Saturday, December 19, 2009

Cuti Lagi..

Afiq, meraikan kejayaan dapat menjadi pelatih MAS
Hajar, Syamil, Danial dan saya
Anak saudara saya, Ahmad Ghazee dan Nur Asyikin
Saya dan bonda saya pada majlis menyambut menantu (anak saudara saya) Hari mula-mula Danial masih takut air, tengok saja dulu..

Alhamdulillah...
Setelah terasa cuak, fobia dan pelbagai kebimbangan untuk pulang ke kampung akibat tragedi berdarah lebih kurang 2 tahun lepas, alhamdulillah, saya dan 3 orang anak berjaya juga pulang bercuti di kampung kelahiran saya di Kelantan. Sebelum ini saya hendak menyambut Hari Raya Haji di kampung, tapi, apabila tiba masanya, ada pula aral datang melintang, terpaksalah saya batalkan. Tetapi, hajat kesampaian juga, dan kami pulang dari 10hb 12 hingga 17hb 12.

Perkara pertama yang menyambut kepulangan kami ialah betapa terharunya bonda saya menyambut kami berempat. Beliau yang sudah mencecah 82 tahun begitu lama memeluk saya, mungkin tidak menduga akan dapat berjumpa kami lagi. Dengan Danial yang pertama kali dilihatnya semasa berumur 36 hari kini sudah berusia 2 tahun.

Doa saya supaya kepulangan kali ini mengembirakan, nampaknya anak-anak sayalah terutamanya begitu gembira di sini. Syamil seronok kerana dapat bertukar angin, berjalan-jalan, dapat ke kolam renang (4x), makan-makan dan berakhir dengan Kem Menggilap Permata di masjid dekat rumah kami. Ada juga berita yang berat untuk ditelan, tapi, saya menerimanya sebagai satu daripada adat kehidupan. Syukur kerana Allah memberi saya/kami kekuatan dan, ramai yang sanggup bersusah bersama-sama kami dan meringankan bebanan kami. Saya tidak akan lupakan semua jasa2 yang dicurahkan, semoga Allah anugerahkan yang terbaik...

Jadi, kami akhiri tahun hijrah yang lepas dengan 'bahagia' dan syukur. Hari itu saya juga sempat menziarah kuburan anak saya, juga ayah saya (dll). Sudah dua tahun 1 bulan arwah anak saya bersemadi di sini. Tepat 2 tahun dia disemadikan, anak saya Maryam bermimpi berjumpanya dan arwah menyebut2 diri saya. Betullah roh balik ke dunia dan dapat melihat kita... Subhanallah!

Doa tahun baru hijrah kami dapat baca di dalam perut bas Transnasional 2 tingkat dari KB menuju Seremban. Azam tahun baru? Semalam ialah sejarah, hari ini ialah misteri, dan esok ialah harapan... Allah tahu kepada siapa Dia duga. Dia Tuhan Yang Maha Adil, Pengasih, Penyayang dan tidak sesekali menyusahkan hamba-hamba-Nya. Sedangkan makhluk-Nya yang begitu halus di dasar laut pun, Dia tahu, apa lagi kita makhluk-Nya manusia ini...

Tuesday, December 08, 2009

Selamat bercuti...

Tertinggal komuter nampaknya entri kali ini. Apa boleh buat, masuk saja cuti streamyx rumah saya terus hi hi bye bye...
Jadi nak buat ringkasanlah sikit-sikit apa-apa yang telah dilalui seminggu dua ni..
Pertama, permohonan untuk pindah ke Kelantan tidak diluluskan...saya kehabisan kata untuk memperkatakan hal ini... ya lah, pasti ada hikmat di sebalik semua ini. Jadi, angan-angan saya untuk pulang ke kampung setelah 18 tahun berkhidmat di negeri orang (dan pelbagai alasan lagi) nampaknya terkoma di sini dulu. Ada juga rasa rajuk dan nak tinggal lagi di sini beberapa tahun lagi, menghabiskan tempoh persekolahan anak-anak saya...Laman "Oh My Home" yang saya bina khusus untuk merealisasikan angan-angan saya untuk membina rumah baru sekembalinya ke kampung nanti nampaknya akan terjeda hingga bila detiknya tidak diketahui.

Hikmah? Sebagai manusia yang tidak kasyaf bak Khidir, saya tercari-cari dan merenung-renung akan kedudukan saya di sini yang bak kolek di tengah lautan. Terolang-aling dihempas ombak. Tidak sekali dua dipukul gelora. Tapi, Allah punya seribu rahsia. Kita manusia yang lemah sentiasa ada soalan 'mengapa' dan 'mengapa'...

Err..maaflah, dah tak jadi ringkasan, teremosi pulak..

Kedua, kedua yang sebenarnya dah terlupa, tapi, cerita hari ini kira ok juga kot untuk dikongsi bersama..
Pagi ini awal-awal lagi saya sudah bersiap-siap. Ada mesyuarat di sekolah. Pada masa yang sama pelajar Ekonomi Asas saya akan menghadapi peperiksaan SPM. Kira ni kertas terakhirlah buat mereka, satu pagi 2 kertas. Jadual tahun ini memihak kepada mereka, iaitu selepas Sains 2, mereka ada ruang 5 hari untuk studi. Jadi, saya pun mengambil kesempatan ini untuk membuat kelas. Kehadiran memanglah tidak penuh, tapi, tak kisahlah (adalah difahami adanya). Saya buat salinan dan minta pelajar sebar-sebarkan kepada kawan-kawan lain.

Usai mereka menduduki peperiksaan, saya telefon salah seorang pelajar saya (saya mesyuarat hingga jam 12.15). Syukur, apa yang dibincangkan banyak keluar... Apa yang saya seronok ialah seorang pelajar saya yang selalu hantar kertas kosong sewaktu peperiksaan dalaman hari itu menulis dengan tekun.. Semoga kalian cemerlang ya...