Saturday, November 27, 2010

Gelombang Kedua Sudah Tiba..

Umum penduduk Kelantan mengetahui bahawa bah di sini lazimnya dua kali melanda negeri ini. Biasanya gelombang pertama tidak besar dan gelombang kedua akan jadi lebih besar. Dalam 3, 4 hari ini media sudah memberi amaran gelombang itu sudah tiba. Penduduk di Rantau Panjang sudah kawasan rumah mereka sudah dinaiki air.

Saya/ kami lebih bertuah kerana tinggal di Kg Pasir Pekan dan tidak dekat sangat dengan sungai Kelantan. Tanah di sini agak tinggi. Semasa kecil dahulu sekali rumah saya dinaiki air iaitu semasa bah merah. Saya kecil sangat masa itu (mungkin 9 tahun). Ibu saya membuka lantai yang diperbuat daripada kayu untuk mengambil air. Kerajaan selepas itu memperdalam sungai Raja Gali dan membaiki perparitan. Jadi selepas itu rumah dan sekitar kampung kami tidak dinaiki air lagi. Tetapi, kampung-kampung berhampiran banyak yang dijengah banjir ini.

Terukkah banjir ini? Kalau dahulu banjir dikaitkan dengan Kelantan atau atau negeri-negeri Pantai Timur. Tetapi sekarang banjir sudah sampai ke mana-mana tempat di Malaysia. Kami banjir kerana angin monsun timur laut yang berlaku sesi akhir tahun. Jadi kebanyakan kita sudah tahu bahananya banjir ini.

Hujan biasanya akan turun tidak berhenti-henti hingga 8-9 hari. Angin akan bertiup kencang menaikkan air dari hulu sungai. Angin inilah yang mempercepatkan air naik. Air bah sejuk sekali. Bah yang datang saban tahun ini sudah menjadi kebiasaan kepada para penduduk. Kebanyakan penduduk yang terlibat mempunyai perahu sendiri dan meletakkan kenderaan masing-masing di tempat selamat.

Musim bah ini beberapa makanan khusus untuk musim ini akan muncul. Contohnya ubi. Ada macam-macam jenis ubi; ubi badak (putih dan ungu), ubi itik, ubi tak rak, ubi kayu yang paling sedap ubi badaklah. Caranya ubi tersebut direbus dan makan cicah dengan kelapa parut digaul gula. Atau ikang kering goreng atau sambal ikan bilis. Kuih putu piring pun akan dibuat orang. Bentuk bulat diperbuat daripada ubi kayu dan tengah-tengahnya ada manisan (gula merah), dicicah dengan kelapa parut. Makan panas-panas ketika hujan wah sedap sekali.

Sesiapa yang bersalin pada musim ini agak sedihlah. Terutama pada masa dahulu ibu-ibu menggunakan kain lampin. Kain-kain terpaksa dikeringkan dengan menyalakan bara kerana selain hujan yang tidak berhenti-henti kadar wap air dalam udara begitu tinggi. Sejuk. Jika kain diseterikapun kain-kain itu akan sejuk kembali beberapa minit kemudian.

Juga kepada anak-anak yang menghadapi peperiksaan SPM dan STPM, semoga tabah dan berhati-hati mengharung banjir. Jihad juga tu. Bukan mudah hendak mendapatkan kecemerlangan.

No comments: