Sunday, July 30, 2006

Assalamualaikum,

Lama betul tidak mengupdate. Bukan sengaja. Saya pun masih kurang faham apa asbabnya, petir nyinggah lagi ke rumah kami. Kali ini kabel telefon pula disapanya (juga lampu). Syukurlah kami semua selamat. (Ini kes petir ke berapa sampai saya lupa).

BALIK KAMPUNG..
Kami sekeluarga balik ke kampung lagi. Kali ini suami saya ada urusan keluarganya. Semua adik-beradik suami berkumpul. Keluarga suami agak unik, kerana menghimpun pelbagai bangsa dan etnik, dari Siam, Melayu (saya), Eropah (Belanda) dan India. Adik ipar saya pernah bergurau dia suka orang Cina. Heh kalau jadi orang Cina nanti saya beritahu Majalah 3. Gambar-gambar saya ambil, tapi entah mengapa sekali lagi, blog ini asyik eror dan tidak dapat publish gambar. Anak-anak saudara saya pun cute-cute.

BENGKEL PENULISAN NOVEL DI JELEBU.
30 Julai 2006

Sebenarnya saya begitu segan untuk ke bengkel ini. Ada sebab tu..Tapi gerak hati saya begitu kuat menggalak saya pergi.

Ceramah pertama disampaikan oleh Puan Ainon Muhammad. Inilah kali pertama saya berkuliah dengannya, sebelum ini hanya baca blognya, www.universiti terbuka pts. Puan Ainon membawa sekali editor-editornya. Penerangan beliau begitu jelas, bersemangat dan menjadikan saya begitu teruja.

Kemudian, majlis diteruskan dengan forum. Ahli panel ialah sdr. Fahd Razzy, Sdri Syarifah Salha, cik Shikin (editor PTS). Fahd Razzi ialah pelajar perubatan yang sedang bercuti (Ireland). Fahd menang anugerah puisijuga menulis cerpen. Tadi saya membeli majalah Anis dan terjumpa cerpennya. Kelebihan Fahd ialah dia banyak merantau, memerhati, mencatat dan menterjemah emosi beliau dalam bait-bait puisi atau ayat. Cerpen dalam Anis tadi berkait dengan perubatan.

Sdri Sy. Salha pula banyak menulis cerpen. Baru setahun balik dari Mesir. Sangat aktif di samping menjadi guru.

Kemudian, penulis Prima, iaitu Puan Sarina Mohd Som memberi ucapan beliau. Tips tentang penulisan juga.

Seterusnya, Puan Norazah Aziz memberi panduan bagaimana menghasilkan manuskrip yang baik dan seterusnya menghantar ke penerbit. Puan Norazah ialah editor kanan Utusan. Sebenarnya saya dah bertemu beliau 3 atau 4 kali, itulah yang membuat saya segan sangat-sangat ni. Cabaran oh cabaran. Saya mesti buat sesuatu...!

Seronok betul berbual dengan penulis-penulis ni. Banyak idea yang dapat.Lebih seronok kerana kali ini orang kuat PTS datang, editor kanan Utusan dan wakil Prima hadir. Cuma saya tebalkan muka (jumpa Puan Norazah), juga Puan Nisah dan Puan Mahaya (mentor-mentor saya tu).

Saturday, July 01, 2006

Beberapa Perkara

i. Sayembara Menulis Puisi dan Cerpen - anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia(GAPENA).
Tema : "Pengguna Bijak, Peniaga Beretika, Negara Sejahtera"
Tarikh tutup : 15 Julai 2006

Dalam entri lepas saya hanya menulis secara ringkas kerana tidak berkesempatan menulis lebih terperinci. Panjang puisi antara 28 hingga 32 baris dan cerpen pula antara 2000 hingga 5000 patah perkataan.
Sebenarnya tema tu sama dengan moto Hari Pengguna 2005.
Alamatkan penyertaan anda kepada:

SAYEMBARA PENULISAN
PUISI DAN CERPEN KEPENGGUNAAN
Bahagian Hal Ehwal Pengguna
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
Dan Hal Ehwal Pengguna
Aras 4, Lot 2G3, Precint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62623 PUTRAJAYA

ok, selamat menulis.

ii. "Program 1000 pokok satu minit"
Sekolah kami telah mengadakan program tersebut untuk merealisasikan "sekolah dalam taman". Pihak pentadbir khususnya pengetua, AJK program bertungkus lumus mencari anak-anak pokok bunga, memeta lubang. Semua guru/staf, pelajar dilibatkan beserta pekerja untuk menggali lubang dan menanam pokok. Bomba dijemput untuk membunyikan siren permulaan dan penamat. Akhirnya sekolah kami sudah bertambah cantik dengan koleksi pokok bunganya.

iii. Hari Kantin dan Asrama terbuka.
Kedua-duanya adalah bersamaan dengan hari "Program 1000 Pokok Satu Minit", Ahad lepas. Ada 10 gerai kesemuanya termasuk gerai kelas saya, 5 Ibnu Sina. Meriah juga. Dapatlah mencungkil bakat pelajar dalam bidang keusahawanan.

iv. Sukan 3 Penjuru (Sabtu)
Dengan inisiatif ketiga-tiga sekolah iaitu SMKA Pedas, SMKA SHAMS dan SMAP Labu, telah diadakan sukan tiga penjuru yang melibatkan semua pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 6. Venue diadakan di tiga-tiga buah sekolah. SMKA SHAMS menang keseluruhan.

Kemudian, Rabu lepas diadakan kawad untuk ketiga-tiga sekolah tersebut. SMKA Pedas muncul juara keseluruhan.

Nanti akan diadakan kuiz 3 penjuru pula.

Rabu- saya telah mengepos penyertaan pelajar dalam acara pertandingan untuk Hari Pengguna Kebangsaan. Pelajar saya mengambil bahagian dalam menulis esei, melukis poster, melukis kartun dan membuat folio. Semoga ada yang berjaya nanti.

v. Jumaat 30 JulaiFuh lega sebab saya baru saja menyiapkan markah untuk tingkatan 4 bagi peperiksaan pertengahan tahun. Saya mengambil masa agak lama menanda kelas ini sebab inilah pertama kali saya mendapat pelajar yang ramai di dalam satu kelas. Saya harap saya dapat mengubah sikap saya supaya bersedia dengan situasi mereka. Undang-undang yang termaktub kelas hanya akan dipecah dua jika jumlah pelajar ialah 50 orang. Mereka berjumlah 42 orang. Saya mengajar 5 kelas dan kesemuanya melibatkan soalan esei...

Masih Jumaat - Perjumpaan 3 penjuru untuk kelas SPM dan PMR
Syukur kerana kali ini banyak juga ibu bapa/penjaga yang hadir untuk mengambil keputusan peperiksaan pertengahan tahun. Ada yang tinggal jauh, KL, K. Pilah dsb. Markah keseluruhan masih tidak membanggakan. Secara psikologi saya menyejukkan hati dengan mengatakan ini masih peperiksaan pertengahan tahun. Nanti peperiksaan percubaan sudah tiada kompromi. Pihak sekolah/kaunselor telah mengedarkan borang akujanji. Saya pula sebagai guru tingkatan akan mengatur beberapa strategik selepas ini supaya pelajar akan serius belajar nanti. Saya terharu melihat kesungguhan, pengorbanan ibu bapa terhadap kecemerlangan anak masing-masing. Insya Allah, kita sama-sama berusaha, Allah akan menolong kita nanti- Amin..

Sabtu - 1 Julai 2006 - Majlis Makan Malam Perdana Alumni - 10 tahun SMKA Pedas
Buat pertama kali majlis ini diadakan sempena 10 tahun usia penubuhan sekolah kami (1995-2006). Saya berada di sini sejak 1996. Wakil pelajar batch pertama, kedua hingga batch ke-8 berkumpul. VVIP, Pengerusi PIBG dll AJK PIBG, guru juga dijemput.
Banyak kegembiraan menjadi guru, selain cuti yang banyak, melihat kejayaan bekas pelajar adalah nikmat tidak terhingga. Banyak yang sudah bekerja, dah mendirikan rumah tangga. Kita mengajar mereka dari tingkatan 1, sekarang dah jadi 'dewasa' (eh rasa diri tua pula)

Awal tahun ini, semasa kami pelajar sarjana mengadakan seminar keusahawanan di UKM, saya telah bertemu dengan bekas pelajar saya semasa saya mengajar di SMKA al Irshad, Seberang Perai Utara yang telah bertugas sebagai pensyarah di KUIM. Kadang-kadang saya rasa diri saya teruk sangat kerana dari dulu hingga sekarang masih jadi cikgu (biasa/cabuk). Kawan sekelas ada yang dah bergelar profesor madya atau doktor... Anak murid pun dah berjaya masing-masing... Tapi, apa yang saya syukur sangat ialah ramai juga yang meneruskan perjuangan saya dalam bidang ekonomi dan seumpamanya. Harap ada yang akan menjadi usahawan berjaya nanti. Walau apa pun tingkat kita berada, plz do our best...

