Wednesday, October 04, 2006

Muhyiddin nafi Melayu kuasai 45% ekonomi
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

MUAR 3 Okt. – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) menafikan kenyataan sebuah kumpulan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa orang Melayu kini sudah menguasai 45 peratus kekayaan ekonomi di negara ini.

Sambil menyifatkan laporan yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan bukan berbahasa Melayu semalam sebagai mengelirukan, beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, orang Melayu hanya mencapai 18 peratus penguasaan ekonomi.

Jelas beliau lagi, peratusan itu tidak berganjak sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat pada 1990 iaitu kira-kira 16 tahun lalu, berbanding bukan bumiputera yang menunjukkan peningkatan.

‘‘Kenyataan yang dikeluarkan itu seolah-olah cuba menunjukkan bahawa orang Melayu di Malaysia sudah cukup kaya dan mendapat banyak kuasa ekonomi di negara ini.

‘‘Penyelidik NGO yang tidak perlu saya namakan itu memberikan contoh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC), yang kita sedia maklum ia adalah milik kerajaan dan bukannya orang Melayu kecuali Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang sememangnya ditubuhkan untuk membantu orang Melayu.

‘‘Ini satu kenyataan yang boleh mengelirukan kita kerana ketika ini kerajaan masih menjalankan usaha membantu bumiputera untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis penyampaian bantuan Ramadan kepada masjid dan surau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak serta majlis berbuka puasa di Masjid Renchong, dekat sini malam tadi.

Muhyiddin menjelaskan, kenyataan seperti itu tidak berlandaskan formula penilaian yang khusus sama ada entiti, saham atau pemilikan harta.

Memandangkan laporan yang dibuat oleh kumpulan penyelidik itu telah dihantar kepada kerajaan maka, katanya, perkara tersebut perlu diperjelaskan semula oleh kerajaan atau agensi yang bertanggungjawab seperti Unit Perancang Ekonomi.

Beliau bimbang kenyataan sebegitu membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan bukan Melayu di negara ini kerana mereka boleh mempertikaikan sebarang usaha kerajaan untuk terus membantu orang Melayu.

‘‘Kenyataan ini harus disangkal malah saya menuntut supaya usaha kerajaan diteruskan kerana masih terdapat orang Melayu yang miskin dari segi penguasaan ekonomi, modal tidak cukup serta memiliki tanah yang tidak banyak,” kata beliau.

No comments: