Showing posts with label ekonomi. Show all posts
Showing posts with label ekonomi. Show all posts

Monday, June 01, 2009

Ssangyong tutup kilang

SSANGYONG Motor, pengeluar kenderaan terkecil Korea Selatan, semalam berkata ia terpaksa menutup kilangnya buat sementara waktu susulan aktiviti tunjuk perasaan pekerjanya berhubung cadangan pengurangan pekerja secara besar-besaran.

“Penutupan ini tidak dapat dielakkan susulan kerugian yang semakin meningkat, yang mana boleh menjejaskan kewujudan syarikat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan di Seoul semalam.

Susulan itu juga, syarikat akan meminta pihak polis membantunya dalam menghalang pekerja daripada menghampiri kilangnya di Pyeongtaek, di selatan Seoul.

Langkah pemberhentian pekerja sudah bermula pada 21 Mei lalu selepas syarikat itu mengumumkan cadangan untuk mengurangkan sehingga 2,646 kakitangan yang mewakili kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan jumlah pekerjanya. - AFP

Ia juga adalah pemberhentian terbesar yang pertama kali berlaku di Korea ekoran krisis ekonomi global.

Bagaimanapun, kakitangan kilang mahu pengurusan syarikat meminimumkan pembuangan pekerja menerusi perkongsian kerja.

Syarikat yang dibebani hutang yang besar itu, pada Februari lalu berjaya mendapat perlindungan mahkamah daripada tuntutan penghutang.

Mahkamah mengarahkan, Shanghai Automotive Industri Corp (SAIC) dari China, selaku pemegang saham terbesarnya, melepaskan penguasaannya dalam pengurusan syarikat itu.

Sejak itu, mahkamah melantik pengurus baru yang kini bertungkus-lumus meningkatkan semula syarikat menerusi pembuangan pekerja dan langkah penjimatan kos.

Ssangyong adalah syarikat kenderaan yang memiliki kepakaran dalam pengeluaran kenderaan utiliti sport (SUV) dan sedan mewah. - AFP

Sunday, March 22, 2009

Selipar Ninakimi jadi kegilaan wanita

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my


Rusyarina bersama selipar dan capal hasil rekaannya.

Rekaan mempunyai keistimewaan tersendiri dan pelanggan berpeluang memilih pelbagai corak disediakan selain menerima tempahan

SENI itu indah. Jika dirujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga, perkataan seni bermaksud karya yang dicipta dengan bakat (kebolehan) hasil daripada sesuatu ciptaan dan ia juga sama erti dengan kebolehan mencipta sesuatu yang indah.

Bertitik tolak daripada perkataan seni itulah seorang gadis manis berusia 25 tahun, Rusyarina Zulkafly mengembangkan ilmu diperturunkan bapanya bagi menghasilkan objek yang cantik dan berguna sesuai minat si empunya diri.


Rusyarina berkata, idea menghasilkan selipar kulit buatan tangan bermula selepas melihat bapanya membuat capal.

“Minat itu juga yang mendorong saya melanjutkan pengajian di dalam jurusan Seni Halus di sebuah institusi pengajian tinggi awam tapi disebabkan masalah peribadi, saya tidak sempat menamatkan pengajian.

“Tapi sehingga sekarang saya masih bercita-cita untuk mendalami ilmu pembuatan dan rekaan kasut kerana saya tahu industri itu punya potensi malah tidak ramai orang memiliki kemahiran menghasilkan kasut,” katanya.

Kini, Rusyarina atau mesra disapa sebagai Nina dipertanggungjawabkan bapa bagi meneruskan kesinambungan tradisi membuat capal melalui perniagaan milik keluarga, NinaKimi Handmade Leather Sandals (NinaKimi).

“Ayah memberi kepercayaan kepada saya untuk menguruskan kilang di Ipoh dan saya sangat bersyukur kerana berkat tunjuk ajar dan dorongan yang diberikan keluarga umpama doa untuk saya terus mengembangkan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, lumrah anak seni yang dikurniakan bakat dan kreativiti membuatkan Nina tekad menghasilkan rekaan selipar kulit bertampal motif khusus untuk wanita. Apabila sambutan yang diterima menggalakkan, rekaan mula dikembangkan pula kepada gladiator kulit yang menjadi kegilaan wanita ketika ini.

“Buat capal memang seronok tapi ia memerlukan kudrat lelaki justeru dengan bantuan dua rakan kongsi, Muhd Rizan dan Muhd Faiz Che Ab Rahman, saya kembangkan lagi rekaan untuk kepuasan sendiri selain memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Tempahan mengikut kehendak pelanggan

Rekaan selipar kulit buatan tangan ditawarkan NinaKimi mempunyai keistimewaan tersendiri kerana menurut Nina, selain berpeluang memilih pelbagai corak yang disediakan, dia juga menerima tempahan seperti diinginkan pelanggan.

“Bukan saja corak dan warna tapi kami juga bersedia memenuhi kehendak pelanggan yang mahukan lakaran (initial) pada selipar kulit seperti nama kekasih, hari lahir atau dijadikan ‘couple flip flops’ untuk pasangan bercinta.

“Ada juga pelanggan yang menjadikan selipar kulit NinaKimi sebagai hadiah kepada tetamu di majlis persandingan. Semuanya tidak mustahil kerana kami bersedia menerima pesanan mengikut kehendak pelanggan,” katanya.

Katanya, ada di kalangan pelanggan yang menempah capal atau selipar daripadanya kerana mengalami masalah kaki tidak normal seperti saiz kaki tidak sepadan atau kaki terlalu besar.

Setiap tempahan akan disiapkan di dalam tempoh dua minggu termasuk proses pemilihan rekaan, saiz dan penghantaran.

“Kilang NinaKimi di Ipoh, Perak mempunyai mesin ‘press’ dan mesin jahit untuk kulit. Jadi proses menyiapkan tidak mengambil masa lama. Biasanya dalam satu hari kami mampu menyiapkan sehingga 23 pasang selipar kulit.

“Selain itu, ia juga bergantung kepada bekalan kulit. Walaupun membeli bekalan kulit daripada pembekal tetap, kami tetap pergi juga ke negeri-negeri tertentu untuk melihat jikalau ada material seperti kulit atau tapak getah yang lebih berkualiti bagi menjamin kualiti produk,” katanya.

Nina berkata, dia menggunakan tiga jenis kulit iaitu kulit lembut, kambing dan biri-biri. Tekstur kulit lembu dan kambing kebiasaannya menjadi pilihan ramai pelanggan kerana ia lebih halus dan lembut.

Motif ditawarkan

Nina berkata, sehingga kini dia telah menghasilkan lebih daripada 50 motif untuk selipar kulit menggunakan tema tertentu seperti Animal Kingdom, Famous Characters, Starry Starry Night, Technicolor Rainbow dan banyak lagi.

“Ramai pelanggan suka melihat rekaan selipar dan gladiator NinaKimi yang berwarna-warni. Kebiasaannya mereka gemar memilih selipar dalam rona terang,” katanya.

Nina bagaimanapun mengakui rekaan motif yang dihasilkan selain datang daripada idea sendiri dan dua rakan kongsi, ia turut dikembangkan daripada buah fikiran pelanggan.

Gadis manis itu juga begitu optimis mengatur perjalanan NinaKimi. Selain mahu mempelbagaikan rekaan, dia juga bercadang untuk membeli mesin hot stamping bagi memudahkan proses melabel barangan kulit buatan NinaKimi.

Syukur dan bangganya saya membaca artikel ni. Harap lebih ramai Bumiputera yang menceburi bidang usahawan ini. Buatlah yang standard dengan jenama luar negeri, saya antara yang tak kisah tentang jenama (import). Saiz kaki saya yang special ni (4) sering susah nak dapat di pasaran sebab tak banyak..Tahniah

Friday, March 20, 2009

AS dilanda bandar khemah

Tidak pernah dibayangkan penduduk di negara yang paling berpengaruh di dunia, hidup melarat dan penuh kemiskinan. Penduduk Sacramento, California meluahkan kisah hidup mereka.




KEMELESETAN ekonomi kian menunjukkan taringnya di negara yang sebelum ini cukup terkenal sebagai kuasa ekonomi dunia. Signifikannya, ia boleh diterjemahkan berdasarkan kewujudan bandar khemah yang semakin membesar di Sacramento, California, Amerika Syarikat (AS).

Jika satu kurun dahulu, kawasan ini dipenuhi oleh khemah kumpulan yang mencari rezeki di tebing Sungai Amerika (American River). Hari ini, kawasan tersebut dipenuhi oleh penduduk yang sudah hilang harapan dan prospek.

Meliputi keluasan beberapa ekar, kemunculan bandar khemah adalah kesan nyata kemelesetan ekonomi AS dan krisis pasaran hartanahnya. Dianggarkan dalam seminggu, seramai 50 pendatang baru akan tiba dan berkhemah di situ.




Bandar khemah itu terletak di kawasan yang cantik iaitu di tepi sungai, langit terbuka dan bercuaca sederhana.

Angka rasmi menunjukkan golongan tidak berumah di Sacramento kini mencecah seramai 1,226 orang. Pada mulanya, sejumlah 300 penduduk berpindah ke bandar khemah selepas semua rumah perlindungan penuh.

Malah, sebuah rumah perlindungan memberitahu pihaknya terpaksa menolak permintaan 200 orang wanita dan kanak-kanak dalam sehari.

Di negeri yang dilimpahi dengan kekayaan dan glamor Hollywood, imej tersebut amat mengejutkan rakyat negara Uncle Sam itu. Kondisinya juga cukup primitif, tiada sebarang bekalan air dan sistem sanitasi yang sewajarnya.

Penduduknya juga perlu berjalan sejauh 4.8 kilometer untuk membeli air botol dari stesen minyak atau kedai serbaguna berhampiran. Jika bernasib baik, pekerja-pekerja kebajikan akan datang menghulurkan makanan percuma dan barangan keperluan lain.

Pengarah Perundangan Loaves & Fishes, badan bukan kerajaan yang membantu meringankan beban golongan malang, Joan Burke memberitahu, situasi itu membuka mata banyak pihak.

"Kita tidak hanya boleh terkejut. Tindakan mesti diambil untuk mengubahnya kerana keadaan ini tidak boleh diterima. Kita sudah kembali ke zaman Great Depression," katanya.


SEORANG lelaki berdiri di tepi unggun api di depan khemahnya untuk memanaskan badan dalam cuaca yang sederhana sejuk di bandar khemah Sacramento.



CASEY RILEY memanaskan air di luar khemahnya.


Pihak berkuasa Sacramento yang menempatkan pejabat Gabenor Arnold Schwarzenegger mengakui pemandangan itu tidak menyenangkan.

Namun, berdepan dengan krisis dan defisit bajet berbilion dolar, mereka tidak ada banyak pilihan, selain menimbang untuk menjadikan bandar khemah itu sebagai satu struktur tetap.

Lebih penting lagi, kawasan itu nanti bakal dilengkapi dengan perkhidmatan kebersihan dan peraturan seperti pengharaman dadah serta minuman keras.

Ironinya, terdapat banyak rumah kosong di bandar Sacramento, sekali gus membuatkan ramai tertanya-tanya kenapa ia tidak digunakan oleh golongan yang tidak berumah itu.

Penulis akhbar The Times, Vikas Bajaj memberitahu, sebanyak 10.4 peratus unit rumah di Sacramento adalah kosong. Kadar itu jauh lebih tinggi berbanding lokasi-lokasi lain di AS.

Namun begitu, untuk mendiami rumah-rumah kosong itu, penduduk mungkin perlu membayar sedikit wang termasuk jika mahu ditempatkan di perumahan mampu milik.


SEORANG petugas persatuan iCare-America memberikan pelbagai barangan keperluan harian secara percuma.


Apabila persoalan ini dilontarkan kepada Datuk Bandar Kevin Johnson, jurucakapnya, Steve Maviglio menyatakan bahawa pihaknya ada memikirkan tentangnya, tetapi tidak mempunyai upaya untuk melaksanakannya memandangkan ia merupakan hartanah individu.

"Kami ada meninjau rumah yang dimiliki oleh Agensi Perumahan dan Pembangunan Semula Sacramento. Masalahnya, rumah kos rendah sudah habis," katanya sambil berjanji pihaknya cuba meneroka segala idea sama ada bersifat sementara atau jangka panjang.

Menyifatkan peningkatan jumlah golongan tidak berumah sebagai masalah serantau, Johnson mengakui akses sebanyak AS$2.3juta (RM8.5 juta) yang terkandung dalam pakej rangsangan bakal membantu Sacramento menyelesaikan masalah tersebut. Tidak terhad di Sacramento, fenomena sama turut berlaku di seluruh AS.

Selaku salah sebuah negeri paling kaya, California memiliki keluaran domestik kasar yang hampir sama dengan sebuah negara Sepanyol dan Itali. Lantas ia menjadi salah sebuah negeri yang menerima kesan kemelesetan ekonomi dan krisis hartanah paling teruk.

Buktinya, kadar penyitaan hartanah melonjak sehingga 327 peratus dan 500 orang kehilangan rumah masing-masing pada setiap hari. Diburukkan lagi dengan pemberhentian kerja secara besar-besaran, ramai golongan kelas pertengahan kini menjadi papa kedana.


SEORANG penghuni bandar khemah, Gennadiy Tomashov menggulung rokok di dalam khemahnya yang tidak terurus.


Penghuni terkini bandar khemah ialah pasangan jurujual kereta, Corvin dan Tina Garland. Hilang kerja pada masa yang sama dan pusat perlindungan sudah penuh, pasangan berusia 50-an itu membeli khemah dengan menggunakan wang simpanan yang ada.

"Tiada siapa terfikir dalam usia sebegini, kami akan kehilangan tempat tinggal. Saya hanya mahu menikmati usia emas bersama suami dan impian itu sudah semakin samar," kata Tina.

Memang ada sebilangan penghuni yang menjaga kebersihan, kemas dan membina tandas. Malangnya, ramai juga yang berpenyakit mental, kaki botol dan tidak menggunakan tandas, sekali gus mencipta keadaan tidak ubah seperti negara dunia ketiga.

Salah seorang pegawai perbandaran Sacramento, Fong memberitahu, pihak berkuasa kini sedang merancang mengubahsuai kandang kuda yang sudah lama kosong untuk dijadikan rumah sementara.

Fong juga menggalakkan projek-projek keluarga angkat yang melibatkan pihak gereja, masjid dan rumah-rumah ibadat lain. Langkah itu boleh menambah ruang pusat perlindungan sedia ada.

Kawasan itu juga pernah dirakam oleh lensa rancangan Oprah Winfrey dan ditonton oleh 40 juta penonton di seluruh dunia. Kebanyakan penghuni di bandar khemah itu terdiri daripada pekerja pembinaan, ladang, kedai-kedai dan restoran.

Dengan ketiadaan rumah yang hendak dibina dan kira-kira 80,000 orang kehilangan kerja, peluang untuk diambil bekerja semula amatlah nipis. Justeru, mereka semua meletakkan harapan kepada pakej rangsangan berjumlah AS$787 bilion (RM2,909 bilion) yang diumumkan oleh Obama.

Presiden itu turut mengumumkan pelan untuk menyelamatkan rumah sembilan juta penduduk daripada disita dengan cara menstruktur semula hutang gadai janji mereka.

"Kemelesetan membuatkan bilangan yang memerlukan bantuan meningkat dengan dramatik. Dalam tempoh setahun, golongan ini mencecah 26 peratus.

"Kita dapat lihat ramai yang tinggal di dalam kereta atau membeli kotak dan tidur di dalamnya. Mereka melakukan apa jua untuk berteduh," tambah Burke.


BILANGAN khemah di kawasan ini bertambah setiap hari berikutan iklim ekonomi Amerika yang tidak menunjukkan perkembangan positif.

Tu la pasal, dok jaga tepi kain orang sangat, kain sendiri dah koyak tak tersedar. Kesihan jugak la dekat golongan ni. Kira dah boleh masuk rancangan' bersamamu' ni..
Tak payahlah nak nasihat kat mereka yang bagaimana nak tangani krisis ni, Oprah ada, Superman ada (semua super duper ada). Satu je nak pesan, JANGAN TINDAS ORANG ISLAM!


Wednesday, March 11, 2009

Suntikan tambahan RM60 bilion

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan suntikan tambahan RM60 bilion menerusi satu lagi pakej untuk merangsang sektor penting dalam ekonomi negara bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Peruntukan itu dijangka dapat membantu negara menghadapi kesuraman ekonomi ekoran kegawatan global.

Ketika membentangkan pakej rangsangan itu di Dewan Rakyat semalam, iaitu yang kedua seumpamanya dalam tempoh lima bulan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakej untuk tempoh dua tahun itu mengandungi empat teras.

Pertama, mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan; kedua, meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas; ketiga, membantu sektor swasta menghadapi krisis; dan keempat, membina keupayaan masa depan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk mengukuhkan keyakinan rakyat dan meringankan keperitan terutama kepada mereka yang mudah terjejas.

"Memandangkan senario ekonomi global yang meruncing, maka pakej rangsangan kedua ini perlu bersifat lebih komprehensif dan bersaiz besar yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi dan kumpulan sasaran. Ini termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur,'' katanya.




Najib mengumumkan pakej itu, yang dianggap sebagai bajet mini, semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Pada 4 November lalu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan pertama bernilai RM7 bilion, yang menurut Najib, sejumlah RM6.5 bilion daripadanya telah diagihkan untuk pelaksanaan projek-projek.

Najib seterusnya mengakui Malaysia berhadapan dengan situasi ekonomi yang amat mencabar dalam senario ekonomi global yang begitu meruncing hingga mengakibatkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berada dalam lingkungan negatif satu peratus hingga positif satu peratus bagi 2009.

Bagi menangani pengangguran, peruntukan pakej itu akan disalurkan ke arah menyediakan 163,000 peluang latihan dan pekerjaan, membiayai kos pengajian bagi program peringkat sarjana dan kedoktoran falsafah serta memberi insentif potongan cukai kepada majikan yang menggaji pekerja yang diberhentikan.

Menurut Najib, kerajaan akan mengambil 63,000 kakitangan untuk mengisi kekosongan jawatan, termasuk 13,000 jawatan pegawai kontrak.

Peluang pekerjaan lain ialah 4,000 tenaga kerja untuk skim perkhidmatan singkat, 1,000 siswazah sebagai guru kontrak, 800 pekerja kontrak bagi Program Cari di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, 1,000 pembantu kesihatan kontrak, 4,500 pegawai banci kontrak, serta 1,700 jururawat dan kakitangan sokongan hospital.

Tenaga kerja skim perkhidmatan singkat dengan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima gaji RM1,200 sebulan manakala guru kontrak siswazah dibayar gaji RM2,000 sebulan. - Bernama


Suntikan diberi memang bagus...Harap suntikan tak menitis kat mana-mana yang tak sepatutnyalah...yer...janganlah ada kes golongan daif yang bergelap rumah, yang tak ada benda nak di makan dibiarkan, budak-budak sekolah tercicir...

Wednesday, December 03, 2008

Duit tanpa sandaran

Bersama Zaharuddin Abd Rahman

MENYAMBUNG perbincangan untuk mengetahui peranan duit kertas hari ini, dalam bahagian kedua daripada tiga siri ini kita teruskan dengan melihat pula perkara berikut:

1. Duit Kertas Fiat (Fiat Money)

Selepas memahami keperluan dan bahagian rizab perbankan, lebih mudah untuk kita faham bagaimana duit kertas hari ini dicipta. Semuanya bermula pada 1971 apabila munculnya Fiat Money iaitu duit kertas yang ada di sekeliling kita hari ini.

Ia wang kertas yang tidak disandarkan kepada apa-apa logam berharga seperti emas dan perak. Ia bukan lagi sesuatu yang melambangkan mata wang sebagaimana diterangkan sebelum ini.

Ada yang berpendapat Fiat Money dicipta kerana jumlah emas yang tidak mencukupi untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi yang begitu cepat. Lombong-lombong emas gagal menghasilkan emas yang mencukupi untuk penciptaan wang.

Maka atas dasar ingin melonjakkan pertumbuhan ekonomi, pergantungan kepada emas fizikal tidak lagi berkesan. Natijahnya Fiat Money dicipta. Perkataan ‘Fiat' berasal daripada perkataan latin yang bermaksud ‘let it be done' (biarkan ia berlaku).

Memang benar, Fiat Money yang wujud hari ini boleh dicetak kerajaan berdasarkan kehendak mereka, sebagaimana yang dikatakan dicipta ‘from the thin air' (daripada angin lalu).

Menurut investopedia, Fiat Money dijelaskan sebagai “mata wang yang diisytihar kerajaan sebagai tawaran yang sah, sedangkan kenyataannya ia tidak ada nilai hakiki dan tidak didukung oleh rizab.

Berdasarkan sejarah, kebanyakan mata wang memang didasarkan pada komoditi fizikal seperti emas atau perak, namun Fiat Money didasarkan semata-mata di atas kepercayaan.”

Jelasnya, apakah asas penciptaan wang kertas hari ini? Ia hanya berdasarkan kehendak dan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap nilainya.

Jika tiba-tiba semua rakyat di dunia, enggan mengiktiraf dolar AS (USD) dalam transaksi mereka. Nilai USD akan menghadapi masalah, demikian juga Ringgit Malaysia (RM).

Nilai wang kertas Fiat ini pula kebanyakannya ditentukan oleh keyakinan manusia kepada kerajaan yang mengeluarkannya, ia dibiarkan terapung (floating) mengikut suasana ekonomi di sesebuah negara.

Sebab itulah jika kerajaan sewenang-wenangnya mencetak wang kertas Fiat, ia sama sekali tidak menjadikannya kaya, malahan nilai mata wangnya semakin jatuh.

Biasanya, apabila berlaku perang atau masalah ekonomi seperti di AS dan Eropah di waktu ini, kerajaan melalui bank negara mereka akan mencetak lebih banyak wang kertas Fiat bagi menghadapi urusan peperangan atau masalah kredit.

Apabila cetakan begitu dahsyat sampai melebihi perkembangan sebenar ekonomi dalam negara berkenaan, inflasi atau susut nilai mata wang akan berlaku. Proses pertambahan jumlah wang kertas dalam pasaran dunia atau sesebuah negara ini dinamakan money supply.

Justeru, cetakan wang kertas dalam sesebuah negara mesti dikawal oleh kerajaan sebaik-baiknya, selaras dengan perkembangan industri dan perniagaan dalam negaranya. Jika jumlah wang kertas yang dihasilkan melebihi kadar pertumbuhan industri dan perniagaan sesebuah negara, nilai mata wangnya akan jatuh merudum dan kuasa beli mengecut.

Tatkala itu inflasi akan berlaku. Contoh mudahnya, jika dulu RM5 boleh membeli ayam sekilogram, selepas inflasi RM5 hanya boleh membeli setengah kilogram ayam.



2. Duit kertas Fiat secara semula jadinya dicipta dengan faedah penyebab inflasi.

Ini satu lagi hakikat yang mesti difahami. Ia berbeza dengan sistem kewangan Islam. Namun saya belum berkesempatan menghuraikan lanjut bagi mengelakkan artikel ini menjadi terlalu panjang.

