Tidak ada yang kekal melainkan Allah..
Saja-saja nak gunakan tajuk kecil yang mengundang sedikit persoalan.
Semasa saya di Madinah dahulu, beberapa hari sebelum pulang ke tanah air, cikgu Azizah ada mengsms saya memberi klu "kedudukan" saya di sekolah. Dan selepas saya kembali ke sekolah pun dia ada hantar klu lagi tentang perkara yang sama kepada saya. Tetapi selagi belum dapat surat hitam putih, saya cuba coolkan diri.
Pagi tadi, Cikgu Maimun dan saya mendapat panggilan daripada Jab. Pelajaran Negeri Sembilan supaya kami berdua dapat ke sana jam 3 petang nanti. Di sana kami berkumpul di Balai Gadang. Guru-guru yang memenuhi balai tersebut lebih kurang 20 orang. Kemudaian nama kami dipanggil seorang demi seorang untuk mendapat surat rasmi daripada Tuan Hj. Baharin Sihat. Kami yang dimaksudkan ialah guru-guru yang dinaikkan sebagai Ketua Bidang, GPK HEM, GPK Koku dan seterusnya hinggalah kepada PPD. Saya dan Cikgu Maimun dilantik sebagai Ketua Bidang Teknik dan Vokasional.
Yang berbeza antara saya dengan Cikgu Maimun ialah dia kekal di SMKA Pedas, manakala saya diarahkan ke SMK Pasir Panjang, Port Dickson. Tarikh kuat kuasa ialah 16 Januari, tarikh yang dibackdated.
Sebelum ini, apabila saya mendengar berita ini daripada Cikgu Azizah, saya tidak tahu saya gembira atau sedih. Gembira kerana ada juga orang nak calonkan saya rupa-rupanya sebagai KB. Sedih sebab saya sayang sangat-sangat kat sekolah ini dan pelajar-pelajar saya, maklumlah dah 10 tahun di sini. Semenjak dua menjak ini saya rajin pula nak layan pelajar, buat mereka sebagai kawan. Saya ingat lagi, kali pertama saya masuk ke kelas 2T selepas bercuti menunaikan haji, para pelajar nampak sungguh riang dan ada yang bertepuk tangan. Pelajar-pelajar kelas lain pun nampak bersemangat belajar. Jika saya ingin mendenda mereka pun, saya berbincang dengan mereka terlebih dahulu.
Cikgu Azizah, Cg Maimun dan Cg Husney menasihat saya supaya terima saja tawaran tersebut (sebenarnya arahan jabatan yang muktamad). Berubahlah, mungkin ada hikmah di sebalik perkara ini. SMK Pasir Panjang jaraknya dengan rumah saya kira-kira 40 minit perjalanan kereta, berbeza dengan SMKA Pedashanya mengambil masa 7 minit.
Sebelum ini saya hanya ingin kekal sebagai cikgu biasa (baca cabuk) hingga pencen dan pencen di sekolah ini juga. Ai, best haper jadi cekgu ni. Namun, setelah difikir masak-masak, saya mengambil keputusan untuk menyahut cabaran dengan sepenuh hati, tidak berbelah bagi. Saya berharap ini merupakan langkah awal saya untuk berubah. Tentu ada hikmah sementelah saya baru pulang dari tanah yang penuh barakah.
Pulangnya dari jabatan, saya singgah di SMKA Pedas untuk mengambil barang-barang saya. Saya bertembung dengan pelajar kelas 5 S dan memberitahu mereka duduk bangun perkara sebenar. Air muka mereka berubah dan ada yang merayu supaya saya jangan pindah, atautangguh sampai akhir tahun. Alamak pelajar-pelajar kesayanganku, janganlah menangis depan cikgu, cikgu bukan kuat sangat ni. Yang dapat saya lakukan ialah menasihat mereka supaya bersabar dan belajarlah dengan ikhlas dan redha. Kamu semua nak duduki SPM nanti. Memang saya sedih dengan perpisahan ini, tapi, saya terpaksa menerima hakikat kehidupan.
Besok saya akan ke SMKA Pedas untuk selesaikan beberapa perkara sebelum saya melapor diri di sekolah baru pada hari Isnin. Insya Allah saya akan berjumpa dengan pelajar-pelajar kelas yang saya ajar, juga berjumpa dengan pelajar Kuiz Pengguna dan pelajar Kuiz Sastera di bawah bimbingan saya, juga AJK2 Kelab Pengguna untuk menyampaikan amanat terakhir. Sebut Kalab Pengguna dan Kuiz Pengguna rasa hiba pula sebab sejak kelab tersebut ditubuhkan di sekolah kami, banyak liku yang telah diharungi, kekadang bertiga, berdua dengan guru-guru penasihat yang lain, kadang-kadang terpaksa solo wan.. Dengan guru penasihat baru (Us. Muaz yang baru berpindah ke sekolah ini) saya sudah berbincang dengannya tentang kelab ini dan nampaknya saya terpaksa serahkan segala tugas saya kepadanya esok.
Semoga dahan yang baru tumbuh lebih tegap, kuat berbanding dahan dulu..semoga pelajar-pelajar saya tabah, cekal, dan diberi kekuatan untuk menghadapi SPM dan PMR yang bakal menjelang..
No comments:
Post a Comment