cerita cerituk
Hmm, sudah 3 hari sekembalinya ke tanah air baru hari ini rasa diri normal balik (sebelum ni dok rasa mamai lagi).
Kali ini saya ingin bercerita sedikit pengalaman semasa di tanah suci dan beberapa cerita lagilah yang saya rasa terlintas nak tulis. Sabar jelah membacanya.
Pengalaman di Mekah dan Madinah sesungguhnya pengalaman paling indah, syahdu. Pergi melancong seperti ke Beijing dll walaupun menarik tapi rasa 'touching' tidak dapat dibandingkan dengan kunjungan ke dua tanah suci itu. Berada di Baitullah, seterusnya sembahyang, mengaji di hadapan Kaabah rasa tersangat indah. Setiap kali saya berada di bumi anbiya' tersebut, saya cuba membayangkan Rasulullah saw, para nabi dan para sahabat pada zaman mereka. Semasa melakukan haji wada', hati disapa hiba dan saya bagai dapat merasakan 'cahaya dari langit' menyelinap seluruh anggota tubuh. Dan semasa membuat kunjungan terakhir ke makam Rasulullah, dari jauh saya sudah terasa sebak, dan saya dapat merasakan "kehadiran baginda memerhatikan saya...". Walaupun menempuh pelbagai halangan, dugaan semasa mengerjakan ibadah haji, tapi saya sangat bersyukur kerana pada akhir ibadah saya, saya rasa sangat gembira, bahagia dan indah.
Dari satu sudut lain pula, saya dapat pengalaman baru iaitu bergaul dengan orang luar, sama ada masyarakat antara bangsa atau orang Malaysia sendiri. Kebolehan sedikit sedikit dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris sangat bermanfaat kerana dapat berkomunikasi dengan masyarakat Pakistan, India, Morocco, Arab sendiri dll. Yang menjadi masalah ialah bangsa Turki dan China kerana mereka tidak boleh berbahasa Arab atau Inggeris, jadi, macam ayam cakap dengan kijang la. Sesuatu yang menarik ialah saya telah mendapat sehelai jubah Morocco yang saya rasa sangat "cute" daripada Layla.
Orang-orang Malaysia sendiri, seperti teman sebilik, saya bersyukur kerana mereka sangat rapat dan mengambil berat tentang saya walaupun baru sehari dua berkenalan. Oleh sebab saya banyak bersendiri di sana, dari tanah air lagi saya sudah berdoa kepada Allah supaya saya menjadi insan yang bertawakkal dan lebih bergantung pada-Nya. Semua umat Islam adalah saudara saya, itulah nekad saya dan alhamdulillah saya banyak ditolong semasa di sana, tidak mengira bangsa, umur atau jantina. Saya teringat satu kisah perjalanan oleh Dr. H.M Tuah Iskandar (Majalah Dewan Siswa) yang suka mengembara. Beliau menjelajah di benua Amerika seorang diri. Menariknya, dalam perjalanan tersebut beliau berjumpa seorang wanita berusia 80an mengembara (juga seorang diri) di benua tersebut. Saya cuma tertarik pada kegigihan dan kecintaan dua insan tersebut. "Ya Tuhan, izinkanlah hamba-Mu ini mengembara menjelajah pelusuk bumi-Mu untuk menikmati keindahan ciptaan-Mu agar aku dapat menjadi hamba-Mu yang lebih mendekati diri-Mu"
ps..bersambung, dah azan. ada masa jumpa lagi, wassalam.
No comments:
Post a Comment