Showing posts with label pendidikan. Show all posts
Showing posts with label pendidikan. Show all posts

Wednesday, April 15, 2009

Komunikasi isyarat tubuh

Ramai beranggapan isyarat tubuh atau bahasa isyarat hanya untuk golongan kurang upaya. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa ia sangat efektif dalam komunikasi antara ibu dan si kecil.




KETIKA berusia 14 bulan, Shawn Wong menghidap demam panas dan seperti kanak-kanak lain seusia dengannya, dia akan merengek dan menangis pada waktu tengah malam kerana berasa tidak selesa.

Apabila dihampiri ibunya, Jamie Solomon, tangan si kecil itu akan mengepal dan membuka semula berulang kali sebagai tanda isyarat permintaannya.

"Melihat sahaja tangannya, saya sudah tahu bahawa Shawn mahukan susu," ujar Solomon ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sekiranya Shawn tidak menunjukkan isyarat tersebut, Solomon berkata, dia tentu beranggapan bahawa anaknya mahukan ubat, dipangku atau ditukar lampin sebelum pilihan terakhir, menyusu.

"Tanda isyarat 'susu' itu membolehkan komunikasi efektif antara Shawn dan saya.

"Dia tidak perlu menangis lama untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya dan saya tidak berasa putus asa untuk mengetahui apa yang sebenarnya diperlukannya," tambahnya.




Solomon merupakan Pengarah BabySigns Malaysia Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang menyediakan program mendidik bayi berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat.

"Sebelum ini, bayi mengekspresikan diri mereka melalui kesan emosi seperti gelak ketawa atau tangisan.

"Adakalanya, ini menyukarkan kita memahami apa yang bayi inginkan, minat atau rasa," ujar Solomon.

BabySigns, katanya, mengajar kanak-kanak yang tidak mengalami masalah pendengaran bahasa isyarat yang berdasarkan kepada program Bahasa Isyarat Amerika (ASL).

ASL digunakan dalam kalangan individu yang mengalami masalah pendengaran di Amerika Syarikat.

Menceritakan tentang latar belakang BabySigns, Solomon berkata: "Pada tahun 1982, pakar perubatan, Dr. Linda Acredolo dan Susan Goodwyn mendapati bayi mampu menggunakan isyarat tangan secara spontan untuk mewakili ayat yang tidak mampu mereka suarakan.

Mereka akan menghidu untuk 'bunga' atau mengepakkan tangan di sisi badan sebagai tanda 'burung'. Kedua-dua doktor berkenaan berfikir, bagaimana sekiranya ibu bapa membantu dalam proses tersebut.


KOLEKSI buku isyarat bayi membantu komunikasi proaktif antara ibu bapa dan bayi mereka.


Sehubungan itu, lahirlah program BabySigns, bahasa isyarat semula jadi yang membenarkan bayi dan ibu bapa berkomunikasi dengan menggunakan isyarat ringkas untuk perkara-perkara penting seperti lapar atau dahaga, haiwan, emosi dan rasa.

"Melalui penyelidikan yang kebanyakannya ditaja oleh Institut Kesihatan Kebangsaan selama dua dekad, Acredolo dan Goodwyn telah menunjukkan bahawa program tersebut mempunyai pelbagai manfaat besar kepada bayi dan ibu bapa," kata Solomon.

Katanya, banyak yang ingin diperkatakan oleh bayi, sungguhpun mereka masih belum mampu untuk berkata-kata.

Walaupun demikian, Solomon berkata, kebolehan bayi berbahasa isyarat bergantung kepada apa yang telah diajar oleh ibu bapa.

"Tetapi ada kalanya, bayi akan membentuk sendiri bahasa isyarat mereka dan ibu bapa harus peka apa yang bayi mereka 'katakan'."


ANTARA tanda-tanda bahasa isyarat yang dipelajari melalui program BabySigns.





Solomon menggalakkan pengajaran tanda isyarat tangan yang digabungkan dengan percakapan bermula sejak lahir lagi.

Bercakap sambil berisyarat kata Solomon akan mendedahkan kanak-kanak dengan perkataan.

"Sungguhpun bayi tidak memahami sepenuhnya apa yang diperkatakan, tetapi dengan terus mengajar mereka, lama-kelamaan mereka akan berjaya.

"Ingin kami tekankan bahawa progres setiap bayi adalah berbeza," katanya yang melibatkan Shawn dalam program BabySigns pada usia 10 bulan.

Dengan kesungguhannya mengajar Shawn berbahasa isyarat, kanak-kanak yang kini berusia setahun itu mampu melakukannya dalam masa hanya dua bulan.

Sehubugan itu, Solomon merasakan usia tiga bulan merupakan waktu yang sesuai untuk memperkenalkan program BabySigns kerana pada peringkat itu, bayi lebih sedar dan masih belum mampu bergolek atau merangkak.

"Mereka memberikan tumpuan kepada anda. Namun demikian, bayi yang lebih berusia akan lebih cepat 'tangkap' apa yang ibu bapa ajar."

Mengulas manfaat program BabySigns, Solomon berkata: "Daripada segi perkembangan kognitif dan bahasa, manfaat lain adalah mengurangkan tangisan, perasaan marah dan putus asa antara kanak-kanak dan ibu bapa, membenarkan orang dewasa berkongsi dunia dengan si kecil, mengukuhkan ikatan antara anak dan ibu bapa, meningkatkan keyakinan diri anak, memudahkan pembelajaran bertutur dan merangsang perkembangan intelektual."

Program BabySigns, ujar Solomon, akan menggalakkan komunikasi proaktif antara dua pihak.

"Contohnya, sekiranya bayi tidak berbahasa isyarat, mereka akan menangis dan menunjuk sesuatu yang ada kalanya orang dewasa tidak memahami apa yang cuba mereka sampaikan.

"Melalui isyarat, bayi-bayi akan memulakan satu perbualan dan ibu bapa akan memberikan respons bercakap dengan mereka. Ini akan menambahkan kegembiraan kanak-kanak dan menggalakkan mereka berkomunikasi," katanya.

Mengakui antara perkara yang merunsingkan ibu bapa adalah sama ada program tersebut akan melembapkan anak-anak mereka untuk bercakap, Solomon menjelaskan: "Hakikatnya, program BabySigns itu bukan untuk melambatkan tetapi sebenarnya membantu mereka bercakap.

"Ia seperti kanak-kanak yang merangkak sebelum berjalan. Jadi, mempelajari bahasa isyarat akan menambahkan motivasi mereka untuk bercakap."

Ini katanya dibuktikan oleh satu kajian pada tahun 1980-an yang dijalankan oleh Acredolo dan Goodwyn yang menunjukkan manfaat program itu dalam perkembangan bahasa termasuk apabila kanak-kanak berusia dua tahun yang mengikuti program BabySigns menunjukkan perbendaharaan kata yang lebih besar berbanding kanak-kanak yang tidak mengikuti program tersebut.

Solomon yang merupakan instruktor bertauliah bebas antarabangsa yang pertama untuk program BabySigns di Malaysia berkata, program tersebut bukanlah sukar untuk diajar atau dipelajari bagi ibu bapa dan anak-anak mereka.

"Sebenarnya, bahasa isyarat adalah satu perkara yang semula jadi dan terbentuk daripada apa yang sememangnya diamalkan sejak sekian lama.

"Ini boleh dilihat dalam tanda isyarat melambai untuk 'bye-bye' atau mengangguk (ya) dan menggelengkan kepala (tidak). Ia seperti juga penggunaan tangan dan riak muka ketika menyanyikan lagu-lagu kanak-kanak.

Berdasarkan model ini, program BabySigns, kata Solomon lagi, membantu dalam apa yang telah pun dilakukan secara semula jadi.

"Pada mulanya, bayi-bayi ini akan mengetahui satu perkataan dan lama-kelamaan, mereka mampu menghubungkan satu perkataan. Seperti Shawn, perkataan pertamanya adalah more (lebih banyak). Kemudian, pada suatu hari ketika di pasar raya, dia berisyarat more biscuits atau lebih banyak biskut.

Antara isyarat yang diajar kepada peserta termasuklah haiwan, emosi, waktu, ibu dan bapa serta objek seperti bola dan buku.

Sehubungan itu, BabySigns Malaysia menawarkan bengkel ibu bapa yang direka untuk membimbing penjaga tentang bagaimana menggunakan program BabySigns di rumah.


PROGRAM BabySigns membantu proses pertuturan anak-anak.


Ia juga menawarkan kelas Sign, Say and Play yang merupakan enam siri kelas interaktif dan menyeronokkan yang membolehkan ibu bapa dan bayi mereka belajar bahasa isyarat dalam persekitaran yang santai dan penuh sokongan.

"Di samping itu, kami juga menawarkan rangkaian produk yang komprehensif bagi membantu proses pembelajaran bayi seperti buku-buku, DVD dan sumber lain yang menjadikan pembelajaran bahasa isyarat menyeronokkan dan mudah untuk semua.

Terbaru, BabySigns Malaysia menawarkan kursus latihan kepada pendidik peringkat awal kanak-kanak.

"Seorang instruktor bertauliah bebas akan datang ke pusat-pusat terlibat untuk menunjukkan cara tentang bagaimana menggunakan sumber-sumber yang ada.

"Terdapat tiga aras latihan untuk dipilih. Kesemuanya menunjukkan bagaimana guru-guru boleh menggunakan program BabySigns dalam bidang perkembangan bahasa, emosi, sosial, fizikal dan kognitif dalam kurikulum pembelajaran sedia ada," kata Solomon.


Penjual buku terbitan Grolier suka menggunakan prinsip ini. Dahulu saya ada membawa anak-anak saya ke Pesta Buku di PWTC. Kalau berjalan dekat pernerbitan tersebut anak saya akan 'hilang', kena 'culik' oleh staf syarikat terebut. Mereka akan bertanya dan main-main dengan anak saya.

Soalan tipikal yang diberikan kepada ibu/bapa ialah, "puan/encik, ada anak kecil tak?."

"Ada, 1 tahun"

"Agak-agak bila anak mula belajar?"

"(Jawapan mudah), Bila memulakan kelas tadika la"

"(Dia dah terperangkap)", Puan, kajian menunjukkan bahasa boleh diberikan kepada anak-anak bermula semasa berumur 4 bulan (ada yang lebih awal/ dari kandungan).

Bla..bla..bla..

Sekarang saya nak cuba gunakan kepada anak kecil saya, Danial. Rekod kesihatan dia yang menyebabkan dia terlantar di hospital selama 7 minggu menjadikan perkembangan dia agak lambat jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya. Tetapi akhir-akhir ini saya lega sebab dia sudah menunjukkan kesan positif.

Sekarang, jika saya kata sembahyang, dia mulalah terus sujud (tertonggeng..). Mulut dia berbunyi psss, membacalah tu.. tapi oleh sebab saya yg teruja sangat setiap kali dia 'membaca' menjadikan dia dah kurang pss nya. Bila azan dia akan melekapkan tangan di telinga dan 'azan'.. Semoga Allah makbulkan doa mamanya supaya dia menjadi hafiz dan (belajar di universiti Madinah nanti) menjadi pejuang agama Allah nanti.


Yang lambat sikit ialah bercakap. Setekat ini hanya boleh sebut "mama" dan "maa". Maa ialah untuk nak, sayu saja bunyi dia..

Jadi, saya akan cuba gunakan pendekatan di atas kepada Danial. Mungkin kit itu saya akan buat sendiri (lukis), gunting dan tampal gambar-gambar dari buku-buku lama..

Yes you can!



Sunday, March 22, 2009

Ramai guru sakit jiwa

Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.


PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.


BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga, dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya bertugas.

Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.

"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu mempertikaikan cuti yang saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.

"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas dan kerenah anak-anak, saya semakin runsing," katanya.

Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi guru.

"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan banyak memberi tekanan.

"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila. Mereka tidak faham mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan perasaan," jelasnya.


HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada golongan guru.


Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.

Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.

"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.

"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.

Kerja tujuh hari seminggu

Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42, pernah mengalami sakit jiwa.

Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.

"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.

"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya mengajar agama tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani dengan komitmen luar," katanya.


NOR ZURAIDA





Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata, ada pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.

"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.

"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.

"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.

Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.

"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.

"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.

Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan berjumpa dengannya.

"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.

"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di hospital.

"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada saya," katanya.

Berisiko mendapat penyakit kritikal

MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru.

“Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.

“Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.

“Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah.

Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan kemurungan.

“Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.

“Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang di sekeliling mereka,” katanya.

Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.

Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

“Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.

“Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling,” jelas Nor Zuraida.

Hmm, ni nanti siapa nak faham masalah ni? Pak menteri?

Dalam tempoh 3 tahun ni saya telah bertugas di 3 buah sekolah yang sangat berbeza iklimnya. Bertugas di SMKA beban tugas terlalu banyak. Kami mesti bersedia untuk bertugas pada hari Sabtu, Ahad, cuti sekolah, atau waktu malam. Oleh sebab pelajar-pelajarnya terpilih, maka prestasi peperiksaan perlu dijaga, jatuh sedikit kecutlah perut jawabnya. Tensenlah setahun untuk pulihkan gred pencapaian, kalau gred dah naik sikit tahun depan barulah lega balik.. kerja-kerja lain iee..banyaklah kalau nak tulis kat sini. Kita bekerja memanglah cuba ikhlas dan ceria-ceriakan diri, tapi, kitakan ada komitmen lain, mereka pun nak kita bertungkus lumus jugak..habis tu camno pak menteri?

Bertugas di sekolah biasa masalahnya dah berbeza. Budak-budak pula lebih ramai yang tak berapa nak belajar. Tensen. Ada juga yang nasihat kat saya, buat apa susah-susahkan hati, mengajar je, mereka nak dengar atau tidak lantak la, janji hujung bulan dapat gaji. Ish masalahnya saya ni tak boleh buat begitu. Kepuasan saya ialah jika gred prestasi subjek yang diajar semakin meningkat. Tugas guru bukan saja nak jaga prestasi akademik. Kami nak juga kawal akhlak atau disiplin pelajar. Pelajar sekarang tak takut guru (bukan semua). Jadi kami tak tega biarkan, kami cuba kawal disiplin atau tingkah laku pelajar, tapi...(bukan semudah hasilkan produk di kilang; rancang, buat proto taip, keluar modal, berapa quantiti sehari? 10 000? bzzz siap! Hmm jadi bersedialah bermain ombak..

Tapi kan, kan, kan, Pak Menteri tak kesihan ke kat kami ni... kami mendidik anak bangsa, menggilap Modal Insan masa depan negara. Macam mana kalau ramai antara kami yang sakit jiwa, yang give up, buat prinsip "Lantak korangla nak jadi haper.." Berilah kemudahan sikit kat kami, keistimewaan sikitlah. Contoh pakej percutian percuma atau berdiskaun 50%, keahlian yang membantu kami ke, prasarana bilik guru seperti peti ais ke, tempat parking berteduh ke dsb. Kalau cikgu dah give up, apa nak jadi ya pada Malaysia nanti...

Sunday, March 15, 2009

Seputar SPM 2009 - Nik Nur Madihah peroleh 20 A

(Sorry, berita tidak terkini...)

KOTA BHARU 12 Mac - Anak seorang nelayan, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah di negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara yang paling cemerlang di seluruh negara dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Nik Nur Madihah juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk dia mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa dekat sini itu bercita-cita menjadi ahli fizik dan kejayaan tersebut adalah hadiah istimewa untuk ibu bapanya di samping guru-guru sekolahnya.

Ayahnya, Nik Mohd. Kamal Husin, 41, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan dan bagi meringankan bebanan keluarga, ibunya, Mariani Omar, 42, pula bekerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

''Saya tidak ikut kelas tambahan di luar sekolah, hanya tumpukan perhatian pada apa yang boleh ditimba di sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, dia menjadikan kejayaan pelajar cemerlang negara, Azali Azlan yang memperoleh 21 A dalam keputusan SPM tahun 2007 sebagai pembakar semangat.

Nur Madihah memperoleh 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu dan Geografi.

Dia turut mendapat A1 dalam Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English for Science and Technology (EST) dan mendapat satu 2A dalam Biologi.

Nur Madihah cuma menyasarkan A bagi 18 mata pelajaran dan bersyukur kerana dia mampu melakukan sesuatu yang lebih baik walaupun tidak dapat memecah rekod Azali Azlan, bekas pelajar SMK Agama Yan, Kedah yang memperoleh 20 1A dan satu 2A.

Keputusan SPM Nik Nur Madihah bagaimanapun telah mengatasi rekod yang dipegang oleh dua pelajar cemerlang SPM 2006 di peringkat negara iaitu Nadiah Amirah Jamil dan Siti Fatimah Mukhtar.

Siti Fatimah yang belajar di sekolah yang sama dengan Nur Madihah, memperoleh keputusan 18 A dengan 17 1A dan 1 2A pada 2006 sekali gus mencatat sejarah pencapaian tertinggi di Kelantan pada tahun itu.

Ditanya tentang pencapaiannya itu, Nur Madihah memberitahu, dia tidak mempunyai jadual waktu yang tetap.

''Saya belajar setiap masa yang terluang dan belajar apabila terasa mahu belajar tanpa terpaksa atau dipaksa," ujarnya yang memperoleh 9 A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu.

Dia yang bercadang melanjutkan pengajian di Asia Barat memilih jurusan fizik kerana mendapati kurang orang Melayu menerokai bidang tersebut.

Sekolah saya, SMK Undang Rembau juga mencatatkan peningkatan pada GPMPnya. Seorang pelajar telah mendapat 10A. Bagi subjek saya iaitu ekonomi asas juga telah menunjukkan peningkatan. Syukur. Tahun lepas merupakan tahun penuh dugaan kepada saya dan keluarga. Semasa mereka berada di penghujung tingkatan 4, saya bercuti awal kerana bersalin. Setelah sekolah dibuka, saya masih bercuti. Datang ke sekolah 2 minggu dah cuti lagi, disebabkan anak saya sakit dan dirawat di HKL. Dalam tempoh 2 tahun, 3 orang cikgu yang mengajar mereka termasuklah tiada guru langsung (gara2 sayalah tu). Memanglah saya bimbang jika keputusan akan merosot, tapi syukur kebimbangan saya itu tidak berlaku.

Thursday, February 19, 2009

14 kaki ponteng sekolah dicekup


Sebahagian pelajar menolak motosikal masing-masing untuk ke balai polis selepas ditahan di kawasan rekreasi Kampung Bintongan, Seremban semalam.


REMBAU - Seramai 14 pelajar 'kaki ponteng' yang melepak di kawasan rekreasi berhampiran Kampung Bintongan di sini terkejut apabila sekumpulan polis menyerbu tempat lepak itu dan menahan kesemua pelajar terbabit.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Suprintendan Mizan Md. Dom berkata, serbuan pukul 11.52 pagi itu dibuat selepas polis menerima maklumat awam mengenai kegiatan ponteng sekolah.

"Sebaik sepasukan polis sampai di situ, kesemua pelajar itu cuba melarikan diri tetapi nasib mereka malang kerana kawasan itu telah dikepung,'' kata beliau.

Menurutnya, pihak polis menahan kesemua pelajar tingkatan empat seramai 14 orang dari sebuah sekolah dekat Chembong di sini.

Kata beliau, bersama-sama pelajar itu, polis merampas tujuh buah motosikal yang dipercayai milik para pelajar terbabit.

"Hasil siasatan tiga buah motosikal didapati tiada cukai jalan dan kesemua pelajar itu tidak mempunyai lesen memandu," katanya di sini semalam.

(kosmo online 19/2/09)

Saturday, January 17, 2009

Setelah dua minggu persekolahan..

Bagaimana cuaca atau keadaan di tempat anda? Di sini, Rembau, cuaca kering (tak kering sangat juga), cahaya matahari yang banyak dan, yang lebih-lebih ialah lepasan angin yang tersangat-sanagt banyak..

Angin yang bertiup kencang hingga mengeluarkan bunyi bersiul-siul terutama tengah-tengah malam menjadikan kami begitu cuak, otak mula berfikir, ada tak pokok-pokok besar di sekeliling rumah.

Itu mukaddimah saja dulu. Saya ingin menceritakan seputar kehidupan saya di sekolah pada awal tahun sesi 2009 ini. Hrm, tahun ini saya masih mengajar subjek yang sama iaitu ekonomi asas dan Bahasa Melayu. Setelah memasuki keempat-empat kelas tersebut, saya sedikit lega sebab walaupun bilangan mereka agak ramai tetapi setakat ini keadaan masih terkawal. Ini ledakan penduduk, atau penjaga suka anak mereka bersekolah di sekolah kami, ada kelas yang bilangan pelajar ialah 53 orang. Kelas saya maksimum 46 orang, duduk berhimpit-himpit! Tak kondusif langsung!

Kepada guru-guru baru, saya nak kongsi satu pengalaman mengajar di tingkatan 1 Eris. Ini kelas rancangan khas, iaitu pelajar-pelajarnya yang mendapat 3A, 4A atau 5A dalam UPSR.

Oleh sebab bilangan mereka tidak ramai (30 orang), idea untuk mengajar di kelas sebegini mudah datang.

"Kamu duduk dalam kumpulan, sekumpulan 5 orang". Saya memberi contoh cerita-cerita terkenal seperti Puteri Salju,ulan Bawang Putih Bawang Merah, Hang Tuah dan selebihnya mereka menambah sendiri. Pelajar diberi masa 25 minit untuk membuat sinopsis atau karangan cerita tersebut.

Setelah tamat tempoh tersebut, saya meneruskan arahan "Setiap kumpulan akan datang ke depan, dan kamu kena ceritakan balik kisah yang kamu tulis seorang demi seorang. Setiap ahli kena bercakap, seorang mulakan cerita, yang lain-lain sambung. Kumpulan yang berhenti lebih 1 minit dikira kalah. Saya tambah masa untuk kamu lancarkan cerita"

Jadi kita boleh melihat bagaimana mereka bekerja dalam kumpulan. Kumpulan yang bekerjasama dapat meneruskan cerita dengan lancar dan sebaliknya kurang bekerjasama akan berhenti di tengah jalan. Ada cerita yang rigid mungkin terlalu mengikut skrip asal.

Saya tertarik dengan satu kumpulan, pelajar perempuan. Mereka menulis cerita Puteri Salju (Snow White). Cerita ini versi Malaysia moden, tapi, agaknya terpengaruh dengan mistik dicampur dengan unsur ubat pengasih, susuk (mungkin nak samakan dengan pereanan nenek kebayan).

ya, pembelajaran sungguh menarik dan pelajar nampak seronok di samping belajar banyak perkara, termasuklah melihat bagaimana setiap kumpulan bekerja..

Akhir sekali saya suruh mereka menyalin karangan mereka di dalam buku latihan..