Sunday, July 12, 2009

Lagi Natrah

Kalaulah Natrah tahu...

Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.




PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.

Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.

Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.

Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.

Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.


TINGGAL KENANGAN. (Dari kiri): Peguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi dan bapa angkat Mansor, M.A Majid.


Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.

Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.

Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.

Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.

"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


SETELAH gagal menjejak Natrah di Belanda, Fatini (kanan) pergi ke AS dan bertemu Natrah di sana pada tahun 1989.


Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.

"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.








NATRAH meninggal dunia di Belanda pada usia 72 tahun, Khamis lalu.


"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.

"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.

Natrah cuba bunuh suami

Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.

"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.

"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.

Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.

"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.

Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.

"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.

"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.

"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...

"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...

"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.

Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.

"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.

Natrah ‘hidup’ dalam sejarah Melayu

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@nstp.com.my

NAMA Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an - Natrah sudah meninggal dunia.

Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.

“Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam,” kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.


Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.

‘Hebatnya’ Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.

Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.

“Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.

“Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.

“Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.

“Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu,” katanya.

Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.

Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.

Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.

Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.

Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.

“Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.

“Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.

“Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati,” kata Fatini.

Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.

“Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.

“Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.

“Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya,” katanya.

Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.

“Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.

“Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan,” katanya.


Saya ikuti kisah Natrah ini boleh dikatakan dari awal lagi. Kisahnya adalah kisah masyarakat yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan kaum Melayu.

Tapi, saya sungguh kesal dengan apa yang telah terjadi kepada beliau. Dalam satu petikan lain beliau mengatakan kehidupan yang berbahagia baginya ialah semasa kanak-kanak.

Seminggu dua ini kita telah dikejutkan dengan kematian beberapa orang public figure. Allahyarham Fathi Yakan, Michael Jackson/ Mikaeel, Farah Fawcet dan Natrah. Saya tidak komen apa-apa tentang Fathi Yakan kerana umum sudah mengetahui usaha Allahyarham memperjuangkan Islam. Ketika saya menghadiri usrah semasa di UM dulu, buku Mengapa Saya Memeluk Islam dijadikan sebagai buku rujukan utama. Dan buku tersebut masih dijadikan rujukan. Nama beliau amat dikenali di langit dan di bumi. Farah Fawcet, saya sebutkan juga di sini sebab semasa saya di zaman persekolahan, drama mingguan Charles Angel saya tidak pernah miss. Senyuman yang cantik dengan sebaris gigi yang menawan. Michael Jackson, artis yang hidup penuh kontroversi dan meninggal pun dalam keadaan penuh tanda tanya. Kalaulah betul betul beliau memeluk Islam, saya haraplah ada mana-mana pihak menyempurnakan jenazah Allahyarham secara Islam. Tidak elok dilambat-lambatkan pengebumian jenazah. Dan terkini, Natrah, saya tidak tahu bagaimana nak mengulas tragedi beliau, kerana bagi saya beliau wanita yang sangat malang...

Pelbagai cara orang menanggapi kisah public figure di atas. Tapi, dari satu sudut pandangan saya, alangkah bertuahnya kita menjadi kita. Alangkah bertuahnya menjadi "manusia merdeka." Boleh menyatakan pendapat, hak untuk memilih (khusus untuk Natrah).

Selagi nyawa masih dikandung badan, marilah kita bersyukur dan berusaha meningkatkan kualiti hidup kita. Memartabatkan diri kita supaya mati kita nanti menjadi insan mulia. Tak kisahlah jika tidak terkenal asalkan kita dikenal oleh "yang di atas sana". Hidup di dunia ibarat sekelip mata saja jika kita sudah beralih ke alam sana.

Jadi, terpulang kepada kita sebagai insan merdeka untuk mati sebagai 'kematian yang mana'..


2 comments:

Kakak said...

Salam..
Cikgu Wan, dulu saya memang tak ketinggalan mengikuti kisah ini di Dewan Masyarakat. Sedih dengan kisah ini.

wan salmah said...

waalaikum salam,
Kakak, Kak Wan pun sedih pasal Natrah ni. Wajah comel dan bersih je. Tapi sedih bila lihat dia dgn uniform tukang cuci kan. Anak dia ada yg mental problem. Mesti Mak Aminah sedih sangat tengok anak angkat kesayangan dia jadi macam tu. Nak sangat tapi wat terbiar je..
Mereka tak rasa bersalah ke buat macam ni (macamlah mereka ada perasaan..)