Thursday, April 17, 2008

Berbaris demi sebuku roti

Mesir telah memperuntukkan lebih RM7.9 juta untuk subsidi roti bagi tahun ini tetapi mengatakan jumlah tersebut mungkin meningkat akibat kenaikan harga gandum.


FENOMENA berbaris untuk mendapatkan roti ini harus dimansuhkan demi keselamatan rakyat.


RUTIN utama Abdel Nabi Salim dalam hidupnya ialah berbaris untuk mengambil roti. Lelaki berusia 65 tahun yang sudah beruban kepalanya itu berdiri di bawah terik sinar mentari, menunggu dalam barisan panjang untuk membeli 20 buku roti yang disubsidi dari sebuah jendela berpalang pada harga RM0.57 sebuku.

Sejak beberapa dekad lalu, Mesir telah menyediakan roti yang murah tetapi berkualiti untuk golongan miskin kerana berjuta-juta rakyatnya hidup susah dan berpendapatan rendah.

Tetapi barisan menunggu untuk membeli roti yang diperuntukkan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan makanan utama bukan subsidi di Mesir melonjak naik. Ini menyebabkan lebih banyak rakyat miskin terpaksa bergantung kepada barangan subsidi.

Situasi itu bermakna bahawa sekali Abdel membeli bungkusan roti pertama, dia harus kembali beratur dan menunggu semula untuk tambahan 10 buku roti lagi bagi keperluan keluarganya.

"Ini ialah sistem yang teruk. Saya datang ke sini setiap hari. Saya tiada sebarang pekerjaan, jadi inilah rutin saya iaitu menunggu untuk sebuku roti," katanya sambil menambah 'kerjanya' itu akan mengambil masa beberapa jam setiap hari.

Apa yang berlaku di Mesir menggambarkan beberapa risiko dan keseimbangan barangan subsidi, sama seperti beberapa negara di seluruh dunia yang cuba meringankan beban rakyat miskin terhadap kenaikan harga makanan.

Pada tahun 1977, krisis kekurangan roti subsidi telah menyebabkan berlakunya rusuhan yang membunuh orang awam sekali gus memaksa kerajaan bertindak pantas bagi mengatasi masalah tersebut.


SEKURANG-KURANGNYA 11 orang sudah terbunuh ketika berbaris dan berebut-rebut untuk membeli roti subsidi sejak awal Februari lalu.


Mesir telah memperuntukkan lebih RM7.9 juta untuk subsidi roti bagi tahun fiskal ini tetapi mengatakan jumlah tersebut mungkin meningkat akibat kenaikan harga gandum. Bagaimanapun, buat masa ini, harganya masih kekal.

Para pemerhati berkata, masalah dalam sistem subsidi ini mungkin boleh mengulangi semula krisis pada tahun 1977, jika tidak diatasi segera.

"Keganasan mungkin berulang. Saya takut kerana orang ramai kini sudah mula bertindak di luar batasan," kata Gouda Abdel Khalek, pakar ekonomi di Universiti Kaherah.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 11 orang telah terbunuh ketika berbaris untuk membeli roti subsidi sejak awal Februari lalu termasuk mangsa yang diserang sakit jantung dan wanita yang dilanggar kereta sewaktu berdiri dalam barisan, menurut sumber dari bahagian keselamatan.

Seorang penduduk pula ditembak mati dan tiga daripadanya parah selepas pergaduhan tercetus dalam barisan di kawasan pinggir bandar Kaherah.

Pegawai atasan Mesir telah berikrar untuk campur tangan bagi memudahkan pengagihan roti subsidi.

"Fenomena berbaris untuk mendapatkan roti ini harus dimansuhkan demi keselamatan rakyat," kata jurucakap Presiden Mesir, Suleiman Awad kepada pemberita pada bulan lalu.

Presiden Hosni Mubarak pula telah meminta bantuan pihak tentera untuk membantu mengagihkan roti kepada orang ramai. Selain itu, kerajaan juga akan berusaha meningkatkan jumlah tepung gandum untuk diberikan kepada pembuat roti.


KERAJAAN Mesir berusaha meningkatkan jumlah tepung gandum untuk diberikan kepada pembuat roti.


Perkara ini amat dialu-alukan oleh salah seorang pembuat roti, Magdy Labib yang sering merungut bahawa kenaikan harga minyak, pasta, beras dan gula telah memberi tekanan kepada pengusaha sepertinya.

"Tepung gandum tidak mencukupi untuk keperluan orang ramai yang berbaris untuk membeli roti. Justeru, langkah kerajaan meningkatkan bekalan kepada kami adalah satu tindakan yang wajar," katanya.

Orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membeli roti kerana harga barang dunia semakin meningkat sejak hampir setahun lalu.

Harga untuk barangan harian naik sehingga 20 peratus, sayur-sayuran (15 peratus) dan minyak masak (40 peratus), menurut agensi perangkaan Mesir. - Reuters

500 tahun tidak reput

Bagaimanakah penduduk bumi dapat menghentikan penggunaan beg plastik secara konsensus?


SECARA purata, seorang individu menggunakan lapan helai beg plastik seminggu.


MENURUT perangkaan, rakyat Malaysia membuang sumber kitar semula bernilai RM476 juta dua tahun lalu. Selain kertas yang mencatat pengeluaran sisa terbanyak iaitu 17 peratus atau RM205 juta, sumber buangan kedua terbesar ialah plastik iaitu 9 peratus atau RM163 juta.

Keadaan yang sama disaksikan di Britain tahun demi tahun apabila berbilion helai plastik dibuang sewenang-wenangnya walaupun baru sekali digunakan. Ingat, untuk setiap lima minit sehelai beg plastik dipakai tetapi mengambil masa 500 tahun untuk mereput!

Dalam satu kajian, dirumuskan 36 peratus daripada mereka yang ditemu ramah mengakui membuang beg plastik selepas digunakan sekali.

Secara purata, seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik seminggu. Bagaimana pula dengan anda?

Beg plastik yang terbuang biasanya meninggalkan pemandangan kurang enak di atas pokok, jalan raya, taman-taman, tasik, sungai dan tempat awam lain.

Di samping mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, ia memudaratkan kesihatan manusia dan hidupan lain termasuklah haiwan dan tumbuhan.


BEG plastik yang hanyut ke laut membunuh penyu dan haiwan marin.


Beg plastik yang hanyut ke laut pula turut membunuh kelompok penyu dan haiwan marin kerana menyangkakan ia adalah obor-obor.

Pengeluaran, pembuangan dan pereputan beg plastik juga bukan semudah yang disangka. Ia secara langsung menyumbang kepada pembentukan gas rumah hijau yang memberi kesan kepada pemanasan global.

Di kebanyakan negara termasuklah Ireland, sehelai beg plastik biasa memaparkan cukai kerajaan yang bernilai 15 sen Euro atau 47 sen.

Perkara yang sama dapat dilihat di negara bukan ahli Kesatuan Eropah seperti di Crotia dalam usaha untuk mengawal jumlah penggunaan beg tersebut.

Pasar raya di Perancis mempraktikkan peraturan yang lebih drastik apabila tidak menggunakan beg plastik langsung.

Ia hanya menjual beg kitar semula yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Pendekatan ini bukan sahaja menjadi insentif untuk memaksa individu menggunakan beg kitar semula bahkan membantu menyelamatkan bumi.


IMPLIKASI limpahan plastik menghodohkan pemandangan sekeliling.


Benarkah pengurangan beg plastik dapat membawa perubahan? Pada 30 April 2007, sejarah pemuliharaan alam merekodkan pencapaian yang amat bermakna kepada manusia sejagat.

Modbury di Devon, England menjadi bandar pertama di dunia bebas daripada beg plastik di Eropah.

Matlamat ini direalisasi berikutan pendedahan Rebecca Hoskins, seorang jurugambar haiwan liar yang menceritakan semula kesan pencemaran alam ke atas haiwan. Semua peniaga secara bersepakat untuk bertukar kepada kertas kanji jagung, kapas dan kain.

Selepas enam bulan, lebih daripada sedozen bandar dan perkampungan lain mengikut amalan yang sama.

Jadi, mulakan sekarang dengan memeriksa sama ada beg plastik yang anda pegang mempunyai label pensijilan ISO 14001 untuk bahan kitar semula.


KEMPEN tidak menggunakan beg plastik adalah salah satu cara menyelamatkan bumi.

Saturday, April 12, 2008

Pemilik trak serah diri

Pemandu yang diburu dipercayai masih bersembunyi di Phuket

SUKSAMRAN, Thailand: Mahkamah Thailand mengeluarkan waran tangkap ke atas pemandu trak berikutan kematian 54 pendatang Myanmar akibat sesak nafas ketika diseludup ke negara itu.

Kira-kira 50 mangsa yang terselamat pula didenda sebanyak 2,000 baht (RM198) seorang kerana masuk secara haram ke Thailand. Bagaimanapun disebabkan ramai tidak mampu membayarnya, sebuah mahkamah Thailand memerintahkan mereka dipenjarakan sebelum dihantar pulang ke Myanmar.


Seramai 14 remaja pula diarah ke pusat tahanan Imigresen sebelum dihantar pulang. Kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan ke atas mereka terbabit.

Trak sepanjang enam meter itu disumbatkan 120 pendatang dalam kontena berkunci dan mereka pengsan apabila pendingin hawa gagal berfungsi.

Pemilik trak itu, Dumrong Pusadee, 45, ditangkap selepas menyerah diri untuk siasatan kelmarin.

Bagaimanapun, pemandu berkenaan yang dikenal pasti polis sebagai Suchon Boonplong, dipercayai bersembunyi di Phuket selepas meninggalkan traknya lewat kelmarin.

"Polis dari pelbagai unit mencari Suchon dan beberapa orang lain yang terbabit dalam rangkaian penyeludupan," kata Mejar Jeneral Polis, Apirak Hongthong kepada wartawan.

Kedua-dua mereka yang terbabit akan didakwa bersubahat untuk menyembunyikan, membantu atau menyeludup pendatang tanpa izin ke Thailand dan kerana kecuaian yang menyebabkan kematian. Jika disabitkan, mereka menghadapi hukuman penjara maksimum 10 tahun, kata polis.

Mangsa terselamat berkata mereka mengetuk dinding trak itu dan cuba menghubungi pemandu melalui telefon bimbitnya selepas sistem pendingin hawa gagal berfungsi.

"Kami menghubungi pemandu menggunakan telefon bimbit tetapi dia memberitahu kami dalam bahasa Burma supaya diam dan jangan membuat masalah. Dia mematikan telefon dan terus memandu," kata Tida Toy, 21, kepada akhbar Bangkok Post.

Kematian ngeri itu menimbulkan kemarahan kumpulan hak asasi manusia dan mengulangi desakan supaya tindakan tegas diambil terhadap rangkaian penyeludupan manusia di rantau itu.

Kira-kira dua juta pendatang dari seluruh rantau bekerja di Thailand, kebanyakan mereka berasal dari Myanmar.

Cuma 500,000 pendatang di negara itu masuk secara sah, kata pegawai Kementerian Buruh kepada televisyen Channel 9.

Menurut undang-undang Thailand, pendatang berdaftar mempunyai hak sama seperti rakyat Thailand tetapi ia tidak diamalkan. Pendatang selalu dinafikan peluang mendapatkan hak asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebebasan bergerak.

Bagaimanapun, majoriti pendatang tidak berdaftar dan bekerja secara haram di kilang, restoran, stesen minyak dan pembantu rumah. � Reuters

Pub khas untuk Muslim

Halal Inn jadi kelab pertama bebas pengaruh alkohol di Britain

LONDON: 'Halal Inn' adalah pub pertama untuk orang Islam di Britain. Persekitarannya sama seperti pub biasa dengan ada snek, meja snuker dan muzik dimainkan sebagai latar belakang, tetapi yang berbeza ialah ia tidak menghidangkan bir atau sebarang alkohol lain.

Malah, Halal Inn dibuka hanya untuk pengunjung yang tidak menggemari minuman beralkohol. Ia dibuka Disember lalu di Oldham dan walaupun perniagaannya tidak begitu laris, ia tetap mendapat sambutan.


Di belakang bar ada minuman ringan dan jus buah-buahan. Sebagai tambahan kepada teh dan kopi, pelbagai snek Asia juga tersedia, manakala lagu bercorak Islam dimainkan menerusi pembesar suara.

Pengunjung masih boleh bermain snuker, membaling damak atau karom, permainan papan India yang hampir sama dengan permainan billiard. Malah kuiz bertemakan Islam turut dianjurkan.

Pemilik pub yang unik itu, Azizur Rahman dan rakan perniagaannya, Muzahid Khan melihat potensi di tapak bekas kelab malam Westwood Inn itu yang terbiar kosong di pinggir pusat bandar.

"Penduduk Islam adalah antara kumpulan pengguna terbesar dan mereka memerlukan tempat berehat dan bersosial seperti juga orang lain. Namun, kehadiran alkohol bermakna kelab malam biasa tidak akan dikunjungi oleh mereka yang mengikut ajaran Islam, jadi ini adalah tempat yang sesuai untuk mereka.

"Semakin banyak kelab malam ditutup di seluruh negara dan kami percaya menukar ia kepada kelab malam berunsurkan Islam akan berjaya di mana saja yang mempunyai komuniti Islam yang besar," kata Muzahid.

Walaupun kelab malam itu, seperti banyak versi tradisional Britain lain, jelas dikuasai lelaki, tiada larangan untuk pengunjung wanita.

Pelayan bar, Ali Yaris, 44, berkata: "Penduduk tempatan menyokong penubuhan kelab ini, walaupun kadangkala ia menyebabkan kekeliruan. Sebagai contoh, seorang lelaki datang pada satu malam dan terus memesan alkohol.

"Kemudian dia menyedari di sini tidak akan mesin mengepam bir malah botol alkohol pun tidak ada. Kami cuma ketawa. Saya pasti dia akan ke kelab malam lain."

Kelab itu turut memiliki liga snuker sendiri dengan kira-kira 20 peserta menetapkan matlamat menjadi juara pertama.

Seorang pekerja pejabat, Mohammed Ali, 27, berkata beliau menikmati permainan yang menyenangkan selepas kerja.

"Selalunya ia adalah gabungan ramai orang � tidak semuanya Islam. Ia memang tempat yang begitu sosial. Ia berbeza dengan kelab malam biasa kerana anda tidak mabuk dan tidak bertindak liar. Saya berasa ia idea yang bijak," katanya.

Seorang pelanggan tetap kelab itu, Abdus Shahid, 29, berkata ia seperti kelab malam lain cuma tidak menjual alkohol.

"Kami ke sini untuk berehat, bermain snuker dan bertemu dengan rakan selepas seharian bekerja. Saya rasa tujuan utama mengunjungi kelab malam biasa ialah untuk minum, tetapi di sini cuma untuk bertemu rakan dan berehat," katanya. � Agensi

Krisis makanan global



MERUSUH: Penduduk Mogadishu, Somalia termasuk wanita dan kanak-kanak menyertai tunjuk perasaan membantah harga makanan yang mahal, semalam.

Agensi dunia ramal lebih 100 juta penduduk jadi miskin

WASHINGTON: Krisis kekurangan bekalan dan peningkatan mendadak harga makanan utama dunia termasuk beras dan gandum terus meruncing dan mencetuskan inflasi ketika Bank Dunia memberi amaran masalah itu boleh menyebabkan 100 juta penduduk menjadi lebih miskin.

Amaran itu disuarakan ketika sekurang-kurangnya 33 negara di benua Arab, Afrika, Amerika Latin dan Asia seperti di Mesir, Haiti, Indonesia, Zimbabwe, Bangladesh, Filipina, Burkina Faso, Mauritania dan Peru berdepan kesukaran memperoleh makanan akibat harganya yang terlalu mahal sehingga mencetuskan rusuhan ganas yang meragut nyawa.

"Kita sedang berdepan krisis makanan sedunia," tegas Timbalan Presiden Tabung Pembangunan Pertanian Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kevin Cleaver yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina, Gloria Arroyo di Manila semalam.


Pegawai kanan Bank Dunia pula menegaskan peningkatan harga makanan yang meningkat dua kali ganda sejak tiga tahun lalu diramal meningkatkan kadar kemiskinan global sebanyak tiga hingga lima peratus. Bagi tempoh 2005 - 2007, harga gandum dunia meningkat 70 peratus, jagung 80 peratus dan produk tenusu, naik dua kali ganda sebanyak 90 peratus.

Agensi lain PBB turut menyalahkan pihak pelabur global dan nilai mata wang dolar Amerika Syarikat yang lemah, sebagai punca utama peningkatan harga makanan dunia.

Lebih membimbangkan, Bank Dunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) menegaskan krisis makanan itu akan berlanjutan. Selasa lalu, FAO menggesa pemimpin dunia menghadiri satu sidang kemuncak awal Jun depan bagi membincangkan krisis kekurangan bekalan makanan yang disifatkan sebagai satu keadaan yang 'darurat'.

KAWAL KETAT: Seorang pengawal keselamatan Filipina mengawal penduduk yang beratur bagi membeli beras murah di sebuah gudang, di Manila, semalam.

"Kejadian rusuhan akibat kekurangan dan peningkatan harga makanan di negara seperti Afrika dan Haiti hanya membuktikan yang kita sememangnya berdepan kekurangan yang amat mendadak," tegas Ketua Pengarah FAO, Jacques Diouf.

Diouf berkata tindakan ramai penduduk berhijrah ke kawasan bandar menyebabkan pengeluaran makanan terjejas, harganya meningkat dan bekalan yang ada pula berada di tahap terendah sejak 1980.

"Kajian Bank Dunia mendapati 100 juta penduduk dunia bakal menjadi mangsa dan menjadi lebih miskin," kata Pengarah Pengurusan Pengurangan Kemiskinan dan Ekonomi Bank Dunia bagi Rantau Amerika Latin dan Caribbean, Marcelo Giugale.

Beliau mendakwa lima faktor menjadi punca ledakan harga makanan termasuk tumpuan kepada usaha penghasilan sumber tenaga biofuel yang berasaskan bijirin, peningkatan kos bahan api, baja serta cuaca buruk di negara pengeluar termasuk Australia yang berdepan kemarau terburuk dalam tempoh 100 tahun.

"Faktor lain peralihan 'selera' masyarakat Asia kepada makanan berasaskan protein daripada sumber daging merah dan ayam yang menyebabkan permintaan bijirin meningkat mendadak".

Sementara itu krisis makanan itu terus mencetuskan masalah di beberapa negara sehingga semalam.

Di Haiti, negara yang mempunyai kira-kira sembilan juta penduduk itu menyaksikan rusuhan yang meragut sekurang-kurangnya lima nyawa sejak minggu lalu.

Rusuhan tiga hari yang menyebabkan penduduk bertindak ganas merompak kedai, juga disambut kecaman 17 daripada 27 Senator Haiti yang menggesa Perdana Menteri Jacques Edouard Alexis, meletak jawatan.

Di Bangladesh, kerajaan negara itu akan mewujudkan bekalan makanan kecemasan menerusi import dan pengeluaran tempatan.

"Kita sememangnya berharap dapat mewujudkan bekalan itu di akhir musim menuai tidak lama lagi," kata pemimpin kerajaan junta, Fakhruddin Ahmed kepada media.

Di Indonesia, ramai penduduknya berpusu-pusu membeli minyak masak pada harga diskaun di Jakarta semalam bagi merebut peluang membeli barangan keperluan berkenaan berikutan peningkatan harganya di pasaran.

Di Zimbabwe, beratus-ratus penduduk Harare, beratur panjang bagi membeli makanan.

Di Mogadishu, lebih 100 penduduk, termasuk wanita dan kanak-kanak menyertai tunjuk perasaan kelmarin, membantah harga makanan yang meningkat. � AFP/AP/Reuters

Monday, April 07, 2008

Assalamualaikum,

Hari-hari yang saya lalui agak sibuk. Pada hari pertama saya ke sekolah sekembalinya dari hospital saya mengadap pengetua. ebagai ketua jabatan beliau bertanya khabar saya sekeluarga, seterusnya bertanyakan tugas saya, sementelah lebih kurang 7 minggu saya menemani anak saya yang dirawat di hospital. Apa boleh buat, ada sesetengah perkara yang menimpa kita dan kita tidak berupaya mengawalnya. Saya berjanji kepada beliau saya akan cuba buat yang terbaik. Ya, saya seorang yang berkomitmen yang tinggi dalam kerjaya saya. Walaupun saya bukan yang terbaik, tapi suka bersaing (walaupun hanya dengan diri sendiri..)

Pelajar-pelajar yang saya tinggalkan, macam honey moon pula, maklumlah tiada nakhoda. Hmm, tak apa, saya akan kejar kamu semua (tingkatan 5) . Kena cari pendekatan terbaik, cara kekerasan bimbang patah, cara lembut nanti tidak menjadi, jadi, ambil semua cara, keras dan lembut, cara berhemah... inilah bisnes cikgu. Keputusan SPM bagi subjek saya di SMKUR tidak memberansangkan sebab tiada calon mendapat 1A. Di sekolah lama saya lain pula ceritanya. Sebelum ini pencapaian terbaik ialah C5, dan tahun lepas seorang calon dapat 2A..pecah rekod tu.. Yess, saya teruja ni (kalau ada yang buat saya syok sendiri, siap kamu..!)

tukar mood..

Sebenarnya saya masih tidak dapat menyembunyikan kesedihan akibat pemergian anak perempuan saya. Arwah Sarah sebelum pulang ke kampung macam-macam berpesan. Salah satunya ialah, 'bila birthday dia nanti dia minta saya agihkan jajan untuk kawan-kawan sekelasnya. Namun, menjelangnya 6 Februari yang lepas, saya sedang bergelut dengan baby saya yang kesakitan di hospital. Saya mengalami 2 kali kesedihan, melihat penderitaan anak yang sakit dan tidak dapat menunaikan hajat arwah anak saya.

Maka, pagi tadi, saya ke sekolah anak saya untuk membahagi-bahagikan jajan tersebut. Saya tidak dapat bercakap panjang dan berlama-lama di hadapan kelas anak saya... kawan-kawan anak saya, termasuk guru..sebak apabila saya beritahu pesanan arwah. Dia memang dikasihi sahabat-sahabat dan para guru. Sesekali syaitan menghasut saya supaya rasa kesal kerana pemergian anak saya yang baik, yang akan mengembirakan hidup saya. Adiknya Syamil dan Danial kehilangan kakak yang penyayang. Saya lawan hasutan itu dengan mengatakan Sarah bahagia di sana. Sarah juga 'berkorban' kerana akan menolong ibu bapanya di akhirat nanti. Saya terhutang dengan anak saya. Jika saya 'malas', saya akan ingatkan Sarah yang akan menunggu saya dan menolong saya. Saya nak sangat-sangat bersama-samanya di akhirat nanti, bernaung di syurga Nya..amin..

Minggu lepas, dengan hasil derma kawan-kawan,guru dan staf SKUR, saya telah membelikan banyak buku cerita (dengan bantuan sdri Nisah Haron) keluaran PTS. Sebelum ini kami selalu ke pesta buku dan novel=novel pTS adalah kegemaran anak saya. Saya dermakan buku-buku tersebut yang berjumlah lebih kurang 40 buah untuk diletakkan di Pusat Sumber Sekolah SKUR. Mama tahu Sarah akan gembira. Saya juga belikan kitab kecil 'majmuu syarif' untuk staf.. Walaupun jauh, mama tahu Sarah sentiasa di sisi..

Sunday, April 06, 2008

Minda: Mengatasi kesedihan ketika ditimpa musibah

Susunan Hashim Ahmad


MEMILIKI hati yang tenang, bahagia dan hilangnya rasa gundah-gulana adalah sesuatu sangat diinginkan setiap insan. Insan yang berakal menurut Syeikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di Rahimahullah dalam bukunya, ‘Al-Wasaailu al-Mufaidah lil Hayatatis Sa’idah’ ialah: “Mengetahui bahawa kehidupan sebenarnya yang dijalani dengan bahagia dan tenang. Kehidupan ini pendek sekali dan tidak sepatutnya dipenuhi kesedihan dan dalam kesusahan”.

Jika seorang hamba Allah ditimpa musibah atau takut menghadapi musibah, dia hendaklah membandingkan antara nikmat yang diperoleh baik dalam urusan agama atau dunia dengan musibah yang menimpanya.

Dengan membuat perbandingan itu, jelaslah baginya betapa banyak nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya.

Selanjutnya Syaikh as-Sa’di menyarankan: “Hendaklah juga membandingkan antara kemungkinan risiko yang menimpa dengan banyaknya kemungkinan dapat diselamatkan daripadanya. Jangan sampai kemungkinan yang lemah dapat mengalahkan kemungkinan kuat dan banyak. Dengan demikian, akan hilanglah kesedihan dan perasaan takut”.

Setiap insan juga perlu memperhitungkan perkara paling besar yang dapat menimpa kemudian menyiapkan mental untuk menghadapi apabila terjadi serta berusaha mencegah yang masih belum terjadi dan menghilangkan atau paling tidak meminimumkan musibah yang sudah terjadi.

Apabila seseorang dihadapkan dengan ketakutan, sakit, kekurangan atau tidak tercapai keinginannya, dia hendaklah menghadapinya dengan tenang dan menyediakan mental mencukupi, malah dia harus bersiap menghadapi keadaan lebih berat sekalipun.

Sesungguhnya persiapan mental dalam menghadapi musibah akan memperkecilkan musibah itu dan menghilangkan bebanannya.

Apa yang lebih penting ialah selalu memperbaharui kekuatan menghadapi musibah disertai dengan tawakal dan yakin kepada Allah.

Jika hati bersandar kepada Allah dan bertawakal kepada-Nya, tidak menyerahkan kepada prasangka buruk, tidak dikuasai khayalan negatif dan yakin atas kurniaan Allah, pasti akan terusirlah perasaan sedih dan mampu menghilangkan pelbagai penyakit fizikal dan jiwa.

Hati boleh mendapat kekuatan, kelapangan dan kebahagiaan yang tidak dapat diungkapkan.

Ramai orang yang tabah hatinya tetapi masih terpengaruh dengan prasangka buruk dan khayalan, apatah lagi orang yang memang lemah hatinya.

Betapa hal berkenaan sering menyebabkan kedunguan dan kegilaan.

Firman Allah bermaksud: “Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya”. (Surah Ath-Thalaq: Ayat 3).

Ertinya Allah akan mencukupkan untuknya semua apa yang dia perlukan daripada urusan agama dan dunianya.

Oleh itu, orang yang bertawakal kepada Allah hatinya menjadi kuat, tidak dapat dipengaruhi prasangka buruk, tidak dapat digoncang oleh peristiwa yang terjadi kerana dia tahu, termasuk tanda lemahnya jiwa dan perasaan takut tidak beralasan.

Dia tahu Allah akan menjamin sepenuhnya orang yang bertawakal kepada-Nya. Dia yakin kepada Allah dan tenang kerana percaya akan janji-Nya.

Dengan demikian, hilanglah duka dan gelisah. Kesulitan berubah menjadi kemudahan, kesedihan menjadi kegembiraan dan perasaan takut menjadi keimanan.

Filem Fitna, memang fitnah

SEPANG: “Filem Fitna ini betul-betul fitnah kepada kita (umat Islam),” kata ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, pengeluar filem terbabit cuba mengelirukan orang ramai dengan penggunaan petikan ayat al-Quran yang tidak lengkap dalam usaha memburukkan umat Islam di kalangan masyarakat dunia.

“Dia (pengeluar filem) mengeluarkan ayat al-Quran berkaitan jihad. Dia ambil (ayat al-Quran) yang memerintahkan untuk kita berjihad dengan orang kufur, walhal dia lupa bahawa sebelum itu ayat berkenaan menceritakan bagaimana orang kufur menentang umat Islam, cuba nak hapuskan Islam.

“Perintah kepada orang Islam supaya berjihad mempertahankan agama, tapi dia ambil kalimah al-Quran yang mengajar supaya membunuh orang, pancung orang, seolah-olah itulah perkara sebenar...sedangkan ayat itu tidak dikeluarkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Teks al-Quran (LPPPQ) Bil 54/1.2008, Kementerian Dalam Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyiaran filem pendek 15 minit menerusi Internet, Khamis lalu oleh Wilders, pemimpin parti Kebebasan di Belanda.

Filem itu antara lain menyelitkan imej serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat dan serangan bom di stesen Madrid pada 2004 dengan beberapa petikan ayat al-Quran.