Showing posts with label Danial. Show all posts
Showing posts with label Danial. Show all posts

Monday, November 14, 2011

Selamat Hari Lahir Ahmad Luqman Danial


Hari ini genaplah usia anak bungsu saya 4 tahun. Entri ini sekadar tanda kenang-kenangan akan perkembangannya.

Saya sudah sangat bersyukur kerana kosa katanya sudah bertambah. Saya tidak sepatutnya membandingkan pencapaiannya dengan kanak-kanak seusianya. Pada kes-kes tertentu saya terpegun sejenak kerana tidak sangka dia boleh berbuat demikian.

Awal bulan ini saya telah memasang sebuah rumah burung di sisi rumah kami, berhampiran dengan pokok akasia. Redup dan nyaman amat sesuai untuk 2 pasang serindit (love bird) kami. Hijau, kuning dan biru, sungguh comel. Tiga hari lepas, ketika saya dan Danial ke rumah burung tersebut, beria-ria Danial memberitahu (dalam bahasanya) makanannya (sekoi) telah habis. Saya perhatikan bekas makanan masih separuh berisi, tetapi dia berkeras mengatakan makanan sudah habis.

Sayalah yang teruk. Untuk makluman, bijirin sekoi berbentuk bulat halus. Serindit ialah sejenis burung yang teliti dalam bab pemakanan. Mereka akan bertenggek di bekas makanan dan mengupas/ menguliti bijirin itu dan memakan isinya sahaja. Yang terdapat dalam bekas itu hanyalah kulitnya (yang masih elok, tidak hancur).

Saya lalu mengambil bijirin itu lalu mengisikannya ke dalam bekas makanan. Oh, Danial lebih bijak daripada saya! Selama ini dia memerhatikan tabiat burung ini bersama-sama abangnya Zahid dan syamil..huhu..

Melahirkan Danial, menjaganya dan membesarkannya merupakan saat-saat paling mencabar bagi diri saya. Dia dilahirkan dalam kegelutan hidup kami. Dugaan hebat dan perit.

Pada malam saya ke hospital untuk bersalinkannya, itulah pertama kali saya menaiki ambulans. Kemudian, dia dimasukkan ke wad di Hospital Tampin sebanyak 2 kali kerana kuning. Semasa usianya 36 hari dia kemalangan, mengalami pendarahan beku di kepala. Sebulan lebih selepas itu dia dibedah 3 kali dan terlantar di HKL selama 7 minggu.

Perkembangan dirinya tidak seperti kanak-kanak lain. Kadang-kadang saya rasa bosan untuk membawanya bertandang ke rumah sesiapa. Sesiapa yang tidak memahami keadaannya akan membuat ulasan yang kurang sedap dihadam telinga. Karenah Danial pun satu, agak lasak.

Selepas berpindah dari N. Sembilan ke Kelantan, Danial diserang demam panas dan ditahan di wad pula. Pernah kakinya patah kerana ditimpa televisyen (dia jugak yang panjat)..

Semoga Allah mengampunkan saya kerana kadang-kadang bersungut. Saya perlu bergaul dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang bermasalah sama. Berbincang meluaskan minda.


Sesekali saya berfikir setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya mempunyai 7 orang anak. Seorang sudah berpulang kepada pemiliknya dan yang tinggal dengan saya ialah Syamil dan Danial. Syamil akan menyambung pelajaran ke tingkatan 1 tahun depan. Kalau Syamil dapat ke sekolah berasrama, maka tinggallah saya berdua sahaja dengan Danial. Ya, itulah hikmahnya. Mengapa Allah kurniakan saya dengan Danial setelah 8 tahun usia Syamil dan ketika itu saya sudah berusia 43 tahun...

Saya perlu sedar bahawa setiap sesuatu yang Allah jadikan ada kadar kadarnya/had hadnya. Pelajaran Danial?, pekerjaan Danial? Masa depan Danial? Itu sudah dihitungkan Allah. Saya perlu bertadabbur, berusaha dan bertawakkal kepada Allah yang mencipta Danial. Dia lebih mengetahui akan ciptaan-Nya.

Thursday, February 03, 2011

Brave New World



Danial bergambar bersama-sama sahabat barunya di Tadika celik Minda.

Dua hari yang lepas, saya telah keTadika Celik Minda, Darul Nu'man yang terletak di Wakaf Bharu. Lokasinya adalah di tepi jalan menuju ke sekolah saya. Akhir tahun lepas saya sudah meninjau tadika ini. Tetapi menjelang awal tahun saya masih tidak memindahkan Danial. Hmm, macam2 masalah yang timbul. Terdahulu saya telah berbincang dengan pegawai perubatan. Menurut beliau, bagi anak2 yang menghadapi masalah pembelajaran, keperluan survival adalah lebih dahulu yang sepatutnya ditekankan. Biarlah mereka boleh berdikari dahulu, baharulah diajarkan ilmu2 lain.

Tetapi setelah beberapa orang sahabat saya menghantar anak-anak mereka ke tadika Celik Minda, paradigma saya telah berubah.
"Anak-anak mereka sudahlah petah dan bijak bercakap-cakap, hantar pula mereka di tadika. Sudahlah Danial ketinggalan, dihantar ke nurseri sahaja pula." saya bermonolog.

Lantas, saya pun berjumpa sekali lagi dengan bos tadika tersebut. Kami berbual dan berbincang panjang lebar. Lega saya mendengarkan semangat beliau dalam mendidik anak-anak, walaupun untuk kanak-kanak seperti Danial. Setelah mendaftar dan membayar yuran, kami diberikan beg sekolah, buku-buku dan alat tulis. Begitu bangga Danial mendapat bahan-bahan tersebut... Dan kini dia sudah gembira dengan sekolah barunya...

Saturday, January 29, 2011

Kehidupan


Danial setelah 3 hari menjengah dunia.


Dunia ini penuh dengan pancaroba.


Danial sebelum operasi, masih 'sihat'. Kegembiraan hanya sementara kerana tiada sesiapa tahu apa-apa yang berlaku secara senyap-senyap di dalam kepalanya.


Selagi jantung berdegup, selagi ombak menghempas pantai, selagi matahari masih sudi menyerlah menjelang siang, maka selagi itulah gendang kehidupan akan terpalu.

Kehidupan dunia sungguh aneh, sukar untuk dijangka. 2+2 bukan semestinya 4. Sifir kehidupan perlu dicerna, dihadam lumat-lumat.

Untuk permulaan dalam entri yang terdapat sedikit perubahan ini, saya memilih untuk memaparkan kisah yang berlaku seputar kehidupan saya. Danial, atau Ahmad Luqman Danial. Dia ini unik kerana kehadirannya di sisi kami terasa benar untuk menguji sejauh manakah kesabaran dan keimanan kami, walaupun kadang-kadang kami/saya terlupa akan ujian ujian dan ujian yang kami tempoh tanpa notis daripada-Nya.

selepas operasi

Danial dengan 3 siri pembedahan yang harus diredahnya.



Danial kecederaan ditimpa tv. 2 minggu kaki bersimen. Mula-mula sahaja dia rasa janggal. Setelah 2/3 hari, dia dah mula berlari. Simen bahagian tapak akhirnya lembik...


Simen putih bertukar kepada plaster hijau ini. Walaupun nipis, plaster ini keras dan kuat. 3 minggu plaster ini terpasung di kaki Danial. Setelah dibuang, hampir 3 minggu Danial masih berjalan terdengkut-dengkut seolah2 kakinya masih bersimen...




Kehidupan ini penuh dengan keajaiban, teka-teki. Ada duka dan ada suka.
Suka dan duka juga begitu abstrak dan perlu ditaakul dan dijinakkan.


Ini rumah kita. Syukur kerana kita bakal punyai rumah sendiri.


"Saya boleh berlari, bermain dengan bebasnya nanti".
Biarpun rumah ini bukanlah mewah, tetapi bagi saya rumah ini ialah istana kami,
dan segala yang indah adalah di sini. Kami
(saya terutamanya) insyaAllah akan habiskan baki usia kami di sini.


Semasa di dalam kandungan, saya banyak bermunajat supaya anak bungsu saya ini bakal menjadi anak yang soleh, bijak, pejuang agama dan pelbagai doa muluk-muluk. Namun, sebagai manusia teramat lemah, begitu sukar saya untuk mentafsirkan takdir saya.

Baharu beberapa hari dilahirkan, dia ditimpa kemalangan. Perlu menjalani 3 kali pembedahan di kepala, mengalami demam panas yang teruk dan berpanjangan. Impaknya, walaupun sudah berusia lebih 3 tahun, semasa kanak-kanak sebayanya sudah boleh menyanyikan pelbagai lagu, dia pula berusaha menyebut 'kuda' dengan betul.

Pada masa ini, Danial ditempatkan di sebuah nurseri. Cita-cita saya untuk melihat Danial menjadi pejuang agama Allah perlu saya usahakan. Bagaimanakah saya dapat merealisasikan impian ini?