Wednesday, December 05, 2007

Akta OKU di Parlimen Isnin

Oleh: WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

PETALING JAYA 4 Dis. – Akta Orang Kurang Upaya (OKU) yang akan dibentangkan buat pertama kalinya di Parlimen pada Isnin ini bakal membawa anjakan paradigma baru kepada negara.

Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, akta tersebut adalah tanda negara telah memasuki satu era baru yang mengiktiraf hak-hak OKU secara rasmi.

Kelulusan akta tersebut, menurutnya, bakal membuka mata semua pihak untuk memperjuangkan bukan setakat kebajikan tetapi juga keperluan dan hak OKU dalam pelbagai aspek pembangunan negara.

“Antara soal pokok akta tersebut ialah penghapusan diskriminasi OKU khususnya peluang pekerjaan, kemudahan dari segi reka bentuk bangunan dan kemudahan awam,” katanya.

Shahrizat berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis sambutan Hari Kurang Upaya Peringkat Kebangsaan ke-14 yang bertemakan Bersama Membangun Modal Insan OKU selaras dengan tema OKU antarabangsa iaitu Menyediakan Peluang Pekerjaan Sesuai kepada OKU di sini hari ini.

Melalui akta tersebut juga, tambah beliau, kementeriannya melaksanakan satu evolusi kebajikan termasuk dengan menggubal Dasar OKU dan Pelan Tindakan OKU yang melibatkan pendekatan pelbagai sektor dan disiplin.

Shahrizat juga yakin bahawa evolusi OKU bakal menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada golongan OKU dengan ahli masyarakat yang lain.

“Ia turut membolehkan tindakan yang lebih teratur dan bersepadu dapat diambil dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan kemahiran OKU,” katanya.

Justeru, beliau mahu semua pihak termasuk swasta bekerjasama menjayakan usaha mewujudkan Malaysia sebagai negara mesra OKU bertaraf dunia dan seterusnya melayakkan Malaysia digelar negara maju.

Tambah beliau, kementeriannya juga telah menghantar memorandum kepada Kabinet bagi menuntut supaya semua pengangkutan awam menyediakan prasarana mesra OKU.

“Kami juga menuntut agar pihak berkuasa tempatan tidak meluluskan sebarang projek bangunan atau perumahan yang tidak menyediakan prasarana OKU yang sewajarnya,” ujarnya.

Pada majlis tersebut juga, Shahrizat turut menyampaikan Anugerah Khas OKU Cemerlang serta beberapa anugerah kepada mereka yang memberi sumbangan dan menyediakan prasarana yang sesuai untuk golongan tersebut.

Anugerah Khas OKU Cemerlang diterima oleh Dr. Ng Chee Kyun, 32, yang merupakan pelajar cacat Cerebral Palsi (CP) pertama yang mendapat ijazah falsafah kedoktoran di Malaysia dan juga pemain bola paralimpik yang aktif.

Pemenang-pemenang lain pula ialah Vacuumschmelze (M) Sdn. Bhd. bagi kategori Anugerah Majikan Penyayang dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Perbikat, Bintulu bagi kategori Anugerah Pusat PDK Cemerlang manakala Anugerah Pekerja PDK Cemerlang pula dirangkul oleh Noraziah Mat Salleh dari Pusat PDK Tanah Merah, Kelantan.

Selain itu, Anugerah Pengiktirafan Bangunan dengan Kemudahan Akses bagi OKU, kategori kompleks membeli-belah dimenangi oleh arkitek Pusat Membeli-belah One Utama, CT Arkitek Sdn. Bhd.

No comments: