RAKAN lama saya ini, Azam, sudah lama mengajak untuk bertemu. Katanya ada hal penting. Dia hendak mengadu tentang sesuatu yang mengganggu dirinya di rumah yang baru dua minggu disewanya di Gombak.
Katanya, rumah dua bilik yang disewa itu ‘keras’ dan dia sering diganggu ketika tidur. ‘Lembaga yang rupanya tidak jelas itu’ (seperti yang digambarkannya) akan menekan tubuhnya kuat di atas katil dan dia tidak boleh bergerak langsung. Hendak menjerit pun adakalanya tidak keluar suara.
“Banyak kali jadi macam tu. Aku tau ada ‘benda’ yang tinggal dalam rumah tu. Tapi sekarang aku dah tak takut. Cuma susah la. Aku asyik mengantuk di pejabat sebab tak cukup tidur,” ujar Azam, masih cuba berlagak berani.
‘Ah! Dari zaman asrama sampai dah umur 30, lagi-lagi cerita yang sama.’ Bisik hati saya.
Saya pun pernah mengalami kejadian yang sama, tapi tidaklah taksub sangat dengan menokok tambah cerita itu dengan kisah ‘tangan halimunan’ yang merayap di seluruh badan (seperti yang bersungguh-sungguh didakwanya).
“Betul! Aku rasa ada roh yang tak tenteram terperangkap dalam rumah tu,” sambung Azam. Malas hendak berhujah, anak mata hitam saya terus mencari langit.
Hinggalah saya mendengar penjelasan seorang rakan, Dr. Harris, yang mengulas tentang perkara tersebut dari sudut saintifik perubatan melalui penulisan dalam blog peribadinya. Nah Azam, cuba baca ini!
Sebenarnya apa yang berlaku itu merupakan fenomena paralisis tidur. Ia merujuk kepada suatu tempoh singkat yang membuatkan seseorang tidak dapat membuat pergerakan mana-mana bahagian badan ketika baru memasuki fasa hendak tidur (hipnogogik atau predormital), atau ketika hendak sedar daripada tidur (hipnopompik atau posdormital).
Apakah simptom-simptomnya? Lazimnya seseorang akan mengadu hilang upaya gerak anggota tangan atau kaki ketika baru mula tidur atau hendak sedar. Berlaku juga episod singkat paralisis otot skeletal, sama ada sebahagian atau sepenuhnya. Ia biasanya dikaitkan dengan halusinasi hipnogogik atau aktiviti otak yang mencetus situasi seperti mimpi.
Paralisis tidur selalunya dikaitkan dengan narkolepsi, iaitu gangguan neurologikal yang membuatkan seseorang mengalami rasa mengantuk yang ekstrem lalu boleh tertidur secara tiba-tiba. Namun begitu, ada orang yang mengalami paralisis ini tanpa menunjukkan petanda narkolepsi.
Antara penyebab paralisis tidur ini adalah seperti tidur dalam posisi terlentang terlalu lama, jadual tidur yang tidak menentu, tidak cukup tidur dan istirehat, stres dan juga pertukaran gaya hidup secara mendadak (misalnya peralihan daripada mod rehat kepada aktiviti ekstrem secara mengejut).
Dalam kes halusinasi hipnogogik tertentu, seseorang akan merasa seperti ada orang lain di dalam bilik tidur mereka. Ada juga yang trauma apabila menyangka ada ‘sesuatu’ yang duduk di atas dada hingga menyukarkan pernafasan.
Sejak berkurun, ia terjadi pada manusia dan dipanggil Fenomena Hag. Walaupun kesannya menimbulkan keresahan dan ketakutan, tiada risiko atau ancaman fizikal boleh berlaku.
Dalam dunia ini memang ada makhluk lain di dimensi yang tidak dapat ditembusi mata kasar kita. Tetapi janganlah kita jadikan ia satu-satunya alasan bagi setiap kejadian yang tidak dapat dihuraikan.
(Kosmo!, 21/2/2009)
Saya ada juga menghadapi masalah ini. Pengalaman saya, rasa tercungap-cungap, sukar bernafas, kepala rasa ditekan dengan kuat hingga rasa macam nak mati. Kadang-kadang bagai ternampak bayang-bayang lembaga hitam, macam-macam bentuk, besar, kecil. Masa tu tidak boleh bergerak mahupun bersuara. Rasa macam mimpi tak mimpi. Saya membaca ayat-ayat suci yang mudah/ ayat kursi atau 'Allahu Akbar' dsb. Memang kena usaha bersungguh-sungguh untuk melepaskannya.
Selepas itu, untuk tidur balik, sambung baca ayat-ayat suci, ambil selimut dan selimuti seluruh tubuh dan pastikan bahagian kaki terutamanya ditutup dengan selesa. Saya membuat kesimpulan sendiri, antara sebab terjadi fenomena ini ialah badan sejuk, lemah. Terpulanglah jika hendak mengaitkan dengan makhluk halus, sebab jika badan lemah memang makhluk sebegitu mudah singgah.
No comments:
Post a Comment