Putera-putera SMK Undang Rembau
Pada 22hb 4 yang lepas, saya telah mengikuti rombongan pelajar SMK Undang Rembau ke Istana Budaya, Perpustakaan Negara dan PWTC. Ada dua rombongan sebenarnya iaitu satu bas dari PSS dan sebuah lagi dari pelajar asrama.
Lawatan pertama ke Istana Budaya. Rasa bertuah sebab dapat diberi peluang untuk ke panggung theater dan melawat sekitarnya. Panggung ini adalah antara 10 panggung terbaik di dunia, memang canggih. Seni binanya memang kelas. Padat dengan sentuhan kreatif/ budaya Melayu. Kami diberi penerangan dan promosi untuk sesiapa yang berminat menyertai aktiviti di sini. Kami juga diberi cenderamata setiap seorang. Saya pula mendapat satu cenderamata ekstra sebab hari lahir saya jatuh pada bulan ini...terima kasih...
Kemudian kami ke Perpustakaan Negara. Teringatlah masa jadi penuntut UM dulu saya pernah ke bilik mikrofilem untuk cari bahan. Di sini pun kami dapat cenderamata. Semoga para pelajar semua mendapat semangat melihat gedung ilmu dan pelbagai pengisian ini.
Kami singgah makan dan solat di Taman Tasek. Anak kedua saya Maryam kolejnya dekat-dekat sinilah, katanya boleh berjalan kaki saja (UKM). Dia sedang menduduki peperiksaan akhir tahun 1.
Hampir jam 3 kami sampai di PWTC. Di sini kami berselerak dan saya mencuba memaksimumkan penggunaan masa untuk menjelajah mencari buku-buku yang dihajati. Kedudukan gerai buku mesra pengguna sebab di pintu masuk pun sudah terdapat booth. (Sudah 2 tahun saya tak dapat mengunjungi Pesta Buku sebenarnya).
Saya dapat membeli beberapa buah buku; novel, buku rujukan, tentang Palestin, majalah, untuk Syamil dan Danial. Banyak juga diskaun yang diberi dan kami mendapat buah tangan yang menarik daripada penerbit-penerbit. Pelajar-pelajar saya pula begitu bangga dengan beg MOY masing-masing. Rasa nak juga satu, teringat zaman remaja dulu saya boleh tahan hantunya membca komik. Masa tu komik popular ialah Gila-gila. Saya boleh cam semua lukisan dan pelukisnya.
Syukur, kami selamat sampai tepat-tepat sebelum maghrib. Perjalanan pergi, dan ke semua destinasi berjalan lancar. Dan syukur lagi kepada-Mu kerana menghadiahkan hari yang sungguh bermakna buat kami semua...
No comments:
Post a Comment