Wednesday, February 28, 2007

kerinduan terubat jua..

aku menelefon bonda. lirih suaranya menjadikan hatiku disapa hiba yang amat. lantas aku mengambil keputusan nekad akan pulang jua ke kampung hujung minggu nanti, dan alhamdulillah usahaku diizin Illahi.

oh bonda..
aku kehabisan kata-kata..
cuma kupohon di sini,
ampunkan segala dosaku,
dan halalkan segala makan minumku,
segala air matamu yang tertumpah
dalam perjalanan hidup yang penuh ranjau duri..
aku akan mengenangmu sentiasa
dalam doa kudusku..

Monday, February 19, 2007



thunbergia grandiflora, ungu bergugus-gugus, bagaikan anggur menyeri pergola..


sweeping willow - berusia hampir 5 tahun, ketinggian mencecah 1 1/2 kaki setahun - pokok ini banyak ditanam di tepi tasik di Beijing, Istana Musim Panas dsb. Dedaunnya bagaikan rambut sang jelitawan menjadi latar kebanyakan lukisan Cina. Bila agaknya pokok ini akan sebesar, setinggi pokok-pokok di sana? Generasi Wan Salmah ke berapakah agaknya? Harap keturunanku tidak menebangnya, hehe (ingat tu wahai anak!)

Cuti!
-Selamat Tahun Baru Cina-


Kami dijangkakan pulang ke kampung Pasir Pekan cuti ini, sementelah semenjak pulang dari Mekah/ Madinah, saya ingin sangat berjumpa bonda saya. Bonda saya ada mengirim halwa tahina dan minyak wangi. Kalau beliau tak kirim pun saya tahu makanan kegemarannya itu. Semasa saya masih kecil dan ketika beliau mengerjakan haji, halwa itu dibelinya agak banyak dan disuruhnya saya makan, sedap katanya. Dan ketika pemergiannya kali yang seterusnya pasti dibelinya halwa tersebut, yang rasanya macam kacang tumbuk, lemak berkrim dan ditabur kacang pistacio. Tapi, oleh sebab halangan yang tidak dapat dielakkan, kami tidak dapat balik kampung. Sedih, tentu bonda rasa rindu nak jumpa anak bungsunya ini. Saya membayangkan bagaimana jika usia disapa senja, anak-anak berada di kejauhan, masing-masing sibuk dengan hal masing-masing. Oh bonda, saya akan balik juga, semoga diizinkan Allah saya balik dalam waktu terdekat. Namun, semasa di tanah suci, saya banyak terkenangkan bonda dan ayahanda yang penat lelah melahir dan membesarkan saya. Saya ke sanapun menggunakan wang yang ditinggalkan arwah ayahanda. Saya berdoa agar Allah mengampunkan dosa-dosa ayahanda saya dan melayan arwah sebaik mungkin sebagai tetamu agung-Nya.

Maaf, pagi-pagi sudah dilanda hiba, apa boleh buat, hati tiba-tiba terkenang.

Oleh sebab tidak jadi balik kampung, saya mengambil kesempatan ini untuk meneruskan kerja-kerja rumah, sekolah, UKM. Pagi tadi masuk hari ke empat saya membela tnaman hiasan saya; mencantas, merumput, banyak oo.. Maka di sini kali ini saya sertakan dua tanaman yang bagi saya utuh, bersemangat jitu (dengan izin Allah) kerana walaupun ketika ketiadaan saya pokok-pokok ini masih tumbuh berseri. Pokok-pokok lain jangan jeles, lain kali Insya Allah tiba giliran kamu pula (eheh, bukan Putera Charles saja yang berbual-bual dengan pokok..) Saya sangat berasa hati saya terawat setiap kali berada di sekeliling mereka. Hijau yang redup dan nyaman, warna-warna ranggi yang ceria, kumbang yang menyeri bunga, aroma yang betul-betul memikat, memang terapi minda saya yang sangat istimewa. Begitu juga dengan guppy dan spesisnya, lenggok dan tarinya sungguh menghiburkan.

Saturday, February 17, 2007

Saya Sudah Di Sini!

Sudah hampir seminggu saya di sekolah baru, SMK Pasir Panjang. Di sini saya ingin titipkan sebarang dua kisah untuk dikongsi bersama sepanjang saya di sini.

Pada petang Jumaat sebelum berpindah ke sini, kami sekeluarga telah meninjau-ninjau sekolah ini. Kereta Naza kami dipandu oleh anak sulung kami, Afiq. Sekolah ini dibanding dengan sekolah saya, berkawasan lebih kecil tapi bengkel Kemahiran Hidup lebih banyak, ada bengkel untuk MPV. Subjek MPV yang ditawarkan di sini ialah Seni Reka Tanda dan Lanskap. Ini bermakna cakupan tugas saya lebih luas berbanding sekolah lama kerana di SMKA Pedas tiada MPV. Tapi tak kisahlah, sebab saya suka juga bidang teknikal dan boleh menghayati konsep-konsep teknikal/vokasional atau seni. Satu lagi yang menarik hati kami ialah, ha..saya ada tempat parking saya sendiri heheh, kereta saya dah ada tempat berlindung..

Tibalah masanya hari Isnin. Saya bertolak dari rumah jam 6.30 pagi. Tapi, 2 kali tersilap simpang sebab saya memandu seorang kali ini dalam keadaan gelap pagi. Kereta saya sebenarnya merangkak kerana tidak biasa. Sampai di sekolah sudah jam 7.30. Nasib baik kat sini waktu pertama masuk kelas ialah 7.50.

Saya berkenalan dengan pengetua dan mengambil tugasan awal saya. Memang tak sama guru biasa dengan Ketua Bidang, sebab tugas saya lebih menjurus kepada pengurusan sedangkan selama ini saya tak ambil peduli dengan hal ehwal pentadbiran. Jadual waktu mengajar pun banyak juga (lebih 20 waktu). Ketua-ketua bidang lain walaupun mempunyai satu bilik khas untuk mereka (berkongsi satu bilik besar) tetapi ramai yang suka bermastautin di makmal, bengkel dsb. Bilik ini untuk menyimpan fail dll. Dah saya tiada geng kalau duduk di bilik besar ni berseorangan.

Tugas saya seterusnya ialah memasuki kelas yang telah ditetapkan dan kebetulan kelas pertama saya ialah tingkatan 1 yang agak nakal. Memang banyak dugaan hari ini, dan hati saya sentiasa bertarung mencari kekuatan, membina kesabaran. Sungguh jauh beza pelajar sekolah ini dengan pelajar sekolah lama saya. Ada pelajar tingkatan 5 pun masih tidak boleh membaca. Aktiviti ponteng sudah lumrah. Nakal budak-budak ini banyak menduga saya. Ketika saya lalu di kaki lima kelas, pelajar menengah atas duduk lepak-lepak dan ketawa kuat-kuat. (Banyak guru terlibat dengan aktiviti sukan/olah raga di luar sekolah dan kelas kosong) Memang jiwa saya rasa terganggu dan bertarung mencari kekuatan.

Saya mengsms cikgu Husney sebab sebelum ini beliau Ketua Bidang T n V di sini. Nasihat bernas yang dihantar membuat saya tenang sedikit. Kawan-kawan gurupun banyak memberi panduan bagaimana menyesuaikan diri di sekolah ini. Banyak perbezaan / perubahan yang saya alami di sini, termasuk prasarananya. Di sini masih menggunakan papan hijau dan kapur, adus, saya ni alegik kapur. Anak pakai bedak pun saya tak tahan, pedih mata dan hidung tidak selesa. Di SMKA Pedas, kelas tingkatan 5 mula dipasang LCD untuk memudahkan P n P.

Hari ini saya minta balik awal kerana hendak ke sekolah lama. Ada majlis makan-makan sedikit dan membuat sedikit tugasan. Bidang bahasa dan panitia Bahasa Melayu telah memberi saya cendera hati dan sekeping kad besar yang dibuat oleh pelajar 4 Sina, ditampal kata-kata ucapan oleh guru-guru bahasa. Ada sebuah sajak yang bertajuk “Guru Cemerlang” yang benar-benar menyentuh jiwa saya.

Saya balik ke rumah dalam keadaan penat yang keterlaluan, penat fizikal dan penat mental. Saya mengingati balik kata-kata nasihat dan panduan yang saya terima dan cuba mengukirnya dalam benak minda saya.

“Saya mestilah adil, bersikap positif dan profesional. Mengapa saya ingin mendidik pelajar-pelajar terpilih dan baik sahaja, apa salahnya pelajar-pelajar sekolah ini. All pupil can learn. Semua murid berhak mendapat bimbingan/pendidikan yang terbaik. Jika mereka kekurangan dari segi akademik, mereka tentu ada kebolehan dari aspek lain, kemahiran pertukangan misalnya. Dan saya sekarang ketua dalam bidang ini, mengapa saya tidak berusaha dengan gigih supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan cemerlang/berjaya seperti pelajar lain? Ya Tuhan, berilah aku kekuatan, kecekalan, ketabahan, keikhlasan, tiadalah kekuatan selain daripada kekuatan-Mu”

Hari kedua saya sudah okay dan hari ketiga saya sudah happy. Terimalah SMKPP seadanya, dengan hati dan minda terbuka. Hari keempat saya dijemput oleh kaunselor untuk berbual-bual di biliknya. Suspens juga saya. Rupa-rupanya beliau ingin meninjau “tahap mental saya” kerana dia tahu latar belakang perkhidmatan saya sebelum ini dan bimbang jika saya tidak boleh menerima iklim sekolah ini. Dia bimbang saya tertekan dan akhirya kecewa. Insya Allah, saya sudah ok. Satu lagi, kaunselor kami juga aktif dalam bidang kesusasteraan/motivator dan terlibat dalam apresiasi seni Komsas di PLKN. Dia mengalu-alukan jika saya ingin menyertai aktiviti ini. Hm, bagus juga. Esoknya saya diserahkan borang untuk kursus untuk bidang seni, dan saya pilih theater. Apa nak buat, semenjak dua menjak ini saya tak boleh buat kerja rutin sahaja, nanti saya naik bingung. Tapi saya cuba adjust semua kerja luaran saya buat selepas bulan Jun nanti. Lagi pula, di sini saya sudah tidak mengajar BM. Semenjak saya bertugas sebagai guru (sudah 16 tahun) inilah kali pertama saya tidak mengajar BM.

Sebelum balik setiap hari Khamis guru-guru ada sesi tazkirah. Pagi Jumaat pula semua pelajar dan guru terlibat dengan aktiviti kerohanian. Saya difahamkan nak mencari pelajar yang betul-betul sempurna solat mereka 10 orang pun susah. Oh ya, pelajar di sini bercampur Melayu, Cina, India, campuran, orang asli dll. Pelajar Melayu Islam lebih kurang 400. Pagi Jumaat ini mereka dikumpulkan kepada beberapa kumpulan, mengikut agama masing-masing. Pelajar Islam pun dipecah kepada beberapa kumpulan. Pelajar biasa berada dalam surau dan membaca Yaasin. Pelajar lain ada aktiviti iqra’ dsb. Nampaknya kat sinipun saya nak ikut serta secara tidak formal sebab bacaan Yaasin mereka pun masih banyak yang perlu diperbaiki.

Kini saya sedar, saya tidak boleh membandingkan pelajar sekolah ini dengan pelajar sekolah lama saya. Banyak juga pelajar sekolah ini yang bermasalah keluarga, yang bekerja separuh masa dan pelbagai latar masalah. Saya kena adil dan memahami. Janganlah kutuk saya. Ini adalah kerana sudah 15 tahun saya mengajar di SMKA, 5 tahun di SMKA Al-Irshad, Kepala Batas, P. Pinang dan 10 tahun di SMKA Pedas. Saya sudah selesa dengan pelajar terpilih, dan suasana kerja yang sedemikian. Sekarang saya sedang belajar bagaimana menghadapi pelajar dan guru pelbagai kaum dan keturunan, pelbagai latar masyarakat, pelbagai pe’el dan perangai. Yang penting “I must be Strong!” Dan saya bersyukur kerana pentadbir di sini prihatin tentang guru, juga saya gembira kerana guru-guru di bawah bidang saya sangat bekerjasama dengan saya.

(Pelajar pula, ada antara mereka yang geliga dan berbakat. Lagi pula saya hanya guru, bukan hakim. Tugas saya ialah mendidik anak-anak bangsa saya, bukan melabel, menghukum. Terimalah ini sebagai cabaran yang menyeronokkan, insya Allah!)

Semalam saya telah menyediakan beberapa keperluan untuk saya letakkan di dalam bilik saya. Tak kiralah saya seorang ke, harap-harap lepas ini ada rakan yang akan join saya di sini nanti. Saya ada ke sekolah lama saya untuk mengemaskan barang-barang saya. Benda menarik yang saya terfikir untuk dihiaskan di meja saya nanti ialah kad-kad ucapan yang diberi oleh bekas pelajar-pelajar saya. Saya amat menghargai kad-kad tersebut, apa lagi yang dibuat sendiri. Terima kasih semua.

GURU CEMERLANG

SAYA PERCAYA BAHAWA:

Saya sentiasa diberi panduan oleh Allah
Saya adalah seorang guru yang berjaya
Saya adalah seorang yang bahagia
Saya berkeyakinan yang tinggi
Saya menyayangi diri, keluarga saya
dan organisasi saya
Saya adalah seorang yang istimewa
Saya menyedari kekuatan dan kelemahan saya
Saya gemar menambahkan ilmu pengetahuan
Saya gemar memperoleh kemahiran ilmu bantu
Saya boleh menyiapkan semua tugasan
Saya boleh menjadi insan cemerlang
Saya memulakan setiap hari dengan penuh semangat
Saya akhiri setiap hari dengan penuh keriangan dan harapan.

(Terima kasih kepada Cikgu Nafizah kerana memberikan kata-kata ini dan doakan saya berjaya menjadi guru yang dapat memberi manfaat kepada anak bangsa tercinta)

Friday, February 09, 2007



akmal (student IT kami), saya, syamil dan sarah


peserta kuiz komsas 2007, SMKAP boleh!


peserta kuiz pengguna 2007 - maaf ya sebab tak dapat bimbing kamu semua hingga ke peringkat kebangsaan. semoga cemerlang, kalau dapat masuk final bolehlah cikgu tengok kamu di kaca tv!


pelajar putera 5 ibnu sina penuh macho..


pelajar puteri 5 sina


pelajar 2 ibnu khaldun (juga bekas pelajar saya tahun lepas)


pelajar 2 al razi (dengan bekas saya tahun lepas)


Pelajar 3 al Ghazali. Banyakkan membaca buku-buku ilmiah, insya Allah skor A dalam semua subjek!
Tidak ada yang kekal melainkan Allah..

Saja-saja nak gunakan tajuk kecil yang mengundang sedikit persoalan.
Semasa saya di Madinah dahulu, beberapa hari sebelum pulang ke tanah air, cikgu Azizah ada mengsms saya memberi klu "kedudukan" saya di sekolah. Dan selepas saya kembali ke sekolah pun dia ada hantar klu lagi tentang perkara yang sama kepada saya. Tetapi selagi belum dapat surat hitam putih, saya cuba coolkan diri.

Pagi tadi, Cikgu Maimun dan saya mendapat panggilan daripada Jab. Pelajaran Negeri Sembilan supaya kami berdua dapat ke sana jam 3 petang nanti. Di sana kami berkumpul di Balai Gadang. Guru-guru yang memenuhi balai tersebut lebih kurang 20 orang. Kemudaian nama kami dipanggil seorang demi seorang untuk mendapat surat rasmi daripada Tuan Hj. Baharin Sihat. Kami yang dimaksudkan ialah guru-guru yang dinaikkan sebagai Ketua Bidang, GPK HEM, GPK Koku dan seterusnya hinggalah kepada PPD. Saya dan Cikgu Maimun dilantik sebagai Ketua Bidang Teknik dan Vokasional.

Yang berbeza antara saya dengan Cikgu Maimun ialah dia kekal di SMKA Pedas, manakala saya diarahkan ke SMK Pasir Panjang, Port Dickson. Tarikh kuat kuasa ialah 16 Januari, tarikh yang dibackdated.

Sebelum ini, apabila saya mendengar berita ini daripada Cikgu Azizah, saya tidak tahu saya gembira atau sedih. Gembira kerana ada juga orang nak calonkan saya rupa-rupanya sebagai KB. Sedih sebab saya sayang sangat-sangat kat sekolah ini dan pelajar-pelajar saya, maklumlah dah 10 tahun di sini. Semenjak dua menjak ini saya rajin pula nak layan pelajar, buat mereka sebagai kawan. Saya ingat lagi, kali pertama saya masuk ke kelas 2T selepas bercuti menunaikan haji, para pelajar nampak sungguh riang dan ada yang bertepuk tangan. Pelajar-pelajar kelas lain pun nampak bersemangat belajar. Jika saya ingin mendenda mereka pun, saya berbincang dengan mereka terlebih dahulu.

Cikgu Azizah, Cg Maimun dan Cg Husney menasihat saya supaya terima saja tawaran tersebut (sebenarnya arahan jabatan yang muktamad). Berubahlah, mungkin ada hikmah di sebalik perkara ini. SMK Pasir Panjang jaraknya dengan rumah saya kira-kira 40 minit perjalanan kereta, berbeza dengan SMKA Pedashanya mengambil masa 7 minit.

Sebelum ini saya hanya ingin kekal sebagai cikgu biasa (baca cabuk) hingga pencen dan pencen di sekolah ini juga. Ai, best haper jadi cekgu ni. Namun, setelah difikir masak-masak, saya mengambil keputusan untuk menyahut cabaran dengan sepenuh hati, tidak berbelah bagi. Saya berharap ini merupakan langkah awal saya untuk berubah. Tentu ada hikmah sementelah saya baru pulang dari tanah yang penuh barakah.

Pulangnya dari jabatan, saya singgah di SMKA Pedas untuk mengambil barang-barang saya. Saya bertembung dengan pelajar kelas 5 S dan memberitahu mereka duduk bangun perkara sebenar. Air muka mereka berubah dan ada yang merayu supaya saya jangan pindah, atautangguh sampai akhir tahun. Alamak pelajar-pelajar kesayanganku, janganlah menangis depan cikgu, cikgu bukan kuat sangat ni. Yang dapat saya lakukan ialah menasihat mereka supaya bersabar dan belajarlah dengan ikhlas dan redha. Kamu semua nak duduki SPM nanti. Memang saya sedih dengan perpisahan ini, tapi, saya terpaksa menerima hakikat kehidupan.

Besok saya akan ke SMKA Pedas untuk selesaikan beberapa perkara sebelum saya melapor diri di sekolah baru pada hari Isnin. Insya Allah saya akan berjumpa dengan pelajar-pelajar kelas yang saya ajar, juga berjumpa dengan pelajar Kuiz Pengguna dan pelajar Kuiz Sastera di bawah bimbingan saya, juga AJK2 Kelab Pengguna untuk menyampaikan amanat terakhir. Sebut Kalab Pengguna dan Kuiz Pengguna rasa hiba pula sebab sejak kelab tersebut ditubuhkan di sekolah kami, banyak liku yang telah diharungi, kekadang bertiga, berdua dengan guru-guru penasihat yang lain, kadang-kadang terpaksa solo wan.. Dengan guru penasihat baru (Us. Muaz yang baru berpindah ke sekolah ini) saya sudah berbincang dengannya tentang kelab ini dan nampaknya saya terpaksa serahkan segala tugas saya kepadanya esok.

Semoga dahan yang baru tumbuh lebih tegap, kuat berbanding dahan dulu..semoga pelajar-pelajar saya tabah, cekal, dan diberi kekuatan untuk menghadapi SPM dan PMR yang bakal menjelang..