009) bagi negara ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sekretariat tetap S.E.A. Write Awards bagi negara ini dan majlis penganugerahan itu telah berlangsung pada 4 hingga 10 Oktober lalu sempena Minggu S.E.A. Write Awards di Bangkok, Thailand.

Pada malam gala yang diadakan di Hotel Royal Ballroom, Bangkok itu, Azmah telah menerima anugerah tersebut daripada Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn.

Menariknya Azmah diterbangkan ke Bangkok oleh Thai Airways International dan menginap di The Oriental Hotel Bangkok sepanjang minggu selain menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 7,000.

Jika disorot kembali sejarah S.E.A. Write Award ini merupakan anugerah yang diberikan pada setiap tahun semenjak 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara.

Anugerah ini diberikan kepada penulis dari negara ASEAN walaupun bukan semua negara dalam ASEAN menghantar wakil setiap tahun. Anugerah ini kadang kala diberikan melalui hasil tulisan khas penulis atau pencapaian sepanjang hayat. Ini termasuklah dalam pelbagai disiplin seperti puisi, cerpen, novel, drama, cerita rakyat dan pengajian dan keagamaan.

Azmah anak kelahiran Kulim, kini bermastautin di Sabah, Azmah mula melibatkan diri dalam dunia penulisan dengan menghasilkan karya dalam bentuk cerpen dan novel.

Sejak tahun 1987, Azmah sudah menghasilkan 48 buah novel termasuklah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa sehingga hari ini dan pelbagai anugerah yang telah diterimanya.

Kehebatan penulisan Azmah tidak hanya terletak pada novel semata-mata, malah terdapat tiga kumpulan cerpen yang telah diterbitkan oleh DBP termasuklah Singkowoton (1994), Wizurai (1997) dan Kasih Seputih Seroja (2001).

Sebanyak 22 antologi cerpen pilihan juga telah diterbitkan sejak tahun 1989 dan Azmah juga aktif menghasilkan cerpen yang diterbitkan dalam majalah dan surat khabar.

Antara cerpen yang dihasilkan termasuklah Kurnia, Lukah, Hati Seorang Ibu, Tembusu, Singkowoton, Diulit Gelombang, Putut, Cermin dan banyak lagi.

Sepanjang penglibatan beliau dalam arena penulisan tanah air, Azmah juga pernah memenangi dan menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP (1996/1997, Menongkah Arus dan Permainan Kematian), Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP (2000/2001, Kasih Seputih Kemboja) dan banyak lagi.

Bagi Azmah, anugerah yang diterimanya ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna kepada semua penulis negara ASEAN dan sudah pasti dia bersyukur kerana terpilih untuk menerimanya.

Jelasnya lagi, beliau sangat berterima kasih kepada mentornya yang berada di DBP dan seluruh institusi pengajian tinggi di seluruh negara yang selama ini banyak memberikan galakan dan tunjuk ajar.

Menyingkap sejarah lalu, 22 tahun yang lalu Azmah datang ke DBP dengan hanya berbekalkan doa keluarga dan semangat untuk menjadi penulis kreatif dengan menyertai bengkel- bengkel yang dianjurkan.

Sudah pasti selepas 22 tahun bertungkus lumus, penerima S.E.A. Write Awards 2009 ini begitu teruja kerana diberi pengiktirafan setinggi itu.

Azmah juga menganggap bidang sastera adalah 'penulisan berlian' dan sudah pasti anugerah S.E.A. Write Awards adalah 'Anugerah Berlian' dan hanya insan yang bertuah sahaja dapat memilikinya.

Ini ialah Sifu kami. Usaha beliau membuka kelas secara online sangat besar manfaatnya kepada kami. Kelas berjalan tanpa pengehadan jarak atau masa. Puan Azmah sentiasa memberi dorongan, jalan dan prihatin kepada murid-murid mayanya.
Tahniah atas pencapaian Sifu!


Apabila Karim Raslan bercerita

Oleh Hafizahril Hamid


Karim menunjukkan akhbar jakarta globe yang turut memuatkan tulisannya.


bu, saya mahu menulis novel hari ini," kata penulis pojok yang terkenal dengan penulisannya yang kritis dan berani, Karim Raslan ketika hanya berusia lima tahun.

