Monday, October 30, 2006




Foto kami sekeluarga di puncak Lebuh raya Timur Barat.
Assalamualaikum, ketemu lagi selepas eidul fitri..

Hmm, sesajer nak menulis walaupun baru sampai, dan rumah macam tongkang pecah..hehe. Kerana hari-hari esok saya tidak pasti masihkah ada ruang waktu bagiku menukil sepatah dua kata di sini, memandangkan tugasan yang sedang berque itu. Lantas kuikutkan gerak hatiku untuk memetik aksara-aksara di laptopku mencatat beberapa perkisahan kami sekeluarga menyambut hari lebaran kali ini.

Kali ini, kami pulang ke kampung saya di Pasir Pekan pagi Sabtu lepas. Kami tidak boleh pulang lebih awal memandangkan rumah kami sedang dibuat penambahan ruang dapur yang proses pembinaannya tertunggak lebih kurang 3 tahun. Ini contoh kes kontraktor (kecil) yang melarikan diri sebelum kerja mereka selesai. Dapur comel kami siap pada malam sebelum kami bertolak.

Diringkaskan cerita, kami menunaikan solat hari raya di masjid Pasir Pekan yang terletak beberapa langkah saja daripada rumah. Bacaan dalam solat pun boleh didengar begitu jelas dari rumah. Banyak orang terharu mendengar takbir raya kali ini. Bukan kerana apa, kerana kampung kami telah terkena tempias sunnah vs wahabi. Dari kecil kami diajar berwirid selepas solat, ada qunut dalam solat subuh dll. Namun, lebih kurang 5 tahun belakangan ini, kebanyakan amalan itu telah ditinggalkan. Ini gara-gara imam 'baru' yang pulang dari menuntut di Pakistan. Juga sebelum itu kami telah mendapat imam yang didatangkan khas dari Arab Saudi untuk mengimamkan solat tarawih pada bulan puasa. Selepas itu banyak perkara berubah di kampung kami.

Penduduk kampung mula berpecah. Sedih kerana mereka bukan orang lain, ahli keluarga terdekat saya juga. Abang ipar saya yang sekarang berpencen (sebelum ini pernah menjadi pengetua IPDA) terpaksa membawa diri ke masjid-masjid lain. Abang ipar saya (saya namakan di sini sebagai Cikgu Lah), setelah pencen, beliau telah membangunkan Pasti baru memandangkan Pasti yang sedia ada sudah sempit, tidak ada ruang untuk kanak-kanak beriadah, di atas tanah wakaf keluarga kami. Tanah lapang di sebelah Pasti dijadikan padang bola untuk kanak-kanak atau remaja di situ mengisi masa lapang. Usaha-usaha begitu pun ada orang tidak senang hati, maklumlah abang ipar saya ini 'orang luar'. Sedih cukup sedih memikirkan bagaimana golongan agama pun boleh dipecahbelahkan dengan cara begini. Ada yang menulis surat kepada ustaz lama, lebih kurang begini kata-katanya; "ana takut jika apa yang ustaz buat ini adalah bidaah, bukan setakat menentang ana tetapi menentang agama kita".(!)

Saya pun belajar di sekolah agama juga dahulu. Di musolla kami, imam bersembahyang sama dengan imam bersembahyang di masjid kami. Saya begitu bersyukur kerana selama 4 tahun di KIK saya telah mengamalkan kehidupan beragama dengan begitu manis sekali. Kami juga ada belajar tentang al Quran, assunnah, qias, ijtima' ulamak dll. Imam-imam yang selama ini memimpin kami (di kampung) pun dikenali umum sebagai warak, menjaga kata-kata dan pandangan mata, berhati-hati dalam urusan agama, tetapi mengapakah dikatakan mereka ini pembawa bidaah?

Salahkah jika selepas sembahyang diadakan zikir dan wirid beramai-ramai, ada majlis ilmu? Atau, buat seperti imam baru itu, usai solat, terus bersurai, juga tanpa salam. Yang baik-baik tu mengambil Quran, baca atau beramal bersendirian. Tapi yang musykilnya mengapa ramai yang mengambil sudut-sudut masjid dan bersembang? Betulkah tindakan mereka menjadikan ahli qariah berpecah belah begini? Curiga mencurigai begini adakah benar? Bukankah dalam Islam mengkehendaki kita ini saling menghormati, saling menyayangi?

Tapi, segala puji bagi Allah, beberapa pihak termasuk abang ipar saya telah mengetengahkan hal ini (untuk kali sekian-sekian), dan keadaan di kampung kami telah diperbetulkan. Imam baru telah dilantik dan amalan-amalan berzikir, bertakbir dll telah prakrikkan balik. Takbir pagi raya itu terasa agung dan murni. Khutbah dibaca pun menyentuh isu perpaduan dalam kalangan umat Islam, menyeru supaya kita bersatu padu..

Raya kali ini pengunjung ke rumah kami tidaklah seramai tahun-tahun lepas kerana kebanyakan mereka akan ke rumah kami pada hari raya ke empat, sebab kami mengadakan kenduri aqiqah dan kesyukuran. Juga sambutan kurang meriah kerana taqwim hari raya agak hampir dengan peperiksaan akhir semester di kebanyakan IPT (juga SPM/STPM). Kami mengambil peluang mengunjungi rumah jiran, bapa-bapa saudara juga sahabat lama. Oh ya. Pada hari raya pertama, kawan lama saya yang saya pernah sentuh ceritanya suatu masa dulu yang mengalami masalah kesihatan mental, telah berkunjung ke rumah saya dengan abangnya. Ada antara tetamu (saudara mara saya juga) telah menghulurkan duit raya kepadanya. Saya lihat kawan saya itu begitu gembira, jadi saya pun berbuat demikian. Sungguh terharu dan menginsafkan. Saya juga menghulurkannya sebungkus kerepek "buat bekal makan di atas buaian" ujar saya. Dahulu saya pernah memeberinya maruku dan A terus memakannya sambil berbuai. Keesokannya dia masih memakan maruku tersebut sambil berbuai-buai...

Ada lagi perkara baru yang saya dapat hari raya ini. Saya perhatikan sepupu saya dan ahli keluarganya memakai sejenis tudung yang pada mata saya amat unik. Apa lagilah, saya membelek-beleknya dengan begitu asyik. Kain bawal itu dijahit tangan dengan beberapa jenis mata jahitan seperti kuku belalang, untuk tepi tudung. Bunganya ros kecil-kecil yang begitu halus buatannya. Corak daun, batangnya pun unik. Tudungnya sendiri jika dijual di butik dinilai lebih RM200. Sekuntum bunga, sehelai daun diadun sekurang-kurang dua ton warna..waduh waduh..jika saya ada masa, saya ingin menjahitnya. Kain bawal ini sukar dicari kecuali di Kota Bharu, pengimport tunggal. Kainnya pun lebih tebal, lerangnya pun lebih lebar tidak seperti kain bawal biasa yang agak nipis dan lerang 45 inci. Wah, satu lagi projek yang nak diquekan. Hehe "you must focust!" . Ukirkan ingatanmu itu kemas-kemas dan laksanakannya nanti. Senaraikan setiap tugasan, projek mengikut keberatan, dan buat satu satu nanti..FOKUS! Inilah yang saya tidak sabar menunggu detik pencen ni.

Diringkaskan cerita, kami bertolak dari KB selepas solat Jumaat dan selepas menjamah juadah kenduri. Masya Allah, lazatnya nasi minyak gulai kawah, daging kicap dll ni. Semua orang memujinya terutama kami yang duduk di perantauan ini.

Sudah lama kami tidak melalui lebuh raya ke utara, Jeli, Grik seterusnya ke Kedah dan Pulau Pinang. Banyak juga kenderaan di jalan raya. Suami memilih untuk memandu berhati-hati dan tidak laju. Kami sampai lebih kurang jam 11 malam di UiTM Permatang Pauh. Tinggallah anak sulung kami di situ yang akan menghadapi peperiksaan akhir semester minggu depan. Kami mencari rumah tumpangan di Bagan. Keesokannya kami ke Kepala Batas, Seberang Prai Utara, menuju ke tempat kami tinggal dahulu semasa bertugas di sini. Kami ke rumah bilal Masjid Kepada batas, Tuan Haji Ismail. Makcik Ani telah ditempatkan di wad dan menunggu untuk dibedah (kebarahan). Saya menghubungi Makcik melalui telefon dan belas sungguh kedengaran suaranya. Semoga makcik selamat dan sembuh kembali. Semasa di Kepala Batas daulu, kami telah menyewa rumah sewaan mereka dan mereka banyak membantu kami. Saya mengambil beberapa gambar anak saya Zahid bersama-sama Pakcik Ismail dan di hadapan rumah tersebut yang tertera nombor rumah 1011 kerana tarikh lahir Zahid ialah 10.11.1991.

Kemudian kami ke rumah bidan yang menyambut kelahiran Zahid. Syukur beliau masih sihat walaupun agak uzur. Sebelum kami berpindah ke Kepala Batas, kami tinggal di Serdang, Kedah. Suami saya mencari rumah sewa yang lebih hampir dengan tempat kerjanya,jadi, Kepala Bataslah tempatnya. Masa itu kandungan sayapun sudah hampir sarat. Saya diperkenalkan dengan bidan ini (Tok Moh). Ketika beliau 'memeriksa' kandungan saya, beliau bertanya, apa kata misi semasa perjumpaan kali terakhir? Menurutnya, kandungan saya songsang (sama dengan kata misi). Lalu makcik Moh berpeluh-peluh berusaha 'memusingkan' kandungan saya. Sebenarnya saya juga panik kerana itulah pertama kali saya bertemu beliau dan tidak tahu setakat mana skil mak bidan ini. Dalam hati saya tidak putus-putus berdoa agar segalanya selamat. Yang saya ingat ialah saya tidak rasa sakit apa-apa dalam proses pemusingan itu.

Semasa saya sakit bersalin (saya bersalin di rumah), Makcik Moh sudah besedia di sisi saya dari awal. Kesihan juga saya pada dia atas pengorbanan itu. Alhamdulillah segalanya selamat. Apabila saya kenang-kenangkan, sayapun tidak terfikir bagaimana semuanya berlaku begitu mudah. Jika saya bersalin di hospital sudah tentu saya dibedah. Saya perhatikan pada junior junior saya, di hospital, ada komplikasi sikit doktor suruh bedah. Induce itu perkara biasa. Syukurlah saya tidak melalui semua itu dan semua 6 anak saya dilahirkan cara normal dan 3 anak teratas dilahirkan di rumah. Di rumah, bidan melayan pesakit macam kelas mewah (extra kelas 1). Berbeza bersalin di hospital...kena tengking dengan misi itu perkara biasa! Mujurlah cikgu dilatih tidak membezakan pelanggan. Awak anak orang kayakah, anak orang miskinkah dilayan sama rata. Di hospital kelas 1 dilayan begitu istimewa, di kelas 3 dihulurnya kita roti yang nak keras itu dengan tangan saja tanpa lapik lapik. Dah lah kasi air teh, sayur kangkung...huaa.. Perkara itulah semuanya yang membuatkan saya serik...

Wah cerita dah melalut..sekarang dah tengah malam. Kena undur dirilah dulu. Besok kena berkemas dalam dan luar rumah. Kertas peperiksaan akhir tahun belum siap tanda ni, Isnin ni dah mula sekolah..huaa... (eh Taufik, cikgu masuk kelas nanti jangan minta kertas dulu tau, nanti cikgu kata siap baru cikgu bagi hehe)

Sekian, hingga ketemu lagi.

Thursday, October 19, 2006

4 PERKARA SEBELUM TIDUR (Tafsir Haqqi)

Rasulullah saw berpesan kepada Aisyah ra: "Ya Aisyah, janganlah engkau tidur sebelum melakukan 4 perkara, yaitu,
1. sebelum khatam al-Quran
2. sebelum membuat para nabi memberi syafaat di akhirat
3. sebelum para muslimin meredhai mu
4. sebelum melaksanakan haji dan umrah".

Bertanya Aisyah: "Ya Rasulullah, bagaimana mungkin aku dapat melakukan 4 perkara itu seketika?"

Rasulullah saw tersenyum dan bersabda, "Jika hendak masuk tidur
1. bacalah surat Al-Ikhlas 3 kali, ini seakan akan kamu mengkhatam Quran.
2. bersalawat untuk ku dan para nabi sebelum ku, maka kami akan memberi syafaat di hari akhirat
3. beristighfar untuk para muslimin maka mereka akan meredhai mu
4. perbanyakkan bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir maka seakan akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah".
Assalamualaikum, ketemu lagi.

Nampaknya tugasan yang saya nyatakan sebelum ini terpaksa diubahsuai, terpaksa proceed selepas raya. Sedih sedih juga tapi gembira gembira juga. Bahagia sebab saya boleh sambung balik perancangan awal saya. Namun masih sibuk, cuma rasa lebih bebas sebab ruang lingkupnya saya rasa saya boleh kuasai.

Cikgu-cikgu sekolah kebanyakannya sedang bertungkus lumus dengan peperiksaan akhir tahun. Cikgu kelas SPM/ STPM pula sedang sibuk dengan pecutan demi pecutan. Hmm, di sekolah kami sibuk menanda dan membuat program kecemerlangan SPM. Balik ke rumah pula sibuk dengan persiapan raya. Nampaknya saya hanya dapat menjahit sepasang seorang sahaja baju raya (anak-anak perempuan). Orang letak lis saya pun nak letak lis. Awak dah lama tak menjahit, terpaksa tetas beberapa jahitan baju untuk mengkaji bagaimana hendak menjahit lis. Ambil masa jugalah..tapi sekarang dah ok (ok cara saya la), insya Allah. Siap baju anak-anak kami bercadang nak buat biskut raya. Beli satu paket rasa macam biskut kedai sahaja. (hehe kot2 lepas ni borong biskut raya kat kedai juga..).

Kami bercadang hendak balik berhari raya Sabtu malam. Suami suka memandu malam kerana katanya boleh makan-makan dan cuaca tidak panas. Betul juga kata beliau memandangkan keadaan cuaca akhir-akhir ini agak panas. Rembau dengan Kota Bharu ambil masa lebih kurang 10 jam untuk sampai. Kadang-kadang rasa macam duduk dalam ketuhar bergerak. Apa boleh buat, perantaulah katakan. Tapi balik kampung sekali sekala ni memang seronok lebih-lebih lagi pulang untuk berhari raya.

Hmm cukuplah setakat ini dulu buat kali ini. Ada cerita baru sambung lagilah ya.

Kepada calon-calon SPM yang mengambil subjek Ekonomi Asas boleh dapatkan "nota" daripada saya. Emel saya dan Insya Allah saya send dalam attachment file. Nak masuk cikgu dot com untuk leteak nota belum pandai lagi. Hingga ketemu lagi, dengan pesanan, hiasi hari-hari terakhir ramadhan ini dengan amal soleh


wansalmah1594@yahoo.com

Tuesday, October 17, 2006

'AKU TANPA CINTA-MU'

Telah kumungkiri lagi
Walau seribu kali
Kuulang sendiri
Aku takkan tempuh lagi

Apakah Kau 'terima cintaku lagi'
Setelah 'kuberpaling'
'Dari pandangan-Mu'
Yang kabur kerna jahilnya aku

Mengapa cinta-Mu 'tak pernah hadir'
subur dalam jiwaku
Agar kutetap bahagia
Tanpa cintaku tetaplah Engkau di sana
Aku tanpa cinta-Mu
Bagai layang-layang terputus talinya..

'Masihkah ada sekelumit belas'
Mengemis kasih-Mu Tuhan
Untukku berpaut dan bersandar
Aku di sini kan tetap terus mencuba
Untuk beroleh cinta-Mu
Walau ranjaunya menusuk pedih..

Mirwana, Jay Jay.

Friday, October 13, 2006

Hmm. Beberapa perancangan yang dibuat sebelum ini terpaksa ditangguhkan dan digantikan dengan tugasan lain yang lebih penting. Getir jugalah sehari dua ni sehinggalah dua tiga minggu selepas raya.

Apa-apapun kami tetap balik berhari raya di kampung, Insya Allah. Kami akan balik sehari sebelum raya. Harap kami tidak mengalami kesesakan teruk nanti. Kami tidak dapat balik lebih awal sebab tugasan yang menimbun dan anak kedua saya akan menduduki SPM tak lama selepas hari raya.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa menjelang akhir-akhir ramadhan. Malam-malam qadr. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ramadhan yang dinanti-nantikan setahun sekali sudah begitu hampir meninggalkan kita...

Juga selamat menyambut hari raya kepada para pengunjung blog. Saya juga mengambil ruang di sini untuk memohon jutaan maaf atas segala salah dan silap saya, sama ada dari segi perbuatan atau lafaz, sama ada yang saya sedar atau tidak, sama ada ada yang disengajakan atau tidak. Harap anda boleh memaafkan saya. Tidak kira anda sahabat, kenalan, saudara mara atau pelajar mahu pun bekas pelajar saya. Insya Allah saya kembali semula ke Rembau pada raya kelima. Sudi-sudikan diri untuk berkunjung ke rumah kami yang tak seberapa ini..

selamat bertarawih..(dll)..

Wednesday, October 04, 2006

Muhyiddin nafi Melayu kuasai 45% ekonomi
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

MUAR 3 Okt. – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) menafikan kenyataan sebuah kumpulan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa orang Melayu kini sudah menguasai 45 peratus kekayaan ekonomi di negara ini.

Sambil menyifatkan laporan yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan bukan berbahasa Melayu semalam sebagai mengelirukan, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, orang Melayu hanya mencapai 18 peratus penguasaan ekonomi.

Jelas beliau lagi, peratusan itu tidak berganjak sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat pada 1990 iaitu kira-kira 16 tahun lalu, berbanding bukan bumiputera yang menunjukkan peningkatan.

‘‘Kenyataan yang dikeluarkan itu seolah-olah cuba menunjukkan bahawa orang Melayu di Malaysia sudah cukup kaya dan mendapat banyak kuasa ekonomi di negara ini.

‘‘Penyelidik NGO yang tidak perlu saya namakan itu memberikan contoh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC), yang kita sedia maklum ia adalah milik kerajaan dan bukannya orang Melayu kecuali Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang sememangnya ditubuhkan untuk membantu orang Melayu.

‘‘Ini satu kenyataan yang boleh mengelirukan kita kerana ketika ini kerajaan masih menjalankan usaha membantu bumiputera untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian bantuan Ramadan kepada masjid dan surau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak serta majlis berbuka puasa di Masjid Renchong, dekat sini malam tadi.

Muhyiddin menjelaskan, kenyataan seperti itu tidak berlandaskan formula penilaian yang khusus sama ada entiti, saham atau pemilikan harta.

Memandangkan laporan yang dibuat oleh kumpulan penyelidik itu telah dihantar kepada kerajaan maka, katanya, perkara tersebut perlu diperjelaskan semula oleh kerajaan atau agensi yang bertanggungjawab seperti Unit Perancang Ekonomi.

Beliau bimbang kenyataan sebegitu membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan bukan Melayu di negara ini kerana mereka boleh mempertikaikan sebarang usaha kerajaan untuk terus membantu orang Melayu.

‘‘Kenyataan ini harus disangkal malah saya menuntut supaya usaha kerajaan diteruskan kerana masih terdapat orang Melayu yang miskin dari segi penguasaan ekonomi, modal tidak cukup serta memiliki tanah yang tidak banyak,” kata beliau.