Saturday, September 19, 2009

Kepada semua pengunjung blog ini, saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Jika terdapat sebarang kesilapan sama ada disedari atau tidak, disengaja atau tidak, saya harapkan tuan/puan sudi memaafkan kesilapan saya/kami.

Tahun ini buat kali ke-3 kami berhari raya di Rembau, tidak dapat balik ke kampung kami di Kg Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan. Sukar untuk gambarkan perasaan kami. Harap-harap kali ini merupakan kali terakhir kami berhari raya di perantauan. Doakan agar saya dapat bertukar ke Kelantan pada sesi pertukaran awal 2010 nanti.

Sunday, September 13, 2009

Nak yang Halal?

Enjin carian 'halal' dapat sambutan hangat.

KAHERAH: Enjin carian internet baru 'ImHalal' mula memenangi hati pengguna internet di Mesir walaupun baru beberapa hari diperkenalkan.

"Enjin carian baru ini bagus," kata Marwa Adeeb, seorang kerani bank Mesir kepada web Islam Online.

"Seorang rakan sekerja saya memberitahu mengenainya. Saya tidak pernah berhenti menggunakannya sejak itu."

Enjin carian berdasarkan nilai Islam itu dilancarkan minggu lalu di mana ia menapis kandungan internet yang disifatkan penciptanya sebagai hanya mengandungi halaman web bersih yang tidak mempunyai bahan lucah.

Ia memberi peluang kepada umat Islam seluruh dunia untuk membuat carian di internet dengan selamat tanpa berhadapan dengan kandungan yang berunsur lucah atau salah.

Sebaik saja pengguna menatap kandungan yang dikategorikan 'salah', enjin carian akan bertukar kepada satu nasihat.

Apabila pengguna mencari perkataan seperti 'seks' atau 'bogel', misalnya, enjin carian akan terus memberitahu pengguna bahawa keputusan pencarian itu mengandungi bahan yang haram atau bersifat tidak Islam.

Enjin carian Islam pertama di dunia itu boleh diperoleh dalam 15 bahasa termasuk Arab, China, Parsi, Turki dan Bahasa Inggeris.

Di Mesir, lebih 90 peratus daripada 80 juta penduduknya beragama Islam dan sekitar 12 peratus yang menggunakan enjin carian baru ini dianggap memberikan mereka apa sebenarnya yang dicari.

Pengasasnya, Reza Sardeha, 20, pelajar Iran-Kuwait yang tinggal di Belanda berharap enjin carian baru itu akan menjadi halaman pencarian nombor satu di kalangan pengguna Islam.

Paling mengejutkan, 'ImHalal' juga mendapat sambutan daripada penduduk minoriti Kristian di negara itu. � Agensi

Tak kisah si penulisan saya ini agak berbeza sikit dengan artikel di atas ya, tapi masih berlegar pada kata kunci "Halal".

Dalam 4 hari yang lepas, saya telah ke sebuah pasar raya di Rembau. Antara dua barangan yang saya beli ialah vitamin C Scott emulsion dalam bentuk pastil. Ini tentu menarik untuk anak-anak saya. Biasanya dalam bentuk pekatan. Tertera dengan jelas logo Halal Jiwan erakim pada kotak tersebut. bing.
Barang kedua ialah serbuk dadih -buahan buah keluaran NBI. Serbuk dadih ini amat popular dan ramai penggunanya. Kalau dulu logo halalnya ditampal dengan lampiran kecil, tapi sekarang logo Halal Jakimnya dicetak siap pada pembungkus dadih tersebut.

Memandangkan kedua-dua barang tadi perlu kami beli dan logo Halal Jakimnya begitu ketara, Maka saya pun tanpa teragak membelinya.

Sampai di rumah, oleh sebab anak saya Syamil berpuasa, jadi lambat sikitlah hendak membuka vitamin C tadi. Tetapi, terlintas di hati saya untuk menyemak kandungan bahan-bahan dalam vitamin C tadi. Salah satu bahan yang digunakan ialah bovine. Saya pun menyemak apakah maksud bovine di internet. Bovine ialah bahan yang diperoleh pada haiwan ternakan seperti lembu atau kambing. Sebelum ini saya baru ke farmasi yang dikendalikan oleh orang Melayu. Dia memang mengelak daripada menggunakan bahan bovine ni kerana walaupun masih menggunakan hasil lembu, tapi kita tidak pasti lembu tadi disembelih mengikut cara Islam. Tetapi, menurut keterangan artikel tentang bovine yang saya baca di internet, jika terdapat logo Halal Jakim, kita boleh menggunakannya.

Saya pun menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jakim untuk menentukan status dua barangan ini. Jawapan yang saya peroleh ialah: Tiada dalam senarai. Masih tidakberpuas hati, saya mengsms perkhidmatan telefon bimbit pula. Dan, jawapan yang diberi masih sama iaitu "Tiada dalam senarai."

Jadi, bagaimana nih? Sampai hari ini saya masih belum menggunakan kedua-dua produk tersebut walaupun anak kecilsaya menangis-nangis apabila melihat vitamin C itu.

Memang saya cerewet tentang makanan. Contoh seterusnya ialah kentang goreng/french fries. Di Rembau, saya sudah tinjau tidak ada kentang tersebut yang ada logo Halal yang meyakinkan. Semua logo Halal jawi atau rumi. Hanya di pasar raya saja ada yang menggunakan logo Halal yang diiktiraf oleh jabatan agama Islam negara tersebut. Bagaimana nih? Anda tidak pernah membeli french fries yang siap digoreng? diletakkan di dalam bekas yang menarik, tidakkah anak-anak anda minta dibelikannya? Anda tidak pernah makan chicken chop? Chicken chop kurang sempurna/lengkap tanpa french fries.