Kata-kata yang diungkap ketika penulis bertemu dengan beliau di pejabatnya di Damansara baru-baru ini jelas menggambarkan kesungguhan dan minat mendalam Karim tentang dunia penulisan sejak dari kecil walaupun kebanyakan kanak-kanak pada usia tersebut rata-rata baru mahu belajar menulis.

Namun bagi Karim yang kini berusia 46 tahun, keinginan dan iltizam beliau untuk menulis sememangnya telah sebati sejak kecil dan ia semakin memuncak apabila meningkat dewasa.

Runtutan pemerhatian dan pengalaman tentang keadaan sekeliling selain mengakui seorang yang sangat kuat membaca membuatkan keinginan untuk meluah dan menzahirkan pendapat melalui penulisan semakin merenggut jiwanya.

Uniknya penulis yang berasal dari Petaling Jaya ini, keperibadian beliau masih menebal dengan ciri-ciri ketimuran serta sangat menjaga pertuturan, sesuatu yang sangat berbeza jika dilihat dengan gaya penulisan beliau yang sangat kritis dan berterus terang tentang apa saja isu dan keadaan.

Sebagai penulis pojok yang menulis untuk beberapa akhbar utama negara selain beberapa akhbar di negara-negara Asean seperti Indonesia, Singapura dan Filipina, ketajaman dan kritikan pedas yang diluahkan seringkali dilihat sebagai satu cubaan provokasi terhadap pemimpin politik mahupun sebagai satira umum berkaitan dengan dilema sosial masyarakat.

Namun kebanyakan kita hanya mengetahui Karim sebagai seorang penulis berbakat besar namun sangat sedikit maklumat yang diketahui tentang peribadi dan latar belakang beliau.

Lelaki yang dilahirkan pada tahun 1963 ini sememangnya mengakui bidang penulisan merupakan perkara yang sudah menjadi darah daging dan beliau menggambarkan hidupnya tidak akan lengkap dalam sehari jika tidak menulis.

Karim berasal dari sebuah keluarga elit di Kuala Kangsar dan berdarah campuran dimana ibunya berasal dari England. Bapanya merupakan akauntan negara Melayu pertama yang turut bertanggungjawab menubuhkan Bank Bumiputera di mana orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi ketika itu.

Beliau membesar di dalam keluarga yang mengakuri tradisi dan amat mementingkan cara lama. Namun kematian bapanya ketika Karim berusia tujuh tahun dalam satu kemalangan benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.

Menurut Karim, bapanya telah dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh bapa saudaranya. Dipandu ke sekolah dengan kereta Daimler, lengkap dengan orang gaji yang menunggu di luar sekolah untuk memberikan minuman dan diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di England.

Keturunan

Namun kemudiannya kembali ke tanah air dengan membawa isteri berbangsa Inggeris dan bekerja di ibu negara. Ayahnya memilih untuk kehidupan moden dan tidak ingin kembali kepada cara lama kerana tidak mahu terperangkap dengan kesombongan keturunan yang terlalu mementingkan status dan kedudukan. Bapanya begitu mementingkan soal kemajuan dan pembangunan melalui pemerintahan yang baik dan peluang untuk semua.

Walaupun hanya bersama dengan ayahnya untuk tempoh yang singkat namun adalah jelas sifat dan karakter bapanya banyak mempengaruhi sikap dan pendirian Karim dalam kerjayanya sekarang.

Satu sikap yang sangat menonjol dalam diri Karim ialah walaupun berasal dari golongan elit tetapi golongan rakyat kebanyakan merupakan topik utama yang menarik minat beliau untuk menulis.

Setelah kematian bapanya, ibunya membawa Karim dan adik beradiknya pulang ke England pada 1970. Beliau dibesar dan disekolah di sana sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge dalam jurusan bahasa Inggeris dan undang-undang. Memandangkan Karim sudah membuat keputusan untuk menjadi penulis sejak kecil beliau pada awalnya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan dan kewartawanan.

Tetapi pesanan dan nasihat yang diberikan ibu tercinta supaya melanjutkan pelajaran dalam bidang guaman untuk masa depan yang lebih baik membuatkan beliau akur dengan kehendaknya.

Namun Karim melihat keputusan tersebut sebagai sesuatu yang betul kerana ia membenarkan beliau menggunakan jaringan luas bapanya untuk membantu dalam perniagaan serta bidang penulisan.

Setelah menetap di England selama 17 tahun, Karim membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia pada 1987 kerana bosan berada di sana selain mengikut naluri bahawa negara ini adalah yang terbaik untuknya meneruskan kehidupan.

