Showing posts with label penulisan. Show all posts
Showing posts with label penulisan. Show all posts

Sunday, October 11, 2009

Azmah Nordin penerima S.E.A. Write Awards




BERPULUH-puluh tahun mengabdikan diri dalam bidang penulisan bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilalui. Namun di sebalik perit getir menjadikan bidang penulisan sebagai keutamaan akhirnya terbayar apabila ada pihak yang menghargai usaha yang dicurahkan selama ini.

Sudah pasti segala keperitan selama ini terbayar apabila ada pihak yang nampak bakat dan usaha gigih yang tak pernah berkesudahan dalam memartabatkan bidang penulisan.

Biarpun ada yang memandang sinis dan mengatakan bidang penulisan sebagai bidang picisan tetapi hakikat itu sama sekali tidak benar dan bidang penulisan masih lagi berada dalam kelasnya yang tersendiri sehingga hari ini.

Pelbagai pihak juga memandang tinggi penulis tanah air dengan mewujudkan pelbagai anugerah kepada penulis tanah air sehingga ada yang diberikan gelaran Sasterawan Negara.

Kali ini Azmah Nordin telah membuktikan bahawa dia sememangnya layak digelar writer of the year kerana dianugerahkan Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards 2009) bagi negara ini.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan sekretariat tetap S.E.A. Write Awards bagi negara ini dan majlis penganugerahan itu telah berlangsung pada 4 hingga 10 Oktober lalu sempena Minggu S.E.A. Write Awards di Bangkok, Thailand.

Pada malam gala yang diadakan di Hotel Royal Ballroom, Bangkok itu, Azmah telah menerima anugerah tersebut daripada Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn.

Menariknya Azmah diterbangkan ke Bangkok oleh Thai Airways International dan menginap di The Oriental Hotel Bangkok sepanjang minggu selain menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 7,000.

Jika disorot kembali sejarah S.E.A. Write Award ini merupakan anugerah yang diberikan pada setiap tahun semenjak 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara.

Anugerah ini diberikan kepada penulis dari negara ASEAN walaupun bukan semua negara dalam ASEAN menghantar wakil setiap tahun. Anugerah ini kadang kala diberikan melalui hasil tulisan khas penulis atau pencapaian sepanjang hayat. Ini termasuklah dalam pelbagai disiplin seperti puisi, cerpen, novel, drama, cerita rakyat dan pengajian dan keagamaan.

Azmah anak kelahiran Kulim, kini bermastautin di Sabah, Azmah mula melibatkan diri dalam dunia penulisan dengan menghasilkan karya dalam bentuk cerpen dan novel.

Sejak tahun 1987, Azmah sudah menghasilkan 48 buah novel termasuklah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa sehingga hari ini dan pelbagai anugerah yang telah diterimanya.

Kehebatan penulisan Azmah tidak hanya terletak pada novel semata-mata, malah terdapat tiga kumpulan cerpen yang telah diterbitkan oleh DBP termasuklah Singkowoton (1994), Wizurai (1997) dan Kasih Seputih Seroja (2001).

Sebanyak 22 antologi cerpen pilihan juga telah diterbitkan sejak tahun 1989 dan Azmah juga aktif menghasilkan cerpen yang diterbitkan dalam majalah dan surat khabar.

Antara cerpen yang dihasilkan termasuklah Kurnia, Lukah, Hati Seorang Ibu, Tembusu, Singkowoton, Diulit Gelombang, Putut, Cermin dan banyak lagi.

Sepanjang penglibatan beliau dalam arena penulisan tanah air, Azmah juga pernah memenangi dan menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP (1996/1997, Menongkah Arus dan Permainan Kematian), Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP (2000/2001, Kasih Seputih Kemboja) dan banyak lagi.

Bagi Azmah, anugerah yang diterimanya ini merupakan sesuatu yang sangat bermakna kepada semua penulis negara ASEAN dan sudah pasti dia bersyukur kerana terpilih untuk menerimanya.

Jelasnya lagi, beliau sangat berterima kasih kepada mentornya yang berada di DBP dan seluruh institusi pengajian tinggi di seluruh negara yang selama ini banyak memberikan galakan dan tunjuk ajar.

Menyingkap sejarah lalu, 22 tahun yang lalu Azmah datang ke DBP dengan hanya berbekalkan doa keluarga dan semangat untuk menjadi penulis kreatif dengan menyertai bengkel- bengkel yang dianjurkan.

