Friday, February 18, 2011
Samseng jalanan
Persimpangan lampu isyarat itu tidaklah sibuk sangat. Di hadapan saya terdapat sebuah kereta dan di sebelahnya ialah sebuah motorsikal. Saya perasan pemandu kereta tersebut asyik bercakap sesuatu dengan penunggang motorsikal, seorang gadis saya kira, berbadan kecil comel rambut mengurai berbaju t lengan pendek agak kemas di badan dan berseluar jeans. Saya nampak gadis tu macam tidak melayan pemandu itu yang beria-ria bercakap sesuatu sambil mengangkat-angkat telefon bimbitnya.
Setelah lampu isyarat bertukar hijau, kereta tadi bergerak perlahan (jalan tak sibuk), kemudian kawan di sebelahnya pula yang bercakap (macam minta sesuatu) daripada gadis tersebut sambil mengangkat-angkat telefon bimbitnya. Saya rasa sungguh geram, dan ingin hon saja, tapi, bimbang juga sebab saya memandu berseorangan. Buatnya mereka menyekat kereta saya, bagaimana? Bimbang dengan apa yang berlaku di hadapan saya, mulut saya membaca beberapa kali ayat kursi sambil menghembuskan ke arah gadis tersebut, ke arah lelaki-lelaki itu dan mendoakan agar dia selamat segala-galanya, juga diri saya. Gadis itu memandu perlahan (tidak layan), ingin saja saya laung suruh melencung ke kiri masuk ke arah kedai, tetapi dia terus memandu perlahan sehingga kereta di hadapan itu terlepas. Saya turut memandu perlahan dan tidak memotong. Tetapi oleh sebab kereta itu masih memandu perlahan, saya pun sudah terlewat pulang ke rumah, saya memotong kereta tersebut. Risau juga memikirkan jika kereta itu berpatah balik dan mencari gadis tersebut. Saya berdoa agar semua selamat, dia sempat melarikan diri tadi.
Semoga gadis-gadis atau wanita yang menunggang motorsikal di luar sana tu berhati-hatilah. Pakailah baju berlengan panjang, jaket dsb. Yang free hair tu ikat rambut anda kemas-kemas. Tunggang berkawan-kawan. Jika sesuatu yang buruk menimpa, siapa yang akan malang nanti?
Tidak takutkah membaca cerita/jenayah ngeri yang menimpa kaum wanita ini, tidak kiralah gadis, wanita dewasa atau kanak-kanak? Ngeri sekali sehinggakan tidak sanggup membacanya lagi.
Tuesday, February 15, 2011
Lagi Tentang Lawan Arah Pusingan Jarum Jam
Kajian Sains Mengesahkan Mekah Sebagai Pusat Bumi

Prof. Hussain Kamel menemukan suatu fakta mengejutkan bahwa Makkah adalah pusat bumi. Pada mulanya ia meneliti suatu cara untuk menentukan arah kiblat di kota-kota besar di dunia.
Sanbung baca tentang misteri ini di sini...
Thursday, February 03, 2011
New Horizon
Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina..Tahun Arnab..saya suka tahun arnab, sebab saya dilahirkan pada tahun ini..Maybe this is my year...pelangi setelah ribut petir? Semoga!
Kelihatan dari kiri Pengerusi UNIRAZAK cawangan kelantan, Pengetua sekolah kami iaitu ustaz Rozman Zakaria sedang berbincang dengan YB Tn. Hj. Che Abdullah iaitu ADUN Wakaf Bharu dan hujung kanan ialah Pengerusi PIBG sekolah, Tn Hj. Tengku Yusuf. Majlis di atas berlangsung pada 2 hb Februari sempena perasmian Majlis Motivasi Keibubapaan dan penyerahan buku-buku perpustakaan oleh YB.
Brave New World
Dua hari yang lepas, saya telah keTadika Celik Minda, Darul Nu'man yang terletak di Wakaf Bharu. Lokasinya adalah di tepi jalan menuju ke sekolah saya. Akhir tahun lepas saya sudah meninjau tadika ini. Tetapi menjelang awal tahun saya masih tidak memindahkan Danial. Hmm, macam2 masalah yang timbul. Terdahulu saya telah berbincang dengan pegawai perubatan. Menurut beliau, bagi anak2 yang menghadapi masalah pembelajaran, keperluan survival adalah lebih dahulu yang sepatutnya ditekankan. Biarlah mereka boleh berdikari dahulu, baharulah diajarkan ilmu2 lain.
Tetapi setelah beberapa orang sahabat saya menghantar anak-anak mereka ke tadika Celik Minda, paradigma saya telah berubah.
"Anak-anak mereka sudahlah petah dan bijak bercakap-cakap, hantar pula mereka di tadika. Sudahlah Danial ketinggalan, dihantar ke nurseri sahaja pula." saya bermonolog.
Lantas, saya pun berjumpa sekali lagi dengan bos tadika tersebut. Kami berbual dan berbincang panjang lebar. Lega saya mendengarkan semangat beliau dalam mendidik anak-anak, walaupun untuk kanak-kanak seperti Danial. Setelah mendaftar dan membayar yuran, kami diberikan beg sekolah, buku-buku dan alat tulis. Begitu bangga Danial mendapat bahan-bahan tersebut... Dan kini dia sudah gembira dengan sekolah barunya...
Saturday, January 29, 2011
Kehidupan

Danial sebelum operasi, masih 'sihat'. Kegembiraan hanya sementara kerana tiada sesiapa tahu apa-apa yang berlaku secara senyap-senyap di dalam kepalanya.
Selagi jantung berdegup, selagi ombak menghempas pantai, selagi matahari masih sudi menyerlah menjelang siang, maka selagi itulah gendang kehidupan akan terpalu.
Kehidupan dunia sungguh aneh, sukar untuk dijangka. 2+2 bukan semestinya 4. Sifir kehidupan perlu dicerna, dihadam lumat-lumat.
Untuk permulaan dalam entri yang terdapat sedikit perubahan ini, saya memilih untuk memaparkan kisah yang berlaku seputar kehidupan saya. Danial, atau Ahmad Luqman Danial. Dia ini unik kerana kehadirannya di sisi kami terasa benar untuk menguji sejauh manakah kesabaran dan keimanan kami, walaupun kadang-kadang kami/saya terlupa akan ujian ujian dan ujian yang kami tempoh tanpa notis daripada-Nya.
Danial kecederaan ditimpa tv. 2 minggu kaki bersimen. Mula-mula sahaja dia rasa janggal. Setelah 2/3 hari, dia dah mula berlari. Simen bahagian tapak akhirnya lembik...
Simen putih bertukar kepada plaster hijau ini. Walaupun nipis, plaster ini keras dan kuat. 3 minggu plaster ini terpasung di kaki Danial. Setelah dibuang, hampir 3 minggu Danial masih berjalan terdengkut-dengkut seolah2 kakinya masih bersimen...
Suka dan duka juga begitu abstrak dan perlu ditaakul dan dijinakkan.
Biarpun rumah ini bukanlah mewah, tetapi bagi saya rumah ini ialah istana kami,
dan segala yang indah adalah di sini. Kami
(saya terutamanya) insyaAllah akan habiskan baki usia kami di sini.
Baharu beberapa hari dilahirkan, dia ditimpa kemalangan. Perlu menjalani 3 kali pembedahan di kepala, mengalami demam panas yang teruk dan berpanjangan. Impaknya, walaupun sudah berusia lebih 3 tahun, semasa kanak-kanak sebayanya sudah boleh menyanyikan pelbagai lagu, dia pula berusaha menyebut 'kuda' dengan betul.
Pada masa ini, Danial ditempatkan di sebuah nurseri. Cita-cita saya untuk melihat Danial menjadi pejuang agama Allah perlu saya usahakan. Bagaimanakah saya dapat merealisasikan impian ini?
Friday, January 14, 2011
Fertigasi

Fertigasi (fertigation) berasal daripada perkataan “fertilizer” dan “Irrigation”. Definasi Fertigasi adalah satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis.
Fertigasi adalah salah satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro.
Beberapa media digunakan bagi tujuan menggantikan fungsi tanah seperti cocopeat, sekam padi, rootwool, perlite, zeolite dan juga vermiculate dalam kaedah tanaman fertigasi. Cocopeat dan sekam padi digunakan secara meluas kerana harganya murah, ringan, berkualiti dan mudah digunakan.
Pokok ditanam di dalam bekas atau polibeg yang mengandungi media bukan tanah yang sesuai. Media yang biasa digunakan adalah sekam bakar dan sabut proses (ratio 50:50) yang mempunyai pH 6.5 – 6.8. Pembajaan yang diberikan mengikut formulasi baja yang tertentu bergantung kepada jenis tanaman.
Selain itu, tanaman kebiasaannya ditanam di tapak penanaman yang mempunyai struktur pelindung hujan dan serangga.
Kaedah Fertigasi ini bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan juga penyakit serangan bakteria yang berpunca daripada tanah.
Kaedah Fertigasi mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan kaedah konvensional:
• Pemberian nutrien lengkap yang boleh dikawal mengikut kehendak tanaman berdasarkan jenis dan peringkat pertumbuhan sesuatu tanaman;
• Media tumbesaran dan persekitaran menjamin kebersihan dan menghindarkan masalah penyakit;
• Mengatasi masalah tanah seperti tidak subur, perumah penyakit dan perosak;
• Meningkatkan hasil per unit kawasan dengan kepadatan tinggi;
• Tiada masalah merumpai sekali gus mengurangkan kos buruh;
• Kualiti hasil yang lebih baik;
• Penggunaan baja yang cekap. Mencapai 85% berbanding kaedah tabur hanya 30%;
• Mengurangkan penggunaan racun keatas tanaman terutamanya jika jejaring kalis serangga diguna pakai;
• Hasil lebih tinggi, boleh mencapai sehingga 700% atau tujuh kali ganda.
• Pengurusan tanaman yang lebih sistematik.
Dalam kaedah Fertigasi, beberapa peralatan digunakan bagi tujuan mengawal serangga perosak dan merumput dengan membuat Rumah Lindungan Hujan dan juga jaring kalis serangga. Kaedah ini menyebabkan tenaga buruh dapat dijimatkan. Sistem ini juga tidak menggunakan tanah dan tidak memerlukan penggunaan tanah yang luas.
Peralatan atau kompenen yang diperlukan dalam sistem fertigasi adalah seperti tangki, tong stok nutrient, pam, paip poly atau pvc. Dripper, mini tubing, tubing, timer dan peralatan kawalan air dan baja. Dalam sistem fertigasi, air baja diberi mengikut masa iaitu antara 3 – 6 kali sehari selama 5 – 10 minit. Ini bergantung kepada cuaca dan juga kawasan tanaman.
Kaedah Fertigasi sangat sesuai bagi tanaman sayur berbuah dan berdaun seperti tomato, timun jepun, cili merah, terung, melon, cili sayur, strawberi dan juga pokok hiasan. Ringkasnya , sistem tanaman ini adalah sangat sesuai untuk tanaman yang bernilai tinggi di pasaran.
Pada masa ini, defisit negara dalam imbangan perdagangan makanan ialah sebanyak RM4.3 bilion.
Justeru itu, industri pertanian perlu kepada transformasi untuk menjadikan sektor ini benilai tinggi seperti juga industri di sektor pembinaan dan pembuatan serta perkhidmatan yang lebih moden, dinamik dan berdayasaing.
Kerajaan melihat bahawa negara perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian itu program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti perlu dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system) dan program fertigasi tanaman pertanian ini.
Terima kasih kepada blog Thinktank. Pihak sekolah sedang mencari jalan untuk membuat satu projek penanaman di sekolah kami bersesuaian dengan kawasan sekolah yang sangat sempit. Ruang tanah pun tersangat terhad. Pelajar kami terdiri daripada anak-anak orang kampung di kawasan dekat-dekat sini sahaja. Prestasi akademik kebanyakan mereka sederhana.
Thursday, January 13, 2011
Sesi 2011
Tahun ini saya masih mengajarkan KHB (Pertanian). Sudah banyak sekolah yang menggugurkan pilihan pertanian ini namun kami berkeputusan untuk mengekalkannya.
Bagi saya, 'bertani' itu menyeronokkan, biarpun kawasan sekolah kami ini terlalu sempit. Tanah yang ada cuma sekangkang kera. Pada tahun ini, kami dengan semangat yang berkobar-kobar akan berusaha untuk membuat beberapa aktiviti yang berkaitan dengan bidang ini.
Tahun ini merupakan tahun ke2 saya mengajarkan subjek ini. Kami sedang berusaha menjemput pihak luar untuk menunjuk cara untuk melakukan beberapa projek pertanian seperti membela ikan air tawar, membela burung dan arnab sebagai haiwan kesayangan dan juga bercucuk tanam tanpa menggunakan tanah yang banyak. Akhir tahun lepas, pihak JPNK unit Teknik dan Vokasional telah menyerahkan beberapa peralatan pertanian untuk kami gunakan.
Dalam kepala memang banyak perkara yang boleh dilaksanakan. Kami beruntung kerana Mudir sekolah kami memang menyokong segala usaha membangunkan anak bangsa.
Pada tengah hari tadi, pembahagian pelajar kepada kelab dan unit beruniform telah dilakukan. Saya dan 2 guru lain mengendalikan Kelab KHB dan Reka cipta. Pada mulanya hanya 8 orang mendaftarkan diri (6 perempuan). Saya sudah mencongak aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mereka. Tidak ramai pun bagus juga, boleh fokus. Beberapa minit berlalu, datang pelajar lelaki tingkatan 3, 2 dan 1 menjadikan jumlah ahli kami sudah melimpah. Bagi saya sebahagian daripda mereka ini boleh dipindah dan dimasukkan ke dalam kelab lain. Tetapi, apabila difikir-fikirkan lagi, kebolehan mereka ini lebih kepada psikomotor (bukan akademik), maka kami kena fikirkan aktiviti kemahiran yang perlu dilaksanakan.
Ini adalah merupakan entri awal sahaja sebagai mukaddimah awal sesi...




