Saturday, February 17, 2007

Saya Sudah Di Sini!

Sudah hampir seminggu saya di sekolah baru, SMK Pasir Panjang. Di sini saya ingin titipkan sebarang dua kisah untuk dikongsi bersama sepanjang saya di sini.

Pada petang Jumaat sebelum berpindah ke sini, kami sekeluarga telah meninjau-ninjau sekolah ini. Kereta Naza kami dipandu oleh anak sulung kami, Afiq. Sekolah ini dibanding dengan sekolah saya, berkawasan lebih kecil tapi bengkel Kemahiran Hidup lebih banyak, ada bengkel untuk MPV. Subjek MPV yang ditawarkan di sini ialah Seni Reka Tanda dan Lanskap. Ini bermakna cakupan tugas saya lebih luas berbanding sekolah lama kerana di SMKA Pedas tiada MPV. Tapi tak kisahlah, sebab saya suka juga bidang teknikal dan boleh menghayati konsep-konsep teknikal/vokasional atau seni. Satu lagi yang menarik hati kami ialah, ha..saya ada tempat parking saya sendiri heheh, kereta saya dah ada tempat berlindung..

Tibalah masanya hari Isnin. Saya bertolak dari rumah jam 6.30 pagi. Tapi, 2 kali tersilap simpang sebab saya memandu seorang kali ini dalam keadaan gelap pagi. Kereta saya sebenarnya merangkak kerana tidak biasa. Sampai di sekolah sudah jam 7.30. Nasib baik kat sini waktu pertama masuk kelas ialah 7.50.

Saya berkenalan dengan pengetua dan mengambil tugasan awal saya. Memang tak sama guru biasa dengan Ketua Bidang, sebab tugas saya lebih menjurus kepada pengurusan sedangkan selama ini saya tak ambil peduli dengan hal ehwal pentadbiran. Jadual waktu mengajar pun banyak juga (lebih 20 waktu). Ketua-ketua bidang lain walaupun mempunyai satu bilik khas untuk mereka (berkongsi satu bilik besar) tetapi ramai yang suka bermastautin di makmal, bengkel dsb. Bilik ini untuk menyimpan fail dll. Dah saya tiada geng kalau duduk di bilik besar ni berseorangan.

Tugas saya seterusnya ialah memasuki kelas yang telah ditetapkan dan kebetulan kelas pertama saya ialah tingkatan 1 yang agak nakal. Memang banyak dugaan hari ini, dan hati saya sentiasa bertarung mencari kekuatan, membina kesabaran. Sungguh jauh beza pelajar sekolah ini dengan pelajar sekolah lama saya. Ada pelajar tingkatan 5 pun masih tidak boleh membaca. Aktiviti ponteng sudah lumrah. Nakal budak-budak ini banyak menduga saya. Ketika saya lalu di kaki lima kelas, pelajar menengah atas duduk lepak-lepak dan ketawa kuat-kuat. (Banyak guru terlibat dengan aktiviti sukan/olah raga di luar sekolah dan kelas kosong) Memang jiwa saya rasa terganggu dan bertarung mencari kekuatan.

Saya mengsms cikgu Husney sebab sebelum ini beliau Ketua Bidang T n V di sini. Nasihat bernas yang dihantar membuat saya tenang sedikit. Kawan-kawan gurupun banyak memberi panduan bagaimana menyesuaikan diri di sekolah ini. Banyak perbezaan / perubahan yang saya alami di sini, termasuk prasarananya. Di sini masih menggunakan papan hijau dan kapur, adus, saya ni alegik kapur. Anak pakai bedak pun saya tak tahan, pedih mata dan hidung tidak selesa. Di SMKA Pedas, kelas tingkatan 5 mula dipasang LCD untuk memudahkan P n P.

Hari ini saya minta balik awal kerana hendak ke sekolah lama. Ada majlis makan-makan sedikit dan membuat sedikit tugasan. Bidang bahasa dan panitia Bahasa Melayu telah memberi saya cendera hati dan sekeping kad besar yang dibuat oleh pelajar 4 Sina, ditampal kata-kata ucapan oleh guru-guru bahasa. Ada sebuah sajak yang bertajuk “Guru Cemerlang” yang benar-benar menyentuh jiwa saya.

Saya balik ke rumah dalam keadaan penat yang keterlaluan, penat fizikal dan penat mental. Saya mengingati balik kata-kata nasihat dan panduan yang saya terima dan cuba mengukirnya dalam benak minda saya.

“Saya mestilah adil, bersikap positif dan profesional. Mengapa saya ingin mendidik pelajar-pelajar terpilih dan baik sahaja, apa salahnya pelajar-pelajar sekolah ini. All pupil can learn. Semua murid berhak mendapat bimbingan/pendidikan yang terbaik. Jika mereka kekurangan dari segi akademik, mereka tentu ada kebolehan dari aspek lain, kemahiran pertukangan misalnya. Dan saya sekarang ketua dalam bidang ini, mengapa saya tidak berusaha dengan gigih supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan cemerlang/berjaya seperti pelajar lain? Ya Tuhan, berilah aku kekuatan, kecekalan, ketabahan, keikhlasan, tiadalah kekuatan selain daripada kekuatan-Mu”

Hari kedua saya sudah okay dan hari ketiga saya sudah happy. Terimalah SMKPP seadanya, dengan hati dan minda terbuka. Hari keempat saya dijemput oleh kaunselor untuk berbual-bual di biliknya. Suspens juga saya. Rupa-rupanya beliau ingin meninjau “tahap mental saya” kerana dia tahu latar belakang perkhidmatan saya sebelum ini dan bimbang jika saya tidak boleh menerima iklim sekolah ini. Dia bimbang saya tertekan dan akhirya kecewa. Insya Allah, saya sudah ok. Satu lagi, kaunselor kami juga aktif dalam bidang kesusasteraan/motivator dan terlibat dalam apresiasi seni Komsas di PLKN. Dia mengalu-alukan jika saya ingin menyertai aktiviti ini. Hm, bagus juga. Esoknya saya diserahkan borang untuk kursus untuk bidang seni, dan saya pilih theater. Apa nak buat, semenjak dua menjak ini saya tak boleh buat kerja rutin sahaja, nanti saya naik bingung. Tapi saya cuba adjust semua kerja luaran saya buat selepas bulan Jun nanti. Lagi pula, di sini saya sudah tidak mengajar BM. Semenjak saya bertugas sebagai guru (sudah 16 tahun) inilah kali pertama saya tidak mengajar BM.

Sebelum balik setiap hari Khamis guru-guru ada sesi tazkirah. Pagi Jumaat pula semua pelajar dan guru terlibat dengan aktiviti kerohanian. Saya difahamkan nak mencari pelajar yang betul-betul sempurna solat mereka 10 orang pun susah. Oh ya, pelajar di sini bercampur Melayu, Cina, India, campuran, orang asli dll. Pelajar Melayu Islam lebih kurang 400. Pagi Jumaat ini mereka dikumpulkan kepada beberapa kumpulan, mengikut agama masing-masing. Pelajar Islam pun dipecah kepada beberapa kumpulan. Pelajar biasa berada dalam surau dan membaca Yaasin. Pelajar lain ada aktiviti iqra’ dsb. Nampaknya kat sinipun saya nak ikut serta secara tidak formal sebab bacaan Yaasin mereka pun masih banyak yang perlu diperbaiki.

Kini saya sedar, saya tidak boleh membandingkan pelajar sekolah ini dengan pelajar sekolah lama saya. Banyak juga pelajar sekolah ini yang bermasalah keluarga, yang bekerja separuh masa dan pelbagai latar masalah. Saya kena adil dan memahami. Janganlah kutuk saya. Ini adalah kerana sudah 15 tahun saya mengajar di SMKA, 5 tahun di SMKA Al-Irshad, Kepala Batas, P. Pinang dan 10 tahun di SMKA Pedas. Saya sudah selesa dengan pelajar terpilih, dan suasana kerja yang sedemikian. Sekarang saya sedang belajar bagaimana menghadapi pelajar dan guru pelbagai kaum dan keturunan, pelbagai latar masyarakat, pelbagai pe’el dan perangai. Yang penting “I must be Strong!” Dan saya bersyukur kerana pentadbir di sini prihatin tentang guru, juga saya gembira kerana guru-guru di bawah bidang saya sangat bekerjasama dengan saya.

(Pelajar pula, ada antara mereka yang geliga dan berbakat. Lagi pula saya hanya guru, bukan hakim. Tugas saya ialah mendidik anak-anak bangsa saya, bukan melabel, menghukum. Terimalah ini sebagai cabaran yang menyeronokkan, insya Allah!)

Semalam saya telah menyediakan beberapa keperluan untuk saya letakkan di dalam bilik saya. Tak kiralah saya seorang ke, harap-harap lepas ini ada rakan yang akan join saya di sini nanti. Saya ada ke sekolah lama saya untuk mengemaskan barang-barang saya. Benda menarik yang saya terfikir untuk dihiaskan di meja saya nanti ialah kad-kad ucapan yang diberi oleh bekas pelajar-pelajar saya. Saya amat menghargai kad-kad tersebut, apa lagi yang dibuat sendiri. Terima kasih semua.

GURU CEMERLANG

SAYA PERCAYA BAHAWA:

Saya sentiasa diberi panduan oleh Allah
Saya adalah seorang guru yang berjaya
Saya adalah seorang yang bahagia
Saya berkeyakinan yang tinggi
Saya menyayangi diri, keluarga saya
dan organisasi saya
Saya adalah seorang yang istimewa
Saya menyedari kekuatan dan kelemahan saya
Saya gemar menambahkan ilmu pengetahuan
Saya gemar memperoleh kemahiran ilmu bantu
Saya boleh menyiapkan semua tugasan
Saya boleh menjadi insan cemerlang
Saya memulakan setiap hari dengan penuh semangat
Saya akhiri setiap hari dengan penuh keriangan dan harapan.

(Terima kasih kepada Cikgu Nafizah kerana memberikan kata-kata ini dan doakan saya berjaya menjadi guru yang dapat memberi manfaat kepada anak bangsa tercinta)

No comments: