Sunday, December 07, 2008
Genap setahun pemergianmu...
Apabila saya fikir-fikirkan, arwah Sarah bagai sudah terasa bahawa dia akan pergi lebih awal. Cuma mungkin dia tidak tahu hakikat sebenar dan tidak tahu untuk menceritakan. Jika dikira 100 hari sebelum pemergiannya, pada waktu itu dikira akhir semester 2 2007. Dia bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajarannya untuk peperiksaan akhir dan beria-ria menghafal. Dia anak yang memang rajin tapi kali itu bersungguh-sungguh dia menghafal. Adiknya iaitu Syamil pula langsung tiada sense peperiksaan, nasihatnya kepada Syamil "Syamil, baik kau baca buku, kalau tidak kau menyesal!".
Saya pula akhir-akhir tu suka sangat menonton Astro (Discovery; Everest..). Suatu hari saya membelek-belek Astro guide dan meneliti rancangan sepanjang bulan. Dia berpaling ke arah saya dan dengan nada suara agak terkejut berkata"Oh mama, Sarah ingat buat apa tu". Dia sangkakan saya membaca buku-buku yang serius, rupa-rupanya hanya Astro guide. Tapi saya langsung tidak perasan itu satu petanda dia berpesan sebelum pergi.
Masa tu dia dalam darjah 4 (2007). Sentiasa excited dalam semua pekerjaan yang diakukan. Dia satu-satunya anak yang akan bercerita perkara yang berlaku di sekolah terutama sekolah petang. Jika dia bercerita tentang kawannya siap nama ayah kawannya sekali. Dia juga suka mengajuk gaya saya yang suka memetik jari di meja atau di mana-mana (ala-ala orang main piano) dan menggaru-garu telinga/tekak jika keresdungan sambil tergelak-gelak. Dan saya pun akan tergelak sama melihat gelagatnya.
Semasa cuti sekolah, ketika itu saya sudah melahirkan Danial. Saya sungguh tidak terdaya untuk melayan anak-anak saya dan syukurlah kakak saya dari Cheras kerap datang menemankan kami. Kakak saya iaitu Hajah Wan Kelthom yang baru bersara (juga kemurahan Allah) rajin melayan anak-anak saya dan membawa mereka ke kedai. Beliau juga membelikan uniform sekolah untuk anak-anak saya.
Suatu hari Sarah memakai baju sekolah paginya (uniform pengawasnya siap sepasang).."Mama" dia menarik perhatian saya sambil tersengih-sengih. Kemudaian dia masuk lagi ke bilik dan menukar uniform lain, setiap kali dia bertukar pakaian dia memanggil saya untuk melihat dia berpakaian begitu... Sungguh, langsung tidak terlintas apa-apa di fikiran saya melainkan saya rasa gembira melihat dia ceria.
Sarah ni berbadan kecil, rambut pun kemerahan. Saya selalu mengatakan pada dia "Itulah tak nak makan sangat, tak cukup zat!" (dia bertanya mengapa rambutnya begitu). Tetapi akhir-akhir itu setiap kali dia melintasi saya dia tersenyum-senyum "Mama, Sarah dah nak sama tinggi dengan mama" Memang ya..biasanya anak-anak saya akan sama tinggi dengan saya pada akhir tahun darjah 6.
Dia anak yang mengalah tidak kira kepada adiknya Syamil dan sangat melayan adik-adiknya. Saya diberitahu Sarah membacakan yasin untuk saya semasa saya di hospital semasa bersalinkan Danial. Dia anak yang bersungguh-sungguh nak menghabiskan al Quran, satu-satunya berkhatam secara rasmi dalam masjlis khatam al Quran di sekolah fardu ainnya, dan membuat air yasin sendiri.
Dia anak yang menjaga solat dan mengganti jika tertinggal serta menjaga aurat. Sehari dua sebelum bertolak balik ke Keantan, dia berbual dengan kakaknya Hajar yang berada di tingkatan 1, "Hajar, nanti balik rumah tokcik, kau nak pakai tudung tak dalam rumah, aku nak pakai"...
Semasa di dalam kereta, kira-kira 2 jam sebelum kemalangan, dia meminta untuk memangku adiknya Danial (masa tu berumur 36 hari), lama juga dia meriba adik dia..
Terlalu banyak kenangan kami kepada Sarah.
Akibat kemalangan, boleh dikatakan saya lebih banyak tidak sedar daripada sedar. Tapi saya sangat-sangat bersyukur kerana selepas saja tragedi itu,saya tersedar sekejap. Pandangan saya kabur tetapi saya nampak Sarah dengan jelas. Pada masa itu dia sudah tidak sedar. Saya sempat membelek badannya yang berlumuran darah. Kemudian saya tidak sedar balik. Banyak perkara yang saya tidak tahu/perasan kecuali setelah diceritakan balik oleh anak saudara saya Fadhillah dan anak-anak saya(Hajar dan Syamil). Tapi sekali lagi saya bersyukur kerana saya dapat menatap wajah arwah Sarah buat kali terakhir sebelum saya dan Danial dikejarkan ke HospitaTemerloh kerana kepala Danial perlu di citi scan. Wajahnya bersih, tenang seolah-oah sedang tidur dengan nyaman (walaupun dia cedera parah di kepala).
Dia bagai permata yang tidak ternilai kepada kami dan kepada pihak sekolah. Tapi, bak saya pernah berkata dahulu, dia ialah pinjaman Allah kepada kami dan Dia berhak mengambil pinjamannya bila-bila masa. Walaupun sedih saya yakin anak saya akan dijaga dengan lebih-lebih baik, berbahagia di sana dan yang tentunya akan aman dari segala 'deraan' dunia. Allah lebih sayangkan dia.
Saya selalu terfikir, mengapa saya 'tidak diberitahu atau diberi bayangan' akan pemergiannya, contohnya bermimpi ke, kan saya ni ibu dia.. Kemudian barulah saya mendapat jawapannya (jawapan saya sendiri), tragedi itu memang sudah ditakdirkan Allah akan terjadi pada detik itu, kalau saya tahu mungkin saya tidak mahu balik (dan lain pula jadinya). Juga Allah tidak mahu saya terlalu sedih kerana saya telah mengalami beberapa rentetan kisah duka dalam kehidupan saya.
Sekarang saya sudah ada anak yang sedang menunggu saya di sana.. Dia anak yang baik dan sentiasa baik...
Wednesday, December 03, 2008
Duit tanpa sandaran
MENYAMBUNG perbincangan untuk mengetahui peranan duit kertas hari ini, dalam bahagian kedua daripada tiga siri ini kita teruskan dengan melihat pula perkara berikut:
1. Duit Kertas Fiat (Fiat Money)
Selepas memahami keperluan dan bahagian rizab perbankan, lebih mudah untuk kita faham bagaimana duit kertas hari ini dicipta. Semuanya bermula pada 1971 apabila munculnya Fiat Money iaitu duit kertas yang ada di sekeliling kita hari ini.
Ia wang kertas yang tidak disandarkan kepada apa-apa logam berharga seperti emas dan perak. Ia bukan lagi sesuatu yang melambangkan mata wang sebagaimana diterangkan sebelum ini.
Ada yang berpendapat Fiat Money dicipta kerana jumlah emas yang tidak mencukupi untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi yang begitu cepat. Lombong-lombong emas gagal menghasilkan emas yang mencukupi untuk penciptaan wang.
Maka atas dasar ingin melonjakkan pertumbuhan ekonomi, pergantungan kepada emas fizikal tidak lagi berkesan. Natijahnya Fiat Money dicipta. Perkataan ‘Fiat' berasal daripada perkataan latin yang bermaksud ‘let it be done' (biarkan ia berlaku).
Memang benar, Fiat Money yang wujud hari ini boleh dicetak kerajaan berdasarkan kehendak mereka, sebagaimana yang dikatakan dicipta ‘from the thin air' (daripada angin lalu).
Menurut investopedia, Fiat Money dijelaskan sebagai “mata wang yang diisytihar kerajaan sebagai tawaran yang sah, sedangkan kenyataannya ia tidak ada nilai hakiki dan tidak didukung oleh rizab.
Berdasarkan sejarah, kebanyakan mata wang memang didasarkan pada komoditi fizikal seperti emas atau perak, namun Fiat Money didasarkan semata-mata di atas kepercayaan.”
Jelasnya, apakah asas penciptaan wang kertas hari ini? Ia hanya berdasarkan kehendak dan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap nilainya.
Jika tiba-tiba semua rakyat di dunia, enggan mengiktiraf dolar AS (USD) dalam transaksi mereka. Nilai USD akan menghadapi masalah, demikian juga Ringgit Malaysia (RM).
Nilai wang kertas Fiat ini pula kebanyakannya ditentukan oleh keyakinan manusia kepada kerajaan yang mengeluarkannya, ia dibiarkan terapung (floating) mengikut suasana ekonomi di sesebuah negara.
Sebab itulah jika kerajaan sewenang-wenangnya mencetak wang kertas Fiat, ia sama sekali tidak menjadikannya kaya, malahan nilai mata wangnya semakin jatuh.
Biasanya, apabila berlaku perang atau masalah ekonomi seperti di AS dan Eropah di waktu ini, kerajaan melalui bank negara mereka akan mencetak lebih banyak wang kertas Fiat bagi menghadapi urusan peperangan atau masalah kredit.
Apabila cetakan begitu dahsyat sampai melebihi perkembangan sebenar ekonomi dalam negara berkenaan, inflasi atau susut nilai mata wang akan berlaku. Proses pertambahan jumlah wang kertas dalam pasaran dunia atau sesebuah negara ini dinamakan money supply.
Justeru, cetakan wang kertas dalam sesebuah negara mesti dikawal oleh kerajaan sebaik-baiknya, selaras dengan perkembangan industri dan perniagaan dalam negaranya. Jika jumlah wang kertas yang dihasilkan melebihi kadar pertumbuhan industri dan perniagaan sesebuah negara, nilai mata wangnya akan jatuh merudum dan kuasa beli mengecut.
Tatkala itu inflasi akan berlaku. Contoh mudahnya, jika dulu RM5 boleh membeli ayam sekilogram, selepas inflasi RM5 hanya boleh membeli setengah kilogram ayam.
2. Duit kertas Fiat secara semula jadinya dicipta dengan faedah penyebab inflasi.
Ini satu lagi hakikat yang mesti difahami. Ia berbeza dengan sistem kewangan Islam. Namun saya belum berkesempatan menghuraikan lanjut bagi mengelakkan artikel ini menjadi terlalu panjang.
Dalam sistem konvensional hari ini, setiap duit yang dikeluarkan dianggap barang dagangan (komoditi) yang mesti menghasilkan keuntungan dengan sendirinya. Mereka percaya cara mendapatkan keuntungan adalah melalui faedah yang dikenakan kepada peminjam.
Ini amat bertentangan dengan Islam yang menghalalkan keuntungan dicapai melalui proses jual beli. Mengapa berbeza? Kerana proses jual beli memberi ruang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, membuka peluang kerja, peluang pembekal barangan, pasir, kontraktor dan ramai lagi akan mendapat manfaat daripada proses penghasilan keuntungan melalui jual beli.
Ini sangat berbeza dengan pemikiran konvensional yang ingin menghasilkan duit daripada pinjaman duit. Bagi mereka, duit dan wang dengan sendirinya adalah komoditi. Ia ibarat sebuah rumah, minyak petrol dan gas, kereta, lembu atau ayam yang boleh menghasilkan duit sama ada dengan menyewakannya, menjual atau meminjamkan. Ia mesti membawa hasil pulangan.
Sekali lagi ditegaskan, setiap wang kertas Fiat yang dikeluarkan bank atau sesebuah kerajaan dilahirkan dengan faedah di sebaliknya atau bersamanya, sejak dari mula asal usul penciptaannya.
Katalah Robin satu-satunya manusia berdikari yang ingin menggunakan wang kertas Fiat di Bandar Gotham. Hanya ada sebuah bank di Bandar Gotham, iaitu bank D. Tiada sebarang wang kertas dalam pasaran dunia Gotham ketika itu.
Kini Robin memerlukan wang sebanyak Gotham Dollar 2,000. Permohonan kepada bank dibuat, bank mencipta wang yang diminta dari ‘thin air' tanpa sebarang sandaran. Dipinjamkannya kepada Robin Gotham Dollar 2,000 itu dengan faedah sebanyak Gotham Dollar 500.
Masalahnya, dalam pasaran dunia itu, wang yang wujud hanyalah Gotham Dollar 2,000 kerana itulah duit pertama yang dicipta oleh Bank di Bandar Gotham. Justeru, bagaimana Robin ingin mendapatkan lagi Gotham Dollar 500 untuk menyelesaikan faedah kepada bank D sedangkan tidak wujud Gotham Dollar yang lain selain 2,000 yang baru dicipta tadi?
Jawabnya, Robin terpaksa pergi kepada Bank D sekali lagi, kali ini ingin meminjam Gotham Dollar 500 pula kerana berhasrat ingin menyelesaikan hutangnya dengan faedah. Bank memberi pinjam Gotham Dollar 500 tetapi sekali lagi ia dikeluarkan dengan faedah, kali ini sebanyak Gotham Dollar 50.
Sudah tentu sekali dan berjuta kali lagi, Robin akan ke bank yang sama membuat perkara yang sama dan hutangnya juga tidak akan selesai. Itulah sistem kewangan dunia hari ini. Mereka menganggap setiap duit yang tercipta mesti membawa pulangan. Bezanya, terdapat ramai yang meminjam dan banyak bank yang menyediakannya bermula dari Bank Negara.
Itulah yang berlaku dan itulah asas duit kertas Fiat. Dicipta asalnya oleh Bank Negara dan dipinjamkan kepada bank komersial yang lain dengan faedah, kemudian bersandarkan sistem FR dan money multiplier tadi, ia berkembang biak dalam pasaran sesebuah negara dan mengalir ke luar negara.
Bank negara pula mengesahkan wang kertas Fiat tadi mempunyai nilai untuk membayar segala jenis hutang awam dan swasta. Itulah status tawaran sah yang tercatat di mata wang kertas kita dan USD hari ini.
Hukum wang kertas Fiat dan pandangan ulama.
Disebutkan tadi, wang kertas Fiat tidak disandarkan kepada apa jua precious metal, ia tiada nilai sendiri dan hanya bersandar kepada kepercayaan dan tanggapan umum terhadapnya.
Selain itu, ia juga dilahirkan bersama faedah, nilainya sentiasa mengecut akibat inflasi daripada sistem simpanan kadaran. Jika itulah keadaannya, apakah hukumnya?
Bayangkan individu yang berusaha keras lalu berjaya dan mempunyai simpanan berbilion Ringgit Malaysia. Tiba-tiba akibat kepercayaan antarabangsa kepada RM jatuh, nilai dan kuasa beli yang dimiliki oleh RM turut akan jatuh merudum, inilah proses hiperinflation yang berlaku kepada Zimbabwe sekarang.
Jikalau keadaan ini berlaku kepada Malaysia (semoga dijauhkan Allah), dan jika individu berjaya tadi masih tidak menukarkan wang kertas Fiat yang tersimpan di banknya kepada aset berharga seperti emas, perak dan hartanah, sudah tentu nilai berbilion tadi menjadi beberapa ringgit saja. Adakah sistem mata wang sebegini baik, maju lagi hebat?
Tuesday, December 02, 2008
Syarat guna wang Fiat
>SAMBUNGAN MINGGU LALU
JIKA mata wang kita berasaskan emas dan perak yang ada nilai tersendiri serta tidak bersandar kepada kepercayaan dan keyakinan serta persepsi umum terhadap ekonomi negara kita, adakah masalah yang disebut tadi akan berlaku? Insya-Allah tidak.
bn Sina pernah berkata: “Ini adalah daripada hikmah yang dikurniakan Allah kepada dua jenis logam ini (emas dan perak) dan kesukaran menemuinya sehingga ia mampu menjadi penyandar nilai usaha manusia (sebagai perolehan dan mata wang), maka jika boleh sifat kedua-duanya (emas dan perak) itu diperolehi dengan mudah (secara tidak hakiki seperti apa yang ada pada mata wang Fiat kertas), akan terbatallah hikmah penciptaannya oleh Allah dan banyaklah yang boleh memilikinya sehingga menyimpannya (memilikinya) tidak sebarang erti.”
Tamadun Islam tidak pernah menghadapi masalah inflasi teruk kerana emas dan perak sentiasa mampu mendapat tempat di hati manusia. Oleh kerana kewujudan emas dan perak terhad, itulah hikmah yang menjadikan nilainya sentiasa kekal.
Jika berlaku sedikit inflasi pada zaman pemerintahan Islam, ia kerana wang sampingan iaitu wang bernama fulus terlebih sebaran di dalam pasaran.
Fulus ialah duit sampingan untuk transaksi kecil. Ia pernah dicipta di zaman pemerintahan Islam, dibuat daripada bahan murah seperti campuran besi dan tembaga tanpa nilai yang tinggi. Nilainya ditetapkan oleh kerajaan dan popular di zaman Al-Malik An-Nasir sekitar 806. Sebelum itu semua zaman pemerintahan Islam menggunakan emas dan perak sebagai mata wang utama.
Menurut Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi, fulus disamakan dengan mata wang Fiat kertas kerana kedua-duanya tiada nilai tersendiri.
Imam Asy-Syafie pernah menolak logam selain emas dan perak sebagai mata wang. Malah, beliau amat tegas sehingga menolak sebarang qiyas terhadap emas dan perak. Namun, ulama mazhab Syafie berpendapat qiyas dalam hal ini masih wujud sekiranya ia mempunyai ‘illahathman (store value).
Melalui persidangan dan mesyuarat Majlis Fiqh Antarabangsa, ulama dengan bantuan pakar ekonomi dan kewangan kontemporari berijtihad secara jama’aie dalam menentukan kedudukan wang kertas Fiat ini.
Adakah ia sama hukum seperti emas dan perak walaupun tidak mempunyai nilai fizikal tersendiri (intrinsic value) atau sebaliknya.
Selepas berbincang pada 1986, petikan keputusan mereka adalah nombor 31 (3/9): Ertinya: Berkenaan hukum wang kertas Fiat, ia mata wang pada hukumnya disebabkan terdapat sifat nilai harga yang lengkap. Oleh itu semua hukum yang ada pada emas dan perak jatuh kepada wang kertas Fiat seperti hukum berkaitan riba, kewajiban zakat, jual beli secara salam, dan seluruh hukum emas dan perak. (qararat wa tawsiat, Majma Al-Fiqh Al-Islami, hlm 40)
Keputusan mengaplikasikan hukum emas dan perak ke atas wang kertas Fiat adalah bertepatan dengan pandangan Umar al-Khattab.
Khalifah Umar pernah berhasrat menjadikan kulit kerbau sebagai mata wang tetapi membatalkannya kerana bimbang ada yang pinjam meminjam kerbau maka jatuh kepada riba. Ini bererti Umar melihat apa saja yang dijadikan mata wang selain emas dan perak, hukum riba tetap ada padanya.
Demikian juga disebut Imam Malik bin Anas: Ertinya: “Sekiranya orang ramai membenarkan sesama mereka menjadikan kulit sebagai mata wang, akan aku larang ia dijual dengan emas dan perak secara tangguh.”
Ia jelas menunjukkan pendirian Imam Malik bin Anas, dan boleh kita adaptasikan pandangannya dengan wang kertas Fiat hari ini.
Jika kita merujuk cara penciptaan mata wang Fiat (yang telah disebutkan di atas), sudah tentu hukum penggunaannya haram disebabkan cara penciptaannya.
Namun, selepas ulama melihat faktor cengkaman ekonomi dunia kontemporari di tangan bukan Islam dan keperluan mendesak penggunaan mata wang Fiat disebabkan tiada alternatif seperti mata wang dinar emas dan sebagainya.
Majlis Fiqh antarabangsa dianggotai ulama Fiqh terhebat seluruh dunia secara sepakat membenarkan penggunaannya, namun dengan syarat mestilah mengikuti disiplin dan syarat sama dengan hukum atas emas dan perak.
Ini kerana ia tetap berfungsi sebagai alat pertukaran dan masih boleh menjalankan fungsi duit di zaman moden ini walaupun tidak sesempurna emas dan perak fizikal.
Fahamilah, fatwa mestilah bersifat praktikal atau ‘menjejak di bumi nyata’. Memang boleh bagi ulama menfatwakannya sebagai haram, namun apakah alternatif yang ada di depan mata di ketika ini.
Kita mengetahui bahawa fatwa ulama tidak dipandang berat oleh pemimpin politik negara umat Islam sehingga dengan segera mereka akan memperkenalkan dinar emas.
Justeru, atas dalil hajiat, umat Islam diberikan keringanan untuk bermuamalat dengan wang kertas Fiat, namun mestilah mengikut disiplin emas dan perak.
Pemain ‘forex trading’ melalui Internet yang pelik
Individu yang meraih untung melalui perniagaan mata wang atau ‘forex trading’ sebenarnya penyumbang kepada inflasi dan menambah lagi masalah ‘money supply’.
Sudahlah fatwa keharusan penggunaan ‘Fiat money’ hanya berlandaskan ‘hajiat tunnazzal manzilat ad-dharurat’ (iaitu keperluan yang tinggi hampir tergolong dalam kategori terdesak), ada individu yang mendakwa Islam menyalahgunakan fatwa ini dengan membabitkan diri dalam ‘forex trading’ melalui platform pelik di Internet. Ia bukan saja ditegah undang-undang Malaysia malah hukum syarak.
Lebih bermasalah apabila kumpulan pemain ini berhujah kononnya leveraj kewangan yang mereka sertai halal tanpa sebarang masalah., padahal hukum sudah ada pada mata wang kertas Fiat yang lahir dengan cara riba juga tidak bersandarkan kepada emas dan perak.
Inikah hasil pendapatan yang ingin dibanggakan? Mengambil untung atas perbezaan nilai satu mata wang Fiat sebuah negara dengan mata wang negara yang lain. Bertenggek atas mata wang kertas Fiat untuk memberi anak dan isteri makan? Fikirkan.
Keadaan ini berbeza dengan orang biasa yang menggunakan mata wang kertas Fiat untuk jual beli seharian. Ia termasuk dalam fatwa keringanan ‘rukhsoh’ dan hajiat yang dimaksudkan oleh fatwa ulama sedunia tadi.
Tidak saya nafikan ada ‘ustaz’ yang tegas mengatakan wang kertas Fiat tetap haram. Memang hukumnya haram namun saya bimbang mereka lupa di dalam poket mereka ada wang jenis ini.
Di atas dasar keyakinan tegas mereka, setiap kali mereka menggunakan wang kertas Fiat, mereka tenggelam dalam dosa. Mereka berdosa kerana seolah-olah menolak fatwa yang memberikan keringanan menggunakannya di waktu ketiadaan wang yang memenuhi kehendak Islam.
Sabda Nabi SAW: “Agama ini adalah banyak memudahkan, dan tidaklah seorang yang terlalu berkeras (atau melampau) dalam urusan agama kecuali mereka akan tewas (dengan kekerasan ) mereka” (Al-Bukhari, bab Iman).
Mimpi ngeri musim tengkujuh
SABAN tahun apabila tibanya musim tengkujuh, penduduk di tiga buah kampung di Kuala Pak Amat, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan akan diselubungi perasaan takut dan bimbang yang amat sangat.
Apa kan tidaknya, ancaman ombak besar Laut Cina Selatan yang kadangkala mencecah sehingga tiga meter itu menjadi mimpi ngeri dan semakin mengancam nyawa serta harta benda penduduk di Kampung Pulau Pisang, Kampung Pulau Panjang dan Kampung Pulau Pak Amat.
Pada musim tengkujuh tahun lalu, sebanyak tiga buah rumah penduduk yang terletak di Kampung Pulau Pak Amat yang menjadi tempat pendaratan pertama tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua, musnah dihanyutkan ke laut kerana banjir air pasang.
Sejak beberapa hari lalu, sudah ada penduduk yang mengemas barang sebagai persediaan berpindah akibat ancaman ombak besar yang membadai sehingga ke bumbung rumah, malah ada antara mereka berpindah ke rumah saudara mara di kawasan lain.
Tidak lena tidur
Penduduk asal Kampung Pulau Pak Amat, Wiah Ab Rahman, 67, berkata, air pasang dan ombak besar yang hadir setiap kali musim tengkujuh amat merunsingkannya. Ini kerana gigi pantai semakin hari semakin menghampiri rumah kayunya yang bercat kuning.
Dahulu, kata Wiah yang membahasakan dirinya 'Mak Ngah', pantai masih jauh dari rumahnya dengan jarak melebihi satu kilometer, namun sekarang sudah tidak sampai 100 meter.
"Mak Ngah takut nak tidur di rumah pada waktu malam. Tak boleh pejam mata. Mak Ngah pergi tidur di rumah anak, Che Natrah Mamat. Rumahnya dua tingkat, tak jauh dari rumah Mak Ngah. Kalau air naik, kami semua duduk di tingkat atas," katanya.
Wiah yang tinggal bersendirian di rumah itu sejak kematian suaminya lapan tahun lalu berkata, beliau amat takut sekiranya rumah kayu yang telah melebihi usianya itu dihanyutkan air laut ketika dia sedang tidur.
"Bila air pasang, air naik sampai ke dinding dan kadang-kadang masuk ke dalam rumah. Lantai rumah Mak Ngah juga dah reput terendam dalam air masin. Berjalan pun kena hati-hati. Tunggu masa dah nak runtuh agaknya," katanya.
Menurut Wiah, penduduk kampung sudah beberapa kali menemui wakil rakyat, namun sehingga kini tiada apa yang dilakukan untuk mengatasi masalah yang menghantui mereka.
"Setiap kali pilihan raya, masing-masing berjanji untuk membantu, ada yang berjanji untuk memindahkan mereka, ada yang janji nak bina benteng, tetapi selesai pilihan raya, tidak ada apa-apa yang dilakukan untuk mengubah nasib penduduk," katanya kesal.
Tutup pintu rezeki
Seorang pengusaha calet di kawasan itu, Nik Khairuddin Nik Aziz, 33, terpaksa menghentikan seketika operasi 14 unit caletnya yang kini semakin dihampiri air laut.
Beliau berkata, operasi calet 'Tiram Beach Resort' yang bermula sejak tahun 2002 itu mungkin terpaksa dihentikan buat selama-lamanya atas faktor keselamatan.
"Tak tahulah macam mana keadaannya. Dulu, pantai jauh dari calet ini. Sekarang dah semakin hampir, saya tak berani nak ambil risiko keselamatan kanak-kanak kerana pagar yang membatasi kawasan calet dan pantai pun dah tak ada kerana tenggelam di dalam laut," katanya.
Menurutnya, kerugian perniagaan yang dijalankan bersama bapanya, Nik Aziz Yunus, 58, dianggarkan mencecah RM300,000. Malang bagi mereka kerana tidak tahu ke mana masalah itu hendak diadukan.
Sebelum ini, penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri memohon benteng dibina bagi meminimumkan kesan hakisan di pantai itu.
"Tetapi sampai hari ini, tak nampak benteng atau apa yang sedang dilakukan pihak bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.
"Negara kita pernah bersedih kerana kehilangan Pulau Batu Putih. Tetapi sekarang ini, sedarkah kita bahawa negara sedang kehilangan beratus-ratus ekar tanah disebabkan hakisan, saya harap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini," kata Nik Khairuddin.
Selain itu, ombak besar juga menyebabkan berlaku longgokan pasir di muara sungai yang mengakibatkan hampir 100 bot nelayan tidak dapat keluar ke laut mencari rezeki.
Kos tinggi bina benteng
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Kelantan, Mejar (B) Anizam Abdul Rahman ketika diajukan persoalan itu berkata, kerajaan negeri sedang melakukan apa yang terdaya untuk membantu penduduk terlibat.
Menurutnya, pembinaan benteng di kawasan yang terhakis telahpun dilaksanakan oleh JPS Kelantan.
Bagaimanapun, pembinaan benteng tidak dapat dilaksanakan sekali gus di sepanjang kira-kira 70 kilometer pesisir pantai negeri Kelantan kerana ia melibatkan peruntukan kos yang tinggi.
"Masalah hakisan di situ bukan perkara baru. Di Kuala Pak Amat, ia sudah lama berlaku dengan lebih satu kilometer tanah sudah masuk ke dalam laut. Hakisan ini juga berlaku di seluruh negara, bukan Kelantan sahaja.
"Nak buat semua itu perlukan peruntukan yang banyak. Setiap tahun, memang kita ada peruntukan untuk itu. Jadi, kita buat setakat yang mampu kita buat," kata Mejar (B) Anizam.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri sedang mencari tempat sesuai untuk memindahkan penduduk yang terlibat dengan ancaman ombak besar di situ. - Bernama
Harap pihak yang bertanggungjawab memikirkan langkah-langkah lebih efisyen untuk menangani masalah ini. Kesihanlah kat mereka yang nak lena pun takut, takut rumah dah jadi perahu....
Harga minyak menjunam bawah AS$48 setong
SINGAPURA: Harga minyak mencatatkan harga terendahnya dalam masa tiga tahun iaitu bawah AS$48 setong hari ini di pasaran Asia.
Ini berikutan keresahan mengenai kedudukan ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta pasaran haram yang terus merosot sehingga membawa kesan terhadap permintaan minyak mentah.
Minyak 'Light, sweet crude' bagi penghantaran Januari turun AS$1.50 kepada AS$47.78 setong, terendah sejak 2005 dalam dagangan elektonik New York Mercantile Exchange pada sesi petang di Singapura. - Bernama
Macam-macam reaksi penerimaan penurunan harga minyak dunia ini. Sebahagian besar pengguna gembira menyambut kemerosotan kos bahan asas ini, ada juga yang kegeraman (memang gerammm!) sebab harga barang-barang tetap naik. Tadi seorang pekedai runcit mengatakan barang di kedainya akan naik juga. Ini prinsip apa tak tahulah..kalu barang makanan ada logik juga naiok sebab krisis kekurangan makanan global..
Apa-apapun saya orang yang gembira dengan fenomena ini.. Sebelum ini dalam entri saya ada mengatakan rumah saya sudah ada pembeli. Sekarang kami anak-beranak sedang berangan-angan mereka bentuk rumah kami akan datang yang akan didirikan di Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan. Berpinau bijik mata membelek majalah-majalah. Nak bagi senang mana-mana foto yang berkenan di hati saya mengguntingnya. Gambaran reka bentuk dalaman, penggunaan bahan sudah ada. Oh ya, kembali kepada topik, yang saya gembira sangat adalah kerana kos bahan mentah seperti simen dan besi jatuh. 4 hari lepas saya diberitahu harga simen jatuh RM4 setiap kampit..
Konsep rumah, insya Allah nusantara. Mesti ada taman, taman di laman dan di sisi rumah (courtyard). Tulis sikit-sikit je lah dulu kat sini. Kalau dah mantap, insya Allah saya buat satu link baru "Oh My Home"... Prinsipnya; Baiti Jannati, Ruang Silaturrahim. Semoga bondaku panjang umur. Saya akan bawa beliau ke rumah, letakkan beliau mengadap taman mini, menikmati keindahan ros, petunia, kembang 3 bulan, morning glory. Juga percikan air dan tarian kap...(Taman mini konsep English Garden kerana saya 'naik gila' apabila melihat bunga-bunga yang telah saya sebutkan tadi..)..Ini tempat sangat istimewa buat saya (dan keluarga) dan sebahagian besar masa saya akan di banyak dihabiskan di sini..
