Tuesday, December 28, 2010

Siapa Mahu Anak Saya?

Nekad beri anak dalam kandungan

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

SEMPIT...Shahrul bersama isteri, Aishah Ismail dan anak mereka di bilik tidur yang disewa di Kota Damansara.
SEMPIT...Shahrul bersama isteri, Aishah Ismail dan anak mereka di bilik tidur yang disewa di Kota Damansara.

KUALA LUMPUR: “Maafkan ayah nak...walaupun hati ayah berat untuk membuat keputusan ini, namun demi kebaikan masa depanmu, ayah terpaksa,” rintih seorang lelaki yang mahu menyerahkan anak dalam kandungan isterinya kepada keluarga lain atas alasan tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga.

Shahrul Rahman, 33, berkata dia nekad mengambil tindakan itu selepas mengalami masalah kewangan yang teruk dan tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib sama.


Katanya, kehidupannya bermula dengan baik selepas mengahwini isterinya, Aishah Ismail, 26, pada 2006 dan dikurniakan tiga anak berumur antara tiga tahun hingga enam bulan. Selain itu, katanya, dia mempunyai seorang anak tiri hasil perkahwinan isterinya dengan suami terdahulu yang kini berusia enam tahun dan tinggal bersamanya sejak berusia empat bulan.

Namun, episod sedih hidupnya bermula selepas perniagaannya sebagai pengendali makanan di kantin sekolah di Kedah mengalami kerugian.


“Hidup saya menjadi susah dengan bebanan hutang yang semakin bertambah. Saya meminjam daripada bank untuk memulihkan kembali perniagaan, namun tidak berhasil.


“Keadaan bertambah kusut apabila saya membuat pinjaman daripada ceti haram (along) untuk digunakan sebagai modal pusingan perniagaan, tapi segala-galanya tidak menjadi,” katanya ketika ditemui semalam.

Runsing memikirkan masalah dihadapi, Shahrul berkata, dia pernah cuba membunuh diri dengan menelan 60 ubat tidur dan minum cecair peluntur, namun digagalkan isterinya yang menyedari tindakannya itu.


“Tidak cukup dengan itu, saya juga pernah terdorong untuk menukar agama kerana terpengaruh seorang rakan yang hidup senang selepas berhijrah menganuti agama lain. Mujur saya masih ingatkan Allah. Jika tidak saya pun tak pasti apa akan berlaku,” katanya.

Shahrul berkata, kehidupannya tidak banyak berubah selepas itu dan pernah satu ketika dia sekeluarga mengisi perut dengan menjadikan ubi kayu yang ditanam di belakang kantin sekolah sebagai menu hidangan.


“Saya sedih dan tertekan apabila melihat anak-anak hanya minum air sejuk dan terpaksa mengharungi hidup yang sukar hanya kerana saya tidak mampu memberi kesenangan kepada mereka.


“Anak kedua dan ketiga tidak pernah minum susu seperti kanak-kanak lain. Saya hanya mampu memberikan air sejuk sebagai minuman. Mujur anak-anak tidak memilih sebaliknya makan dan minum apa yang diberikan,” katanya.


Menurutnya, anak keempatnya sudah diserahkan kepada seorang penjawat awam selepas dua hari dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, dan sebagai ganjaran, dia diberikan wang sagu hati RM2,000.


“Waktu itu hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya hati melihat anak yang tersayang berada dalam pangkuan orang lain, tapi apa boleh buat, hanya itu yang terdaya.


“Isteri saya juga seperti tertekan dan menerima hakikat kami terpaksa menyerahkan anak untuk dijaga keluarga lain,” katanya.


Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu, hanya mampu membawa keluarganya tinggal menumpang sebuah bilik di rumah rakannya di Kota Damansara.


“Setiap hari hidup isteri dan anak-anak terkurung dalam bilik itu. Di situ mereka main, tukar baju dan tidur. Ikutkan hati ingin saja saya mencari rumah sewa yang luas sedikit, tetapi saya tidak mampu. Gaji saya sebagai pengawal keselamatan hanya RM780 sebulan,” katanya.


Shahrul berkata, dia bertambah tidak keruan apabila mendapati isterinya mengandung lagi bulan lalu dan dia bimbang dengan nasib menimpa keluarganya akan menjejaskan kehidupan anak yang bakal lahir nanti.


“Isteri berkali-kali mendesak saya supaya digugurkan saja kandungannya itu, tapi saya tidak tergamak untuk melakukan sedemikian kerana anak tidak bersalah, tapi saya yang perlu membela nasib keluarga.


“Sebab itu saya buat keputusan untuk serahkan anak ini kepada keluarga yang mahu menjaganya. Saya juga mohon supaya keluarga barunya akan menjaga anak ini dari dalam kandungan lagi termasuk membiayai rawatan dan pemeriksaan sehingga dia lahir,” katanya.


Katanya, dia berharap anak yang bakal lahir akan selesa dengan kehidupannya bersama keluarga baru dan hubungan kekeluargaan mereka tidak akan terhenti di situ saja.


“Kepada keluarga baru yang akan mengambil anak ini, saya hanya mohon satu perkara iaitu jangan putuskan hubungan kekeluargaan kami. Saya reda dengan apa yang berlaku dan hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Friday, December 24, 2010

Lembam? Disleksia?

Menangkis stigma lembam




LEBIH 25 tahun lalu, ketika berada di sekolah rendah, Ar Sarly Adre Sarkum berdepan cabaran getir berbanding kanak-kanak seusianya. Di sekolah, dia dilabel sebagai pelajar lembam kerana kesukarannya membaca dengan lancar.

Bukan itu sahaja, disebabkan kekurangan itu, dia menjadi pelajar yang kurang digemari dan sering menjadi mangsa buli. Dia sering tertanya-tanya apakah kekurangan dirinya sehingga perlu berhadapan dengan situasi sedemikian sepanjang tempoh usia yang mentah itu.

Ketika menghadapi peperiksaan pula, Sarly mengakui terpaksa menghafal untuk lulus. Saat Sarly mengimbas kisah zaman sekolah rendahnya, dia cuma dapat membaca dengan lancar apabila berada dalam darjah dua.

“Waktu itu saya semakin menyedari kekurangan saya namun langsung tidak mengetahui puncanya. Maka disebabkan itu, saya berusaha dua kali ganda berbanding pelajar lain untuk cemerlang.

“Sekiranya pelajar lain mengulangkaji pelajaran selama dua jam, saya pula memerlukan sehingga empat jam kerana saya banyak menggunakan teknik menghafal untuk memahami subjek-subjek yang saya pelajari,” katanya.

Mengimbas kehidupan persekolahannya ketika berada di tahun lima di Sekolah Rendah Wellesley di Pulau Pinang, Sarly memberitahu dia perlu bersaing dengan pelajar Cina yang merupakan kaum majoriti di dalam kelas terbaik yang didudukinya.


SARLY bukan sahaja berjaya mengatasi masalah disleksia yang dihidapinya, bahkan melanjutkan pelajaran ke menara gading dalam bidang seni bina.


“Hasil kerja keras dan ketekunan mengulangkaji pelajaran, saya mendapat tempat kedua di dalam Penilaian Darjah Lima peringkat negeri.

“Pencapaian itu mendapat perhatian Kementerian Pendidikan yang kemudian menawarkan saya peluang menyambung pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK),” katanya yang kini berusia 34 tahun.

Keazaman untuk berjaya tidak pernah luntur dalam dirinya. Sejak di MCKK sehingga menyambung pengajian peringkat Sarjana Muda Seni Bina (B.A Architecture) di Universiti Liverpool, United Kingdom (UK), Sarly sentiasa optimis demi mencapai cita-citanya menjadi seorang arkitek.

“Perancangan asal saya untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di UK tersasar apabila saya diminta pulang ke Malaysia pada tahun 1998 apabila ayah saya disahkan menghidap barah otak.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga berjaya melalui saat getir itu dan ayah disahkan sihat selepas menjalani pembedahan. Sehingga kini, tanda pembedahan di dahi ayah sentiasa mengingatkan saya akan detik itu,” katanya yang menyambung pengajian yang tergendala di Universiti Sains Malaysia (USM).

Kepulangan Sarly ke tanah air tidak sia-sia. Dia bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, bahkan USM telah mempertemukannya dengan isteri, Noorhanisham Husin, 30, yang dikahwininya pada tahun 2002.

Hasil perkahwinan itu, Sarly dan Noorhanisham dikurniakan dua cahaya mata iaitu Irdina Sofea, 6, dan Muhamad Adam, 3.

Kehadiran cahaya mata Irdina Sofea rupa-rupanya membuka satu cerita baru dalam hidup Sarly kerana hanya selepas itu lelaki tersebut mengetahui kesukarannya memproses ilmu di sekolah dulu adalah kerana dia adalah penghidap disleksia.


KANAK-KANAK disleksia menghadapi masalah untuk mengenal huruf. - Gambar hiasan


“Saya hanya mengetahui saya menghidap disleksia selepas Irdina didiagnos penyakit sama.

“Bezanya, dahulu saya tidak mendapat rawatan yang sewajarnya tetapi anak saya kini mendapat kelebihan kerana dia mendapat rawatan serta pendidikan khas untuk kanak-kanak sepertinya,” ujar Sarly yang menghantar anaknya mendapat pendidikan khas di Pusat Disleksia Ampang, Kuala Lumpur.

Kerjaya arkitek

Sarly kini adalah arkitek dan Pengarah BDA Architects Sdn. Bhd. dan merupakan ahli termuda di dalam Pertubuhan Arkitek Malaysia. Dia juga merupakan sukarelawan untuk Yayasan Ar-Raudhah di Gombak.

“Sasaran saya dalam kerjaya ini adalah bagi menaikkan nama arkitek Malaysia di mata dunia. Agak mengecewakan ketika ini kerana negara lebih mengagungkan arkitek dari luar sedangkan arkitek Malaysia juga bertaraf antarabangsa.

“Saya berharap pada masa akan datang akan ada pertandingan dianjurkan supaya pemilihan arkitek untuk sesuatu projek berdasarkan pertandingan yang adil,” katanya.

Dalam pada itu, antara hasil rekaan seni bina pasukan Sarly yang dibangunkan ketika ini termasuklah inovasi bangunan baru kampus USM Pulau Pinang, kompleks stesen minyak Petronas Taman Tun Dr. Ismail, Monorail Pulau Pinang, pembangunan semula Lebuh Buckingham, Pulau Pinang dan Pusat Angkasa Negara di Banting Selangor.

“Saya tidak menjadikan kekurangan saya sebagai punca kegagalan tetapi ia menjadi aspirasi saya untuk berjaya dalam bidang yang saya ceburi,” katanya.

Disleksia

Disleksia berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘dyn’ bermakna susah dan ‘lexia’ bermakna tulisan, ia bukannya satu penyakit. Disleksia merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak iaitu membaca dan menulis walaupun mempunyai daya pemikiran yang normal.

Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa.


KELUARGA bahagia Sarly, (dari kanan) Adam, Noorhanisham dan Irdina Sofea.


Mereka yang mempunyai disleksia bukannya menghadapi kecacatan. Malah sebahagian daripada orang yang terkenal juga mempunyai disleksia.

Kanak-kanak yang mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan.

Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang mempunyai kelas khas disleksia atau mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kebajukan Masyarakat untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas.