Wahai cikgu cikgu, walau apa pun tahap kita, kita didiklah anak bangsa kita sebaik-baiknya. Guru tadika, guru mengaji, guru sekolah rendah mahu pun guru sekolah menengah, pensyarah, semua kita adalah pembina bangsa. Jika "ilmu itu kuasa", kitalah yang orang yang dipertanggungjawabkan menjana anak bangsa kita agar mereka memartabatkan kuasa itu"

Thursday, June 22, 2006

Sayembara Penulisan Puisi dan Cerpen Kepenggunaan 2006

Jom menulis puisi dan cerpen.

Sila layari alamat berikut untuk keterangan lanjut:
www.kpdnhep.gov.my
Forum Remaja Sekolah Menengah Daerah Rembau 2006

Semalam, 21 Julai, saya telah mengiringi para pemforum SMKA Pedas ke SMK Jelai. Syukur alhamdulillah sekolah kami telah menang ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan iaitu juara keseluruhan, pengerusi terbaik (Mohd. Hazim), pemforum terbaik (Nor Farahain). Tahniah kepada para peserta, jentera penggerak, juga guru pembimbing iaitu Puan Rosiah Othman. Pasukan forum sekolah kami pernah ke peringkat kebangsaan di Labuan dan mendapat tempat ketiga kebangsaan. Peringkat negeri akan berlangsung di SMK Jelai pada 4 Julai nanti. Terima kasih kepada tuan rumah atas layanan baik kepada kami para tetamu. Kami juga sempat melawat PSS mereka yang menang tempat ketiga kebangsaan. Syabas!

Monday, June 19, 2006

Pertandingan sempena Hari Pengguna 2006

Beberapa pertandingan sempena Hari Pengguna 2006 sedang berlangsung dan tarikh tutupnya 30 Jun ini. Pertandingan ini dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan FOMCA.

Senarai Pertandingan ialah:
1. Pertandingan melukis poster (sekolah rendah/menengah)
2. Pertandingan menulis esei (sekolah rendah/menengah)
3. Pertandingan melukis kartun (sekolah menengah)
4. Pertandingan buku skrap/folio (sekolah menengah)
5. Pertandingan fotografi (18 tahun ke atas)
6. Pertandingan bahas (Siswa IPT)
7. Pertandingan mewarna (sekolah rendah)

Saya telah meuar-uarkan berita ini kepada pelajar saya dan nampaknya banyak yang berminat. Mereka baru lepas menjalani peperiksaan pertengahan tahun dan fikiran mereka agak lapang.

Untuk mengetahui perkara di atas dengan lebih terperinci, bolehlah layari laman web KPDN dan HEP atau FOMCA.

www.fomca.org.my/application form-06.pdf

Tuesday, June 13, 2006

Assalamualaikum,

Jumpa lagi setelah bercuti selama dua minggu. Sebagai guru perkara yang paling menyeronokkan ialah apabila tiba musim cuti. Haa, janganlah cemburu ya. Semasa hari persekolahan kami selalu pulang lewat. Mesyuarat, kursus, itu perkara biasa. Di rumah pun masih berfikir hal sekolah.

Awal-awal cuti kami menghadiri kursus profesionalisme di Hotel Sri Malaysia, Air Keroh selama 2 hari. Antara perkara yang masih diingati ialah tentang disiplin pelajar; bidang kuasa guru terhadap pelajar dsb. Satu ungkapan yang perlu dipegang oleh guru jikapun mereka geram kepada pelajar ialah "pelajar ialah insan yang masih belum matang" Cubalah pujuk memujuk. Psikologi...

Pada minggu kedua saya berpeluang pulang ke kampung saya, Kg Pasir Pekan yang terletak antara Kota Bharu dengan Wakaf Bharu (berhampiran Sg Kelantan). Syukur walaupun pulang beberapa hari cuma, saya sempat melakukan beberapa perkara; pulang bertemu ibu yang sudah uzur, sempat menziarah besan kepada ibu yang begitu uzur, juga ke majlis kenduri bapa saudara,serta ke rumah kakak yang baru berpindah ke rumah barunya. Saya juga sempat merayau-rayau di bandar KB dan Pengkalan Kubor. Sebagai seorang guru ekonomi, saya sering memberi contoh negeri saya yang pesat pembangunan iktisadnya kepada pelajar saya di sini.

Yang paling suspens ialah saya telah ke rumah kawan lama saya yang tinggal tidak jauh daripada rumah saya. Kawan saya ni mengalami penyakit gangguan mental. Setiap kali saya lewat rumahnya saya memang teringatkannya. Tapi, kebimbangan mengatasi segalanya. Pernah semasa saya tinggal di kampung dan melahirkan anak pertama dahulu, kawan saya telah menolak ibu saya. Perkara itu menjadikan saya fobia.

Saya terkilan juga sebab perhubungan kami tergantung begitu sahaja sedangkan kami dahulu teman rapat. Banyak kenangan manis semasa kecil yang kami tempuhi bersama. Dia cergas dan pintar semasa di alam persekolahan.

Namun takdir Tuhan tiada siapa yang dapat mengagak...

Keluarganya telah membina sebuah rumah kecil untuknya. Dia sering berendoi di buaian berhampiran pagar rumahnya. Suatu hari, selepas ke rumah kakak saya, saya memberanikan diri singgah ke rumahnya, dengan menyebut asma Allah dalam hati. Saya memberi salam dan menghulur tangan. Saya perkenalkan diri dan bertanya adakah dia masih ingat saya. Katanya 'ya'. Saya hulurkan maruku. Dia mengambilnya dan menyambung berendoinya sambil memakan maruku yang saya bawa. Mukanya nihil perasaan.

Hari lainnya jika saya nampak dia di buaian saya akan singgah. Pagar rumahnya sentiasa berkunci dan bahagian atas pagar di pasang kawat berduri.

Saya terkilan sebab saya tidak punya kemahiran berkomunikasi. Bayangkan jika kita berada di tempatnya. Siapa yang sudi mengambil berat dan berbual-bual dengannya? Ibu dan bapanya meninggal semasa dia masih di bangku sekolah. Dia jatuh sakit semasa saya bersekolah di sekolah berasrama penuh di Kelang (KIK). Sebelum dia sakit dia ada menghantar kad raya kepada saya. Saya pula asyik merantau sehingga sekarang dan balik sekali sekala sahaja ke kampung.

Fikiran kita terutama orang-orang Melayu begitu prejudis pada insan senasib kawan saya tadi. Memang wajar jika di sekolah atau di IPT dimasukkan satu subjek atau topik komunikasi. Sukatan pelajaran di Malaysia terlalu mementingkan akademik dan peperiksaan, menjadikan kita mementingkan diri sendiri, bagai enau di dalam belukar. Kita tidak hendak memikirkan nasib pokok-pokok di sekeliling kita, asalkan kita mendapat cahaya, cukuplah...

Bayangkan jika kitalah 'kawan saya itu' atau dia ahli keluarga kita...

Thursday, June 01, 2006

Antara minat saya ialah membaca dan menikmati penulisan. Beberapa tahun belakangan ini, saya cuba-cuba menulis. Saya rasa begitu ketinggalan kerana sebelum ini saya jarang membaca penulisan kreatif, menjadikan minda saya agak kaku.

Tahun ini, sempena Hari Guru, saya mencuba nasib saya menyertai pertandingan menulis cerpen. Saya memilih tema 'inovasi dalam pendidikan'. Jenuh saya mempromosi pelajar saya supaya menyertai pertandingan itu sama, akhirnya hanya seorang yang menghantar karya kepada saya. Dalam kesibukan di sekolah, mengikuti kuliah di UKM, saya menulis cerpen tersebut selama 4 hari. Saya memuat turun info tentang ICT daripada internet. Setelah sudah, saya mengunjukkan cerpen saya kepada ketua bidang saya untuk diedit (Cikgu Nafizah) sebab dia pernah mengikuti kuliah kesusasteraan dengan Prof Shahnon Ahmad di USM. Saya mengikut katanya dan mengambil masa 2 hari lagi untuk membaiki cerpen saya. Hari Jumaat tersebut, saya ingat lagi, ada satu majlis di dewan An Nur, P & P ditangguhkan, saya membuat sentuhan terakhir pada cerpen tersebut dan mencetaknya, kemudian membinding. Kepala sudah berdenyut-denyut. Pukul 3 nanti saya ada kuliah PPBK di UKM. Sebelum ke UKM saya menyerahkan manuskrip saya di JPNS.

