Friday, December 30, 2011

Cuti sekolah sudah hampir ke penghujung...

bebas...

Oh pejam celik pejam celik sekarang sudah tibanya minggu terakhir cuti akhir tahun persekolahan...

Hmm mari muhasabah sikit..apa yang dah dibuat ya sepanjang cuti ni.. ok listnya seperti entri sebelum ini iaitu terlibat dengan aktiviti penulisan di blog sastera Pn Azmah Nordin, alhamdulillah berjalan, dapat menghasilkan satu cerpen yang menurut sifu berjaya menjadikan beliau sebak...ala maaf sifu... juga beberapa penulisan lain (di situ juga).

Senarai kedua ialah berlawan dengan sifat mazmumah...macam perang sabil jugak ni... insyaAllah ada peningkatan... skala likert keberapa? Oh syukur... Gambarannya jika sebelum ini seketul batu besar dari gunung berapi memberat di pundak, kini saya rasa bebas, ringan dan terapung... Anda pernah mengapungkan diri, berbaring terlentang pada permukaan kolam yang tenang? Di bawah sinar mentari yang lunak kerana terlindung di sebalik awan? Sesekali air kolam yang nipis memercik muka anda. Deria telinga anda dapat menangkap irama 'plup, plup, plup' desir air yang ramah... Indah! Saya sedar, musuh utama diri kita sentiasa akan mencari jalan untuk menentang kita secara sedar atau tidak... ya, selagi jantung berdegup, selagi itulah kita perlu terus berjuang...

Cuti ini saya banyak menghabiskan masa di rumah. Selalu juga online mengikuti sidang 'mukabuku', 'youtube' dll. Jika anda inginkan yang bagus, anda dapat yang bagus di situ, begitulah sebaliknya.. dan syukur sangat-sangat walaupun saya hanya berada di rumah tetapi saya dapat mengikuti kuliah-kuliah hebat daripada para penceramah yang sangat hebat di internet, atau program keagamaan di televisyen... Syabas kepada ustaz-ustaz muda yang sangat bernas fikirannya dan bijak menyampaikan hujah. Rasa lega, sebab nanti ada pelapis yang hebat diharap dapat mengemudi anak bangsa.

Saya sempat juga tonton 2 movie walaupun lama tapi sangat2 bagus pada pandangan saya iaitu 'Di bawah lindungan Kaabah (DLK)' dan 'Apocalypto (dah tengok sebelum ini).' Kedua-dua filem memang berjaya membuatkan perasaan saya sebak. Kisah cinta sepasang anak muda yang terhalang. Dan Apocalypto ialah kisah pribumi yang tinggal aman damai tetapi telah diceroboh oleh kaum lain. Sungguh pilu melihatkan kekejaman puak lawan yang telah 'menghancurleburkan' satu populasi...Adrenalin sentiasa memercik melihat bagaimana watak utama sedaya upaya menyelamatkan diri daripada buruan musuh... dan babak yang paling saya tidak dapat menahan sebak ialah ketika siisteri melahirkan anaknya di dalam perigi yang berisi air...


Saya juga menjalankan tugas saya di sekolah, bertugas atau membuat kelas dengan pelajar. Sebelum bercuti tempoh hari, saya telah berpakat dengan beberapa orang pelajar yang berminat untuk membuat bengkel penulisan. Terdapat beberapa orang pelajar sekolah saya yang berbakat. Saya menggabungkan ilmu daripada beberapa sifu saya sebelum ini (terima kasih Nisah Haron dan sifuku Pn Azmah).

Sekolah saya kecil sahaja, sekolah agama arab terletak agak terceruk di daerah Tumpat. Dan saya sangat bersyukur kerana terpilih untuk bertugas di sini. Peratusan PMR calon sekolah kami meningkat dan kami rasa macam tidak percaya (lebih kurang peningkatan 300%). Hermm... Allah memandang usaha kita, jika terasa tidak terdaya, cubalah terus berusaha, berjaya atau gagal serahkan kepada-Nya...

Alhamdulillah...

Thursday, December 01, 2011

Jom Memotivasikan Diri.


Cuti panjang. Bahagian inilah para guru berasa menang sedikit. Sekarang cuti sudah sampai minggu ke 2. Apa yang telah dibuat ya. Yang eloknya buat senarai sikit, sebab masa sekarang berjalan macam roket, rasa macam sekelip mata. Rasa baru sahaja menyambut sesi persekolahan 2011, sekarang sesi 2011 hampir berakhir.

Bagi diri saya pula, saya sedang mengikuti kursus dan sedang menfokus pada aktiviti penulisan di blog sastera yang dijayakan oleh Sifu kami iaitu Puan Azmah Nordin, penulis novel dan cerpen yang sudah menghasilkan lebih 50 buah novel. Sesiapa yang berminat bolehlah ke blog sastera azmahnordin.blogspot.com.

Pengisian kedua ialah bermuhasabah diri dengan mengikuti kuliah-kuliah agama sama ada berbentuk tulisan, video atau rakaman suara. Saya baru terjumpa blog Ustaz Pahrol Juoi dan tulisannya sungguh menyentuh hati. Terkini saya juga baru berjumpa satu blog yang diusahakan oleh Sdr Wazir yang merakamkan ceramah daripada pemotivasi terkenal tanah air masa kini iaitu Prof Dr. Muhaya bt. Muhammad. Terima kasih kepada IKIM yang kerap mengundang beliau untuk menyampaikan ceramah-ceramah yang begitu berkesan pada sanubari.

Saya bersyukur kehadrat Allah kerana intipati kuliah yang saya peroleh tepat pada masanya, bak si sakit mendapat vaksin. Itu semua adalah rahmat Allah juga.

Lain-lain? Huh. Mungkin perjalanan hidup saya sudah ditakdirkan dengan cabaran yang sengit. Tapi, seperti yang selalu diingatkan oleh penceramah/pengamal perubatan alternatif iaitu Us Sharhan, setiap penyakit pasti ada ubatnya, setiap masalah tentu ada penyelesaiannya. Justeru, jom mari kita memanfaatkan setiap masa yang ada dengan 'vaksin-vaksin', semoga segala penyakit, permasalahan akan terusir dan kita akan menjadi hamba-Nya yang boleh tenang, bahagia walaupun betapa banyak masalah yang meliliti badan kita.