Sudah pasti selepas 22 tahun bertungkus lumus, penerima S.E.A. Write Awards 2009 ini begitu teruja kerana diberi pengiktirafan setinggi itu.

Azmah juga menganggap bidang sastera adalah 'penulisan berlian' dan sudah pasti anugerah S.E.A. Write Awards adalah 'Anugerah Berlian' dan hanya insan yang bertuah sahaja dapat memilikinya.

Ini ialah Sifu kami. Usaha beliau membuka kelas secara online sangat besar manfaatnya kepada kami. Kelas berjalan tanpa pengehadan jarak atau masa. Puan Azmah sentiasa memberi dorongan, jalan dan prihatin kepada murid-murid mayanya.
Tahniah atas pencapaian Sifu!


Apabila Karim Raslan bercerita

Oleh Hafizahril Hamid


Karim menunjukkan akhbar jakarta globe yang turut memuatkan tulisannya.


bu, saya mahu menulis novel hari ini," kata penulis pojok yang terkenal dengan penulisannya yang kritis dan berani, Karim Raslan ketika hanya berusia lima tahun.

Kata-kata yang diungkap ketika penulis bertemu dengan beliau di pejabatnya di Damansara baru-baru ini jelas menggambarkan kesungguhan dan minat mendalam Karim tentang dunia penulisan sejak dari kecil walaupun kebanyakan kanak-kanak pada usia tersebut rata-rata baru mahu belajar menulis.

Namun bagi Karim yang kini berusia 46 tahun, keinginan dan iltizam beliau untuk menulis sememangnya telah sebati sejak kecil dan ia semakin memuncak apabila meningkat dewasa.

Runtutan pemerhatian dan pengalaman tentang keadaan sekeliling selain mengakui seorang yang sangat kuat membaca membuatkan keinginan untuk meluah dan menzahirkan pendapat melalui penulisan semakin merenggut jiwanya.

Uniknya penulis yang berasal dari Petaling Jaya ini, keperibadian beliau masih menebal dengan ciri-ciri ketimuran serta sangat menjaga pertuturan, sesuatu yang sangat berbeza jika dilihat dengan gaya penulisan beliau yang sangat kritis dan berterus terang tentang apa saja isu dan keadaan.

Sebagai penulis pojok yang menulis untuk beberapa akhbar utama negara selain beberapa akhbar di negara-negara Asean seperti Indonesia, Singapura dan Filipina, ketajaman dan kritikan pedas yang diluahkan seringkali dilihat sebagai satu cubaan provokasi terhadap pemimpin politik mahupun sebagai satira umum berkaitan dengan dilema sosial masyarakat.

Namun kebanyakan kita hanya mengetahui Karim sebagai seorang penulis berbakat besar namun sangat sedikit maklumat yang diketahui tentang peribadi dan latar belakang beliau.

Lelaki yang dilahirkan pada tahun 1963 ini sememangnya mengakui bidang penulisan merupakan perkara yang sudah menjadi darah daging dan beliau menggambarkan hidupnya tidak akan lengkap dalam sehari jika tidak menulis.

Karim berasal dari sebuah keluarga elit di Kuala Kangsar dan berdarah campuran dimana ibunya berasal dari England. Bapanya merupakan akauntan negara Melayu pertama yang turut bertanggungjawab menubuhkan Bank Bumiputera di mana orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi ketika itu.

Beliau membesar di dalam keluarga yang mengakuri tradisi dan amat mementingkan cara lama. Namun kematian bapanya ketika Karim berusia tujuh tahun dalam satu kemalangan benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.

Menurut Karim, bapanya telah dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh bapa saudaranya. Dipandu ke sekolah dengan kereta Daimler, lengkap dengan orang gaji yang menunggu di luar sekolah untuk memberikan minuman dan diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di England.

Keturunan

Namun kemudiannya kembali ke tanah air dengan membawa isteri berbangsa Inggeris dan bekerja di ibu negara. Ayahnya memilih untuk kehidupan moden dan tidak ingin kembali kepada cara lama kerana tidak mahu terperangkap dengan kesombongan keturunan yang terlalu mementingkan status dan kedudukan. Bapanya begitu mementingkan soal kemajuan dan pembangunan melalui pemerintahan yang baik dan peluang untuk semua.

Walaupun hanya bersama dengan ayahnya untuk tempoh yang singkat namun adalah jelas sifat dan karakter bapanya banyak mempengaruhi sikap dan pendirian Karim dalam kerjayanya sekarang.

Satu sikap yang sangat menonjol dalam diri Karim ialah walaupun berasal dari golongan elit tetapi golongan rakyat kebanyakan merupakan topik utama yang menarik minat beliau untuk menulis.

Setelah kematian bapanya, ibunya membawa Karim dan adik beradiknya pulang ke England pada 1970. Beliau dibesar dan disekolah di sana sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge dalam jurusan bahasa Inggeris dan undang-undang. Memandangkan Karim sudah membuat keputusan untuk menjadi penulis sejak kecil beliau pada awalnya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan dan kewartawanan.

Tetapi pesanan dan nasihat yang diberikan ibu tercinta supaya melanjutkan pelajaran dalam bidang guaman untuk masa depan yang lebih baik membuatkan beliau akur dengan kehendaknya.

Namun Karim melihat keputusan tersebut sebagai sesuatu yang betul kerana ia membenarkan beliau menggunakan jaringan luas bapanya untuk membantu dalam perniagaan serta bidang penulisan.

Setelah menetap di England selama 17 tahun, Karim membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia pada 1987 kerana bosan berada di sana selain mengikut naluri bahawa negara ini adalah yang terbaik untuknya meneruskan kehidupan.

Beliau kemudiannya terlibat dalam banyak perkara mendirikan syarikat guaman, menjadi pengacara dan sebagainya namun yang pastinya keinginan sebenar beliau adalah menulis. Maka Karim membuat keputusan berundur dan dan menjual syarikat guamannya untuk menumpukan perhatian kepada bidang penulisan sebagai penulis bebas dan penyunting untuk pelbagai akhbar.

Berbicara mengenai Karim pasti tidak akan sah jika tidak menyentuh tentang bukunya yang mendapat sambutan ramai iaitu Ceritalah 1, Malaysia Dalam Peralihan dan Ceritalah 2, Menjajat Asia Tenggara. Terbaru beliau akan melancarkan buku terbaru, Ceritalah 3, Impian Malaysia yang tertunda. Kedua-dua buku beliau yang pertama jelas menggambarkan pemikiran kritis Karim tentang sudut pandangan politik dan sosial mengenai Malaysia dan negara serantau.

Menyuarakan

Dalam Ceritalah 1 beliau dengan lantang menyuarakan pandangannya tentang permasalahan sosial masyarakat dan serakah politik yang berlaku di dalam negara. Dalam Ceritalah 2, hasil penulisan beliau semakin matang dan berpengaruh bersesuaian dengan kematangan usianya selain pengalaman luas beliau dalam pengembaraan.

Mengenai pengembaraan, satu sudut yang pastinya sangat dicemburui oleh semua wartawan dan penulis (termasuk saya) dan kerana itu penulisan beliau sangat mendalam, kemas dan berpandangan jauh.

Pengembaraan bagi beliau bukanlah satu pengembaraan biasa seperti pergi melancong dan bersantai, sekadar melihat kawasan dan tempat-tempat menarik. Tetapi pengembaraan bagi Karim adalah turun ke lapangan menemui semua golongan masyarakat dari petani di Jawa Timur, peniaga tepi jalan di Balik Pulau, nyonya kaum Kayan, pelajar perempuan di Manila hinggalah golongan eksekutif dan pemimpin muda yang berpotensi.

Bagi beliau pengembaraan dan turun ke lapangan menyaksikan sendiri wajah dan kejadian yang berlaku menimbulkan keghairahan sebenar dalam penulisan. Apa yang menarik dalam setiap pertemuan dan wawancara, beliau menulis sendiri apa yang diucapkan mereka tanpa menggunakan alat perakam.

Bagi Karim walaupun berasal dari golongan elit namun untuk mendapat kepuasan dan kepercayaan beliau harus benar-benar memahami apa yang mereka alami. Dan dari situ beliau akan menulis dengan cara yang jujur dan ikhlas.

Corak penulisan beliau ini lebih kepada kualitatif dan bukan kuantitatif. Karim lebih cuba untuk menghampiri individu dan kehidupan mereka selain menyelami perasan dan kemudian baru ditanya tentang perkara yang lebih provokatif seperti politik dan persekitaran sosial mereka. "Saya sangat suka mendengar. Itu sebab nama siri saya ceritalah. Saya menganggap diri sebagai tukang cerita kerana banyak mendengar cerita orang lain dan kemudian dari cerita tersebut mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku.," katanya

Selain itu bagi Karim adalah penting untuk beliau menulis di dalam kolum akhbar yang dikeluarkan dalam akhbar berlainan bahasa supaya semua orang dapat membacanya tanpa mengira kaum dalam bentuk malaysia

Ini adalah bersesuaian dengan pendirian beliau sebagai seorang warga Malaysia yang sederhana dan berada di tengah-tengah dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok ekstremis.

Beliau merupakan seorang yang sangat prihatin dan bimbang tentang apa yang akan dilalui oleh rakyat namun tugasnya adalah sekadar memasukkan idea yang mungkin boleh diterima tetapi sama ada idea itu mahu digunapakai adalah terpulang kepada mereka.

"Saya bukan orang politik dan saya bukan orang yang boleh membuat keputusan kerana bukan pemerintah.

"Namun bagi saya adalah penting untuk menulis di mana sahaja tanpa mengira pendapatan kerana penulisan itu bakal dibaca oleh pelbagai peringkat dari golongan biasa hinggalah mahasiswa dan ahli politik supaya saya dapat memberi perspektif yang berbeza kepada mereka," katanya mengakhiri bicara.

Friday, October 02, 2009

Bengkel Penulisan Novel JPNS 2009

Peserta bengkel - guru-guru perempuan Negeri Sembilan.

Alhamdulillah. Kami guru-guru dari seluruh Negeri Sembilan telah berkampung selama 3 hari 2 malam untuk pembengkelan novel yang bertempat di PSPN Port Dickson (dari 30hb 9, 1 dan 2hb 10 2009). Kira-kira 30 orang guru telah menghadirinya. Kami bertuah kerana pembimbing kami bukan calang-calang orangnya, iaitu Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridwan, Sdr Faisal Tehrani dan Pn. Nisah Hj. Haron.

Sebelum ini kami dikehendaki menyerahkan skrip Bab 1 kami beserta sinopsis untuk disemak oleh pembimbing kami.

Di sini saya turunkan beberapa panduan yang saya peroleh sepanjang sesi perbengkelan tersebut. Terlebih dahulu saya mohon maaflah sebab agak tidak tersusun sebab isi-isinya saya kutip daripada 3 pembimbing secara langsung dan tidak sempat diubah suai.

Tema
  • Apa-apa saja asalkan menarik. Elakkan tema biasa, klise atau berita. Tapi, menurut Dk Dr Anwar, kalau hendak diketengahkan juga kisah biasa, angkatkan kisah tersebut, masukkan unsur-unsur kiasan, menarik supaya penampilannya luar biasa.
  • Sdr Faisal Tehrani pula sering mengingatkan supaya sesebuah novel itu dikenang sepanjang zaman, maka cuba garapkan tema sejarah, agama atau politik. Kalau tema agama, pastikan isu agama dari awal hingga akhir. Kalau kisah kehidupan dan diberi suntikan ayat-ayat al Quran atau hadis, itu masih karya popular, macam novel Ayat-ayat Cinta.
  • Bagi saya pula, buat permulaan, saya menulis drama kehidupan tapi unsur yang diterap mestilah mempunyai nilai murni dari segi isi atau bahasa. Setelah pembaca membacanya, saya harap mereka akan dapat sesuatu panduan... Nak terus tulis isu berat, rasa tidak terdaya.. insya Allah suatu hari nanti.
  • setiap cerita, sebaik-baiknya memberi pengalaman baru, atau membijaksanakan isi yang sedia ada.
Watak
  • Pastikan yang ditulis ialah watak-watak penting saja, yang tidak penting perlu dibuang.
  • Watak utama-protagonis; biasanya ada perubahan rupa, sifat, sikap, dari segi pemikiran dsb. Watak protagonis boleh jadi baik boleh jadi jahat. Contoh watak Hang Jebat mengalami perubahan berbeza dengan watak Hang Tuah yang dari awal menunjukkan watak taat setia kepada pemerintah.
  • Jelaskan semua ciri perwatakan. Dialog yang dituturkan perlu menggambarkan watak itu sendiri. Contoh seorang peguam mestilah bercakap sesuatu yang berkaitan kebenaran/ undang-undang. Berbeza dialog orang kampung dengan orang yang dididik secara bandar.
  • Watak-watak perlu ada roh, kalbu, darah daging (emosi), kasih, riang, marah, jijik, kebinatangan, ada kenangan manis, pahit, peristiwa dsb.
  • Watak antagonis - watak yang menjadi penentang watak utama. Biasanya manusia seperti Hang Tuah. Atau ada juga bukan manusia seperti unsur alam yang terdapat dalam "Ranjau Sepanjang Jalan."
  • Watak yang disukai pembaca; kelihatan dramatik, istimewa, tekun, komitmen, kelakar, pintar/ ada daya tarikan. Kalau watak jahat jadi watak, pastikan ada daya penariknya seperti Hang Jebat.
  • Watak tadi dirincikan seperti ada tabiat tertentu, gemar ulang perkataan tertentu...
Plot
  • Boleh buat ikut kronologi atau mengikut urutan masa ; semalam , hari ini, esok..
  • Boleh imbas kembali. Boleh guna teknik 3/4, 1/4, 2/4 dan peleraian (ini teknik Sifu Azmah Nordin).
  • Kalau yang dah mahir seperti Faisal Tehrani boleh saja bermula dengan penghujung, kemudian 3/4, 2/2 dan 1/4.
  • Rangkakan plot, sub plot dengan lengkap. Buat sinopsis lengkap untuk dihantar kepada penerbit. Juga sediakan pengakhir cerita. Kalau pun nak buat pengakhir yang tergantung, berikan klu atau metafora.
  • Kenal pasti mana peristiwa penting, kurang penting. Peristiwa penting tulis secara terperinci, yang kurang penting tulis sepintas lalu saja.
  • Seperti hendak membina rumah, perlu ada pelan, perancangan teliti. Atau, kepada guru, ada sukatan pelajaran. Kalau boleh buat ringkasan bab-bab secara lengkap, supaya jika kita terhalang untuk menaip kerana sesuatu kerja, nanti bila kita sambung nanti, kita dapat sambung dengan lancar, bila-bila masa.
Bahasa
  • dari segi naratif
  • dari segi dialog- mewakili watak, emosi watak, menggambarkan tahap pendidikan watak tersebut. Pastikan masukkan dialog yang benar-benar penting sahaja, yang dapat menguatkan tema atau plot. Buang dialog lewah seperti "Buat apa tu?" "Menjemur kain" dst.. Masukkan 40% dialog, 60% rincian. Ada penulis yang sudah mahir boleh saja bermain dialog sesuka hati mengikut kreativiti, ulang, sudah mahir...
  • dari segi body language- gambarkan watak yang risau, marah, sedih, bukan secara telling tapi secara showing.
  • Bahasa mestilah yang dapat menyampaikan makna (secara halus), yang emotif, yang mengharukan pemikiran. Seperti Hamka yang bijak bermain emosi sehingga pembaca menitiskan air mata, yang dapat membangkitkan daya fikir, atau dapat menghiburkan pembaca.
  • Kalau karya kanak-kanak, gunakan bahasa mudah, kurangkan pengimbuhan supaya tidak mengelirukan kenak-kanak.
Latar
  • Latar tempat, masa, masyarakat, rincikan. Bayangkan, buat imiginasi.
  • Ada warna, suhu, panas, sejuk, perincian/gambaran waktu hujan dsb. Ini penting supaya pembaca dapat memasukkan diri dalam cerita, dan tidaklah terasa cerita seperti hitam putih atau kaku.
Sudut Pandangan
  • Pertama - boleh saja cuma agak sukar dikembangkan watak, plot.
  • Kedua
  • Ketiga - Ada juga yang menggunakan beberapa watak ketika, contoh Bab 1 watak A, Bab 2 watak B, Bab 3 watak C. Ketiga-tiga watak gunakan aku. Bab 4 pusing balik pada watak 1 dsb.
  • Ada 3 sudut - Sudut pertama, Sudut Kedua, Sudut yang benar (the ringht side)
Pemilihan tajuk
  • Eponim - ambil watak penting - Salina
  • Pentarikhan - 1515 - Faisal Tehrani
  • Pelataran tempat
  • Emosi
  • Dua Kata antonim - "War and Peace"
Ton Cerita
  • serius
  • komedi
  • ringan
Mood cerita
Kalau latar di bandar besar, gunakan bahasa ringkas, kalau latar di kampung, pantai, gunakan ayat-ayat panjang (ini ayat saya, harap betul ya Datuk)

Imbas muka
  • Ramalan atau bayangan tentang apa yang akan berlaku. Contoh cerita klasik Inderaputera semasa lahir diramalkan akan 'hilang' dari pangkuan keluarga/istana ketika usia 7 tahun.

Lain-lain
  • Menulis ikut kekuatan masing-maisng. Jika anda Seorang ahli bahasa, gunakan kemahiran berbahasa anda semaksimumnya. Jika anda suka berfantasi, berfantasilah dengan indah. Kekuatan yang ada pada penulis dapat membaca pembaca ke alam yang dicipta.
  • Nak menulis tentang gejala sosial seperti pergaulan bebas, rempit, murtad? Sentuh sedikit sahaja secara tidak langsung, kerana ia tidak berguna dari segi pendidikan, pemurnian jiwa. Kita kena bertanggungjawab atas apa yang kita tulis. Highlightkan rasa keinsafan, pemurnian. Sebab, ada pembaca hanya membaca kisah-kisah buruk itu dan tidak pun membaca unsur baik. Mazhab Realisme - kita sebagai penulis bertanggungjawab membawa pembaca ke arah kebaikan, bukan memperkenalkan gejala negatif.
  • Cliff hanger- setiap pengakhir bab, pastikan ada tarikan supaya pembaca akan membaca pada bab seterusnya. Jangan pula habis baca bab 1 pembaca sudah memberhentikan pembacaan, macam telenovela..
  • Bab . Novel remaja/kanak-kanak setiap bab lebih kurang 10 muka surat. Dewasa 12 hingga 15 muka surat. Itu standard la. Kalau dah mahir macam Srengnenge tu lainlah, 1 helai pun boleh jadi satu bab.
  • Realisme Magis - peristiwa ajaib- kalau nak buat unsur ajaib, pastikan dari awal sudah diperkenalkan.
  • Dewa dari mesin, contoh; orang jahat akhirnya mati disambar petir - ini penutup atau kebetulan yang lemah. Stail penulisan gaya baru penulis kena berikan harapan.
  • Blurb -ialah ringkasan di belakang buku cerita. Ini bukan sinopsis. Jika hendak dihantar kepada penerbit, tulis sinopsis lengkap, bukan blurp supaya penerbit faham setiap bab.
  • Trivia -ciri-ciri novel popular - hero/heroin mesti kacak, cantik, kaya, menjadi tarikan dsb.
  • Bab pertama - pengenalan - mesti paparkan yang terbaik sebagai daya penarik. Gunakan teknik "point of attack" iaitu pembukaan yang boleh menyerang atau menakluk minda pembaca.
  • Ketika membaca novel atau apa-apa bahan, salin ayat-ayat atau diksi yang menarik, menyentuh perasaan.
  • Hikayat Inderaputera masih bertahan sehingga sekarang disebabkan pemerian/ perincian latar, watak.
Semoga dengan program ini dapat melahirkan guru-guru yang berpotensi dalam bidang penulisan dan besarlah hasrat pengarah pelajaran Negeri Sembilan agar selepas ini akan terbitlah novel-novel bermutu hasil buah tangan guru-guru negeri ini..Insya Allah.

Terima kasih kepada Tuan Pengarah JPNS iaitu Dato' Abdullah bin Mohammad, Dato' Dr. Anwar Ridwan, Faisal Tehrani, Nisah Haron, Pengelola yang diketuai oleh Datin Hajah Azimah bt. Alis, semua AJK yang terdiri dari guru-guru SMK Dato' Sedia Raja, kaki tangan PSPN PD, semua sahabat guru yang telah memberikan idea bernas dan kesungguhan sepanjang pembengkelan ini. Juga kepada anak-anak kesayangan saya yang memahami...

(harap kepada peserta kursus yang ada gambar lain, bolehlah send kepada saya. bolehlah saya tambahkan nanti, insya Allah)

Wednesday, March 18, 2009

Seni buku Jeffers

Siapa kata menulis buku kanak-kanak sangat mudah. Penulis dan ilustrator Oliver Jeffers berkongsi rahsia bagaimana dia menambat hati kanak-kanak seluruh dunia dengan karyanya.




KISAH seorang kanak-kanak yang amat menggemari bintang sehingga mencari pelbagai cara untuk 'menangkapnya', kisah seorang kanak-kanak yang sanggup mengayuh bot ke kutub bagi membantu seekor penguin yang kesedihan, kisah seorang kanak-kanak membantu makhluk asing yang terkandas di bulan pulang ke tempat asalnya, kisah seorang kanak-kanak lelaki yang gemar memakan buku dan misteri kehilangan pokok di hutan yang disiasat oleh sekumpulan haiwan, kesemua kisah itu kelihatan amat menarik bukan?

Itulah antara karya-karya penulis dan ilustrator terkenal, Oliver Jeffers.


SEORANG peminat cilik duduk di atas meja sambil memegang buku Lost and Found di Kuala Lumpur.


"Saya begitu berminat dalam bidang seni dan ingin menghasilkan seni yang menarik. Bagi saya, seni mempunyai cabaran tersendiri. Lagipun, saya percaya kemahiran bercerita ada di dalam diri saya memandangkan saya berasal dari Ireland Utara yang kaya dengan kemahiran tersebut.

"Minat dalam bidang seni dan buku bergambar kanak-kanak bermula beberapa tahun lalu semasa saya bercuti sementara dari universiti dan menetap di Australia. Semasa duduk di tepi jeti pasar ikan Sydney, saya ternampak bayang-bayang haiwan Tapak Kaki Sulaiman di dalam air sekali gus mengingatkan saya tentang buku-buku yang pernah saya baca ketika kecil. Penulis buku yang dibaca itu berjaya mencetuskan minat saya terhadap kepelbagaian ilustrasi dan warna," kata Jeffers yang ditemui di ibu kota baru-baru ini.

Jeffers berada di Kuala Lumpur bagi menyokong seminar bertajuk Words and Beyond. Seminar ketiga anjuran British Council di bawah projek Kesusasteraan Animasi itu menghimpunkan profesional pendidikan sastera dan bahasa Inggeris dari seluruh benua Asia Timur.

Fokus seminar itu adalah potensi kesusasteraan buku ilustrasi kanak-kanak dalam membentuk pemahaman antara budaya, meningkatkan pembelajaran bahasa dan membentuk kemahiran komunikasi.


ANTARA buku-buku karya Oliver Jeffers yang dipamerkan di Kuala Lumpur.


Dilahirkan di Australia Barat pada tahun 1977 dan dibesarkan di Belfast, lelaki Irish ini merupakan seorang artis yang memulakan karyanya di beberapa pameran kecil di Belfast pada tahun 1998 sebelum mula melukis untuk buku bagi syarikat-syarikat penerbitan tempatan.

Kemudian, kakinya melangkah ke menara gading dan berjaya bergelar graduan sijil pengajian asasi dalam bidang seni reka. Dia juga merupakan seorang pemegang ijazah kelas pertama dalam pengajian komunikasi visual di Universiti Ulster pada tahun 2001.

Pada tahun 1999, Jeffers mengembara ke Australia dan Amerika Syarikat sebelum menetap di Sydney dan menjadi pelukis serta ilustrator bebas di pelbagai majalah. Dia juga melukis untuk Lavazza Coffee Company.

Dari tahun 2003 sehingga 2005, Jeffers menimba pengalaman sebagai pensyarah separuh masa dalam bidang seni reka di Pusat Pengajian Seni dan Rekaan Universiti Ulster.

Setakat ini, Jeffers telah menulis dan melukis lima buku bergambar kanak-kanak yang sangat berjaya dalam tempoh lima tahun iaitu How to Catch a Star, Lost and Found, The Way Back Home, The Incredible Book Eating Boy dan terbaru, The Great Paper Caper.

Buku bergambar pertama yang ditulis dan dilukisnya bertajuk How to Catch a Star terbitan tahun 2004 tersenarai dalam kategori Ilustrator Baru Terbaik pada majlis Anugerah Booktrust Early Years 2004.

Sementara itu, Lost and Found memenangi Pingat Emas Hadiah Buku Kanak-kanak Nestle pada tahun 2005 dan Anugerah Buku Terbaik Blue Peter 2006 serta turut disenarai pendek bagi Pingat Kate Greenaway.

Selain itu, buku terbitan 2006, The Incredible Book Eating Boy telah disenarai pendek untuk Buku Kanak-kanak Terbaik Anugerah Buku British 2007.


PARA peminat karya Oliver Jeffers berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan tandatangannya di Kuala Lumpur.


"Buku Lost and Found yang diperkembangkan ke dalam dunia animasi pendek telah ditayangkan di United Kingdom pada Krismas lalu manakala DVD animasi buku itu akan dijual tidak lama lagi," kata Jeffers yang berbangga atas kejayaan buku itu kerana menyentuh perasaan ramai pembaca.

Menggunakan pelbagai medium bagi menghasilkan setiap karyanya, Jeffers berpendirian bahawa seseorang ilustrator itu tidak semestinya menggunakan satu stail atau teknik sahaja.

"Saya suka bereksperimen dengan pelbagai bentuk seni untuk menghasilkan buku-buku saya. Ada yang menggunakan warna air, kolaj dan perisian komputer Photoshop. Untuk buku The Incredible Book Eating Boy pula, saya mengguna semula buku-buku lama sebagai latar lukisan," katanya tersenyum.

Tambahnya, teknik-teknik seni seumpama itu masih digunakan sehingga sekarang, tetapi pada masa yang sama dia sering mencuba teknik baru.

Jeffers menjelaskan, buku kanak-kanak yang biasanya mempunyai 32 muka surat tidak seharusnya bosan dan sebagai penulis dan ilustrator, penyelesaian kreatif perlu diambil agar tenaga dan momentum cerita dapat menarik perhatian pembaca.

"Buku bergambar kanak-kanak sememangnya ringkas kerana kita ingin menarik perhatian pembaca muda. Namun, ia tidak bermaksud sesuatu yang ringkas tidak boleh kaya dengan keperincian, emosi dan warna," ungkapnya.


LAKARAN ilustrasi Jeffers.


Namun demikian, keupayaan Jeffers tidak hanya terhenti dalam penghasilan buku kanak-kanak. Daripada lukisan figura dan seni pemasangan sehinggalah ilustrasi, hasil karyanya sama ada secara solo atau kolektif telah dipamerkan di merata tempat termasuk di Washington, New York, London, Belfast dan Sydney.

Jeffers juga merupakan pengasas bersama koleksi seni OAR yang telah mempamerkan karya itu dalam pemeran 9 days in Belfast, Book yang telah meraih anugerah khas.

"Book adalah satu projek yang unik. Selama 36 minggu, sebuah buku lakaran telah dihantar secara rawak kepada antara empat artis iaitu dua di Brooklyn, Amerika Syarikat dan dua lagi di Belfast.

"Setiap hari Rabu, seorang pelukis akan menerima buku berkenaan dan pada hari Isnin berikutnya, buku itu akan dihantar kepada pelukis lain. Ini bermakna setiap pelukis diberi masa lima hari untuk melengkapkan lukisan yang memberi maklum balas kepada lukisan sebelumnya," jelas Jeffers yang turut memaklumkan bahawa tiada sebarang komunikasi berlaku sepanjang penghasilan buku tersebut.

Book telah memulakan pengembaraan dari tangan ke tangan artis di antara dua benua itu pada 2 Jun 2003 dan terakhir pada 2 Februari 2004.

"Apabila lengkap, buku itu tidak kelihatan seperti buku baru dengan ketebalan yang bertambah dan ditampal di sana dan di sini," selorohnya.

Jeffers turut memaklumkan bahawa dia telah terlibat dalam lebih daripada 25 projek kebajikan seperti WARchild dan World Book Day termasuk di syarikat-syarikat multinasional seperti Orange UK, Lavazza, Sony PSP, Ernst & Young, Harper Collins, RCA Records dan Starbucks.


OLIVER JEFFERS


"Sebagai ilustrator, saya turut terlibat dalam pelbagai kempen pengiklanan dan sungguhpun saya suka berkarya, keseronokannya tidak sama seperti saya menghasilkan buku kanak-kanak. Ini kerana syarikat-syarikat itu telah menentukan agenda yang perlu dan mempunyai tarikh akhir penghantaran. Saya merasakan ia membatas kebebasan artistik yang sedia ada.

"Tetapi sekiranya saya menghasilkan buku bergambar kanak-kanak, saya bebas menghasilkan ilustrasi dan momentum cerita yang sesuai dengan imaginasi dan mesej yang ingin saya sampaikan," ujarnya.

Ketika ditanya apakah inspirasinya, Jeffers berkata: "Segalanya. Apa yang berlaku di sekeliling saya menjadi inspirasi. Ia boleh diperoleh daripada buku lain ataupun daripada perbualan yang terdengar pada satu hari.

"Kerana itulah, teman saya sepanjang masa adalah sebuah buku nota."

Tidak menghairankan apabila Jeffers memberitahu bahawa dia pernah membawa pulang karya-karya pelukis Malaysia untuk dipelajari dan diteliti seperti karya kartunis tersohor negara, Datuk Mohamad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Seringkali digelar penulis yang memenangi anugerah oleh pihak media, dengan rasa merendah diri, lelaki yang karyanya telah diterjemah ke dalam 16 bahasa dan dijual di serata dunia ini tidak mahu kejayaan itu menguasai dirinya.