Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad
KATA pujangga, hidup tanpa kesusahan, penderitaan, dugaan dan cabaran bagaikan nasi tidak berkuah, susah senang adalah asin kerana itulah rencah kehidupan. Ia menepati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dunia ini adalah negara tempat bala dan ujian."
Maknanya manusia di dunia ini tidak terkecuali daripada menghadapi ujian hidup baik untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan mereka, juga pendekatan digunakan bagi mengatasi dugaan yang datang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Demi Allah yang jiwaku di tangannya! Tidak Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan ada kebaikan baginya dan tiada kebaikan itu kecuali bagi mukmin jika memperoleh kegembiraan, dia berterima kasih bererti kebaikan baginya. Jika ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya."
Disuarakan oleh bijak pandai: "Adalah lebih baik menjadi orang beriman yang diuji, daripada menjadi orang kafir yang turut sama diuji. Bukankah lebih baik menjadi orang yang sabar ketika diuji daripada menjadi orang pemarah sedang diuji."
Setiap ujian yang menimpa pasti terasa pahitnya atau sakit menekan perasaan kerana kebuntuan fikiran. Oleh itu, sabar adalah suatu perkara yang bukannya mudah untuk dilakukan.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kami akan beri percubaan kepada kamu, sehingga kami buktikan orang yang bersungguh-sungguh dari antara kamu dan orang yang sabar dan hingga kami nyatakan hal kamu." (Surah Muhammad, ayat 31)
Tidak semua orang memiliki sabar, lantaran itu sikap sabar dianggap mahal dan tinggi nilainya malah ia termasuk sebagai sikap terpuji. Lantaran itu, Allah memerintahkan supaya berlaku sabar dalam firman yang bermaksud: "Hai orang beriman. Berlaku sabarlah. Sabarkan dan perteguhkan kekuatanmu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh kebahagiaan." (Surah ali-Imran, ayat 200)
Berkata Junaid al-Baghdada katanya: "Bala adalah pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar."
Pada prinsipnya, sabar harus diterap dalam setiap aspek kehidupan sama ada kehidupan rumah tangga, tugas kepemimpinan, hidup selaku petani, nelayan, usahawan, guru, pengarang atau penyiar. Semua memerlukan kesabaran, justeru setiap medan pekerjaan dan perjuangan ada tentangan serta ujiannya.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud: "Sangat mengagumkan keadaan seorang Muslim kerana segala keadaannya serba baik dan tiada mungkin terjadi demikian kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat dia bersyukur. Itu adalah kebaikan baginya dan bila mendapat kesusahan dia bersabar, itu kebaikan baginya."
Kesabaran adalah kekayaan rohani yang besar, ia sebagai pangkal kebahagiaan. Dalam menghadapi kehidupan yang serba getir, semuanya perlu memiliki sifat sabar.
Sabar, ringan di mulut tapi berat untuk dilaksanakan, dan ganjaran bagi sesiapa yang bersabar tiada batasannya, tiada sifir atau formula. Apa-apa dugaan yang dihadapi adalah daripada Allah juga dan kita hendaklah kembali kepada-Nya untuk sebarang jalan penyelesaian.
No comments:
Post a Comment