Dalam sistem konvensional hari ini, setiap duit yang dikeluarkan dianggap barang dagangan (komoditi) yang mesti menghasilkan keuntungan dengan sendirinya. Mereka percaya cara mendapatkan keuntungan adalah melalui faedah yang dikenakan kepada peminjam.

Ini amat bertentangan dengan Islam yang menghalalkan keuntungan dicapai melalui proses jual beli. Mengapa berbeza? Kerana proses jual beli memberi ruang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, membuka peluang kerja, peluang pembekal barangan, pasir, kontraktor dan ramai lagi akan mendapat manfaat daripada proses penghasilan keuntungan melalui jual beli.

Ini sangat berbeza dengan pemikiran konvensional yang ingin menghasilkan duit daripada pinjaman duit. Bagi mereka, duit dan wang dengan sendirinya adalah komoditi. Ia ibarat sebuah rumah, minyak petrol dan gas, kereta, lembu atau ayam yang boleh menghasilkan duit sama ada dengan menyewakannya, menjual atau meminjamkan. Ia mesti membawa hasil pulangan.

Sekali lagi ditegaskan, setiap wang kertas Fiat yang dikeluarkan bank atau sesebuah kerajaan dilahirkan dengan faedah di sebaliknya atau bersamanya, sejak dari mula asal usul penciptaannya.

Katalah Robin satu-satunya manusia berdikari yang ingin menggunakan wang kertas Fiat di Bandar Gotham. Hanya ada sebuah bank di Bandar Gotham, iaitu bank D. Tiada sebarang wang kertas dalam pasaran dunia Gotham ketika itu.

Kini Robin memerlukan wang sebanyak Gotham Dollar 2,000. Permohonan kepada bank dibuat, bank mencipta wang yang diminta dari ‘thin air' tanpa sebarang sandaran. Dipinjamkannya kepada Robin Gotham Dollar 2,000 itu dengan faedah sebanyak Gotham Dollar 500.

Masalahnya, dalam pasaran dunia itu, wang yang wujud hanyalah Gotham Dollar 2,000 kerana itulah duit pertama yang dicipta oleh Bank di Bandar Gotham. Justeru, bagaimana Robin ingin mendapatkan lagi Gotham Dollar 500 untuk menyelesaikan faedah kepada bank D sedangkan tidak wujud Gotham Dollar yang lain selain 2,000 yang baru dicipta tadi?

Jawabnya, Robin terpaksa pergi kepada Bank D sekali lagi, kali ini ingin meminjam Gotham Dollar 500 pula kerana berhasrat ingin menyelesaikan hutangnya dengan faedah. Bank memberi pinjam Gotham Dollar 500 tetapi sekali lagi ia dikeluarkan dengan faedah, kali ini sebanyak Gotham Dollar 50.

Sudah tentu sekali dan berjuta kali lagi, Robin akan ke bank yang sama membuat perkara yang sama dan hutangnya juga tidak akan selesai. Itulah sistem kewangan dunia hari ini. Mereka menganggap setiap duit yang tercipta mesti membawa pulangan. Bezanya, terdapat ramai yang meminjam dan banyak bank yang menyediakannya bermula dari Bank Negara.

Itulah yang berlaku dan itulah asas duit kertas Fiat. Dicipta asalnya oleh Bank Negara dan dipinjamkan kepada bank komersial yang lain dengan faedah, kemudian bersandarkan sistem FR dan money multiplier tadi, ia berkembang biak dalam pasaran sesebuah negara dan mengalir ke luar negara.

Bank negara pula mengesahkan wang kertas Fiat tadi mempunyai nilai untuk membayar segala jenis hutang awam dan swasta. Itulah status tawaran sah yang tercatat di mata wang kertas kita dan USD hari ini.



Hukum wang kertas Fiat dan pandangan ulama.

Disebutkan tadi, wang kertas Fiat tidak disandarkan kepada apa jua precious metal, ia tiada nilai sendiri dan hanya bersandar kepada kepercayaan dan tanggapan umum terhadapnya.

Selain itu, ia juga dilahirkan bersama faedah, nilainya sentiasa mengecut akibat inflasi daripada sistem simpanan kadaran. Jika itulah keadaannya, apakah hukumnya?

Bayangkan individu yang berusaha keras lalu berjaya dan mempunyai simpanan berbilion Ringgit Malaysia. Tiba-tiba akibat kepercayaan antarabangsa kepada RM jatuh, nilai dan kuasa beli yang dimiliki oleh RM turut akan jatuh merudum, inilah proses hiperinflation yang berlaku kepada Zimbabwe sekarang.

Jikalau keadaan ini berlaku kepada Malaysia (semoga dijauhkan Allah), dan jika individu berjaya tadi masih tidak menukarkan wang kertas Fiat yang tersimpan di banknya kepada aset berharga seperti emas, perak dan hartanah, sudah tentu nilai berbilion tadi menjadi beberapa ringgit saja. Adakah sistem mata wang sebegini baik, maju lagi hebat?

Tuesday, December 02, 2008

Syarat guna wang Fiat

Bersama Zaharuddin Abd Rahman

>SAMBUNGAN MINGGU LALU

JIKA mata wang kita berasaskan emas dan perak yang ada nilai tersendiri serta tidak bersandar kepada kepercayaan dan keyakinan serta persepsi umum terhadap ekonomi negara kita, adakah masalah yang disebut tadi akan berlaku? Insya-Allah tidak.

bn Sina pernah berkata: “Ini adalah daripada hikmah yang dikurniakan Allah kepada dua jenis logam ini (emas dan perak) dan kesukaran menemuinya sehingga ia mampu menjadi penyandar nilai usaha manusia (sebagai perolehan dan mata wang), maka jika boleh sifat kedua-duanya (emas dan perak) itu diperolehi dengan mudah (secara tidak hakiki seperti apa yang ada pada mata wang Fiat kertas), akan terbatallah hikmah penciptaannya oleh Allah dan banyaklah yang boleh memilikinya sehingga menyimpannya (memilikinya) tidak sebarang erti.”

Tamadun Islam tidak pernah menghadapi masalah inflasi teruk kerana emas dan perak sentiasa mampu mendapat tempat di hati manusia. Oleh kerana kewujudan emas dan perak terhad, itulah hikmah yang menjadikan nilainya sentiasa kekal.

Jika berlaku sedikit inflasi pada zaman pemerintahan Islam, ia kerana wang sampingan iaitu wang bernama fulus terlebih sebaran di dalam pasaran.

Fulus ialah duit sampingan untuk transaksi kecil. Ia pernah dicipta di zaman pemerintahan Islam, dibuat daripada bahan murah seperti campuran besi dan tembaga tanpa nilai yang tinggi. Nilainya ditetapkan oleh kerajaan dan popular di zaman Al-Malik An-Nasir sekitar 806. Sebelum itu semua zaman pemerintahan Islam menggunakan emas dan perak sebagai mata wang utama.

Menurut Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi, fulus disamakan dengan mata wang Fiat kertas kerana kedua-duanya tiada nilai tersendiri.

Imam Asy-Syafie pernah menolak logam selain emas dan perak sebagai mata wang. Malah, beliau amat tegas sehingga menolak sebarang qiyas terhadap emas dan perak. Namun, ulama mazhab Syafie berpendapat qiyas dalam hal ini masih wujud sekiranya ia mempunyai ‘illahathman (store value).

Melalui persidangan dan mesyuarat Majlis Fiqh Antarabangsa, ulama dengan bantuan pakar ekonomi dan kewangan kontemporari berijtihad secara jama’aie dalam menentukan kedudukan wang kertas Fiat ini.

Adakah ia sama hukum seperti emas dan perak walaupun tidak mempunyai nilai fizikal tersendiri (intrinsic value) atau sebaliknya.

Selepas berbincang pada 1986, petikan keputusan mereka adalah nombor 31 (3/9): Ertinya: Berkenaan hukum wang kertas Fiat, ia mata wang pada hukumnya disebabkan terdapat sifat nilai harga yang lengkap. Oleh itu semua hukum yang ada pada emas dan perak jatuh kepada wang kertas Fiat seperti hukum berkaitan riba, kewajiban zakat, jual beli secara salam, dan seluruh hukum emas dan perak. (qararat wa tawsiat, Majma Al-Fiqh Al-Islami, hlm 40)

Keputusan mengaplikasikan hukum emas dan perak ke atas wang kertas Fiat adalah bertepatan dengan pandangan Umar al-Khattab.

Khalifah Umar pernah berhasrat menjadikan kulit kerbau sebagai mata wang tetapi membatalkannya kerana bimbang ada yang pinjam meminjam kerbau maka jatuh kepada riba. Ini bererti Umar melihat apa saja yang dijadikan mata wang selain emas dan perak, hukum riba tetap ada padanya.

Demikian juga disebut Imam Malik bin Anas: Ertinya: “Sekiranya orang ramai membenarkan sesama mereka menjadikan kulit sebagai mata wang, akan aku larang ia dijual dengan emas dan perak secara tangguh.”

Ia jelas menunjukkan pendirian Imam Malik bin Anas, dan boleh kita adaptasikan pandangannya dengan wang kertas Fiat hari ini.

Jika kita merujuk cara penciptaan mata wang Fiat (yang telah disebutkan di atas), sudah tentu hukum penggunaannya haram disebabkan cara penciptaannya.

Namun, selepas ulama melihat faktor cengkaman ekonomi dunia kontemporari di tangan bukan Islam dan keperluan mendesak penggunaan mata wang Fiat disebabkan tiada alternatif seperti mata wang dinar emas dan sebagainya.

Majlis Fiqh antarabangsa dianggotai ulama Fiqh terhebat seluruh dunia secara sepakat membenarkan penggunaannya, namun dengan syarat mestilah mengikuti disiplin dan syarat sama dengan hukum atas emas dan perak.

Ini kerana ia tetap berfungsi sebagai alat pertukaran dan masih boleh menjalankan fungsi duit di zaman moden ini walaupun tidak sesempurna emas dan perak fizikal.

Fahamilah, fatwa mestilah bersifat praktikal atau ‘menjejak di bumi nyata’. Memang boleh bagi ulama menfatwakannya sebagai haram, namun apakah alternatif yang ada di depan mata di ketika ini.

Kita mengetahui bahawa fatwa ulama tidak dipandang berat oleh pemimpin politik negara umat Islam sehingga dengan segera mereka akan memperkenalkan dinar emas.

Justeru, atas dalil hajiat, umat Islam diberikan keringanan untuk bermuamalat dengan wang kertas Fiat, namun mestilah mengikut disiplin emas dan perak.



Pemain ‘forex trading’ melalui Internet yang pelik

Individu yang meraih untung melalui perniagaan mata wang atau ‘forex trading’ sebenarnya penyumbang kepada inflasi dan menambah lagi masalah ‘money supply’.

Sudahlah fatwa keharusan penggunaan ‘Fiat money’ hanya berlandaskan ‘hajiat tunnazzal manzilat ad-dharurat’ (iaitu keperluan yang tinggi hampir tergolong dalam kategori terdesak), ada individu yang mendakwa Islam menyalahgunakan fatwa ini dengan membabitkan diri dalam ‘forex trading’ melalui platform pelik di Internet. Ia bukan saja ditegah undang-undang Malaysia malah hukum syarak.

Lebih bermasalah apabila kumpulan pemain ini berhujah kononnya leveraj kewangan yang mereka sertai halal tanpa sebarang masalah., padahal hukum sudah ada pada mata wang kertas Fiat yang lahir dengan cara riba juga tidak bersandarkan kepada emas dan perak.

Inikah hasil pendapatan yang ingin dibanggakan? Mengambil untung atas perbezaan nilai satu mata wang Fiat sebuah negara dengan mata wang negara yang lain. Bertenggek atas mata wang kertas Fiat untuk memberi anak dan isteri makan? Fikirkan.

Keadaan ini berbeza dengan orang biasa yang menggunakan mata wang kertas Fiat untuk jual beli seharian. Ia termasuk dalam fatwa keringanan ‘rukhsoh’ dan hajiat yang dimaksudkan oleh fatwa ulama sedunia tadi.

Tidak saya nafikan ada ‘ustaz’ yang tegas mengatakan wang kertas Fiat tetap haram. Memang hukumnya haram namun saya bimbang mereka lupa di dalam poket mereka ada wang jenis ini.

Di atas dasar keyakinan tegas mereka, setiap kali mereka menggunakan wang kertas Fiat, mereka tenggelam dalam dosa. Mereka berdosa kerana seolah-olah menolak fatwa yang memberikan keringanan menggunakannya di waktu ketiadaan wang yang memenuhi kehendak Islam.

Sabda Nabi SAW: “Agama ini adalah banyak memudahkan, dan tidaklah seorang yang terlalu berkeras (atau melampau) dalam urusan agama kecuali mereka akan tewas (dengan kekerasan ) mereka” (Al-Bukhari, bab Iman).

Saturday, November 22, 2008

Jualan motosikal jatuh, ekonomi Singapura memburuk

JOHOR BAHARU 21 Nov. – Jualan motosikal merosot dengan mendadak di negeri ini dan ia memberi petunjuk mengenai ekonomi yang kian memburuk di seberang Tambak Johor.

Semua pihak mengetahui bahawa kebanyakan pekerja Malaysia yang tinggal di sini tetapi berulang-alik ke republik itu setiap hari berbuat demikian menggunakan motosikal.

Sehubungan itu, jualan motosikal baru di sini mencerminkan keadaan ekonomi di Singapura.

Kebelakangan ini, angka jualan tersebut telah merudum dari kemuncak jualan 8,821 buah motosikal pada Julai, semasa harga petrol dinaikkan, turun kepada 5,000 buah motosikal pada Oktober.

“Ini merupakan kejatuhan jualan hampir 44 peratus dan saya tidak melihat angka itu meningkat naik untuk tempoh beberapa bulan akan datang,” kata seorang jurucakap Persatuan Pedagang Motor Johor Baharu.

Perangkaan menunjukkan jualan pada Ogos ialah 7,114 buah dan pada September angka itu merosot kepada 7,012.

“Dengan ketidaktentuan mengenai pekerjaan masing-masing, siapa hendak melabur membeli motosikal baru? Biasanya tempoh akhir tahun merupakan masa apabila para pekerja di Singapura membeli motosikal baru untuk menggantikan motosikal lama atau bertukar kepada motosikal yang lebih bertenaga.

“Perkara itu tidak berlaku sekarang ini. Sebabnya mudah sahaja. Pada masa ketidaktentuan ini, apabila semua pihak sedang bercakap mengenai langkah pemberhentian kerja telah menjadi satu kebiasaan, perkara terakhir yang mahu dipertimbangkan oleh para pekerja Malaysia di Singapura ialah untuk membeli motosikal baru.” kata jurucakap itu.

Singapura kini menghadapi masa hadapan ekonomi yang sukar berikutan krisis kewangan global sekarang ini dan para pekerja Malaysia di sana adalah antara mereka yang menerima kesannya, terutama sekali mereka yang bekerja dalam sektor pembinaan dan pengubahsuaian.

“Kebanyakan rakyat Malaysia itu yang berulang-alik setiap hari menggunakan motosikal. Tetapi, dengan jangkaan pekerjaan akan berkurangan, aliran trafik motosikal akan menerima kesan.

Harga minyak di bawah AS$50 setong

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Harga minyak mentah dunia telah jatuh ke paras terendah sejak tiga tahun lalu kepada AS$48.54 (RM174.74) setong berikutan kebimbangan berterusan terhadap kemelesetan ekonomi dunia yang memberikan kesan kepada permintaan tenaga.

Di New York, kontrak hadapan minyak bermutu tinggi Light Sweet bulan Disember susut AS$4.00 (RM14.40) setong sebelum ditutup pada paras AS$49.62 (RM178.63) di New York Mercantile Exchange, semalam.

Minyak mentah Brent North Sea juga berada di bawah paras psikologi AS$50 setong apabila jatuh AS$0.48 (RM1.72) kepada AS$47.60 (RM171.36) setong, dan ditutup rendah AS$3.64 (RM13.10) kepada AS$48.08 (RM173) setong semalam.

Kejatuhan harga minyak di bawah paras AS$50 (RM180) menguatkan dakwaan tentang kaitan pasaran minyak dengan permintaan.

''Pasaran sedar dengan keadaan kemelesetan ekonomi akan memberi kesan ketara kepada permintaan minyak di negara-negara pasaran baru yang meningkatkan pasaran minyak mentah,'' kata Jason Feer, penganalisis pasaran tenaga Argus Media Ltd. di Singapura.

Penganalisis itu berkata, sentimen diburukkan lagi dengan laporan pengangguran di Amerika Syarikat (AS) negara pengguna minyak terbesar dunia.

Kadar pengangguran AS meningkat ke paras tertinggi sejak 16 tahun menguatkan lagi andaian bahawa negara ekonomi terbesar dunia itu berdepan dengan kemelesetan ekonomi.

Kesatuan Eropah (EU) juga sedang dihantui oleh kemelesetan ekonomi.

''Krisis ekonomi yang melanda menyebabkan harga tenaga berada di bawah tekanan sepanjang malam, dan kerugian dipercepatkan lagi,'' kata John Kilduff penganalisis MF Global.

Kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi global dan kesannya kepada permintaan tenaga telah menyebabkan harga minyak menjunam daripada paras tertinggi melebihi AS$147 (RM529) setong pada Julai lalu.

''Apa yang mengejutkan adalah.... kepantasan kejatuhan harga yang berlaku,'' kata Feer.

''Minyak mentah semakin sukar untuk dijual.

''Pasaran saham dunia yang menjunam terutamanya di Asia, tiada berita positif yang dapat mengembalikan keyakinan kepada pasaran minyak,'' kata Simon Wardell, penganalisis minyak dengan IHS Global Insight.

Para penganalisis berkata, mereka menjangkakan harga pasaran akan terus lemah.

Thursday, October 02, 2008

Empayar Amerika goyah





Gagal tangani penentangan di Iraq, Afghanistan: Ahmadinejad

NEW YORK: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata 'empayar Amerika' semakin menghampiri kejatuhan dan negara kuasa besar tunggal dunia itu patut menamatkan pembabitan tenteranya di negara lain.

Beliau memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam keganasan sedang merebak dengan cepat di Afghanistan ketika 'penjajah' masih berada di Iraq hampir enam tahun selepas Saddam Hussein disingkirkan.

Katanya kehadiran Amerika dan tentera Nato di Afghanistan menyumbang kepada peningkatan mendadak keganasan dan pengeluaran bahan narkotik di negara itu.

"Empayar Amerika di dunia sudah berada di penghujung jalan dan pemerintah selepas itu mesti mengehadkan campur tangan kepada sempadan mereka sendiri," katanya.

Beliau juga menuduh Amerika memulakan peperangan di Iraq dan Afghanistan bagi mendapatkan undi dalam pilihan raya dan menyalahkan 'beberapa kuasa pembuli' kerana cuba menghalang program nuklearnya.

"Beberapa kuasa pembuli cuba mewujudkan halangan terhadap kegiatan nuklear untuk tujuan keamanan yang dilaksanakan Iran dengan mengenakan tekanan ekonomi dan politik ke atas negara ini," katanya.

Ahmadinejad turut mengecam Israel dan berkata "rejim Zionis berada di jurang kemusnahan dan tiada jalan untuk keluar dari lubang jahanam yang dicipta sendiri bersama penyokongnya."

Presiden Iran itu menuduh satu kelompok kecil penipu dikenali Zionis mendominasi pusat kewangan dan pembuat keputusan di beberapa negara Eropah dan Amerika.

Ucapan beliau dibuat beberapa jam selepas Presiden Amerika George W Bush menyampaikan ucapan ke lapan dan terakhir beliau pada perhimpunan PBB itu dengan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas terhadap program nuklear Iran dan Korea Utara.

Bush diberi tepukan kurang 10 saat selepas ucapannya itu yang turut menggesa pemimpin dunia mengambil pendirian terhadap serangan bunuh diri. � AP

Tak sabar nak tengok apa yg akan terjadi.. terutama kpd Bush dan diktator ekonomi dan politik dunia ni.. semua orang Islam tak akan memaafkan segala kekejaman mereka..

Sunday, September 21, 2008

Gergasi ekonomi dunia ranap angkara riba

Oleh Abdurrahman Haqqi

KEKECOHAN berlaku di Bursa Saham di Sao Paulo selepas kehancuran Lehman Brothers, baru-baru ini.


Amalan mengaut faedah tanpa risiko nyata cetus ketidaktentuan sistem kewangan global

AYAT 279 surah al-Baqarah menegaskan maksudnya: "Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat)."

Bukti kebenaran wujud peperangan Allah dan Rasul-Nya terhadap pengamal riba dalam minggu ini adalah kehancuran Lehman Brothers dan Federal Housing Authority sebagai dua gergasi pengamal riba dunia berasal dari Amerika Syarikat (AS). Dan dalam hitungan hari selepas itu, Selasa lalu, satu lagi gergasi kewangan dalam sektor insurans yang beroperasi di 130 negara dan mempunyai 116,000 pekerja tidak termasuk pekerja separuh masa, American International Group Inc (AIG) sedang berada dalam proses untuk tumbang dan tinggal nama.

Bagaimanapun, ada 'tangan-tangan' yang berusaha untuk menyelamatkan AIG kerana ia dikatakan mempunyai keutamaan global sehingga 'pertolongan sesat' yang mulanya akan diberikan sejumlah AS$85 bilion oleh US Federal Reserve (Fed) sudah menjadi AS$500 bilion gabungan ta'awun 'ala al-itsm wa al-'udwan (bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan pencerobohan) bank-bank pusat Eropah, Britain, Jepun, Switzerland dan Kanada di samping Fed sendiri yang menambahkan jaminannya menjadi AS$265 bilion..

Jumlah wang yang begitu banyak yakni AS$500 bilion itu diperuntukkan untuk menyelamatkan satu sistem yang dimusuhi Allah yang mana jika ia diperuntukkan untuk kesejahteraan sebenar manusia sejagat sudah pasti akan lebih menguntungkan kepentingan kemanusiaan daripada kepentingan segelintir pengamal riba.

Penulis tertarik dengan komen yang dibuat oleh seorang profesor di Universiti New York, Nouriel Roubini terhadap 'double standard' kerajaan Amerika ke atas krisis Lehman Brothers dan AIG. Professor di Stern School of Business itu berkata, seperti dipetik Reuters, Khamis lalu: "�We're essentially continuing a system were profits are privatized and � losses socialized."

Sistem ekonomi kapitalis sebagaimana disifatkan Roubini ini adalah sistem orang kufur nikmat yang dianugerahkan Allah Ta'ala. Orang kufur nikmat yang tamak dan kemaruk harta dunia. Mari kita perhatikan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan mempunyai tabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut." (Surah al-Ma'arij: 19-21)

Firman Allah ini dijelaskan lagi dengan satu contoh dalam ayat yang lain maksudnya: "Dalam pada itu, apabila mereka naik bahtera (lalu menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan doa yang tulus ikhlas kepada-Nya. Kemudian setelah Allah menyelamatkan mereka (naik) ke darat, mereka berlaku syirik kepada-Nya. (Akibat syirik itu) jadilah mereka orang yang kufur nikmat yang Kami berikan kepadanya, dan (menjadi) orang yang hanya bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang mereka lakukan." (Surah al-'Ankabut: 65-66)

Inilah yang berlaku dalam krisis AIG hari ini. Ketika mereka dalam keadaan memperoleh keuntungan sejak penubuhannya pada 1919 di China, mereka senyap dan berfoya-foya dengannya tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. Tapi, ketika berlaku krisis yang berpunca daripada amalan riba yang diperangi Allah, mereka berteriak minta tolong sehingga seluruh dunia terkena kesannya termasuk mungkin insurans kereta anda dengan American International Assurance (AIA).

Pengalaman masyarakat antarabangsa moden membuktikan keburukan amalan riba sejak terjadinya krisis ekonomi 1929. Tapi mereka tidak serik-serik lagi kerana tujuan yang dicanangkan mereka belum wujud lagi. Tujuan yang akan membuat semua manusia menjadi hamba kepada segelintir manusia pimpinan Yahudi zionis seperti digariskan dalam protokol zionis dan pernah dikisahkan Shakespear dalam Merchant of Venice menerusi tokoh pengamal riba berbangsa Yahudi, Shelok.

Seorang pakar ilmu ekonomi, Prof G Haberler dari Universiti Harvard di AS menulis di dalam bukunya Kemakmuran dan Kemelesetan bahawa tiada suatu masalah yang menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan pakar ekonomi selain masalah yang berkaitan dengan nilai wang faedah atau faedah bank. Masalah ini masih suatu persoalan yang belum mencapai sebarang penyelesaian sehingga sekarang, dan ketika berlakunya kemelesetan terbesar di seluruh dunia kapitalis pada 1929, maka sistem perekonomian kapitalis hampir tumbang untuk selama-lamanya akibat merebaknya wabak pengangguran.

Pelopor dan pemimpin pakar ekonomi moden, Lord J M Keynes mengkritik sistem ekonomi klasik dan mengisytiharkan sikap bertaubatnya ke atas sistem itu, sambil melancarkan serangan yang tidak mengenal ampun terhadap faedah bank. Pandangan ini diikuti oleh muridnya, Sir Roy Harrod yang menerbitkan sebuah buku bertajuk Ke Arah Suatu Sistem Ekonomi Yang Bergerak Dinamik. Dalam buku ini, Harrod bukan saja membela pandangan Keynes, malah menokok tambah lagi dengan jelas dan terang dan beliau menyatakan bahawa sistem ekonomi bebas itu tidak boleh kekal dan tahan lama selagi masih wujud suatu puak tuan punya modal yang terus menjalankan kegiatan memberi pinjaman wang melalui bank-bank di samping mengaut pendapatan yang dinamakan 'faedah' tanpa menghadapi sebarang risiko atau menjalankan suatu usaha dan pekerjaan yang membawa kebajikan. Puak itu menjadi beban yang terpaksa dipikul oleh penerima pinjaman yang terpaksa bekerja bertungkus-lumus menghadapi pelbagai bentuk risiko.

Oleh itu, Harrod berpendapat bahawa masyarakat perlu segera diselamatkan daripada pelbagai bentuk ancaman kejahatan yang ditimbulkan oleh puak minoriti ini dengan cara melakukan suatu usaha berkesan yang akhirnya melakukan larangan dan pengharaman kadar faedah. Dan pada ketika itu semua pemilik wang terpaksa melaburkan wang mereka melalui pelbagai cara yang produktif yang memberi faedah kepada masyarakat. (Rujuk al-Jammal, Ensklopedia Ekonomi Islam, ii/432-3) Al-Quran al-Karim begitu tegas dan lantang sekali menyatakan hukum haramnya riba. Ia yang diturunkan lebih 1,400 tahun yang lalu sudah mengisytiharkan perang terhadap pengamal riba dan pada hari ini masyarakat antarabangsa dilanda wabaknya seperti diberitakan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW maksudnya: "Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terbabit dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, dia akan terkena juga debu-debunya." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Maka pada akhirnya, tidak ada jalan penyelesaian agar kita terselamat daripada bencana perang terhadap riba yang diisytiharkan al-Quran di atas selain sambungan ayat pada permulaan tulisan ini iaitu maksudnya: "Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa." Dengan perkataan lain, sempena Nuzul al-Quran 1429 H ini mari kita hapuskan riba! Wallahu a'lam.

Saya sedang jenuh memikirkan bagaimana nak elakkan diri, keluarga daripada amalan riba ni. Mohon Allah beri petunjuk sempena bulan yang mulia dan penuh berkah ini...

Sunday, July 20, 2008

Islam dan kad kredit

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


JIKA dulu agak sukar untuk memiliki kad kredit, tetapi kini ia lebih mudah, sekali gus memberikan peluang kepada lebih ramai orang menggunakan kemudahan itu dalam mengu ruskan kehidupan seharian.

Penggunaan kad kredit secara umumnya ada beberapa manfaat seperti dapat mengelak daripada membawa wang tunai dalam jumlah banyak dan melakukan transaksi jual beli barang atau perkhidmatan di Internet yang sememangnya lebih mudah.

Kad kredit dalam lain perkataan yang lebih mudah difahami ialah sejenis kad hutang yang diberikan institusi seperti bank kepada pengguna untuk digunakan dalam sesuatu urusan seperti jual beli barang dan perkhidmatan yang menerima kad terbabit dengan sistem atau syarat tertentu.

Lazimnya, penggunaan kad kredit membenarkan pengguna untuk ‘memusing’ bakinya dengan kos kadar faedah yang dikenakan.

Penggunaan kad kredit dikatakan bermula dari Barat. Malah, konsep penggunaan kad untuk pembelian ada di gambarkan pada 1887 oleh Edward Bellamy dalam novel Looking Backward.

Bellamy menggunakan perkataan kad kredit lapan kali dalam novel ini.

Namun, kad kredit mula digunakan pada 1920-an di Amerika Syarikat, khususnya untuk penjualan minyak kepada sejumlah besar pengguna kenderaan.

Pada 1938, beberapa syarikat mula menerima kad ma sing-masing.

Begitupun, konsep pembayaran yang lebih baik meng gunakan kad seperti itu direka pada 1950 oleh Ralph Schneider dan Frank X McNamara dalam usaha meng gabungkan penggunaan pelbagai kad.

Kini, penggunaan kad kredit bukan hanya terbatas di Amerika Syarikat dan negara Barat, malah seluruh dunia, termasuk negara dihuni majoriti masyarakat Muslim.

Mekanisme penggunaan juga sudah meluas, membabitkan sebahagian besar lapangan kehidupan, malah dalam se setengah kes penggunaan kad kredit diutamakan, berbanding wang tunai dan jangan terkejut jika ada premis yang tidak mahu menerima wang tunai.

Jika demikian, apakah pandangan Islam terhadap peng gunaannya, adakah ia sesuai untuk digunakan selepas men dapati beberapa manfaat dan kelebihan daripadanya atau perlu dielak kerana ia bukan produk yang berasal dari dunia Islam?

Bekas Presiden Persatuan Islam Amerika Utara, Dr Mu zammil Siddiqi ada menegaskan penggunaan kad kredit seperti menggunakan sistem perbankan moden.

“Kebanyakan bank berdasarkan faedah dan Muslim terpaksa menggunakannya kerana tidak dapat memperoleh bank yang tiada caj faedah. Dibenarkan untuk menggunakan per khidmatan bank terbabit tanpa terbabit dalam faedah.

“Dibenarkan untuk menggunakan kad kredit tanpa terbabit dalam riba. Kad kredit adalah satu kemudahan. Ia membantu kita untuk mendapatkan keperluan dan perkhidmatan, tanpa membawa terlalu banyak wang tunai.

“Kad ini sekarang sudah digunakan dunia sejagat, malah di negara Muslim. Syarikat kad menjana wang daripada yuran tahunan dan komisen.

“Sesetengah syarikat memberikan kad kredit bebas yuran tahunan kerana mereka menjangkakan dapat mengumpulkan faedah yang akan dikenakan kepada pengguna kad, dibayar mengikut kadar baki.

“Bagaimanapun, seseorang tidak perlu membayar faedah jika dia dapat membayar bil sepenuhnya pada masa di tetapkan,” katanya sambil menegaskan haram sama sekali membayar faedah.

Katanya, jika seseorang menggunakan kad itu untuk me minjam wang atas kadar faedah tertentu atau untuk tujuan pembelian terhadap sesuatu yang tidak mampu dibayar pada masa ditetapkan, ia terbabit dalam riba yang diharamkan Islam.

Ternyata aspek riba menjadi penentu hukum kepada peng gunaan kad kredit, sama ada diharuskan atau tidak.

Kad kredit yang mengandungi unsur riba seperti dalam kes pengguna tidak diwajibkan melangsaikan kos guna secara keseluruhan selepas mendapat bil penyata, malah dibenarkan membayar nisbah kecil, manakala bakinya pengguna diberi pilihan melangsaikannya dalam tempoh diberi atau dibiarkan, dengan caj faedah daripada jumlah bil tertangguh.

Sama juga dalam kes kad yang membenarkan penggunanya berbelanja sebanyak mana selagi dalam kadar dibenarkan dan hanya perlu membayar nisbah kecil daripada bil dengan kadar faedah dikenakan atas baki penggunaan yang tertangguh selepas melepasi tempoh percuma.

Riba adalah jelas haram dalam Islam, sebagaimana di jelaskan al-Quran, maksudnya: “...padahal Allah mengha lalkan jual beli dan mengharamkan riba. Maka sesiapa yang sampai peringatan dari Tuhannya lalu ia berhenti, maka baginya apa yang diambilnya dahulu dan perkaranya ter serahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (mengambil riba) maka mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (al-Baqarah:275)

Dalam ayat 278 surah yang sama bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan ting galkanlah sisa riba (yang belum dipungut), jika benar kamu orang yang beriman.”

Berdalilkan ayat itu, Dr Abdullah al-Faqih melalui Islamweb menegaskan: “Sekiranya kad kredit mengandungi riba peng gunaannya adalah haram, kerana semua jenis riba dan faedah, kecil atau besar adalah dilarang.”

Menurutnya, walaupun kad kredit (berunsur riba) untuk urusan perniagaan, ia tidak menjadikannya halal.

Malah, dalam keadaan terpaksa penggunaannya, ia tidak mengubah hukumnya.

Pensyarah Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaharuddin Abd Rahman, dipetik berkata, dalam hal seseorang berhasrat menggunakan kad kredit konvensional yang meletakkan syarat riba, tetapi dia berazam sentiasa menjaga tempoh pembayaran semula sebelum dikenakan riba, Kesatuan Fiqah Antarabangsa OIC dalam ketetapannya nombor 108, pada persidangan 23 hingga 28 September 2000 memfatwakan sebagai tidak harus, te rutama ketika kewujudan kad kredit Islam.

“Bagaimanapun, ketetapan pada persidangan sama juga mengharuskan membuat kad kredit konvensional yang tidak meletakkan syarat faedah atau riba dalam kontraknya. Na mun, dengan syarat mesti melangsaikan jumlah penggunaan sebelum dikenakan faedah riba,” katanya.

Saturday, July 12, 2008

Sumber air baru Singapura

Marina Barrage yang dibina dengan nilai RM574 juta khabarnya akan menjadi tadahan air terbesar di Singapura.


MARINA BARRAGE ini juga akan mencipta kawasan tadahan terbesar di negara itu yang bakal menyediakan 10 peratus daripada permintaan air semasa.


SUMBER air sentiasa menjadi isu penting di Singapura. Namun, tidak lama lagi, perkara tersebut bakal diatasi melalui satu projek mega yang telah dilaksanakan.

Itulah harapan yang disuarakan pegawai sivik di balik tabir projek Marina Barrage yang dianggap tiga dalam satu iaitu untuk mendapatkan sumber air minuman, kawalan banjir dan juga rekreasi.

Selepas melalui proses pembinaan selama tiga tahun dan berakhir baru-baru ini, projek Marina Barrage yang bernilai AS$176 juta (RM574 juta) itu, bakal mencipta sumber baru terhadap air di negara yang hampir ketiadaan sumbernya sendiri.

Apabila wartawan dibawa meneroka dan melihat projek itu, pekerja-pekerja sedang menyiapkan bahagian terakhir jambatan sepanjang 300 meter itu.

Di bawah jambatan tersebut, terdapat sembilan pagar besi yang bertindak sebagai sempadan pasang surut air, kata pihak yang membangunkan projek tersebut. Pagar itu diaktifkan oleh silinder hitam gergasi yang kelihatan seperti meriam.

Di bahagian lain jambatan itu, kelihatan pancaran matahari menjadikan air laut kelihatan kehijauan dan dipenuhi dengan kapal-kapal. Di satu lagi bahagian, air masih lagi berwarna kecoklatan berhadapan latar belakang Republik Singapura.

"Air di sini masih lagi air laut," kata Yap Kheng Guan, pengarah projek untuk agensi air Singapura, PUB sambil berdiri di atas jambatan dan menunjuk ke arah Marina Bay.


PEMBUKAAN Marina Barrage dijangka pada awal tahun depan.


Pegawai PUB berkata, air hujan akan mengeluarkan air laut yang ada. Menurut pihaknya lagi, menjelang tahun 2010, air yang dikeluarkan akan menghasilkan air tasik segar untuk diminum. Selain itu, kawasan itu boleh dijadikan tempat rekreasi warga Singapura dan mampu menarik kehadiran pelancong.

Marina Bay sendiri akan melalui satu perubahan dramatik dengan pembinaan kompleks kasino bernilai bilion dolar, roda pemerhatian Singapore Flyer, pengubahsuaian terminal feri lama dan The Gardens.

Penutupan takungan air dan menghentikan variasi pasang surut air setinggi tiga meter akan menjadikan ia lokasi untuk menaiki bot, luncur angin dan lain-lain aktiviti, kata PUB.

"Secara beransur-ansur, kami membuatnya berfungsi satu demi satu," kata Khoo Teng Chye, ketua eksekutif PUB yang meramalkan pembukaan Marina Barrage pada awal tahun depan.

Projek ini sudah siap sepenuhnya tetapi kerja-kerja akhir diteruskan di pusat pelawat. Ketika hujan lebat pula, pagar sekatan besi boleh dibuka untuk mengeluarkan air hujan mengalir ke laut.

Di samping bertindak sebagai kawalan banjir dan pusat rekreasi, Marina Barrage ini juga akan mencipta kawasan tadahan terbesar di negara itu yang bakal menyediakan 10 peratus daripada permintaan air semasa.

Air dari Marina Reservoir dan lain-lain tempat di republik itu ialah salah satu daripada empat sumber air Singapura. Sebahagian yang lain diimport dari Malaysia serta melalui proses penyahgaraman dan selebihnya dikenali sebagai NEWater.

NEWater bermula sebagai perawat sisa kumbahan yang dikitar semula dan ditapis secara berterusan. Kebanyakan daripada air tersebut digunakan oleh kilang perindustrian dan pengguna komersial.


PARA pekerja berjalan di atas jejambat di Marina Barrage.


Bagi Singapura, projek Marina Barrage menandakan kemuncak terhadap usaha pembersihan yang bermula lebih kurang dua dekad lalu apabila kapal-kapal kecil mencemarkan Sungai Singapura.

Kini, dengan adanya projek mega ini, rakyat Singapura akan dapat menikmati kemudahan yang diperuntukkan dengan penuh kesyukuran. - AFP