Monday, November 14, 2011

Selamat Hari Lahir Ahmad Luqman Danial


Hari ini genaplah usia anak bungsu saya 4 tahun. Entri ini sekadar tanda kenang-kenangan akan perkembangannya.

Saya sudah sangat bersyukur kerana kosa katanya sudah bertambah. Saya tidak sepatutnya membandingkan pencapaiannya dengan kanak-kanak seusianya. Pada kes-kes tertentu saya terpegun sejenak kerana tidak sangka dia boleh berbuat demikian.

Awal bulan ini saya telah memasang sebuah rumah burung di sisi rumah kami, berhampiran dengan pokok akasia. Redup dan nyaman amat sesuai untuk 2 pasang serindit (love bird) kami. Hijau, kuning dan biru, sungguh comel. Tiga hari lepas, ketika saya dan Danial ke rumah burung tersebut, beria-ria Danial memberitahu (dalam bahasanya) makanannya (sekoi) telah habis. Saya perhatikan bekas makanan masih separuh berisi, tetapi dia berkeras mengatakan makanan sudah habis.

Sayalah yang teruk. Untuk makluman, bijirin sekoi berbentuk bulat halus. Serindit ialah sejenis burung yang teliti dalam bab pemakanan. Mereka akan bertenggek di bekas makanan dan mengupas/ menguliti bijirin itu dan memakan isinya sahaja. Yang terdapat dalam bekas itu hanyalah kulitnya (yang masih elok, tidak hancur).

Saya lalu mengambil bijirin itu lalu mengisikannya ke dalam bekas makanan. Oh, Danial lebih bijak daripada saya! Selama ini dia memerhatikan tabiat burung ini bersama-sama abangnya Zahid dan syamil..huhu..

Melahirkan Danial, menjaganya dan membesarkannya merupakan saat-saat paling mencabar bagi diri saya. Dia dilahirkan dalam kegelutan hidup kami. Dugaan hebat dan perit.

Pada malam saya ke hospital untuk bersalinkannya, itulah pertama kali saya menaiki ambulans. Kemudian, dia dimasukkan ke wad di Hospital Tampin sebanyak 2 kali kerana kuning. Semasa usianya 36 hari dia kemalangan, mengalami pendarahan beku di kepala. Sebulan lebih selepas itu dia dibedah 3 kali dan terlantar di HKL selama 7 minggu.

Perkembangan dirinya tidak seperti kanak-kanak lain. Kadang-kadang saya rasa bosan untuk membawanya bertandang ke rumah sesiapa. Sesiapa yang tidak memahami keadaannya akan membuat ulasan yang kurang sedap dihadam telinga. Karenah Danial pun satu, agak lasak.

Selepas berpindah dari N. Sembilan ke Kelantan, Danial diserang demam panas dan ditahan di wad pula. Pernah kakinya patah kerana ditimpa televisyen (dia jugak yang panjat)..

Semoga Allah mengampunkan saya kerana kadang-kadang bersungut. Saya perlu bergaul dengan ibu bapa yang mempunyai anak yang bermasalah sama. Berbincang meluaskan minda.


Sesekali saya berfikir setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya mempunyai 7 orang anak. Seorang sudah berpulang kepada pemiliknya dan yang tinggal dengan saya ialah Syamil dan Danial. Syamil akan menyambung pelajaran ke tingkatan 1 tahun depan. Kalau Syamil dapat ke sekolah berasrama, maka tinggallah saya berdua sahaja dengan Danial. Ya, itulah hikmahnya. Mengapa Allah kurniakan saya dengan Danial setelah 8 tahun usia Syamil dan ketika itu saya sudah berusia 43 tahun...

Saya perlu sedar bahawa setiap sesuatu yang Allah jadikan ada kadar kadarnya/had hadnya. Pelajaran Danial?, pekerjaan Danial? Masa depan Danial? Itu sudah dihitungkan Allah. Saya perlu bertadabbur, berusaha dan bertawakkal kepada Allah yang mencipta Danial. Dia lebih mengetahui akan ciptaan-Nya.

No comments: