Saya sudah balik!
Ya Allah, syukur yang tidak terhingga kerana mengizinkan aku menjadi tamu-Mu di bumi suci-Mu musim ini. Aku datang kepada-Mu dengan dosa seluas buih di lautan. Diriku yang hina ini menghadap dan menyembah-Mu memohon keampunan dan rahmat kerana Engkaulah Maha Penerima Taubat, Maha Pengasih dan lagi Maha Penyayang.
Ya Allah, jadikanlah aku insan yang lebih baik dalam amalan duniawiku mahupun ukhrawi. Biarlah sisa-sisa usiaku kuhabiskan demi berbakti ke arah keredhaan-Mu.
Ya Allah, syukur tidak terhingga juga kerana menciptakanku, dan mengizinkan aku menjadi umat kekasihmu, Muhammad saw.
Ya Rasulullah, kucuba bayangkan betapa getirnya dikau mengembangkan agama suci ini di bumi berpasir, berbatu-batu yang tandus, mentari panas memancar dan malamnya yang dingin menggetarkan tubuh. Manakala nyawamu sentiasa di ambang maut oleh kafir musyrikin. Sedang hatimu sentiasa tabah. Bibirmu sentiasa menyebut "umatku,umatku" sehinggalah nafasmu yang terakhir. Tatkala Izrail datang menyapa, kau merayu, aduhai siksanya sakratul maut, jikalah dapat kutanggung semua siksaannya demi umatku... Ya Allah, sayugialah Engkau tempatkan baginda di makam yang tertinggi dan terpuji dalam kalangan makhluk-Mu.
Ya Baitullah, Wahai Madinah Darul Syiffa' yang mulia dengan jasad kekasih Allah; kutinggalkanmu buat sementara- aku akan datang lagi kerana di sinilah bersemadinya cintaku...
No comments:
Post a Comment