Di Malaysia, kanak-kanak yang telah disahkan disleksia boleh mendaftar sebagai orang kurang upaya (OKU). Mereka mempunyai kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memperoleh bantuan RM150 sebulan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) kerana mengikuti kelas pemulihan di bawah seliaannya.

Friday, December 17, 2010

Ayat-ayat syifa', penenang jiwa.

Beberapa ayat/panduan sewaktu kesusahan/sakit:


Surah asy-Syu’ara’:

78. (iaitu Tuhan) Yang telah menciptakan aku, maka Dialah yang menunjuki aku,

79. dan Tuhanku, Yang Dia memberi makan dan minum kepadaku,

80.


80Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan Aku,

Lagi ayat-ayat syifa', lihat di sini.

Wednesday, December 15, 2010

10 Muharram (16.12.2010) - Jom Puasa

Pada entri sebelum ini, saya ada paparkan kelebihan bulan Muharram. Banyak Allah sediakan fadilat untuk kita umat Nabi Muhammad s.a.w yang umur tak berapa panjang ini untuk menggandakan amalan kita. Dan kemuncak amalan bulan ini adalah pada 10 Muharram, selain berpuasa, banyak lagi amalan sunat yang kita boleh lakukan.

Bukanlah kita berbuat sesuatu untuk mengumpul pahala sahaja, tetapi supaya Allah dan rasul-Nya nampak kesungguhan kita untuk meraih kasih sayang dan rahmat-Nya.

Daripada Zaharuddin.net:
Semoga kita semua mendapat kekuatan untuk berpuasa pada hari tasu'a dan asyura ( 9 dan 10 Muharram 1423 = Rabu & Khamis 15-16 Dismber 2010). Kalau tak mampu, puasalah 10 dan 11 Muharram. Jika tak mampu, puasalah 10 Muharram sahaja. Pahalanya, diampunkan dosa tahun lepas.


Buat semua yang kehilangan orang-orang tersayang. Bersabar sahajalah kerana dia adalah hanya pinjaman sementara daripada pemilik yang sebenar. Dia terlalu istimewa kerana itulah ditemukan kepada kita buat seketika. Untuk memberi kita kebahagiaan walau pun sekejap cuma.

Dia lebih berbahagia di sana...

(Dedikasi buat Siti Sarah 5.2.1997- 14.12.2007 dan Nurin Jazlin)

Tuesday, December 07, 2010

Amalan Bulan Muharram


Baca doa akhir tahun – Selepas waktu Asar hari terakhir bulan Zulhijjah (Allah akan ampunkan segala dosa-dosa yang lalu).

Baca doa awal tahun - Apabila masuk waktu Maghrib hari terakhir bulan Zulhijjah (Allah akan mengutuskan dua malaikat agar kita terpelihara dari melakukan maksiat).

1 – 10 Muharram adalah disunatkan berpuasa.

16 perkara yang sunat dilakukan pada hari yang ke 10 Muharram

1. Selepas waktu Asar hari yang ke 9 Muharram

Ambil satu bekas yang berisi air dan dibacakan surah Al-Fatihah sebanyak 7 kali (Ap abi la sampai bacaan kita pada ayat “Iyya kanak budu” kita berdoa di dalam hati tentang hajat kita – terutamanya untuk anak-anak. Kemudian air tersebut disapukan ke muka anak-anak ataupun diberi minum.

2. Puasa sunat pada hari 9 Muharram (Tasua’) dan 10 Muharram (Asaura). Pahalanya adalah seperti 10 ribu kali mengerjakan haji dan 10 ribu kali mengerjakan umrah.

3. Menyapu kepala anak yatim. Caranya ialah dari bahagian belakang kepala ke hadapan. Allah akan mengangkat darjat kita.

4. Memberi makan kepada orang yang berpuasa. Pahalanya adalah sama seperti memberi makan kepada semua umat Muhammad.

5. Mandi sunat. Allah akan menghilangkan penyakit-penyakit/jauhkan dari penyakit.

6. Menziarahi rumah orang alim.

7. Menziarahi orang sakit. Sama seperti kita menziarahi seluruh anak Adam

8. Melebihkan perbelanjaan dari hari biasa/Meluaskan nafkah keluarga.

9. Bercelak mata – Boleh menghindarkan dari sakit mata

10. Menziarahi kaum keluarga

11. Mengerat kuku

12. Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1 ribu kali. Allah akan memandang dengan belas kasihan.

13. Sembahyang sunat 4 rakaat – 2 salam (2 rakaat x 2). (Sahaja aku sembahyang sunat mutlak 2 rakaat kerana Allah Taala) Baca surah Al-Ikhlas 15 kali bagi 1 rakaat. Allah akan mengampunkan dosa 50 tahun yang lalu

14. Banyakkan bersedekah. Allah akan menggandakan pahala 1 kepada 700.

15. Beri makan/pakaian kepada fakir miskin. Allah akan beri balasan 70 kali ganda semasa di dalam syurga.

16. Berzikir (Hasbi Allahu wanikmalwakil, nikmal maula wanikmalnasir) sebanyak 70 kali

Sunday, December 05, 2010

Mencari Kabahagiaan Hakiki?

Semoga dapati meniti hari-hari mendatang dengan penuh kebahagiaan.


Kebahagiaan sejati adalah jika kita menjejaki jalan-jalan ke arah keredhaan Allah.

Tahun baharu datang lagi. Sebagaimana biasa menjelang tahun baharu kita akan membuat pelbagai senarai untuk kita capai. Dan target itu kebanyakannya untuk mendapatkan sesuatu yang kita hajati. Apa yang kita hajati tentulah yang membawa sesutu yang lebih baik untuk kita, kehidupan kita. Semua orang tahu itu. Dan, boleh dikatakan pokok pangkal semuanya ialah mencari kebahagiaan.. bahkan yang lebih tinggi lagi ialah mencari kebahagiaan hakiki.

Ya...banyak orang mentafsirkan erti bahagia. Bagi seorang gadis memiliki suami ialah kebahagiaan hakiki, dan sebaliknya, ibu bapa mendambakan kehadiran anak-anak. Seorang pentanding akan berusaha sedaya untuk menguasai arena dan menggondol juara. Seorang pengkaji rela ke dalam kawah gunung berapi untuk melihat sendiri fenomena sebenar gunung berapi. Dan begitulah, setiap orang akan sedaya upaya mengejar untuk menikmati kebahagiaan hakiki.

Tetapi, setelah sekian lama kita bergelar manusia, dapatkah kita memberi tafsiran sebenar akan kebahagiaan hakiki? Jika kita sudah memiliki apa-apa yang kita hajatkan selama ini, adakah kita berasa sudah cukup, sudah cukup bahagia, sudah puas hati? Secara jujurnya, sukar untuk kita mengatakan 'ya' 100 persen. Masih ada ruang yang kita rasakan kosong, lohong. Kita akan mencari dan mencari sehingga kadang-kadang kita tidak tahu apa sebenarnya yang kita mahukan.

Bagi Aristoltle kebahgiaan itu ialah seseorang itu dapat mempergunakan seluruh bakat dan kebolehan yang ada padanya. Apabila kita dapat memenuhi masa kita dengan perkara yang wajar maka itu adalah bahagia. Erti kebahagiaan tidak sama kepada semua orang. Bahagia dicapai mengikut kehendak masing-masing. Seorang pengarang yang karyanya dibaca dan dicerna oleh para pembaca itu adalah bahagia, seseorang dapat menanam dan melihat tanamannya bertunas mengeluarkan hasil itu bahagia. Seorang ibu dapat menyuap nasi kepada si anak pun itu bahagia.

Beberapa persepsi berkaitan kebahagian mengikut Islam;

· Seorang fakir akan mengatakan bahawa bahagia itu terletak pada kekayaan.

· Orang sakit pula akan mengatakan bahagia akan dirasai apabila dia sihat.

· Orang yang terjerumus ke lembah dosa akan mengatakan berhenti daripada melakukan dosa itulah kebahagiaan.

· Seorang karyawan akan merasa bahagia jika hasil karyanya diterima orang.

· Zaid bin Tsabit, penyair Rasulullah saw mengatakan jika pagi dan petang seseorang itu berjaya membebaskan diri dan dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa daripada gangguan manusia maka ia boleh dianggap seorang yang bahagia.

· Orang yang berpegang teguh kepada agama, kebahagiaan ialah meninggalkan perkara yang dilarang, mengikut yang disuruh, menjauhi yang jahat dan mendekati yang baik. Kebahagiaannya adalah mengerjakan suruhan agama semata-mata.

· Ibnu Khaldun pula berpendapat bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis ketentuan Allah dan berperikemanusiaan.

· Imam Al Ghazali berpendapat bahagia dan kelazatan sejati ialah apabila kita dapat mengingati Allah.

Kadangkala sesuatu yang dipandang bahagia oleh seseorang itu tidak begitu dipentingkan pihak lain. Oleh itu boleh dirumuskan kemahuan manusia yang tidak sama itulah yang menyebabkan kebahagiaan juga tidak dapat disamakan. Namun sesuatu yang boleh disepakati ialah bahagia merupakan suatu keadaan dimana seseorang itu merasa tenang, merasa tenteram, merasa tiada tekanan, merasa mulia, merasa harga diri, merasa dihargai dan bermacam-macam perasaan lain walaubagaimanapun keadaan sekalipun, susah, sempit, senang , kaya, sibuk, banyak kerja dan lain-lain. Justeru kebahagian adalah ukuran hati, kebahagian terletak dihati, kebahagian adalah perspektif hati. Oleh itu penting bagi hati untuk menanggapi sesuatu keadaan secara positif supaya hati menjadi tenang dan bahagia. Seterusnya tanggapan hati tetapi mestilah sesuai dan menepati tuntutan Syarak, melakukan segala kewajipan dan tuntutan agama serta meninggalkan segala larangan Allah. Oleh itu orang yang mencari ketenangan dan kebahagian dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang bukanlah mendapat kebahagian yang sebenar.

Firman Allah swt;

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ.

Maksudnya; Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya, Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna,Dan orang-orang yang menunaikan zakat, Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, Maka Sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu, Maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi, Orang-orang yang mewarisi syurga Firdaus dan mereka kekal didalamnya. (Surah Al Mukminun 1 – 11)

Sabda Rasulullah saw;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أربع من السعادة المرأة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء وأربع من الشقاوة الجار السوء والمرأة السوء والمسكن الضيق والمركب السوء

Maksudnya; Empat perkara sebab kebahagian, isteri yang solehah, rumah yang selesa, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa, dan empat perkara sebab merana, isteri yang jahat, jiran yang jahat, rumah tidak selesa dan kenderaan yang teruk.

من خير الناس ؟ قال : أتقاهم للرب ، وأوصلهم للرحم ، وآمرهم بالمعروف ، وأنهاهم عن المنكر.

Maksudnya; Siapakah manusia yang paling baik? Iaitu orang yang paling bertaqwa kepada Allah, Menghubungkan silaturahim, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

مَنْ خَيْرُ النَّاسِ ؟ قَالَ : أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ.

Maksudnya; Siapakah manusia yang paling baik? Iaitu orang yang paling berguna kepada orang lain.

Daripada nas-nas di atas dapat difahami bahawa;

  • Kebahagian yang hakiki itu ialah kebahagian di akhirat dengan mendapat keredhaan dan magfirah Allah swt seterusnya berada dalam nikmat syurga Allah swt.
  • Kebahagian yang hakiki itu ialah apabila kita merasa tenang dan bahagia dapat menundukkan hawa nafsu kita dan digantikan dengan keimanan dan ketaqwaan.
  • Kebahagian yang hakiki itu ialah kita merasa tenang dan bahagia apabila kita dapat menunaikan segala hak dan tanggungjawab kita samada kepada Allah mahupun sesama manusia.
  • Kebahagian yang hakiki itu ialah apabila perasaan cinta kepada Allah dan Rasulnya melebihi dari yang lain.
  • Kebahagian yang yang sebenar itu ialah apabila redha dengan ketetapan yang Allah berikan kepada kita.

Seorang penyair menyatakan;

ولست أرى السعادة جمع مال ولكن التقي هو السعيد

Maksudnya; Aku tidak melihat bahagia itu dengan mengumpulkan harta tetapi orang yang bertaqwa itu adalah orang yang bahagia.


kredit kepada:
maori-maori.blogspot.com

Saturday, December 04, 2010

Selamat Menyambut Awal Muharram

Buat yang lunas segala azam tahun ini, bolehlah bermula dengan azam baru. Buat yang belum selesai selesai azam lama, marilah kita sama-sama teruskan azam lama dan azam baru.. Kita boleh buat senarai semak apa-apa yang nak kita kerjakan, sama ada yang berkaitan diri, keluarga, kerjaya, alam sekitar dan seterusnyalah..

Semoga kita semakin baik dari tahun ke tahun dari semua segi..insyaAllah.

Di bawah terdapat doa Akhir dan awal tahun

Doa Akhir Tahun ini dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

Dan Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata

“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.


PS..Hrmm tahun baru ini saya ada azam yang sangat-sangat besarnya..Maklumlah umur dah 4 dekad (lebih sikit)...wohoh..

Doa sumber daripada www.islam.gov.my

Beberapa Ilmu Untuk Dikongsi

PETUA IMAM SYAFIE


Empat perkara menguatkan badan
1. Makan daging
2. Memakai haruman
3. Kerap mandi
4. Berpakaian dari kapas


Empat perkara melemahkan badan
1. Banyak berkelamin (bersetubuh)

2. Selalu cemas
3. Banyak minum air ketika makan
4. Banyak makan bahan yang masam


Empat perkara menajamkan Mata
1. Duduk mengadap kiblat
2. Bercelak sebelum tidur
3. Memandang yang hijau
4. Berpakaian bersih


Empat perkara merosakkan Mata
1. Memandang najis
2. Melihat orang dibunuh
3. Melihat kemaluan
4. Membelakangi kiblat


Empat perkara menajamkan fikiran
1. Tidak banyak berbual kosong
2. Rajin bersugi (gosok gigi)
3. Bercakap dengan orang soleh
4. Bergaul dengan para ulama

TIDUR PARA NABI
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit Dan Bumi.


TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH

Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat Malam.


TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA

Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak Dimakan.


TIDUR SYAITAN

Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.



SEORANG DOKTOR NEUROLOGI MENEMUI KEAJAIBAN ALLAH.....

Assalam Mu'alaikum Wbrth! Dan Salam Sejahtera! Sahabat2 semua yang Islam Dan juga yang Bukan Islam...

Bacalah Email ini dari sahabat yg menetap di US:


'Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut, sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran.
Dia adalah seorang Doktor Neurologi .
Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam Dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan 'Perubatan Melalui Al-Qur'an' ..
Kajian perubatan melalui Al-Qur'an membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Al-Qur'an. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) Dan sebagainya.
Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam,
Maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki oleh darah . Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal.
Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati Bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia mel ain kan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan Sembahyang!!!
Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk Beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam.......

Begitulah keagungan ciptaan Allah!!!
Tidak menunaikan sembahyang , akan otaknya tidak Akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal!!!
Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam 'sepenuhnya' kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini.'