Showing posts with label selamatkan bumi. Show all posts
Showing posts with label selamatkan bumi. Show all posts

Saturday, March 28, 2009

Matikan lampu sejam esok (Sabtu 28.03.2009)

KURANG 24 jam lagi, kempen Earth Hour yang giat dipromosikan sebelum ini akan dimulakan tepat jam 8.30 malam esok.

Bagi sesetengah pihak, kempen berkenaan memang tidak mempunyai impak kerana menganggap perjuangan memelihara alam sekitar bukan tanggungjawab mereka.

Namun, bagi pencinta alam sekitar, saranan memadamkan lampu untuk tempoh sejam pada malam esok pasti disambut baik.

Earth Hour adalah program tahunan sedunia yang dianjurkan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada Sabtu ketiga setiap Mac.

Melalui kempen berkenaan, orang ramai diminta memadamkan lampu atau apa juga kelengkapan elektrik bagi tempoh sejam.

Ia bermatlamat meningkatkan kesedaran perlunya tindakan segera diambil dalam menghadapi perubahan iklim dunia.

Kempen itu dikatakan dipelopori WWF Australia dan akhbar Sydney Morning Herald pada 2007.

Sejak itu, ia semakin mendapat sokongan dunia dengan anggaran hampir 50 juta penduduk dunia menyertainya hingga tahun lalu.

Sempena kempen itu, Kementerian Wilayah Persekutuan turut menganjurkan langkah memadamkan lampu di ibu kota, Putrajaya dan Labuan pada 28 Mac ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Ahmad Phesal Talib, berkata pada hari berkenaan warga ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu digalakkan memadamkan lampu premis, bangunan dan kediaman mereka selama sejam bermula jam 8.30 malam.

WWF turut mengajak penduduk dunia mengundi bumi bagi mencapai sasaran satu bilion undi yang akan dibentangkan kepada pemimpin dunia di Persidangan Perubahan Iklim Global di Copenhagen, Denmark tidak lama lagi.

Persidangan itu bakal menentukan polisi kerajaan untuk bertindak terhadap ancaman pemanasan global menggantikan Protokol Kyoto.

Penganjur Earth Hour 2009 mensasarkan satu bilion penyertaan penduduk dunia kerana setiap undi yang diberi kepada bumi adalah seruan kepada penduduk dunia melakukan sesuatu demi menjamin masa depan planet ini.

Mengikut laporan dikeluarkan WWF tahun lalu, kesan pemanasan global kini lebih cepat berkembang apa yang diramal kumpulan saintis terkemuka dunia.

Semua pihak yang masih memiliki perasaan sayang terhadap bumi boleh menyokong kempen Earth Hour dengan melayari laman web www.earthhour.org/malaysia.