Monday, May 05, 2008

Catu punca beras kurang

Bernas hadkan import kerana harga naik tiga kali ganda di pasaran asing

KUALA LUMPUR: Tindakan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) mengurangkan import hampir 40 peratus dalam tempoh empat bulan lalu ekoran kenaikan di pasaran antarabangsa, dipercayai punca utama masalah bekalan beras di pasaran tempatan.

Keadaan bertambah buruk apabila syarikat pengimport tunggal beras itu juga dikatakan mencatu bekalan kepada pemborong bagi mencapai sasaran bekalan beras dalam Stok Penimbal Kebangsaan untuk tiga bulan seperti ditetapkan kerajaan.


Sumber industri berkata, sejak Januari hingga bulan lalu Bernas hanya mengimport kira-kira 300,000 tan beras, berbanding keperluan ideal sekurang-kurangnya 500,000 tan untuk memenuhi permintaan semasa pengguna.


Menurutnya, peningkatan harga beras sehingga tiga kali ganda di pasaran asing seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar ketika ini mendorong Bernas mengurangkan import sumber makanan itu.

"Bernas sepatutnya merangka dengan terperinci jadual pengimportan beras dan mengambil kira keperluan pengguna tempatan berasaskan statistik kegunaan beras di pasaran negara yang mencecah 183,000 tan sebulan.

"Bernas sepatutnya menstabilkan bekalan beras dalam negara, tetapi tindakan syarikat itu bukan saja menyebabkan bekalan beras berkurangan, malah pemborong turut menaikkan harga di pasaran," katanya kepada Berita Harian.

Krisis makanan dunia terutama beras, dilaporkan semakin meruncing berikutan peningkatan harga beras global secara mendadak antara 10 hingga 30 peratus sejak beberapa minggu lalu.

Antara lain, ia berpunca kenaikan hampir 150 peratus harga beras di negara pengeluar utama seperti Vietnam dan Thailand berikutan beberapa faktor termasuk cuaca buruk, kadar pengeluaran padi tidak meningkat, dunia beralih kepada beras sebagai makanan ruji manakala bijirin seperti soya, jagung dan gandum dialih guna untuk pengeluaran biofuel.

Daripada 420.6 juta tan pengeluaran beras dunia pada 2007, 32 peratus dikeluarkan Thailand, diikuti Vietnam yang menguasai 15 peratus pasaran, Amerika Syarikat (13 peratus), India (11 peratus) dan China (empat peratus).

Sehingga 16 April lalu, gred beras yang paling mendapat permintaan tinggi dunia ialah beras putih Vietnam iaitu sebanyak lima peratus dengan harganya mencecah AS$850 (RM2,720) satu tan, naik 141.5 peratus berbanding AS$352 (RM1,126) pada 2007.

Harga beras putih Thailand pula meningkat 142.6 peratus menjadi AS$900 (RM2,880) daripada AS$371 (RM1,187) tahun lalu. Beras wangi dan beras pulut Thailand serta beras basmathi pula, masing-masing mengalami kenaikan 81.4 peratus, 34.3 peratus dan 38.3 peratus di pasaran dunia.

Sumber itu berkata, setakat ini pengeluaran beras tempatan mencecah 1.12 juta tan setahun, manakala kegunaannya dianggarkan sehingga 2.3 juta tan untuk tempoh yang sama.

"Angka itu jelas menunjukkan pengeluaran beras tempatan tidak cukup untuk menampung keperluan semasa dan jika perjanjian jangka panjang dengan negara pengeksport beras sudah dilaksanakan lebih awal, tentunya keadaan seperti sekarang tidak berlaku," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka pengeluaran beras negara mencapai 1.535 juta tan tahun ini, berbanding 1.527 juta tan tahun lalu, tetapi ia hanya mampu menampung 73 peratus keperluan beras tempatan, manakala 27 peratus atau 640,000 tan lagi diimport.

Kekurangan pengeluaran beras tempatan menyebabkan negara terpaksa membelanjakan RM1.013 bilion setahun untuk mengimportnya.

Sumber itu juga berkata, kekurangan bekalan di pasaran tempatan ketika ini semakin teruk berikutan kegiatan penyeludupan beras ke negara jiran. Pemantauan mendapati harga beras putih di Thailand mencecah RM4 sekilogram (kg), manakala di Singapura sehingga RM5 setiap kg.

"Setakat ini, tidak ada kegiatan menyorok beras, tetapi kegiatan penyeludupan memburukkan lagi keadaan," katanya.

Sementara itu, sumber dalaman Bernas mengakui syarikat itu mengurangkan import beras berikutan harga pasaran global yang semakin tinggi, sedangkan harga kepada pemborong lebih rendah berbanding kos import.

Beliau berkata, ketika ini tumpuan khusus diberi untuk memenuhi Stok Penimbal Kebangsaan yang setakat ini sudah mencapai 85 peratus.

"Mengikut perkiraan, 92,000 tan diperlukan untuk tempoh dua minggu dan keseluruhannya kira-kira 550,000 tan beras cukup untuk menampung keperluan dalam masa tiga bulan," katanya.

Beliau meminta Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna supaya lebih kerap menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pemborong dan peruncit tidak sewenang-wenang menaikkan harga beras kerana kadar yang ditetapkan Bernas kekal.

INFO: Bernas

  • Berperanan mengawasi perkembangan industri padi dan beras negara.
  • Mewakili pihak kerajaan dalam pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani, mengurus Skim Pengilangan Padi Bumiputera, membeli padi daripada petani pada harga minimum terjamin dan bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani.
  • Bertanggungjawab memastikan penyediaan bekalan beras yang berterusan dengan harga yang berpatutan kepada rakyat Malaysia.

No comments: