Showing posts with label alam sekitar. Show all posts
Showing posts with label alam sekitar. Show all posts

Monday, July 27, 2009

Kawasan ais hilang di laut Chukchi


GAMBAR ini menunjukkan sejumlah ais berada (berwarna putih) di Laut Chukchi dekat Pelabuhan Barrow, Alaska (kiri) pada Julai 2006 tetapi situasi berubah pada Julai 2007 (kanan) apabila ais itu cair dan hilang.


WASHINGTON - Gambar yang baru ditarik balik daripada kategori rahsia menunjukkan kesan teruk akibat pemanasan cuaca global di Alaska, Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.

Imej satelit itu yang disiarkan pada minggu lalu oleh tentera AS menunjukkan sejumlah kawasan ais hilang di Laut Chukchi.

Gambar itu sebelum ini disimpan dan tidak didedahkan kepada orang ramai ketika AS ditadbir oleh Presiden George W. Bush.

Bagaimanapun, gambar itu dikategorikan tidak lagi menjadi rahsia beberapa bulan selepas Barack Obama menggantikan Bush.

Gambar itu merupakan amaran keras bahawa pemanasan global berjaya mengubah rupa bentuk di kawasan Artik.

Lebih satu juta kilometer ais cair pada musim panas 2007.

Gambar yang dirakamkan pada Julai 2006 menunjukkan sebuah kawasan ais yang besar dekat Pelabuhan Barrow di Alaska.

Bagaimanapun, setahun kemudian, kawasan yang diliputi ais itu hilang kerana cair disebabkan cuaca panas.

"Ia merupakan gambar yang jelas menunjukkan situasi musim panas di Artik," kata seorang pegawai di Pusat Angkasa Lepas Goddard, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Thorsten Markus.

"Situasi itu menjadi punca kenapa kami berasa amat bimbang," jelasnya.

Menurut beberapa saintis, kecairan ais itu mengundang bahaya.

Sejumlah besar haiwan bergantung pada ais itu seperti beruang kutub dan singa laut untuk hidup.

Obama kini mendesak Kongres AS supaya mengambil tindakan bagi menangani isu pemanasan global.

Ais itu menjadi penting kerana tanpanya, kawasan laut di Artik akan menjadi panas.

Isu pemanasan global menjadi perhatian utama pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin terhadap alam sekitar di Barat. - Agensi


Memang membimbangkan. Nampaknya usia dunia kita ni dah tak lama dah. Pada zaman Rasulullah s.aw. dahulu pun diumpamakan bumi ini bagai perempuan tua.

Siapa nak mengaku bertanggungjawab dalam hal ini. Masing-masing nak mengejar keuntungan tanpa mengira bumi kita yang dah semakin uzur. Apa yang kita boleh buat ialah buat 'amalan hijau', kurangkan pemanasan global, juga dari segi kerohanian, perbanyakkan amalan supaya jikalah berlaku kejadian yang tak diduga, kita lebih bersedia...

Sempena bulan Syaaban yang mulia ini, marilah kita banyak-banyak bermuhasabah dan beramal untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Monday, June 15, 2009

Ramadan kemuncak El Nino

Cuaca paling panas berikutan fenomena El Nino dijangka berlaku pada bulan puasa nanti.


JEREBU yang sedang melanda Kuala Lumpur merupakan petanda awal kedatangan El Nino.


LAZIMNYA, antara ungkapan popular yang sering menjadi petua orang kita mengenai petunjuk ketibaan bulan Ramadan ialah azan Maghrib semakin awal. Juga suhu panas pada tengah hari sesuai dengan maksud asal Ramadan dalam bahasa Arab.

Perkataan itu yang dirujuk kepada bulan kesembilan dalam takwim Hijrah dipercayai digunakan masyarakat Arab kerana keadaan panas sepanjang bulan tersebut. Tidak hairanlah Rukun Islam ketiga itu begitu sinonim dengan suasana cuaca panas.

Namun Ogos ini, umat Islam khasnya di sekitar Lautan Pasifik buat julung kali akan merasai ‘kehangatan’ Ramadan seiring kemunculan fenomena El Nino. Kali ini ujian sebenar Ramadan menyamai saudara seagama di bumi gersang Asia Barat.

Apa tidaknya, Jabatan Meteorologi Malaysia pada Selasa lalu meramalkan negara mungkin mengalami fenomena itu ekoran cuaca panas kering. Ia berikutan tiupan angin Monsun Barat Daya yang dijadual berlaku sehingga akhir September depan.

El Nino dikatakan tanpa disedari sudah terbentuk namun kekuatannya cuma dapat dikenal pasti mulai Ogos ini. Justeru Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merangka beberapa langkah awal bagi mengurangkan kesan fenomena itu.

“Ironi tidak jelas apakah tindakan dilakukan pihak berkuasa termasuk mengekang aktiviti pembakaran terbuka yang meningkatkan jerebu. Adakah membakar sate secara terbuka untuk dijual juga dilarang?,” soal Mohd. Nizam Mahshar.

Koordinator Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu ketika dihubungi bagaimanapun mempersoalkan kurangnya persediaan bagi menghadapi El Nino. Ini kerana fenomena itu bukan cuaca luar biasa malah selalu berulang pada setiap empat tahun.

Malangnya, kita seperti tidak belajar daripada sejarah dan ia dapat dilihat ketika kejadian El Nino terburuk berlaku pada 1982, 1983, 1997 dan 1998. Waktu itu, negara teruk dilanda jerebu dan lebih parah, mengalami kekurangan bekalan air mentah.


PERSEDIAAN untuk menghadapi ketidaktentuan cuaca tidak boleh dibuat secara ad-hoc.


“Banyak empangan kering-kontang dan puncanya kerana kawasan tadahan di sekitarnya terjejas akibat penebangan hutan tanpa kawalan sekali gus mengancam zon penampan. Kini kita kembali ‘bising’ apabila El Nino datang semula,” katanya.

Mohd. Nizam seterusnya menambah, sepatutnya tahun 2009, negara kita menghadapi El Nino dengan penuh persediaan rapi, bukan digerunkan dengan amaran krisis air yang bakal melanda akibat beberapa empangan mengalami susut stok tadahan.

Keadaan panik sekarang ujar beliau, muncul kerana Malaysia setakat ini masih belum memiliki dasar jelas berhubung pelan tindakan kesan perubahan iklim sejagat. Jawatankuasa yang dibentuk kini biasanya bersifat ad-hoc dan bukan tetap.

“Sewajarnya daripada El Nino yang lepas, negara tidak perlu risau empangan kering dan jerebu ekoran pembakaran terbuka, tetapi apa berlaku, kita diberi amaran itu dan ini mengenai El Nino semacam esok dunia hendak kiamat,” jelas beliau kesal.




Hakikatnya, fenomena berulang itu tidak banyak mempengaruhi purata iklim setempat. Sebaliknya cuaca panas melampau kebanyakan disumbangkan oleh faktor persekitaran semasa seperti penebangan hutan dan pembakaran sengaja.

Misalnya suhu Cameron Highlands secara purata berlegar 15.3 darjah Celsius pada bulan Ogos dengan kelembapan 92 peratus. Namun ia pernah mencecah hampir 28 darjah Celsius suatu ketika kerana banyak kawasan bukit di situ habis digondol.

“Justeru suhu panas bukan disebabkan El Nino tetapi akibat perbuatan manusia sendiri. Ini perlu difahami kerana setiap perubahan iklim lebih bersifat kepada proses penyelarasan semula planet bumi secara semula jadi,” kata Mohd. Nizam.

Pihak berkuasa ujarnya, harus melihat El Nino seperti masalah banjir yang memerlukan pencegahan awal seperti membina parit monsun atau mendalamkan sungai. Ia amat mudah kerana El Nino boleh diramal sama seperti kes tsunami.

Bayangkan menerusi langkah persediaan awal, sektor pertanian misalnya tidak perlu risau ketibaan El Nino. Ini kerana tali air sokongan sudah dibina untuk memastikan bekalan air tidak terputus, sekali gus tempias El Nino boleh diminimumkan.


Sabar je lah. Dah nak masuk seminggu tak sihat. Bila saya demam si kecil saya pun berjangkit sama. Setakat ini cuaca ini saya boleh tahan lagi, sebab kami tinggal di kawasan kampung. Rumah saya dikelilingi pokok. Ingatkan sekali memang tak seronok tengok daun rambutan dsbnya berguguran dar tanah sebelah hampir setiap hari. Jika dicongak mudah, nak makan buahnya setahun sekali, tu pun berapa sangatlah nak makan. Tapi bila fikir betapa pentingnya pokok kepada kita, buat-buat tak nampak (baca; tensen) je lah daun berguguran tu. Nanti boleh suruh anak-anak cakarkan.

Sebab utama badan tak sihat ni rasanya sebab tak cukup minum air...

Sabar-sabarlah ya.. ujian kita nampaknya besar jugak kali ni..pun masih bersyukur dibandingkan jika berada di tanah yang kering kontang..

Friday, June 05, 2009

Belantara makin ternoda

Pelik tapi benar. Sebahagian hutan di belantara terbesar dunia, Amazon kini tidak ubah seperti padang savana. Apa yang sudah berlaku?





TOPIK pemanasan global dan perubahan cuaca barangkali sudah menjadi subjek tepu. Sering disogok dengan isu itu, agaknya ada rasa mual dalam gejolak rasa sesetengah daripada kita. Namun begitu, semakin jauh kita cuba menghindarinya, mungkin semakin dekat implikasi terburuk fenomena alam itu mendatangi kita.

Apatah lagi, kalau termometer kesedaran penghuni dunia masih belum berada pada aras yang sewajarnya. Glasier mencair dan laut kian panas menjadi permulaan episod kemusnahan seakan belum mampu diinsafi.

Kini, ditambah pula dengan ancaman pembasmian hutan pada hutan hujan terbesar di muka bumi yang sepatutnya menyayat hati kita.

Foto yang dirakam Reuters pada 13 Mei lalu menggambarkan sebahagian hutan hujan terbesar, Amazon menjadi seperti padang savana. Tidak lagi kelihatan pohonan rimba malar segar di satu kawasan di Maranhao, Brazil sebaliknya yang ada cuma rerumput atau tanah kosong.

Ia dipercayai berpunca akibat kombinasi cuaca lebih kering daripada biasa dan kegiatan seperti pembalakan serta pertanian pindah. Kejadian itu, membuatkan pakar alam sekitar mula berdebat bagaimana perubahan cuaca memberi kesan bukan sahaja kepada Amazon bahkan kepada negara terbesar Amerika Latin yang menjadi 'rumah' kepada sebahagian besar hutan itu?

Amazon meliputi sembilan buah negara iaitu Brazil, Peru, Ecuador, Bolivia, Colombia, Venezuela, Guyana, French Guyana dan Surinam.

Daripada keluasan keseluruhan tujuh juta kilometer persegi, 60 peratus daripadanya adalah di Brazil.

Brazil dan hutan Amazon mengalami kesan perubahan cuaca yang ekstrem. Pada tahun 2005, negara itu telah mengalami kemarau yang paling teruk dalam tempoh empat dekad. Kemarau selama dua bulan itu telah menyebabkan Sungai Amazon dan beratus-ratus anak sungainya hampir kering-kontang.

Air sungainya susut sebanyak 12 meter berbanding 10 meter sahaja lazimnya.

Dua tahun kemudian, ancaman bukit pasir pula melanda Ilha Grande, timur laut Brazil. Sebanyak 13 buah rumah ditelan bukit pasir apabila jangkauan bukit semakin meluas.

Kemarau

Tahun ini, agak pelik. Bahagian sekitar Sungai Amazon yang dulunya kemarau mengalami banjir yang dahsyat sehingga membunuh sekurang-kurangnya 59 orang dengan 423,000 orang terpaksa meninggalkan rumah. Hujan lebat yang berterusan juga menyebabkan empangan di Piaui, sebuah bandar di timur laut Brazil pecah lalu memburukkan lagi banjir.


LEMBU-LEMBU Amazon dianggap sebagai penyumbang terbesar kepada pembasmian hutan di dunia.


Dalam pada itu, di kawasan selatan Brazil yang jauh dari Sungai Amazon, fenomena kemarau melanda disebabkan fenomena La Nina.

Biarpun begitu, ancaman pembasmian hutan di Amazon bukan sekadar terhad kepada masalah cuaca kering ekstrem, aktiviti pembalakan haram atau penanaman tanaman, bahkan juga penternakan. Barangkali, ia kedengaran aneh, tetapi itulah yang berlaku.

Kita mungkin menjangka hanya haiwan liar yang biasanya menghuni belantara. Namun, sekiranya anda tersesat jauh di dalam hutan Amazon jangan terkejut jika menjumpai sebidang kandang lembu yang luas.

"Ini satu perkembangan baru yang dikesan tahun ini," kata seorang ahli kumpulan Greenpeace, Wayne Lindbergh kepada Reuters sambil menunjuk ke arah skrin komputer ribanya yang menunjukkan gambaran terbaru dari satelit. Gambar itu menunjukkan tengah hutan Amazon di negeri Para, Brazil yang 'lompang' dengan kesan tanah terbakar telah dijadikan kawasan penternakan lembu.

Sektor penternakan

Menurut agensi berita antarabangsa itu, terdapat lebih daripada 70 juta lembu berada di kawasan Amazon pada masa ini. Brazil sememangnya merupakan negara pengeluar lembu komersial terbesar di dunia. Aktivis alam sekitar menjangka di kawasan Amazon inilah, industri itu semakin bergerak rancak kebelakangan ini. Mereka juga meramalkan ia bakal menjadi trend berikutan harga tanah yang murah, berleluasanya kegiatan memusnah hutan dan kelemahan penguatkuasaan kerajaan negara itu.

Greenpeace juga cuba membuktikan bahawa sektor penternakan setakat ini adalah pemacu utama kepada kegiatan pemusnahan hutan sekali gus menjadikan Brazil negara keempat terbesar pengeluar karbon. Mereka bahkan mengatakan, lembu-lembu Amazon sahaja sudah dianggap sebagai penyumbang terbesar kepada pembasmian hutan di dunia. Mereka seakan mempersoalkan apakah maknanya mengaut laba besar dalam industri penternakan jika ia terbina di atas maruah hutan yang ternoda.


PEMANDANGAN dari atas ladang penternakan dan industri memproses daging di Maraba, Brazil.


Setelah berjaya menumpaskan kegiatan menanam soya di Amazon pada tahun 2006, Greenpeace menyatakan cabaran kali ini lebih mencabar.

Syarikat-syarikat utama memproses daging lembu Brazil seperti JBS, Marfrig dan Bertin dalam tempoh lima tahun ini telah memacu industri menternak lembu di Amazon.

Menurut Rueters juga, bank pembangunan peringkat negeri, BNDES membiayai keseluruhannya AS$2.3 bilion (RM8 bilion) kepada empat buah syarikat daging terbesar di negeri itu pada tahun 2008.

Kumpulan pencinta alam berkata, ini bermakna kerajaan telah secara efektif memberi sumbangan kewangan kepada kemusnahan hutan secara haram, sedangkan kerajaan Brazil dikatakan pernah menyasarkan untuk mengurangkan masalah kemusnahan hutan lebih sedekad lalu.

Firma-firma daging lembu pula bagaimana pun menafikan kaitan mereka dengan pemusnahan hutan. Bentin misalnya, pernah memberitahu yang mereka akan membuang semua produk daging lembu yang bersumberkan pemusnahan hutan haram.

Pencerobohan

Tetapi, sejak berdekad-dekad lalu lagi, para peladang dan spekulator sememangnya telah beroperasi di luar radar kawalan kerajaan negeri, lalu mewariskan legasi konflik di Amazon.


KEMARAU yang panjang mengakibatkan banyak ikan ditemui mati di tebing Tasik Rei berhampiran bandar Careiro da Varzea, Brazil.


Berbalik kepada isu penternakan lembu di Para, Orang Asli dari puak Parakana mengakui mereka ada melihat beribu-ribu lembu ditangkap pada tahun lalu, sebagai usaha kerajaan membasmi masalah itu.

Tetapi, kata mereka, pencerobohan para penternak dan pemusnahan hutan terus berlaku. Tamakware, Ketua Puak itu pernah mengadu kepada pelancong asing agar memberitahu pihak berkuasa untuk mengeluarkan para penternak itu dari tempat tinggal mereka.

Yang pasti, masalah itu semakin menghantui pelbagai puak Orang Asli di seluruh Amazon. Agensi berita Associate Press (AP) baru-baru ini melaporkan bahawa lima puak Orang Asli Amazon terutamanya di Peru dan Brazil dikesan berdepan dengan risiko pupus akibat pemusnahan hutan itu yang kian berleluasa. Demikian menurut organisasi pejuang hak asasi Orang Asli, Survival International.

Di kawasan ternakan lembu di Para itu, kelihatan sekumpulan 12 orang koboi sedang mengawasi 17,000 ekor lembu. Analisis Greenpeace menunjukkan, kawasan seluas 1,500 hektar hutan telah dimusnahkan, menjadikan hanya 30 peratus sahaja daripada kawasan penternakan yang masih berhutan.

"Kami tidak menebang atau mengambil pun kayu dari sini, termasuklah pagar kayu kandang lembu," kata penyelia kandang, Elcimar Alves de Oliveira yang bermisai tebal kepada Rueters saat ditemui. Kata-katanya itu seolah-olah cuba menafikan bahawa aktiviti mereka di situ membinasakan alam.


MASYARAKAT Orang Asli di seluruh Amazon turut terjejas ekoran pemusnahan hutan yang kian berleluasa.