Wednesday, April 28, 2010

26.04.2010

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat juga saya menapak di bumi-Nya hingga ke tarikh ini.

Kami di Kelantan telah menghadapi hari-hari yang sangat panas sehinggakan saya yang mempunyai ketahanan dalam cuaca sebegini rasa gelisah walaupun pada waktu tengah malam. Terfikir bala Tuhan atas kami di bumi 'serambi Mekah ini'.

Namun, syukur, sehari menjelang tarikh 26.04. 2010, pemilik bumi ini telah mengirimkan air yang banyak kepada kami..syukur..moga ini petanda rahmat buat kami semua terutama saya yang menyambut ulangtahun kelahiran saya kali ini.

Mengimbau kembali pada tarikh tersebut, saya dan anak-anak telah ke Pesta Buku Kelantan yang bermula pada tarikh tersebut. Bagi pengunjung yang telah biasa ke Pesta Buku Kuala Lumpur, Pesta Buku Kelantan tersangat kecil dan tidak banyak barang atau buku di sini. Tetapi tak kisahlah, asalkan dekat dan ada banyak buku berhimpun pada satu tempat. Kali ini saya tidak bercadang memborong kerana koleksi buku yang ada pada saya masih belum habis berbaca. Cuma kali ini saya nak sangat mencari sebuah buku iaitu Lasykar Pelangi. Ini adalah kerana saya memikirkan isinya yang berkaitan dengan diri saya iaitu pendidikan di kawasan pedalaman. Semoga novel ini dapat menjadi sumber inspirasi untuk menghadapi pelajar di sekolah kampung yang 'serba kekurangan ini.' Namun, saya sangat bahagia dan bersyukur ditempatkan di sekolah ini dan berharap saya akan dapat melakukan sesuatu yang berfaedah kepada anak-anak didik saya.

Lain-lain novel ialah koleksi sifu saya,Puan Azmah Nordin iaitu 'Dari Dalam Cermin, Sitti Arianna dan Kewujudan Maya'. Meskipun itu buku lama garapan beliau, saya ingin mendalami gaya pemikiran sifu saya ini.

Bahan-bahan bacaan lain ialah yang sesuai dengan anak atau anak-anak didik saya.

Sebelah malamnya anak saya Maryam telah membelikan sebiji kek coklat dan toaster. Pada masa sekarang dia ada di rumah, bercuti. InsyaAllah dia akan sambung tahun dua di UKM, bidang perubatan sem nanti. Anak-anak yang lain ialah Zahid yang akan menyambung pelajarannya di ALAM, Batu Rakit semester terdekat dalam bidang Marine engineering. Syamil di SK Wakaf Bharu, tahun lima dan si kecil Danial. Yang tidak ada di rumah ialah Afiq yang sedang meneruskan studi di Subang dan Hajar yang sedang belajar di SMKA Lati, Pasir Mas.

Syukur kepada Allah atas segala limpahan nikmat dan kurnianya. Kesihatan saya semakin baik. Mata saya pun semakin ok. Kalau ada yang tak ok tu kira dah cukup baik berbanding dengan apa yang Allah kurniakan kepada saya yang tidak terhitung banyaknya.

Untuk tahun depan? Saya sekarang sedang mengusahakan 2 perkara besar. Pertama, saya merancang untuk membina rumah di sini. Sekarang sedang dalam proses melukis plan. Pada dasarnya rumah saya tu sungguh comel dan selesa untuk kami. Ala tropika kontemporari lagi. Sekarang tengah berfikir bajet agar saya akan lapang di kemudian hari. Menurut pengusaha rumah saya, kalau tidak ada aral, 8 bulan siaplah rumah ini. Orang yang paling gembira kalau rumah ini siap pastilah ibu saya. Sudah semestinya.. Ya saya mesti mengembirakan beliau yang sudah mencecah usia 82 tahun awal tahun ini. Projek kedua biarlah rahsia dulu. Oh..saya sedang berusaha agar kedua-dua impian saya itu dapat saya laksanakan dan menjadi hadiah tidak ternilai buat saya/kami menjelang ulang tahun saya yang akan datang..jadi, jom teruskan usaha!

6 comments:

aashaku said...

Selamat hari jadi k wan... semoga 2 impian tu menjadi kenyataan...

wan salmah said...

Asshaku,
saya pun tak pasti bagaimana komen aashaku tak masuk sini. dah cuba godek2 tapi tak keluar secara automatik.
Terima kasih atas ucapan itu, ya, semoga impian akak itu akan terlaksana..aminn..

Ummuafiq Hashim said...

Ulang tahun yg ke berapa ni?

siti zaleha said...

kak wan....download saja video laskar pelangi di youtube....cerita itu sgt meransang smgt sbg seorag guru...dan mmg best skali...

wan salmah said...

ummuafiq..
hihi..dah 47 tahun..syukur masih diizinkan menumpang lagi di bumi-Nya ini..

wan salmah said...

Leha, terima kasih atas cadangan itu..akak terus ke youtube tadi dan dah tonton dah..
bagus sungguh cerita tu, hidup, menyentuh jiwa..
kakwan nak cuba tontonkan kpd pelajar sempena hari guru ni..