Pentingkah bersikap peduli pada makanan ini?

Saya sebagai guru selalu naik pusing apabila berhadapan dengan telatah anak-anak murid. Dulu, semasa di dalam kelas, pernah sekali mulut saya terasa ringan hendak bercakap dengan kawan semasa cikgu bercakap. Saya ingat lagi, cikgunya Cikgu Yusuf. Beliau membaling kapur ke arah saya. Selepas itu saya tidak bercakap lagi semasa cikgu bercakap. Tetapi sekarang? Kalau nak disenaraikan di sini masalah-masalah disiplin dalam kalangan pelajar, memang tak larat nak disenaraikan. canggih-canggih dan hebat anak-anak zaman ini. Tidak payah memandang jauh ke luar jendela, tengok pada keluarga sendiri pun sudah boleh faham. Dalam diri kita sendiri pula? Sejujurnya saya akui, saya sendiri pun masih banyak sifat-sifat mazmumah. Memang hendak berubah, tapi, liat juga kadang-kadang. Solat tidak khusyuk, doa "tidak" makbul... kerana apa itu semua ya..

Marilah kita sama-sama renung-renungkan..

Wednesday, September 09, 2009

Salam Semua

Hmm, sekadar nak memeriahkan tarikh 09.09.09..

Kepada anak-anak yang menjalani UPSR semalam, makcik ucapkan selamat menjawab, semoga anak-anak akan mendapat keputusan yang cemerlang nanti ya.
Kalau anak makcik Sarah masih ada, tentu dia juga teruja menjawabnya. Itulah salah satu sifatnya, iaitu macam seronok sangat menghadapi ujian atau peperiksaan. Banyak perkara yang mengujakan anak makcik; seperti kalau ada pertandingan sama ada di sekolah pagi atau sekolah fardu ain pun arwah suka untuk menyertainya.
Sebenarnya ada juga makcik terfikir hendak ke sekolah arwah, mengucapkan selamat maju jaya kepada teman-teman arwah. Makcik tidak lupa semasa arwah berada di darjah 3 lagi sekolah mereka telah menggalakkan study group. Pelajar dalam kumpulan 5/6 orang akan berkumpul pada hujung minggu di rumah salah seorang pelajar. Mereka akan membuat bersama-sama kerja sekolah, buku skrap dsb. Yang selalu menawarkan diri untuk jadi tuan rumah ialah Liana. Keluarga Liana pun rajin layan arwah. Makcik sungguh terhutang budi kepada Liana dan keluarga.
(Dan semua guru-guru SKUR, kawan-kawan Sarah dan keluarga masing-masing). Tetapi makcik tidak ke sekolah anak makcik. Ada beberapa perkara yang makcik masih belum bersedia untuk menghadapinya. Makcik rasa makcik tak begitu kuat untuk melihat kamu semua menjalani peperiksaan itu. Makcik dapat rasakan anak makcik sayangkan kamu semua, itulah yang makcik tidak sanggup berhadapan dengan kamu semua pada saat-saat ini.
Makcik doakan kamu semua berjaya dengan cemerlang ya. Insya Allah.

Sunday, September 06, 2009

Mengapa Bersedih?

Memang Allah sengaja....

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat menjadi penilai yg baik.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa kita hanyalah makhluk yg sentiasa mengharapkan pertolongan ALLAH.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat KASIH SAYANG YANG TERBAIK,KHAS UNTUK DIRI KITA.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita sedar bahawa ALLAH MAHA PEMURAH & PENYAYANG kerana mengingatkan kita bahawa dia bukanlah pilihan yg hebat untuk kita dan kehidupan kita pada masa depan...

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita dapat mengutip pengalaman yg tak semua orang berpeluang untuk mengalaminya.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita jadi MANUSIA YG HEBAT JIWANYA.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita lebih faham bahawa CINTA YG TERBAIK HANYA ADA BERSAMA ALLAH.

* memang ALLAH sengaja menemukan kita dengan orang yg salah supaya kita LEBIH MENGENALI KEHIDUPAN YG TAK SELAMANYA KEKAL. Wahai sahabat yg kecewa, menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya.
Hari esokpun kita sendiri tak pasti samada menjadi milik kita. Gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhan-NYA, dan meninggalkan laranganNYA. . PERCAYALAH sesungguhnya ALLAH malu untuk menolak permintaan hamba-NYA yg menadah tangan meminta dengan penuh pengharapan HANYA kepada-NYA

10 JENIS ORANG ISLAM YANG KEJAM...
Sufyan Atsauri berkata: "Sepuluh macam daripada kekejaman ialah:

1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin.

2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.

3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.

4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.

6. Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.

7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.

8. Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.

9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.

10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

9 Pembaziran Yg Sering Kita Lakukan...

"Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada 9 pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu:

Ilmu pengetahuan
- Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

Amalan
- Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

Kekayaan
- Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.

Hati
- Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.

Tubuh badan
- Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

Cinta
- Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

Masa
- Membazir jika tidak diurus sebaiknya.

Akal
- Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

Zikir.
- Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Wallahu'alam.

Semuga Allah s.w.t memberi kekuatan untuk kita amalkan.
Wassalam