Tuesday, May 20, 2008

Navigasi umrah maya

Aplikasi umrah maya ciptaan pelajar, Syed Huzaifah Syed Omar ini dapat membantu pengguna sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci.


MENGGUNAKAN gogal khas untuk menikmati navigasi umrah maya, pengguna dapat mengadakan latihan amali maya sebagai persiadaan untuk menunaikan umrah yang sebenar.


MASALAH kekeliruan yang dialami semasa mengerjakan umrah dua tahun lalu, telah menjadi cetusan idea buat seorang pelajar tahun akhir Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya untuk memperkenalkan sebuah aplikasi terbaru yang impresif iaitu virtual umrah atau umrah maya.

Menerusi aplikasi tersebut yang dimainkan di Internet, pengguna akan dapat membiasakan diri dengan suasana ibadah umrah di Mekah terlebih dahulu sebelum mereka benar-benar menjejaki tanah suci itu.

"Semasa melakukan umrah pada tahun 2006, saya mengalami beberapa kekeliruan ketika melaksanakan tawaf dan saie. Misalnya, saya keliru sama ada saya berada di Safa atau Marwa ketika melaksanakan ibadah saie.

"Memang kita telah diajar mengenainya dalam kursus sebelum bertolak, tetapi setelah tiba di tempatnya yang sebenar, ramai yang keliru kerana faktor keadaan sekeliling yang asing dan orang yang ramai," kata Syed Huzaifah Syed Omar, 23, pelajar tahun akhir MMU yang mencipta aplikasi berkenaan kepada Kosmo! ketika ditemu bual di Ampang, Selangor baru-baru ini.


TURUT dilengkapi video.


Masih berada pada peringkat prototaip, projek itu dipercayai yang pertama seumpamanya di dunia. Sebelum ini, aplikasi yang wujud sekadar dalam bentuk animasi atau 3D tanpa memiliki unsur interaktif seperti permainan komputer.

Dengan umrah maya, pengguna dapat merasai sendiri bagaimana keadaan ketika menunaikan umrah di Tanah Suci dengan melakukan navigasi sendiri. Dalam erti kata lain, pengguna mengawal diri mereka sendiri untuk mengerjakan umrah.

Seperti juga permainan komputer yang lain, pengguna perlu menyelesaikan satu misi dan misi aplikasi ini ialah menyempurnakan ibadah umrah.

Menggunakan navigasi kursor, pengguna dikehendaki menyelesaikan dua peringkat iaitu peringkat tawaf dan peringkat saie. Permainan dimulakan dengan peringkat yang pertama iaitu tawaf. Untuk menyelesaikan peringkat berkenaan pengguna mestilah menghabiskan tujuh pusingan tawaf.

Selesai peringkat tawaf, pengguna beralih kepada peringkat saie. Di peringkat saie, pengguna perlu berulang alik dari Safa dan Marwa sebanyak tujuh kali.

Menariknya, menerusi aplikasi ini, anda bukan sahaja mengetahui di mana lokasi Hajar Aswad, garis permulaan tawaf, garis permulaan saie, 56 pintu masjidil haram dan sebagainya bahkan anda juga mengetahui informasi-informasi berkaitannya.


KEADAAN sebenar Masjidil Haram.


"Ketika melaksanakan misi, pengguna akan bertemu kotak-kotak 'I' yang mempunyai informasi tersembunyi. Mengambil kotak I itu akan menemukan pengguna dengan informasi-informasi berkenaan aspek-aspek tertentu dalam umrah seperti memakai ihram, maklumat tentang Hajar Aswad, sejarah saie, mengapa perlu berlari lebih pantas di satu bahagian berwarna hijau, larangan semasa ihram dan doa-doa yang berkaitan," katanya.

Maklumat-maklumat itu disampaikan dalam bentuk yang menarik iaitu berbentuk kandungan video. Ia juga mempunyai suara yang dirakamkan oleh Syed Huzaifah sendiri.

Lebih menyeronokkan, aplikasi tersebut turut dimasukkan efek bunyi seperti bunyi orang membaca al-Quran, bunyi azan atau bunyi percakapan manusia seperti yang lazim didengari di Masjidil Haram.


SYED Huzaifah Syed Omar mengambil masa setahun menyiapkan virtual umrah.


"Untuk benar-benar menikmati pengalaman umrah tersebut, aplikasi ini boleh dihubungkan dengan gogal HMD yang membolehkan pengguna merasakan bahawa diri mereka benar-benar berada di persekitaran Masjidil Haram," katanya yang mengambil masa setahun untuk menyiapkannya.

"Saya mencipta aplikasi ini berasaskan konsep melayari, mempelajari dan memahami. Saya mahu orang ramai membiasakan diri dengan keadaan di Masjidil Haram, tahu bagaimana susun aturnya dan faham mengapa mereka melakukan ibadah tersebut. Saya tidak mahu mereka berasa keliru apabila tiba di sana seperti yang berlaku pada saya dan beberapa jemaah terdahulu. Saya berharap mereka dapat membiasakannya terlebih dahulu," ujarnya sambil menjelaskan aplikasi ini dibangunkan menggunakan perisian Virtools 4.1 Development dan 3d Studio Max.

Apakah masalah yang dilalui dalam melaksanakan projek tersebut? Syed Huzaifah berkata, ia merupakan projek tahun akhir individu dan semuanya perlu dilakukan berseorangan.

"Antara masalah yang dihadapi ialah untuk membina struktur sebenar Masjidil Haram kerana kekurangan sumber. Lantaran itu, saya berusaha mendapatkan sesuatu yang hampir serupa. Adakalanya, berlaku gangguan teknikal apabila saya cuba memasukkan satu elemen baru ke dalamnya.

"Saya juga perlu melakukan tugasan ini secara sendirian. Jadi, saya mestilah menguasai segenap perkara, sedangkan saya tidak mungkin mampu menguasai segalanya. Kekangan masa dan kewangan juga antara masalah yang dilalui," katanya yang percaya ia bakal dikomersialkan dalam tempoh dua tahun lagi.

Merancang untuk menambah lebih banyak elemen, termasuk memperluaskannya kepada ibadah haji, mungkin selepas dia menunaikan haji kelak.


DIKAWAL menggunakan kekunci navigasi pada komputer.


"Apapun, aplikasi ini cuba membuktikan bahawa teknologi dan agama boleh bergerak seiring.

"Tambah pula, ini mampu membuang tanggapan bahawa umat Islam ketinggalan dalam bidang teknologi, lebih-lebih lagi teknologi virtual. Selain itu, dengan suntikan hiburan, ia boleh menarik minat muda-mudi untuk mendekati ibadah.

"Bukan sahaja orang Islam, bahkan orang bukan Islam juga boleh mendapat gambaran sebenar melaksanakan ibadah di Masjidil Haram menerusi aplikasi ini kerana mereka tidak dibenarkan menjejakinya," katanya memberitahu terdapat beberapa pihak yang telah menyuarakan minat untuk bekerjasama dengannya dalam membangunkan aplikasi ini.

Dimainkan menerusi satu laman web yang bakal didedahkan kelak dengan plug in virtools web player, orang ramai boleh melihat atau mencuba sendiri aplikasi ini yang buat pertama kalinya dipersembahkan kepada umum pada pameran projek-projek tahun akhir MMU yang berlangsung semalam dan hari ini di MMU, Cyberjaya.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi ini atau mahu menghubungi Syed Huzaifah atas urusan berkaitan bolehlah mengirim emel kepada virtual.umrah@yahoo.com.


Subhanallah, Alhamdulillah!

Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru

Kepada semua warga pendidik, Selamat Hari Guru diucapkan walau di mana-manapun anda berada. Setelah setahun berhempas pulas dengan tugas masing-masing, hari ini kita rileks sebentar, sama-sama meraikan hari khas buat kita.

Tahun 2006 saya meraikan hari guru di SMKA Pedas, 2007 di SMK Pasir Panjang dan tahun ini di SMK Undang Rembau. 3 sekolah dengan 3 cara sambutan yang berbeza. Sudah tentulah di SMKA Pedas yang paling meriah kerana di situ terdapat sebuah dewan besar yang cantik dan orang kata ada feel lah. Semua pelajar tinggal di asrama dan aktiviti bisa diatur dengan lebih mudah. Di SMKPP dan SMKUR pun ada kelebihannya juga. Seperti biasalah, ada acara padang dan acara dewan. Tahun ni mood untuk bergembira masih belum pulih. Masih kelelahan. Tak sakit tapi saya menapak agak sederhana buat permulaan ini. Lebih menumpukan kepada aspek akademik dan meng'cover' apa-apa yang saya tertinggal selama ini.