Beliau kemudiannya terlibat dalam banyak perkara mendirikan syarikat guaman, menjadi pengacara dan sebagainya namun yang pastinya keinginan sebenar beliau adalah menulis. Maka Karim membuat keputusan berundur dan dan menjual syarikat guamannya untuk menumpukan perhatian kepada bidang penulisan sebagai penulis bebas dan penyunting untuk pelbagai akhbar.

Berbicara mengenai Karim pasti tidak akan sah jika tidak menyentuh tentang bukunya yang mendapat sambutan ramai iaitu Ceritalah 1, Malaysia Dalam Peralihan dan Ceritalah 2, Menjajat Asia Tenggara. Terbaru beliau akan melancarkan buku terbaru, Ceritalah 3, Impian Malaysia yang tertunda. Kedua-dua buku beliau yang pertama jelas menggambarkan pemikiran kritis Karim tentang sudut pandangan politik dan sosial mengenai Malaysia dan negara serantau.

Menyuarakan

Dalam Ceritalah 1 beliau dengan lantang menyuarakan pandangannya tentang permasalahan sosial masyarakat dan serakah politik yang berlaku di dalam negara. Dalam Ceritalah 2, hasil penulisan beliau semakin matang dan berpengaruh bersesuaian dengan kematangan usianya selain pengalaman luas beliau dalam pengembaraan.

Mengenai pengembaraan, satu sudut yang pastinya sangat dicemburui oleh semua wartawan dan penulis (termasuk saya) dan kerana itu penulisan beliau sangat mendalam, kemas dan berpandangan jauh.

Pengembaraan bagi beliau bukanlah satu pengembaraan biasa seperti pergi melancong dan bersantai, sekadar melihat kawasan dan tempat-tempat menarik. Tetapi pengembaraan bagi Karim adalah turun ke lapangan menemui semua golongan masyarakat dari petani di Jawa Timur, peniaga tepi jalan di Balik Pulau, nyonya kaum Kayan, pelajar perempuan di Manila hinggalah golongan eksekutif dan pemimpin muda yang berpotensi.

Bagi beliau pengembaraan dan turun ke lapangan menyaksikan sendiri wajah dan kejadian yang berlaku menimbulkan keghairahan sebenar dalam penulisan. Apa yang menarik dalam setiap pertemuan dan wawancara, beliau menulis sendiri apa yang diucapkan mereka tanpa menggunakan alat perakam.

Bagi Karim walaupun berasal dari golongan elit namun untuk mendapat kepuasan dan kepercayaan beliau harus benar-benar memahami apa yang mereka alami. Dan dari situ beliau akan menulis dengan cara yang jujur dan ikhlas.

Corak penulisan beliau ini lebih kepada kualitatif dan bukan kuantitatif. Karim lebih cuba untuk menghampiri individu dan kehidupan mereka selain menyelami perasan dan kemudian baru ditanya tentang perkara yang lebih provokatif seperti politik dan persekitaran sosial mereka. "Saya sangat suka mendengar. Itu sebab nama siri saya ceritalah. Saya menganggap diri sebagai tukang cerita kerana banyak mendengar cerita orang lain dan kemudian dari cerita tersebut mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku.," katanya

Selain itu bagi Karim adalah penting untuk beliau menulis di dalam kolum akhbar yang dikeluarkan dalam akhbar berlainan bahasa supaya semua orang dapat membacanya tanpa mengira kaum dalam bentuk malaysia

Ini adalah bersesuaian dengan pendirian beliau sebagai seorang warga Malaysia yang sederhana dan berada di tengah-tengah dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok ekstremis.

Beliau merupakan seorang yang sangat prihatin dan bimbang tentang apa yang akan dilalui oleh rakyat namun tugasnya adalah sekadar memasukkan idea yang mungkin boleh diterima tetapi sama ada idea itu mahu digunapakai adalah terpulang kepada mereka.

"Saya bukan orang politik dan saya bukan orang yang boleh membuat keputusan kerana bukan pemerintah.

"Namun bagi saya adalah penting untuk menulis di mana sahaja tanpa mengira pendapatan kerana penulisan itu bakal dibaca oleh pelbagai peringkat dari golongan biasa hinggalah mahasiswa dan ahli politik supaya saya dapat memberi perspektif yang berbeza kepada mereka," katanya mengakhiri bicara.