Saturday, November 27, 2010
Gelombang Kedua Sudah Tiba..
Saya/ kami lebih bertuah kerana tinggal di Kg Pasir Pekan dan tidak dekat sangat dengan sungai Kelantan. Tanah di sini agak tinggi. Semasa kecil dahulu sekali rumah saya dinaiki air iaitu semasa bah merah. Saya kecil sangat masa itu (mungkin 9 tahun). Ibu saya membuka lantai yang diperbuat daripada kayu untuk mengambil air. Kerajaan selepas itu memperdalam sungai Raja Gali dan membaiki perparitan. Jadi selepas itu rumah dan sekitar kampung kami tidak dinaiki air lagi. Tetapi, kampung-kampung berhampiran banyak yang dijengah banjir ini.
Terukkah banjir ini? Kalau dahulu banjir dikaitkan dengan Kelantan atau atau negeri-negeri Pantai Timur. Tetapi sekarang banjir sudah sampai ke mana-mana tempat di Malaysia. Kami banjir kerana angin monsun timur laut yang berlaku sesi akhir tahun. Jadi kebanyakan kita sudah tahu bahananya banjir ini.
Hujan biasanya akan turun tidak berhenti-henti hingga 8-9 hari. Angin akan bertiup kencang menaikkan air dari hulu sungai. Angin inilah yang mempercepatkan air naik. Air bah sejuk sekali. Bah yang datang saban tahun ini sudah menjadi kebiasaan kepada para penduduk. Kebanyakan penduduk yang terlibat mempunyai perahu sendiri dan meletakkan kenderaan masing-masing di tempat selamat.
Musim bah ini beberapa makanan khusus untuk musim ini akan muncul. Contohnya ubi. Ada macam-macam jenis ubi; ubi badak (putih dan ungu), ubi itik, ubi tak rak, ubi kayu yang paling sedap ubi badaklah. Caranya ubi tersebut direbus dan makan cicah dengan kelapa parut digaul gula. Atau ikang kering goreng atau sambal ikan bilis. Kuih putu piring pun akan dibuat orang. Bentuk bulat diperbuat daripada ubi kayu dan tengah-tengahnya ada manisan (gula merah), dicicah dengan kelapa parut. Makan panas-panas ketika hujan wah sedap sekali.
Sesiapa yang bersalin pada musim ini agak sedihlah. Terutama pada masa dahulu ibu-ibu menggunakan kain lampin. Kain-kain terpaksa dikeringkan dengan menyalakan bara kerana selain hujan yang tidak berhenti-henti kadar wap air dalam udara begitu tinggi. Sejuk. Jika kain diseterikapun kain-kain itu akan sejuk kembali beberapa minit kemudian.
Juga kepada anak-anak yang menghadapi peperiksaan SPM dan STPM, semoga tabah dan berhati-hati mengharung banjir. Jihad juga tu. Bukan mudah hendak mendapatkan kecemerlangan.
Saturday, November 20, 2010
Anak yang paling banyak diberi ujian. Dia masih tidak mengerti sebenarnya. Ujian-ujian mungkin lebih tepat untuk keluarganya, dan semua manusia di sekelilingnya. Dalam duka ada suka. Syukur kepada Allah atas segala anugerah dan mohon agar diberi petunjuk serta tidak kesesatan dalam mencari hakikat. Juga mohon kepada Allah agar diberi kekuatan dalam meredah segala onak dan duri kehidupan. "Dan selepas kesukaran itu ada kesenangan, dan selepas kesukaran itu pasti ada kesenangan." "Dan sesungguhnya Allah sudah menetapkan segala sesuatu ada kadar-kadarnya." "Dan pahala bagi orang yang sabar itu tidak ada batasannya." Janji-janji Allah itu pasti benar...
Oh My Home!
Pada Rejab yang lepas, projek pembinaan rumah kami telah bermula. Bulan mulia, semoga semuanya selamat dan membahagiakan. Pelannya bukan sehari dua saya reka. Tapi, apabila dikemukakan kepada tukang pelan, lain pula pandangannya. Yalah, taman dalam rumah (baca: bukan sikit bajetnya). Mujur ada plan B. Sumbernya ialah daripada rujukan internet. Saya mengambil kira keselesaan kami, para penghuni, juga nyaman untuk para tamu.
Yang biasa; ruang tamu, ruang makan, ruang keluarga, kamar beradu, dapur (2 dalam satu), dan stor. Yang menarik bagi saya ialah ada ruang dobi; membasuh dan menjemur di dalam rumah, bila-bila masa!
Laman? Impian memang indah. Laman yang segar dihiasi water feature, kemboja pelbagai warna, cempaka, melur, toking, dan mawar. Perbot taman, wakaf, bahkan banyak lagi..oh citarasa! Tidak tertulis di sini nalurinya... Tapi bab landskap ini sudah terkira dalam fasa ke..entah ke 2 atau ke 3. Nak siapkan rumah induk dulu..fuluss.. Buat permulaan saya akan cuba menanam pokok-pokok buahan, sayuran atau tanaman herba. Itu penting, untuk kesejahteraan diri.
Rumah kami pembinaannya tergendala sekejap. Ya, selagi jantung berdegup, selagi itulah rintangan dan halangan datang melanda. Namun, hidup mesti diteruskan. Minggu ini kontraktor kami memberitahu pembinaan akan berjalan semula.. wah tak sabarnya, mendiami rumah sendiri.. Sistem air rumah kami ialah disedut dari dalam bumi (boring, eja tak pasti). Itu yang best sangat. Di taman perumahan sekarang, airnya sering keruh, walaupun sekarang sudah berkurang tapi air masih tidak jernih. Oh sedapnya meneguk air jernih mengalir daripada perut bumi...
Rancangan asal mengikut kontraktor rumah ini boleh siap Februari nanti. Tetapi, keadaan sudah berubah (sedikit). Apa-apapun, saya ingin menyambut ramadhan dengan penuh kesyahduan di sini insyaAllah dan menerima tetamu di hari lebaran di rumah baru..marhaban..
Nyawa remaja direntap ketika senja
mustapa.lakawa@kosmo.com.my
KUALA TERENGGANU - Keseronokan tiga pelesit rempit berlumba haram di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang belum dibuka dekat sini dengan membuat aksi berbahaya ala Superman berakhir dengan tragedi apabila kesemua mereka terbunuh selepas motosikal yang dinaiki bertembung sesama sendiri kelmarin.
Kejadian pukul 6.50 petang berdekatan Kampung Bukit Guntong di sini itu mengakibatkan seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun, Solihhuemi Harun dari Kampung Hulu Jeram, Tepu; Md. Abdul Rahman Md. Jusoh, 20, dari Kampung Raja, Tepu; dan Mohd. Firdaus Nawi, 20, dari Kampung Sungai Ikan, Tepu dekat sini maut.
Kesemua mangsa cedera parah dengan kepala dan tangan kiri salah seorang daripada mereka hampir putus. Seorang mati di lokasi kejadian. Dua lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Ketika kejadian kesemua mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, Honda Cub C70 dan Honda EX5 yang telah diubahsuai dengan kelajuan melebihi 100 kilometer sejam. Honda EX5 itu dipercayai kenderaan curi.
Difahamkan, sebelum kejadian, penunggang Honda Cub C70 dan Honda EX5 dari arah yang sama telah bergesel ketika berlumba sambil membuat aksi Superman manakala penunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah bertentangan yang juga sedang melakukan aksi sama merempuh mereka.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Alias Hashim berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku ketika kesemua mereka menunggang pada kelajuan tinggi sambil membuat aksi berbahaya.