Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
yunus.yakkub@kosmo.com
--------------------------------------------------------------------------------
SEPERTI lazimnya, dia akan bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk menghirup udara segar sambil memanjat kesyukuran kerana masih bernafas untuk meneruskan kehidupan.
Meskipun rutinnya agak ketat, dua keping roti serat disapu mentega dan sebiji pisang pasti akan dijamahnya sebagai sarapan pagi.
"Jika tidak pun saya akan makan biskut gandum dan minum secawan kopi. Semua ini menjadi kemestian bagi saya untuk memulakan hari dengan penuh tenaga," ujar penyanyi dan penghibur terkenal, Anita Sarawak.
Anak kepada pasangan seniman S. Roomai Noor dan Siput Sarawak yang mesra disapa sebagai Kak Nita itu telah menjangkau umur 58 tahun. Membiasakan rutin harian yang sibuk sejak karier seninya bermula ketika dia berumur 15 tahun, Anita mendakwa itu telah menjadikannya individu yang berdisiplin.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Dengar Ini Cerita tidak menafikan setiap manusia mendambakan kesempurnaan, kecantikan dan hidup sihat.
"Apabila kita menjangkau umur 50-an kita akan sentiasa risau. Idea penuaan mula membelenggu kita. Namun, sudah menjadi tradisi dan realiti bahawa setiap manusia tidak mampu lari daripada kitaran tersebut. Sekiranya bijak, kita mampu melambatkan proses tersebut," katanya.
Kalau ditanya apakah rahsia Anita yang kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya, Anita menjawab, selain mengambil pendekatan menjaga kesihatan dalaman dan luaran, dia juga sering berfikiran positif.
Hakikatnya, tekanan dan rutin harian tidak pernah padam dalam kehidupan setiap orang. Tekanan membuatkan seseorang letih dan tidak bermaya.
"Maka, terapkan diri dengan kegembiraan. Ia bergantung kepada diri sendiri dan cara anda mengawalnya," terang Anita yang suka bercucuk tanam.
--------------------------------------------------------------------------------
Dalam diet sehariannya, penyanyi tersebut lebih menggemari makanan yang dibakar dan dikukus. Seminggu dalam sebulan dia akan mengamalkan diet sayur-sayuran.
Makanan yang mengandungi protein pula lebih banyak diambilnya berbanding karbohidrat. Pada masa yang sama, Anita jarang menyentuh menu daging.
Sebagai langkah menjaga pengambilan makanannya, Anita memberitahu bahawa dia tidak akan menjamah makanan selepas pukul 8 malam. Dia juga mengamalkan minum lapan hingga lima belas botol air mineral sehari dan memastikan sekurang-kurangnya terdapat sebotol air kosong di tepi sudut katilnya sebelum tidur.
"Untuk mencapai stamina semasa menjayakan persembahan, saya akan menghabiskan masa di antara 20 hingga 30 minit setiap hari menggunakan mesin kardiovaskular," ujarnya.
Melakukan aktiviti fizikal dan berpeluh amat penting kerana ia dapat menyingkirkan toksik dalam tubuh.
Bagi Anita, melakukan kerja rumah seperti menyapu atau mengemop lantai, mengemas rumah dan menaiki tangga juga adalah aktiviti yang menyihatkan daripada langsung tidak berbuat apa-apa.
Tambah Anita: "Setiap enam bulan sekali, saya akan menjalani pemeriksaan kesihatan. Kita hanya berjumpa doktor apabila kita sakit. Bukankah lebih baik jika kita dapat mencegahnya terlebih dahulu?"
Daya ingatan
Melihat dari perspektif figura lain, mungkin ramai yang ingin mengetahui rahsia sejarawan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim mengasah daya ingatan yang kuat pada usia 73 tahun.
PEMAKANAN yang sihat dan seimbang mengikut kawalan tertentu adalah antara kunci kesihatan warga emas.
--------------------------------------------------------------------------------
"Sebenarnya, saya tiada jawapan kerana saya hanya membaca setiap hari. Dengan membaca, kita bukan sahaja mendapat banyak maklumat malah dapat menjana pemikiran.
"Otak akan bertindak menyimpan maklumat apabila ia membabitkan pemikiran kritis. Apa yang perlu adalah menfokuskan kepada sesuatu," katanya yang mahir dalam bidang sejarah selama enam dekad.
Kay Kim berpendapat, mengkaji dan menghayati sejarah itu mampu menambah kecerdasan seseorang. Akal seseorang akan menjadi semakin tajam, berpandangan jauh, cekap dan sentiasa memikirkan kesan jangka panjang bagi setiap tindakan, isu dan peristiwa.
"Otak kanan yang terlibat dengan imaginasi dan pemikiran kreatif mampu diasah dengan fakta sejarah. Ia juga membantu meningkatkan penggunaan kuasa otak sepenuhnya," kata Kay Kim.
Bahan bacaan sejarah juga membantu meningkatkan kemahiran menganalisis, membanding, meramal dan membuat kesimpulan. Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan kemahiran logik dan kreativiti.
Rasional dalam menentukan atau menyingkap rahsia panjang umur sukar untuk didefinisikan memandangkan sifatnya yang subjektif. Namun, amalan pemakanan sihat antara penyumbang atau faktor ke arah matlamat tersebut.
Diet sihat
"Pemakanan yang mengikut konsep piramid makanan hakikatnya memenuhi keperluan diet sihat manusia. Pada masa yang sama, ia mengelakkan kekurangan atau pengambilan zat berlebihan yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit," kata Pakar Kesihatan Usia Pusat Perubatan Pantai, Dr. Rajbans Singh.
Apakah makanan yang sesuai untuk warga emas? Golongan tersebut, kata Rajbans, seharusnya mengambil pelbagai jenis makanan kerana tiada satu jenis makanan pun yang boleh membekalkan kesemua zat keperluan tubuh.
"Makanan yang mengandungi kanji seperti nasi, roti, mi dan ubi dapat membekalkan tenaga. Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula dapat membekalkan vitamin, mineral dan serat bagi mencegah masalah seperti sembelit.
"Apabila usia meningkat, tulang mudah reput. Jadi makanan yang tinggi kalsium seperti susu rendah lemak, ikan bilis, tauhu, tempe dan sayuran berdaun hijau perlu diambil. Pada masa yang sama, nasihat daripada pakar pemakanan masih diperlukan dalam menentukan corak diet tersebut," terangnya.
ANITA (kanan) masih menunjukkan persembahan dan aksi yang bertenaga, sama seperti gandingannya, Sheila Majid, mengalahkan artis-artis lain yang jauh lebih muda daripadanya.
--------------------------------------------------------------------------------
Sayur-sayuran bertindak sebagai antioksida dan merupakan zat penting yang dapat mengurangkan kesan negatif radikal bebas. Radikal bebas itu bertindak sebagai bahan reaktif yang berupaya memusnahkan sel membran, tisu dan organ.
Selain itu, pengambilan multivitamin boleh membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih yakin.
"Bagi memastikan tubuh menjalankan fungsinya dengan betul, kita digalakkan mengambil suplemen dalam bentuk multivitamin. Apabila umur menjangkau 50 tahun, pengambilan nutrisi perlu selaras dengan gaya hidup," ulas Rajbans.
Perubahan gaya hidup turut mempengaruhi motivasi seseorang untuk bersenam. Meskipun begitu, masih belum terlambat bagi mereka yang berumur lebih 50 tahun untuk mengekalkan kecergasan mereka dengan melakukan aktiviti yang sesuai dengan usia mereka.
"Pada peringkat permulaan, aktiviti berjalan kaki dan melakukan aerobik (berintensiti rendah) di antara 10 hingga 15 minit sudah memadai," kata Ahli Fisioterapi Persekutuan Bola Sepak Malaysia, Mohd. Nasrul Ahmad Tajuddin.
Walaupun senaman penting untuk kesihatan, seseorang perlu tahu keupayaan badan dan tidak perlu terburu-buru untuk mencapai kecergasan yang maksimum terutama apabila sudah berusia.
Secara ringkasnya, manfaat daripada bersenam adalah sebagai pelengkap rawatan dan menjadi agen pengawal semua penyakit gaya hidup.
"Selain melancarkan aliran darah, mengawal tekanan dan paras gula dalam darah, senaman juga mampu meningkatkan daya ingatan dan membuatkan seseorang itu kelihatan awet muda," tambahnya.