Monday, December 01, 2008
Mata oh mata!
Saya juga sudah pergi ke perubatan alternatif di Gombak, kosnya hmm, tak yahlah cakap nanti diaorang kata, nak sihat janganlah berkira sangat....sibbaek saya ni kaya raya.. (amiiin..)..tapi hingga ke hari ini masih silau, kadang-kadang lagi teruk. Tadi mesyuarat pengurusan..mujur juga mereka tu sporting...kesilauan ini menjadikan kepala mudah pening, pusing2 la..
2 hari lepas kami sekeluarga telah ke Tangkak, mengunjungi sahabat yang sama-sama ke Mekah penghujung 2006. Kami memang selesa di situ kerana asyik makan dan mereka rajin melayan kami anak beranak(hehe)...Nak ke Air Terjun Gunung Ledang hari dah lewat petang. Jaraknya kira2 10km saja dari rumah mereka. Insya Allah lain kali walaupun tak tahuu la bila. Rupanya semasa saya sedang berbual-bual dengan kak Zai, suaminya sempat membaca doa pada air zam-zam yang telah diselawatkan di hadapan makam Rasulullah s.a.w dahulu. Betapa bertuahnya saya..Ya Allah, sembuhkanlah mataku ini agar hidupku lebih berkualiti dan Kau redhai, dan gantikanlah air zam-zam dan semua pemberian mereka kepada kami lebih-lebih lagi.. Masa nak balik kami dibekalkan pula dengan 2 pasang kain, tudung dan macam-macam seperti risalah-risalah doa..
Masa dah keluar rumah dan nak babai saya terpandang taman mini di sisi rumah mereka. Ternampak kegembiraan pada daunan, ranting, bunga-bungaan. Banyak juga yang berkenan Tapi, oleh sebab kami dah nak berpindah rumah tak jadilah nak minta ranting @ anak benih pokok, kalau tidak penuhlah satu bonet kereta dengan barang-barang buah tangan mereka, tapi, jauh di sudut hatiku berazam, 'bila rumah baru saya siap nanti, saya ingin meminta mereka mengepos biji benih sejenis pokok bunga tu, yang warna bunganya pink, magenta, purple, spesies yang sama tapi tonasi warna yang berbeza..Nasiblah kak Zai dapat sahabat macam saya nih..
Saya tidak bersungut dengan mata ini. Tapi, bayangkan, semasa saya masuk ke kelas, saya memakai cermin mata hitam, mereka tergelak-gelak dekat saya. Itu pelajar tingkatan 5. Memakai cermin mata p pun tidak selesa juga. Jadi saya marah-marahlah dekat mereka untuk mengawal kelas. Nak periksa esok lusapun masih tak serius..'Bila saya marah walaupun sedikit, peningpun sudah datangla..Itu belum masuk bab memandu..
Pun begitu, saya masih dapat meneruskan hidup saya macam biasa (walaupun tidak sebaik orang lain). Dalam keadaan begitupun saya dapat memandu ke Putra Jaya untuk menguruskan bahagian pinjaman perumahan, sebab pada masa itu saya MESTI lakukan.
Walaupun silau, pening, pusing-pusing, sukar nak celik mata, tapi, saya masih boleh mencelikkan mata, dan masih boleh melihat. Allah sayangkan kami dan ramai orang sayangkan kami.. Alhamdulillah...
Saturday, November 29, 2008
Cuti?
Rumahku sudah ada pembeli...
Sebelum ini ramai jugaklah orang yang berminat pada rumah saya ini, tapi, tiada yang sangkut, takde jodoh.. Masa saya berkursus PTK di JB dulu pun ada juga yang call, sms tanya tentang rumah.
Bakal pemilik rumah ini ialah pasangan guru dan suaminya mengajar di SKUR dan pernah mengajar arwah anak saya Sarah. Pertama kali melihat mereka sekeluarga hati saya sudah merasakan bahawa inilah orangnya..
Saya mendoakan agar penghuni rumah ini akan aman dan bahagia hingga ke akhirat. Semoga segala urusan berjalan lancar dan mudah. Mengikut peguam, urusan jual beli mengambil masa lebih kurang 6 bulan.
Saya sayangkan rumah ini, tapi, kehidupan perlu diteruskan..