Antara minat saya ialah membaca dan menikmati penulisan. Beberapa tahun belakangan ini, saya cuba-cuba menulis. Saya rasa begitu ketinggalan kerana sebelum ini saya jarang membaca penulisan kreatif, menjadikan minda saya agak kaku.
Tahun ini, sempena Hari Guru, saya mencuba nasib saya menyertai pertandingan menulis cerpen. Saya memilih tema 'inovasi dalam pendidikan'. Jenuh saya mempromosi pelajar saya supaya menyertai pertandingan itu sama, akhirnya hanya seorang yang menghantar karya kepada saya. Dalam kesibukan di sekolah, mengikuti kuliah di UKM, saya menulis cerpen tersebut selama 4 hari. Saya memuat turun info tentang ICT daripada internet. Setelah sudah, saya mengunjukkan cerpen saya kepada ketua bidang saya untuk diedit (Cikgu Nafizah) sebab dia pernah mengikuti kuliah kesusasteraan dengan Prof Shahnon Ahmad di USM. Saya mengikut katanya dan mengambil masa 2 hari lagi untuk membaiki cerpen saya. Hari Jumaat tersebut, saya ingat lagi, ada satu majlis di dewan An Nur, P & P ditangguhkan, saya membuat sentuhan terakhir pada cerpen tersebut dan mencetaknya, kemudian membinding. Kepala sudah berdenyut-denyut. Pukul 3 nanti saya ada kuliah PPBK di UKM. Sebelum ke UKM saya menyerahkan manuskrip saya di JPNS.
Pada 16 Mei lepas, saya menerima sms tahniah daripada kenalan saya, pegawai PPD Tampin/Rembau (En. Rozi). Cerpen saya menang anugerah sagu hati kebangsaan. Saya kemudiannya dijemput ke majlis makan malam sempena Hari Guru peringkat negeri yang berlangsung di Sek. Integrasi Jempol (SBP). Saya mendapat sijil dan plak. Menjelang tengah hari tadi, pegawai JPNS unit kokurikulum yang baru iaitu En. Kamaruzzaman telah menyerahkan kepada saya baucer dan sijil daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (tandatangan Dato' Dr. Haji Ahamad bin Sipon, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia lagi) Katanya, tahun depan tulis lagi. Insya-Allah.(Berapa? cukuplah jika saya katakan jumlah tersebut akan membuatkan ramai teruja untuk menyertai pertandingan sebegitu nanti).
Selepas itu saya telah dihantar berkursus untuk ICT iaitu kursus Prestariang. Kami didedahkan secara intensif, teori dan praktikal tentang ICT selama 2 minggu. Biarpun hadiah tersebut cuma hadiah sagu hati, tapi bagi saya hadiah tersebut merupakan pengiktirafan yang sangat besar kepada saya. Kejayaan yang besar pernah dicapai manusia bermula daripada langkah pertama.
Insya-Allah saya akan membimbing pelajar saya dalam bidang penulisan. Setakat ini saya ada 2 pelajar yang akan diberi bimbingan secara peribadi dan seorang melalui maya. Saya tahu saya bukanlah sesiapa dalam bidang penulisan. Tapi sebelum ini saya pernah mengikuti beberapa kursus penulisan anjuran PEN dan Utusan. Saya juga galak melayari blog atau laman sesawang tentang penulisan. Saya cuma mengamalkan konsep perkongsian ilmu, yang sedikit dikongsi bersama. Saya tidak berani untuk membimbing lebih ramai sebab projek sarjana saya masih belum selesai. Tambahan pula saya ada sekelas pelajar yang perlu saya tekuni untuk menghadapi SPM nanti. Saya guru kelas mereka dan saya juga cuba menjadi motivator kepada mereka. Kalau perlu, saya menghubungi keluarga mereka untuk berbincang. Bulan lepas kami telah mengadakan kem motivasi di Port Dickson. Memang saya nampak mereka inginkan perubahan prestasi. Dalam satu slot, masing-masing mengalirkan air mata keinsafan (termasuk cikgunya sekali). Saya cuba merakamkan foto semasa di kem tersebut dalam 'window movie maker'. 4 kelas lain tidak kurang pentingnya dan perlu komitmen yang tinggi juga.
Minat menulis saya ini timbul hampir lebih kurang sama dengan tarikh saya mendaftar sarjana di UKM. Saya cuba mengejar dua-dua (3 termasuk sekolah, keluarga lagi). Saya rasa agak sedih kerana tidak dapat menjadi penulis yang produktif. Dua tahun lepas saya ada juga menghantar cerpen untuk pertandingan serupa, hanya mendapat sagu hati negeri. Apa-apalah, yang penting minat saya dalam bidang ini semakin mekar.
Tahun ini 3 daripada anak saya akan menghadapi peperiksaan besar; SPM, PMR dan UPSR. Syukur ketiga-tiganya terpilih untuk bimbingan khusus sekolah masing-masing (program gemilang). Saya cuba mendidik pelajar saya dengan ikhlas, tidak mengharapkan hasil daripada usaha saya. Tapi Allah Maha Pemberi, guru-guru kepada anak-anak saya memberi perhatian istimewa kepada anak-anak saya! Syukur alhamdulillah. Terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah membantu kami sekeluarga!
2 comments:
tahniah; saya gembira anda telah melangkah setapak kedepan untuk kemajuan. iklhas dari agronaz.blogspost.com
Tahniah, anda telah maju setapak kedepan.Untuk menulis perlu banyak membaca dan bekalkan diri anda buku kecil bersaiz poket untuk ingatan kerana idea yang datang itu bagaikan air-hendaklah disimpan dan ditakungi, kalau tidak akan hilang. Blog saya yang lagi satu lagi kemudian.
Post a Comment