Thursday, March 20, 2008

The Gladiator vs Ahmad Luqman Danial...

Assalamualaikum...
Uhh...

Banyak titik pula entri kali ini. Terpulang nak memberi intonasi sendiri.
Kusangka kisah "the gladiator" sudah berakhir, rupanya ada sambungan. Macam telenovela pulak.
Pada 29 Jan. yang lepas, Danial demam. Dibawa ke klinik kesihatan dikatakan tidak demam, tetapi menjelang malam badannya panas benar, seperti semalam. Puas saya menuamnya dengan air asam jawa, dia asyik menangis. Saya mendukungnya dan menepuk-nepuknya di bawah kipas. Petang saya ke klinik swasta, doktor menasihatkan saya membawa Danial ke hospital. Saya ke hospital Tampin. Darah Danial diambil dan didapati berkuman, disyaki menigitis. Pada malam itu kami dibawa dengan ambulans ke Hospital Besar Seremban. Di sana Danial di scan, akhirnya didapati di dalam kepala terdapat "collection" yang tidak diketahui. Maka kami dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan kecemasan..

Hari kedua di HKL, kepala Danial dioperate. Belas sungguh tengok bayi yang tidak mengerti apa-apa ini. Dari kepalanya yang berjahit disalurkan satu tiub untuk mengalirkan saki baki collection yang dikenal pasti sebagai nanah. Demamnya tidak kebah-kebah, sejuk sekejap kemudian panas balik. Danial discan sekali lagi dan didapati masih terdapat collection di sebelah kanan kepala pula. Sekali lagi kepalanya ditebuk. Satu tiub lagi keluar daripada sebelah atas kepalanya. Ngeri betul saya melihat, mengangkat dan meriba, memangkunyanya. Sesekali dia diberikan bantuan oksigen. Jika perlu dia dimasukkan air.

Kami dibawa pulang ke Hospital Besar Seremban untuk rawatan susulan. Didapati demamnya masih tidak kebah. Danial discan lagi dan didapati wujud pula satu collection! Keesokan hari dia discan sekali lagi, dan, collection itu didapati semakin membesar! Kami dibawa ke HKL sekali lagi. Buat kali ketiga Danial dioperate, kali ini major operation. Pembedahan melintang seperti budak perempuan memakai cekak rambut memakan masa 4 hingga 5 jam. Staf nurse menunjukkan nanah berketul yang dikeluarkan. Demam Danial masih tidak baik sehingga minggu ketiga. Dia tidak memandang saya apa lagi untuk "bertegur sapa". Dia banyak menangis kesakitan. Hiba sungguh sesiapa yang melihatnya. Ada masa saya terpaksa memangkunya, mendukungnya kerana dia akan menangis sebaik dia diletakkan di atas tilam. Luka kita yang sedikitpun terasa sakit, apa lagi tiga luka di kepala!

Saya meminta jasa baik pakar bedah, iaitu Mr Azmi supaya Danial mendapat rawatan selengkapnya di HKL sahaja, tidak dipindahkan ke Hospital Besar Seremban. Rawatan anti biotik ialah selama 6 minggu, dan 7 minggu saya bercuti. Oh...

Banyak betul cabaran menjaga bayi sakit dan meniti hari-hari di hospital. Ketika dia demam, serba salah kita dibuatnya kerana demam, atau kuman yang telah menjangkiti kepala, pesakit boleh diserang sawan. 3 minggu saya berada dalam kecemasan. Saya bertanya doktor dan staf nurse sama ada antibiotik yang diberi tidak sesuai dengan anak saya, tapi jawapan yang sama diberikan iaitu; untuk e coli, antibiotik rocephinelah yang paling sesuai. Tapi syukurlah akhirnya panas badan baby Danial sudah hilang... Barulah saya rasa macam berpijak di bumi!

Kepada penjaga/ pesakit wanita ada masalah lain tinggal di hospital. Tempat untuk solat sangatlah tidak kondusif. 5 bilik hanya disediakan satu tempat solat, itupun di bilik pesakit lelaki. Ruangnya hanya boleh memuatkan seorang! Kalau kita berada di bilik 1, untuk meninggalkan anak sendirian di katil, kita akan berfikir berkali-kali untuk ke bilik 5. Ada juga saya solat di tepi katil sahaja tapi situasi ini kurang disenangi oleh petugas hospital. Masjid HKL berdepan wad kami. Pernah satu ketika saya berjaga awal lagi. Anak saya menangis, sakit, lalu saya memangkunya. Azan lalu berkumandang membelah subuh. Nak diletakkan? Sedangkan subuh singkat sahaja. Pagi itu saya solat subuh pakai isyarat... Begitu juga dari segi aurat. Kadang-kadang si ayah yang ambil giliran jaga si anak. Ada juga staf nurse lelaki, jadi saya terpaksa menutup aurat 24 jam. Bukan mudah untuk menjaga solat dan aurat di hospital, jika tidak bersungguh-sungguh.

Jika difikirkan, semasa kita sakit inilah kita sepatutnya bergantung dan meminta lebih daripada pencipta kita. Semasa inilah kita kena lebih bermunajat, merintih dan merayu kepada Maha Penyembuh. Doktor hanya setaraf dengan kita cuma mereka diberi kelebihan ilmu kedoktoran bukan kuasa penyembuh.

Semasa saya mula-mula masuk ke hospital Seremban dahulu dan doktor memberitahu kami kena bersegera ke HKL untuk rawatan, saya tidak dapat menahan hiba. Saya tidak menjangka demam boleh membawa masalah jangkitan di kepala dan berminggu-minggu akan tinggal di hospital. Setelah saya sampai di HKL, satu fenomena baru saya temui. Tuhan ingin memberitahu saya, bayi saya bukanlah yang paling malang. Pelbagai penyakit yang berhubung dengan 'kepala' atau nuero saya lihat. Bayi yang kepala ada air, dan membesar. Ketumbuhan, tumor, barah. Ada kanak-kanak yang mengidap barah tahap 4, setelah dibedah kanak-kanak tadi separuh koma. Sebelum masuk ke dewan bedah masih boleh bercakap dan bermain, tapi hingga sekarang masih belum sedar. Macam-macam keadaan yang saya lihat, dan ini menjadikan saya sungguh insaf dan bersyukur kerana hingga hari ini anak saya masih baik berbanding kebanyakan pesakit di sini. Sekarang kami sudah berada di Rembau dan baru memulakan balik kehidupan kami seperti sedia kala. Namun, saya akui, untuk menjaga anak sakit cabaran sangat besar. Sebelum pulang saya dibekalkan anti biotik yang perlu diambil dan 2 ubat lain. Saya sukar menafikan kerisauan saya jika collection itu akan wujud kembali kerana doktor mengatakan kemungkinan itu boleh berlaku. Saya banyak memberikan anak saya air zam zam dan akan mengambil air penawar daripada mana-mana ustaz /pengamal perubatan alternatif.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi peluang lagi saya menjaga anak ini. Sebelum anak saya dibedah, saya berdoa supaya Allah sudi menyambung khidmat penjagaan anak ini kepada saya. Saya bukan ibu terbaik tapi saya akan cuba buat yang terbaik saya boleh buat. Saya juga "berbisik kepada arwah Sarah" supaya bersabar, jangan minta lagi baby Danial, biarlah saya menjaganya dahulu. Nanti kita berjumpa juga di sana...

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga saya yang sangat mengambil berat kebajikan kami anak beranak, berulang menziarahi kami, mendoakan kami, menghulur bantuan yang diperlukan. Pakar bedah, para doktor, staf nurse, semua staf / pekerja di hospital Seremban mahupun Hospital Kuala Lumpur. Juga para sahabat yang sentiasa mengambil berat, menghulur bantuan, menitip doa, memberi semangat. Sms yang dikirim banyak membantu terutama ayat Quran, hadis, zikir, kata-kata hikmat dan semangat.

Juga kepada penderma darah grup O. Danial terpaksa mendapat bekalan darah tambahan lebih kurang 4 paket setengah. Terima kasih kerana terpaksa mengetepikan kepentingan peribadi demi membantu pesakit yang tidak pernah dikenali.

Sekali lagi terima kasih kepada ahli keluarga saya yang berada di kampung Pasir Pekan yang sanggup melakukan program akikah untuk baby Danial walaupun sewaktu itu kami berada di HKL. Kakak saya memberitahu ramai tetamu yang hadir dan gulai kuzi kambingnya juga sedap. Syukur. Semoga anak saya pulih sepenuhnya. Azam saya untuk mendidiknya ke arah agama, menghantarnya belajar keperingkat tertinggi dalam bidang agama dan menjadi pejuang Islam. Runsing saya memikirkan anak bangsa, terutama bangsa Melayu yang dirundung gejala sosial.