Assalamualaikum,
Jumpa lagi setelah bercuti selama dua minggu. Sebagai guru perkara yang paling menyeronokkan ialah apabila tiba musim cuti. Haa, janganlah cemburu ya. Semasa hari persekolahan kami selalu pulang lewat. Mesyuarat, kursus, itu perkara biasa. Di rumah pun masih berfikir hal sekolah.
Awal-awal cuti kami menghadiri kursus profesionalisme di Hotel Sri Malaysia, Air Keroh selama 2 hari. Antara perkara yang masih diingati ialah tentang disiplin pelajar; bidang kuasa guru terhadap pelajar dsb. Satu ungkapan yang perlu dipegang oleh guru jikapun mereka geram kepada pelajar ialah "pelajar ialah insan yang masih belum matang" Cubalah pujuk memujuk. Psikologi...
Pada minggu kedua saya berpeluang pulang ke kampung saya, Kg Pasir Pekan yang terletak antara Kota Bharu dengan Wakaf Bharu (berhampiran Sg Kelantan). Syukur walaupun pulang beberapa hari cuma, saya sempat melakukan beberapa perkara; pulang bertemu ibu yang sudah uzur, sempat menziarah besan kepada ibu yang begitu uzur, juga ke majlis kenduri bapa saudara,serta ke rumah kakak yang baru berpindah ke rumah barunya. Saya juga sempat merayau-rayau di bandar KB dan Pengkalan Kubor. Sebagai seorang guru ekonomi, saya sering memberi contoh negeri saya yang pesat pembangunan iktisadnya kepada pelajar saya di sini.
Yang paling suspens ialah saya telah ke rumah kawan lama saya yang tinggal tidak jauh daripada rumah saya. Kawan saya ni mengalami penyakit gangguan mental. Setiap kali saya lewat rumahnya saya memang teringatkannya. Tapi, kebimbangan mengatasi segalanya. Pernah semasa saya tinggal di kampung dan melahirkan anak pertama dahulu, kawan saya telah menolak ibu saya. Perkara itu menjadikan saya fobia.
Saya terkilan juga sebab perhubungan kami tergantung begitu sahaja sedangkan kami dahulu teman rapat. Banyak kenangan manis semasa kecil yang kami tempuhi bersama. Dia cergas dan pintar semasa di alam persekolahan.
Namun takdir Tuhan tiada siapa yang dapat mengagak...
Keluarganya telah membina sebuah rumah kecil untuknya. Dia sering berendoi di buaian berhampiran pagar rumahnya. Suatu hari, selepas ke rumah kakak saya, saya memberanikan diri singgah ke rumahnya, dengan menyebut asma Allah dalam hati. Saya memberi salam dan menghulur tangan. Saya perkenalkan diri dan bertanya adakah dia masih ingat saya. Katanya 'ya'. Saya hulurkan maruku. Dia mengambilnya dan menyambung berendoinya sambil memakan maruku yang saya bawa. Mukanya nihil perasaan.
Hari lainnya jika saya nampak dia di buaian saya akan singgah. Pagar rumahnya sentiasa berkunci dan bahagian atas pagar di pasang kawat berduri.
Saya terkilan sebab saya tidak punya kemahiran berkomunikasi. Bayangkan jika kita berada di tempatnya. Siapa yang sudi mengambil berat dan berbual-bual dengannya? Ibu dan bapanya meninggal semasa dia masih di bangku sekolah. Dia jatuh sakit semasa saya bersekolah di sekolah berasrama penuh di Kelang (KIK). Sebelum dia sakit dia ada menghantar kad raya kepada saya. Saya pula asyik merantau sehingga sekarang dan balik sekali sekala sahaja ke kampung.
Fikiran kita terutama orang-orang Melayu begitu prejudis pada insan senasib kawan saya tadi. Memang wajar jika di sekolah atau di IPT dimasukkan satu subjek atau topik komunikasi. Sukatan pelajaran di Malaysia terlalu mementingkan akademik dan peperiksaan, menjadikan kita mementingkan diri sendiri, bagai enau di dalam belukar. Kita tidak hendak memikirkan nasib pokok-pokok di sekeliling kita, asalkan kita mendapat cahaya, cukuplah...
Bayangkan jika kitalah 'kawan saya itu' atau dia ahli keluarga kita...
No comments:
Post a Comment