Pada 16 Mei lepas, saya menerima sms tahniah daripada kenalan saya, pegawai PPD Tampin/Rembau (En. Rozi). Cerpen saya menang anugerah sagu hati kebangsaan. Saya kemudiannya dijemput ke majlis makan malam sempena Hari Guru peringkat negeri yang berlangsung di Sek. Integrasi Jempol (SBP). Saya mendapat sijil dan plak. Menjelang tengah hari tadi, pegawai JPNS unit kokurikulum yang baru iaitu En. Kamaruzzaman telah menyerahkan kepada saya baucer dan sijil daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (tandatangan Dato' Dr. Haji Ahamad bin Sipon, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia lagi) Katanya, tahun depan tulis lagi. Insya-Allah.(Berapa? cukuplah jika saya katakan jumlah tersebut akan membuatkan ramai teruja untuk menyertai pertandingan sebegitu nanti).
Selepas itu saya telah dihantar berkursus untuk ICT iaitu kursus Prestariang. Kami didedahkan secara intensif, teori dan praktikal tentang ICT selama 2 minggu. Biarpun hadiah tersebut cuma hadiah sagu hati, tapi bagi saya hadiah tersebut merupakan pengiktirafan yang sangat besar kepada saya. Kejayaan yang besar pernah dicapai manusia bermula daripada langkah pertama.

Insya-Allah saya akan membimbing pelajar saya dalam bidang penulisan. Setakat ini saya ada 2 pelajar yang akan diberi bimbingan secara peribadi dan seorang melalui maya. Saya tahu saya bukanlah sesiapa dalam bidang penulisan. Tapi sebelum ini saya pernah mengikuti beberapa kursus penulisan anjuran PEN dan Utusan. Saya juga galak melayari blog atau laman sesawang tentang penulisan. Saya cuma mengamalkan konsep perkongsian ilmu, yang sedikit dikongsi bersama. Saya tidak berani untuk membimbing lebih ramai sebab projek sarjana saya masih belum selesai. Tambahan pula saya ada sekelas pelajar yang perlu saya tekuni untuk menghadapi SPM nanti. Saya guru kelas mereka dan saya juga cuba menjadi motivator kepada mereka. Kalau perlu, saya menghubungi keluarga mereka untuk berbincang. Bulan lepas kami telah mengadakan kem motivasi di Port Dickson. Memang saya nampak mereka inginkan perubahan prestasi. Dalam satu slot, masing-masing mengalirkan air mata keinsafan (termasuk cikgunya sekali). Saya cuba merakamkan foto semasa di kem tersebut dalam 'window movie maker'. 4 kelas lain tidak kurang pentingnya dan perlu komitmen yang tinggi juga.

Minat menulis saya ini timbul hampir lebih kurang sama dengan tarikh saya mendaftar sarjana di UKM. Saya cuba mengejar dua-dua (3 termasuk sekolah, keluarga lagi). Saya rasa agak sedih kerana tidak dapat menjadi penulis yang produktif. Dua tahun lepas saya ada juga menghantar cerpen untuk pertandingan serupa, hanya mendapat sagu hati negeri. Apa-apalah, yang penting minat saya dalam bidang ini semakin mekar.

Tahun ini 3 daripada anak saya akan menghadapi peperiksaan besar; SPM, PMR dan UPSR. Syukur ketiga-tiganya terpilih untuk bimbingan khusus sekolah masing-masing (program gemilang). Saya cuba mendidik pelajar saya dengan ikhlas, tidak mengharapkan hasil daripada usaha saya. Tapi Allah Maha Pemberi, guru-guru kepada anak-anak saya memberi perhatian istimewa kepada anak-anak saya! Syukur alhamdulillah. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah membantu kami sekeluarga!

Wednesday, May 31, 2006

Assalamualaikum,

Ketemu sekali lagi setelah penulisan saya sebelum ini terhenti. Semoga blog atau laman sesawang yang banyak ini boleh dijadikan sebagai wadah kita dalam menimba ilmu, bertukar-tukar pandangan dalam dunia tanpa sempadan ini.

Sekarang cuti pertengahan tahun sudah bermula. Kepada para calon yang bakal menduduki UPSR, PMR, SPM dan STPM akan menggunakan sebaik-baik cuti ini untuk mengulangkaji pelajaran.

Kepada para guru, nampaknya cuti ini kita masih bekerja walaupun kita di rumah. Ada yang kena berkursus, menanda kertas Pep. Pertengahan Tahun dan pelbagai kerja sekolah yang kita bawa balik. Apa yang hendak dikesahkan? Kita baru menyanyikan lagu keramat kita pada Hari Guru lepas dan teruskan usaha kita mendidik anak bangsa kita, kerana mereka ialah harapan kita semua.