Pesakit Alzheimer masih dapat mengingati perkara yang berlaku 30 tahun lampau dengan baik namun gagal mengingati perkara mudah yang dilakukannya beberapa minit lalu.
APABILA memperkatakan mengenai Alzheimer atau nyanyuk, masyarakat seringkali mengaitkan penyakit ini dengan faktor umur.
Malah punca yang sering dikaitkan dengan penyakit ini ialah otak pesakit mengecut dan wujudnya abnormal protein dalam otak yang dipanggil amiloid.
Keadaan itu menyebabkan saraf-saraf dalam otak menjadi tidak normal dan keseluruhan saiz otak semakin mengecil yang akhirnya menyebabkan pesakit mengalami masalah lupa yang serius.
Namun, dalam keadaan tertentu, penyakit yang lazimnya dihadapi oleh mereka yang berumur melebihi 60 tahun ke atas, juga boleh dialami golongan lebih muda.
Pakar Runding Geriatrik Hospital Pakar Cheras, Dr. Rajbans Singh, berkata meskipun jarang berlaku, kebarangkalian ia dihidapi oleh mereka yang berumur dalam lingkungan 50-an, tetap ada.
"Simptomnya masih samar namun kecenderungan untuk terlupa adalah sama. Walaupun begitu, antara keterlupaan golongan ini dan Alzheimer adalah jangka waktu memori yang diingati," ujarnya.
Jelas Rajbans, bagi pesakit Alzheimer, mereka masih dapat mengingati perkara lampau yang berlaku 20 hingga 30 tahun lalu dengan baik namun gagal mengingati satu perkara mudah yang dilakukannya beberapa minit lalu.
Bermula dengan keterlupaan jangka pendek, penyakit ini akan berlanjutan hingga membuatkan pesakitnya kehilangan memori secara total.
Tambahnya lagi, keadaan pesakit bertambah serius apabila mereka mula berhalusinasi dan pada tahap ini, potensi mencederakan diri mereka amat tinggi sekiranya tidak dirawat serta diawasi.
"Bertepatan dengan nama lain bagi penyakit ini iaitu The Long Goodbye, penyakit ini lazimnya meliputi tempoh lebih 10 hingga 20 tahun. Jadi, tidak mustahil keadaan mereka akan bertambah buruk," jelasnya.
Antara simptom tingkah laku atau psikologi pesakit Alzheimer termasuklah gemar menjerit, agresif dari segi fizikal, gangguan personaliti, banyak bertanya, kemurungan, kadangkala tidak mahu dibantu, salah sangka dan tidak tidur pada waktu malam.
Rawatan
Menyentuh mengenai jenis rawatan, jelas Rajbans, tiada satu kaedah khusus untuk menyembuhkannya namun apa yang boleh dilakukan ialah melengahkan simptom.
Dalam beberapa kes tertentu, pemberian ubatan untuk meningkatkan kembali sel dan hormon dilakukan dalam bentuk tablet.
"Masalah utama pengambilan ubatan dalam bentuk tablet ialah pesakit kerap terlupa untuk mengambilnya seperti yang diarahkan. Jadi, satu inovasi dilakukan iaitu pesakit dilekat satu tampalan seumpama plaster di lengan.
"Dengan itu, pesakit tidak lagi mempunyai masalah dengan rutin mengambil ubat," jelasnya yang turut menjelaskan antara penyebab utama penyakit ini ialah virus, toksin, kekurangan hormon dan vitamin serta pelbagai lagi.
Tambahnya, penyakit ini bukan sahaja melibatkan pesakit malah seluruh ahli keluarga terdekat yang terpaksa menjaga, merawat dan memantau pesakit.
"Pengetahuan asas mengenai simptom, penjagaan harian serta keperluan pesakit amat penting bagi ahli keluarga. Secara tidak langsung, ia akan membantu ahli keluarga menangani salah faham antara mereka," nasihat Rajbans.
Jangka hayat yang semakin bertambah di Malaysia memberi petunjuk bahawa masyarakat perlu memandang serius penyakit ini.
Ujarnya, ia merupakan fenomena normal di mana-mana negara di dunia apabila taraf hidup semakin meningkat dan keperluan kendiri seperti perubatan mencapai tahap terbaik.
"Sebagai contoh, Jepun. Apabila populasi warga emasnya meningkat mendadak pada 15 tahun lalu, satu pendekatan dilakukan oleh kerajaan mereka agar golongan ini aktif dari aspek minda dan fizikal," jelasnya.
No comments:
Post a Comment