Oklah, saya ingin menceritakan serba sedikit seputar yang berlaku di sekolah kami pagi tadi. Setiap pagi Jumaat kami mulakan hari dengan majlis bacaan Yaasin Tapi hari ini agak istimewa sebab yang mengetuai bacaan Yaasin ialah Pengetua sendiri. Saya sungguh berbesar hati kerana bacaan, makhraj, tajwid beliau saya beri A. Acara Hari Guru seperti biasa diisi dengan bacaan ucapan Pengarah Pelajaran, Menteri Pelajaran Malaysia. Akhir sekali Pegetua mendeklamasikan sajak bertajuk "Terima Kasih Cikgu". Best betul Pengetua ni, ada sense seni dan kreatif jugak.

Acara pagi diserikan dengan persembahan kompang berformat, macam kawad berformasilah. Pertama kalilah saya lihat pertunjukan sebegini. Pasukan kompang sekolah kami yang diberi nama 'Pasukan Kompang Anak Harimau" menggabungkan seni kompang, seni tarian, formasi. Memang menarik dan menghiburkan. Saya beri A- , tanda tolak sebab masih belum betul-betul kemas lagi. Sebenarnya mereka masih dalam sesi latihan untuk pertandingan minggu depan. Pelajar sekolah ni ramai jugalah yang berjaya ke peringkat kebangsaan terutama dalam sukan, olahraga, permainan, pidato juga. Tahniahlah kepada pasukan sekolah dan tenaga juru latih, Cikgu Shima dan lain-lain..

Kira-kira jam 4 petang tadi, rumah saya dikunjungi kira-kira 30 orang pelajar ex SMKA Pedas batch 2005. Mereka hari ini berkumpul di sekolah untuk memeriahkan sambutan hari guru. Kemudian menziarah guru-guru. Saya memang seronok jika mereka berkumpul di rumah sebab, seronok tengok memasing sudah menyambung pelajaran di pelbagai institusi. Seronok kedua ialah saya rasa macam anak saya tiba-tiba menjadi ramai pula! Yalah, menumpang kasih anak-anak orang. Huhu..kan best jadi cekgu..

Tadi semasa pulang dari menghantar Syamil ke kelas fardu ain, saya dapati ada sebuah beg plastik di hadapan pintu rumah saya, "Selamat Hari Guru daripada Kelab Pengguna SMKA Pedas"... terima kasih, masih ingat kat saya ya. Tahun lepas mereka menang negeri, saya ada pantau mereka sikit-sikit... Dapat 2 set tupper ware (bukan tipu ware)... Tapi, (hehe) pesanan kepada budak-budak kuiz Podeh, anda semua mesti bersungguh-sungguh, sebab kalau tidak ada orang lain nak celen ni... bak kata orang putih "Best Man Win"...

Monday, May 05, 2008

Catu punca beras kurang

Bernas hadkan import kerana harga naik tiga kali ganda di pasaran asing

KUALA LUMPUR: Tindakan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) mengurangkan import hampir 40 peratus dalam tempoh empat bulan lalu ekoran kenaikan di pasaran antarabangsa, dipercayai punca utama masalah bekalan beras di pasaran tempatan.

Keadaan bertambah buruk apabila syarikat pengimport tunggal beras itu juga dikatakan mencatu bekalan kepada pemborong bagi mencapai sasaran bekalan beras dalam Stok Penimbal Kebangsaan untuk tiga bulan seperti ditetapkan kerajaan.


Sumber industri berkata, sejak Januari hingga bulan lalu Bernas hanya mengimport kira-kira 300,000 tan beras, berbanding keperluan ideal sekurang-kurangnya 500,000 tan untuk memenuhi permintaan semasa pengguna.


Menurutnya, peningkatan harga beras sehingga tiga kali ganda di pasaran asing seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar ketika ini mendorong Bernas mengurangkan import sumber makanan itu.

"Bernas sepatutnya merangka dengan terperinci jadual pengimportan beras dan mengambil kira keperluan pengguna tempatan berasaskan statistik kegunaan beras di pasaran negara yang mencecah 183,000 tan sebulan.

"Bernas sepatutnya menstabilkan bekalan beras dalam negara, tetapi tindakan syarikat itu bukan saja menyebabkan bekalan beras berkurangan, malah pemborong turut menaikkan harga di pasaran," katanya kepada Berita Harian.

Krisis makanan dunia terutama beras, dilaporkan semakin meruncing berikutan peningkatan harga beras global secara mendadak antara 10 hingga 30 peratus sejak beberapa minggu lalu.

Antara lain, ia berpunca kenaikan hampir 150 peratus harga beras di negara pengeluar utama seperti Vietnam dan Thailand berikutan beberapa faktor termasuk cuaca buruk, kadar pengeluaran padi tidak meningkat, dunia beralih kepada beras sebagai makanan ruji manakala bijirin seperti soya, jagung dan gandum dialih guna untuk pengeluaran biofuel.

Daripada 420.6 juta tan pengeluaran beras dunia pada 2007, 32 peratus dikeluarkan Thailand, diikuti Vietnam yang menguasai 15 peratus pasaran, Amerika Syarikat (13 peratus), India (11 peratus) dan China (empat peratus).

Sehingga 16 April lalu, gred beras yang paling mendapat permintaan tinggi dunia ialah beras putih Vietnam iaitu sebanyak lima peratus dengan harganya mencecah AS$850 (RM2,720) satu tan, naik 141.5 peratus berbanding AS$352 (RM1,126) pada 2007.

Harga beras putih Thailand pula meningkat 142.6 peratus menjadi AS$900 (RM2,880) daripada AS$371 (RM1,187) tahun lalu. Beras wangi dan beras pulut Thailand serta beras basmathi pula, masing-masing mengalami kenaikan 81.4 peratus, 34.3 peratus dan 38.3 peratus di pasaran dunia.

Sumber itu berkata, setakat ini pengeluaran beras tempatan mencecah 1.12 juta tan setahun, manakala kegunaannya dianggarkan sehingga 2.3 juta tan untuk tempoh yang sama.

"Angka itu jelas menunjukkan pengeluaran beras tempatan tidak cukup untuk menampung keperluan semasa dan jika perjanjian jangka panjang dengan negara pengeksport beras sudah dilaksanakan lebih awal, tentunya keadaan seperti sekarang tidak berlaku," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka pengeluaran beras negara mencapai 1.535 juta tan tahun ini, berbanding 1.527 juta tan tahun lalu, tetapi ia hanya mampu menampung 73 peratus keperluan beras tempatan, manakala 27 peratus atau 640,000 tan lagi diimport.

Kekurangan pengeluaran beras tempatan menyebabkan negara terpaksa membelanjakan RM1.013 bilion setahun untuk mengimportnya.

Sumber itu juga berkata, kekurangan bekalan di pasaran tempatan ketika ini semakin teruk berikutan kegiatan penyeludupan beras ke negara jiran. Pemantauan mendapati harga beras putih di Thailand mencecah RM4 sekilogram (kg), manakala di Singapura sehingga RM5 setiap kg.

"Setakat ini, tidak ada kegiatan menyorok beras, tetapi kegiatan penyeludupan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Sementara itu, sumber dalaman Bernas mengakui syarikat itu mengurangkan import beras berikutan harga pasaran global yang semakin tinggi, sedangkan harga kepada pemborong lebih rendah berbanding kos import.

Beliau berkata, ketika ini tumpuan khusus diberi untuk memenuhi Stok Penimbal Kebangsaan yang setakat ini sudah mencapai 85 peratus.

"Mengikut perkiraan, 92,000 tan diperlukan untuk tempoh dua minggu dan keseluruhannya kira-kira 550,000 tan beras cukup untuk menampung keperluan dalam masa tiga bulan," katanya.

Beliau meminta Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna supaya lebih kerap menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pemborong dan peruncit tidak sewenang-wenang menaikkan harga beras kerana kadar yang ditetapkan Bernas kekal.

INFO: Bernas

  • Berperanan mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara.
  • Mewakili pihak kerajaan dalam pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, mengurus Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada petani pada harga minimum terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani.
  • Bertanggungjawab memastikan penyediaan bekalan beras yang berterusan dengan harga yang berpatutan kepada rakyat Malaysia.

Tuesday, April 29, 2008

Selamat Hari Lahir

Walaupun agak terlewat, tapi tak kisahlah. Hari lahir datang dan pergi saban tahun, tanpa ditunggu atau dialu-alukan. Menjadikan usia kian meningkat, diri semakin jauh dan diri juga semakin hampir.

Jika diimbas kembali, tahun 2007 boleh disifatkan sebagai tahun huru hara, tahun sedih; melankolik. Getir dan payah bersambung ke tahun baru. Tapi saya percaya, hidup ini bagai roda. Saya berdoa saya akan berjumpa pelangi suatu hari nanti setelah puas dipukul badai...

Buat apa saya bersedih? Jika saya hilang orang tersayang, dia pergi ke tempat yang mulia. Kami akan berjumpa semula. Tuhan hanya mengambil satu. Harta benda lain yang musnah/hilang? Mengapa dihibakan harta dunia yang puput sedikit sedangkan banyak lagi anugerah Allah yang kita nikmati, sama ada sedar atau tidak.

Oh Tuhan. Syukur atas nikmat iman, yang Kau anugerahkan. Semasa aku kesusahan Engkau membantuku dalam perlbagai cara, hingga aku boleh meneruskan kehidupan seperti hamba-hamba-Mu yang lain.

Harapanku, aku akan berdiri teguh, dengan jiwa dan semangat yang kental. Masih banyak tugas dan cita-citaku yang belum terlaksana.

Planet: Charles, Camilla retak

KETIKA pasangan diraja Britain itu menyambut ulang tahun ketiga perkahwinan mereka, kakitangan istana memandang dengan tanda tanya.

Mereka tahu apa yang orang lain kurang tahu — Putera Charles dan Camilla Parker Bowles kini lebih banyak bertekak berbanding berkasih sayang.


Malah, sumber dalaman berkata, kakitangan di istana itu semakin bosan dengan kerenah mereka.

“Hubungan Charles dan Camilla semakin tegang sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Dalam banyak keadaan, kakitangan istana tidak mampu berbuat apa-apa kecuali melihat Charles dan Camilla menjerit di antara satu sama lain.

“Anda boleh bayangkan bagaimana ia memalukan mereka apabila ia terjadi,” katanya.

Sesetengah media memang dapat menghidu masalah melanda rumah tangga pasangan itu akhir-akhir ini.

Selepas menjalin hubungan selama tiga dekad, Charles dan Camilla mengetepikan semua bantahan dan pandangan orang lain untuk menjadi suami isteri. Kini, kata sumber, masing-masing lebih banyak menghabiskan masa bersendirian berbanding bersama-sama.

Ketika Charles menemankan anaknya, Putera William dan kekasihnya, Kate Middleton bermain ski di Alps akhir Mac lalu, Camilla tidak kelihatan.

Semakin tegang hubungan mereka, Camilla memilih untuk menghabiskan lebih banyak masa di rumah lama keluarganya di Ray Mill, 165 kilometer dari Clarence House yang didiami bersama Charles.

Menurut majalah Globe, kemungkinan berlaku perceraian antara Charles dan Camilla adalah besar. Tuntutan yang boleh dikemukakan terhadap bakal raja Britain juga besar. Mungkin yang tertinggi dalam sejarah perceraian di Britain iaitu RM775 juta.

Rakan Camilla mengakui, dia lebih gembira di Ray Mill walaupun Charles tidak pernah ke sana untuk bersama-samanya.

Menurut sumber, kedinginan hubungan Charles — Camilla bermula pada Ogos tahun lalu.

Katanya, Camilla berang apabila dipaksa menghadiri majlis memperingati Puteri Diana di Guards Chapel.

Bercerita kepada rakannya mengenai majlis itu, Camilla berkata, dia terasa tidak diendahkan Charles, selain pandangan serong orang ramai terhadapnya.

“Sejak itu Camilla mengakui, kemesraan dinikmatinya bersama Charles mula menjadi sejarah,” katanya.

Pada rakannya, Camilla juga mengakui pelayaran selama lapan hari di sekitar Caribbean bersama Charles adalah ‘mimpi ngeri’ yang terpaksa dilaluinya.

“Semuanya kerana sikap baran Charles,” katanya.

Kata rakan Camilla, sedangkan di rumah yang luas itu pasangan terbabit sukar hidup aman, inikan pula dalam ruang sempit di dalam kapal layar.

Seorang pembantu Charles pula berkata, perubahan sikap pewaris takhta Britain itu dapat difahami kerana ia berlaku seiring dengan peningkatan usia.

“Memang keadaannya semakin teruk,” katanya.

Menurut pembantu itu, Charles suka merungut mengenai apa saja dan hampir mustahil untuk dipenuhi.

“Dulu Camilla boleh menyabarkannya, tetapi kini tidak lagi,” katanya.

Pemerhati berkata, ketika pasangan itu berkahwin pada 2005, Charles kelihatan lebih tenang dan disenangi pembantunya.

Bersama Camilla, katanya, Charles menjadi lebih mesra dan tidak terlalu tegas.

Bagaimanapun, tiga tahun kemudian sikap Charles kembali seperti asal.

“Nampaknya Camilla kecewa kerana gagal mengubah suaminya menjadi lebih tenang dan sabar,” katanya.

Sebagai contoh, kata sumber istana, Charles asyik bergayut di telefon untuk mengarahkan pembantunya melakukan itu ini.

“Pagi, tengah hari, petang dan malam dia terus-terusan memberi arahan. Malah, pada Hari Krismas pun tiada yang betul pada pandangannya,” katanya.

Seorang pembantu lain bercerita, ketika pasangan itu menghadiri majlis di Windsor Castle, Charles asyik memegang gelasnya walaupun kosong, sehinggalah pelayan mengambilnya.

“Sebelum ini Camilla sama sekali tidak membiarkan itu berlaku.

“Dia memastikan Charles tidak memegang gelas terlalu lama dan menyerahkannya kepada pelayan,” katanya.

Masalahnya, kata pembantu itu, personaliti berbeza di antara Charles dan Camilla menjadi punca keretakan hubungan mereka.

“Camilla kurang mengendahkan hirarki atau status, tetapi Charles terlalu mementingkannya.

“Bagi Camilla, hidup sebagai isteri putera raja sangat mengelirukan dan mengongkong.

“Charles mahu Camilla menjadi keluarga raja, tetapi dia lebih suka menjadi wanita biasa,” katanya.


B**g*ng...

Mati keracunan dadah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Amir Abdul Hamid
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sekumpulan doktor pakar forensik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) terkejut apabila bedah siasat ke atas mayat seorang lelaki warga asing mendapati dia bukan mati mengejut, sebaliknya disebabkan ‘keracunan’ dadah.

Ini berikutan penemuan sejumlah kantung plastik kecil mengandungi hampir satu kilogram serbuk dadah dalam perut lelaki berusia 44 tahun itu.

Penemuan itu sekali gus dipercayai menjadi punca kematiannya selepas satu daripada kantung dadah yang cuba disembunyikan lelaki terbabit untuk penyeludupan, pecah dalam perutnya.

Sumber polis berkata, pakar forensik HKL menemui serbuk dadah dibungkus dalam kantung itu ketika bedah siasat ke atas mayat lelaki warga Pakistan terbabit, semalam.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, lelaki itu dikesan memasuki negara ini Jumaat lalu sebelum ditemui mati dalam bilik sebuah hotel murah di Jalan Petaling di sini, jam 3 petang sehari selepas itu.

“Pada awalnya, mangsa disyaki mati mengejut akibat sakit sebelum mayatnya dihantar ke Bilik Mayat HKL selepas polis menerima panggilan daripada pihak pengurusan hotel.

“Namun, selepas bedah siasat dilakukan, polis menemui beberapa bungkusan dadah dipercayai seberat hampir satu kilogram dalam perutnya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, satu daripada bungkusan dadah itu mungkin pecah dalam perut lelaki itu menyebabkan dia mati akibat keracunan bahan terlarang terbabit.

Bagaimanapun setakat ini, polis belum dapat memastikan sama ada dia menelan bungkusan dadah itu ketika menyeludupnya ke negara ini atau cuba membawa dadah berkenaan yang diperoleh di sini untuk diseludup keluar.

“Polis juga masih menyiasat jenis dadah itu sama ada heroin atau jenis lain,” katanya.

Difahamkan, kaedah menelan dadah dalam bungkusan plastik kecil antara taktik popular di kalangan pengedar dadah antarabangsa berikutan ia sukar dikesan selain memudahkan mereka membolosi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.

“Sebaik dadah itu dikenal pasti, polis mungkin dapat mengenal pasti punca dari mana bahan terlarang itu diambil atau cuba dibawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, yang dihubungi mengesahkan penemuan dadah terbabit, namun enggan mengulas lanjut sehingga siasatan berhubung kes terbabit selesai.

Kes menelan dadah oleh pengedar dianggap jenayah serius berikutan polis Bukit Aman sebelum ini pernah mengesan sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan golongan remaja, terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai ‘kambing hitam’ untuk menyeludup dadah.

Difahamkan setiap pembawa mampu menelan sehingga satu kilogram heroin mampat yang siap dibungkus.

Jika berjaya menyeludup dadah berkenaan, pembawa terbabit dijanjikan ganjaran lumayan antara AS$5,000 (RM15,500) hingga AS$15,000 (RM46,500).

Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila sepasukan polis dari JSJN Bukit Aman menahan beberapa individu di sebuah pangsapuri di Damansara Perdana di sini, awal Mac lalu.

Dalam serbuan di sekitar ibu kota, polis memberkas seorang suri rumah berusia 45 tahun dan empat penuntut kolej swasta warga Afrika berusia 30-an ketika asyik memproses heroin tulen dipercayai untuk diseludup ke luar negara.

Polis turut merampas heroin seberat 3.11 kilogram termasuk 126 bungkusan kecil yang dibalut dengan plastik getah dianggarkan bernilai RM1.7 juta.


Alahai, sebelum mematikatakkan orang , matikatakkan diri sendiri...

Thursday, April 17, 2008

Berbaris demi sebuku roti

Mesir telah memperuntukkan lebih RM7.9 juta untuk subsidi roti bagi tahun ini tetapi mengatakan jumlah tersebut mungkin meningkat akibat kenaikan harga gandum.


FENOMENA berbaris untuk mendapatkan roti ini harus dimansuhkan demi keselamatan rakyat.


RUTIN utama Abdel Nabi Salim dalam hidupnya ialah berbaris untuk mengambil roti. Lelaki berusia 65 tahun yang sudah beruban kepalanya itu berdiri di bawah terik sinar mentari, menunggu dalam barisan panjang untuk membeli 20 buku roti yang disubsidi dari sebuah jendela berpalang pada harga RM0.57 sebuku.

Sejak beberapa dekad lalu, Mesir telah menyediakan roti yang murah tetapi berkualiti untuk golongan miskin kerana berjuta-juta rakyatnya hidup susah dan berpendapatan rendah.

Tetapi barisan menunggu untuk membeli roti yang diperuntukkan sejak beberapa bulan lalu menyebabkan makanan utama bukan subsidi di Mesir melonjak naik. Ini menyebabkan lebih banyak rakyat miskin terpaksa bergantung kepada barangan subsidi.

Situasi itu bermakna bahawa sekali Abdel membeli bungkusan roti pertama, dia harus kembali beratur dan menunggu semula untuk tambahan 10 buku roti lagi bagi keperluan keluarganya.

"Ini ialah sistem yang teruk. Saya datang ke sini setiap hari. Saya tiada sebarang pekerjaan, jadi inilah rutin saya iaitu menunggu untuk sebuku roti," katanya sambil menambah 'kerjanya' itu akan mengambil masa beberapa jam setiap hari.

Apa yang berlaku di Mesir menggambarkan beberapa risiko dan keseimbangan barangan subsidi, sama seperti beberapa negara di seluruh dunia yang cuba meringankan beban rakyat miskin terhadap kenaikan harga makanan.

Pada tahun 1977, krisis kekurangan roti subsidi telah menyebabkan berlakunya rusuhan yang membunuh orang awam sekali gus memaksa kerajaan bertindak pantas bagi mengatasi masalah tersebut.


SEKURANG-KURANGNYA 11 orang sudah terbunuh ketika berbaris dan berebut-rebut untuk membeli roti subsidi sejak awal Februari lalu.


Mesir telah memperuntukkan lebih RM7.9 juta untuk subsidi roti bagi tahun fiskal ini tetapi mengatakan jumlah tersebut mungkin meningkat akibat kenaikan harga gandum. Bagaimanapun, buat masa ini, harganya masih kekal.

Para pemerhati berkata, masalah dalam sistem subsidi ini mungkin boleh mengulangi semula krisis pada tahun 1977, jika tidak diatasi segera.

"Keganasan mungkin berulang. Saya takut kerana orang ramai kini sudah mula bertindak di luar batasan," kata Gouda Abdel Khalek, pakar ekonomi di Universiti Kaherah.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 11 orang telah terbunuh ketika berbaris untuk membeli roti subsidi sejak awal Februari lalu termasuk mangsa yang diserang sakit jantung dan wanita yang dilanggar kereta sewaktu berdiri dalam barisan, menurut sumber dari bahagian keselamatan.

Seorang penduduk pula ditembak mati dan tiga daripadanya parah selepas pergaduhan tercetus dalam barisan di kawasan pinggir bandar Kaherah.

Pegawai atasan Mesir telah berikrar untuk campur tangan bagi memudahkan pengagihan roti subsidi.

"Fenomena berbaris untuk mendapatkan roti ini harus dimansuhkan demi keselamatan rakyat," kata jurucakap Presiden Mesir, Suleiman Awad kepada pemberita pada bulan lalu.

Presiden Hosni Mubarak pula telah meminta bantuan pihak tentera untuk membantu mengagihkan roti kepada orang ramai. Selain itu, kerajaan juga akan berusaha meningkatkan jumlah tepung gandum untuk diberikan kepada pembuat roti.


KERAJAAN Mesir berusaha meningkatkan jumlah tepung gandum untuk diberikan kepada pembuat roti.


Perkara ini amat dialu-alukan oleh salah seorang pembuat roti, Magdy Labib yang sering merungut bahawa kenaikan harga minyak, pasta, beras dan gula telah memberi tekanan kepada pengusaha sepertinya.

"Tepung gandum tidak mencukupi untuk keperluan orang ramai yang berbaris untuk membeli roti. Justeru, langkah kerajaan meningkatkan bekalan kepada kami adalah satu tindakan yang wajar," katanya.

Orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membeli roti kerana harga barang dunia semakin meningkat sejak hampir setahun lalu.

Harga untuk barangan harian naik sehingga 20 peratus, sayur-sayuran (15 peratus) dan minyak masak (40 peratus), menurut agensi perangkaan Mesir. - Reuters

500 tahun tidak reput

Bagaimanakah penduduk bumi dapat menghentikan penggunaan beg plastik secara konsensus?


SECARA purata, seorang individu menggunakan lapan helai beg plastik seminggu.


MENURUT perangkaan, rakyat Malaysia membuang sumber kitar semula bernilai RM476 juta dua tahun lalu. Selain kertas yang mencatat pengeluaran sisa terbanyak iaitu 17 peratus atau RM205 juta, sumber buangan kedua terbesar ialah plastik iaitu 9 peratus atau RM163 juta.

Keadaan yang sama disaksikan di Britain tahun demi tahun apabila berbilion helai plastik dibuang sewenang-wenangnya walaupun baru sekali digunakan. Ingat, untuk setiap lima minit sehelai beg plastik dipakai tetapi mengambil masa 500 tahun untuk mereput!

Dalam satu kajian, dirumuskan 36 peratus daripada mereka yang ditemu ramah mengakui membuang beg plastik selepas digunakan sekali.

Secara purata, seorang individu menggunakan hampir lapan keping beg plastik seminggu. Bagaimana pula dengan anda?

Beg plastik yang terbuang biasanya meninggalkan pemandangan kurang enak di atas pokok, jalan raya, taman-taman, tasik, sungai dan tempat awam lain.

Di samping mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan, ia memudaratkan kesihatan manusia dan hidupan lain termasuklah haiwan dan tumbuhan.


BEG plastik yang hanyut ke laut membunuh penyu dan haiwan marin.


Beg plastik yang hanyut ke laut pula turut membunuh kelompok penyu dan haiwan marin kerana menyangkakan ia adalah obor-obor.

Pengeluaran, pembuangan dan pereputan beg plastik juga bukan semudah yang disangka. Ia secara langsung menyumbang kepada pembentukan gas rumah hijau yang memberi kesan kepada pemanasan global.

Di kebanyakan negara termasuklah Ireland, sehelai beg plastik biasa memaparkan cukai kerajaan yang bernilai 15 sen Euro atau 47 sen.

Perkara yang sama dapat dilihat di negara bukan ahli Kesatuan Eropah seperti di Crotia dalam usaha untuk mengawal jumlah penggunaan beg tersebut.

Pasar raya di Perancis mempraktikkan peraturan yang lebih drastik apabila tidak menggunakan beg plastik langsung.

Ia hanya menjual beg kitar semula yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Pendekatan ini bukan sahaja menjadi insentif untuk memaksa individu menggunakan beg kitar semula bahkan membantu menyelamatkan bumi.


IMPLIKASI limpahan plastik menghodohkan pemandangan sekeliling.


Benarkah pengurangan beg plastik dapat membawa perubahan? Pada 30 April 2007, sejarah pemuliharaan alam merekodkan pencapaian yang amat bermakna kepada manusia sejagat.

Modbury di Devon, England menjadi bandar pertama di dunia bebas daripada beg plastik di Eropah.

Matlamat ini direalisasi berikutan pendedahan Rebecca Hoskins, seorang jurugambar haiwan liar yang menceritakan semula kesan pencemaran alam ke atas haiwan. Semua peniaga secara bersepakat untuk bertukar kepada kertas kanji jagung, kapas dan kain.

Selepas enam bulan, lebih daripada sedozen bandar dan perkampungan lain mengikut amalan yang sama.

Jadi, mulakan sekarang dengan memeriksa sama ada beg plastik yang anda pegang mempunyai label pensijilan ISO 14001 untuk bahan kitar semula.


KEMPEN tidak menggunakan beg plastik adalah salah satu cara menyelamatkan bumi.