|
bu, saya mahu menulis novel hari ini," kata penulis pojok yang terkenal dengan penulisannya yang kritis dan berani, Karim Raslan ketika hanya berusia lima tahun.
Kata-kata yang diungkap ketika penulis bertemu dengan beliau di pejabatnya di Damansara baru-baru ini jelas menggambarkan kesungguhan dan minat mendalam Karim tentang dunia penulisan sejak dari kecil walaupun kebanyakan kanak-kanak pada usia tersebut rata-rata baru mahu belajar menulis.
Namun bagi Karim yang kini berusia 46 tahun, keinginan dan iltizam beliau untuk menulis sememangnya telah sebati sejak kecil dan ia semakin memuncak apabila meningkat dewasa.
Runtutan pemerhatian dan pengalaman tentang keadaan sekeliling selain mengakui seorang yang sangat kuat membaca membuatkan keinginan untuk meluah dan menzahirkan pendapat melalui penulisan semakin merenggut jiwanya.
Uniknya penulis yang berasal dari Petaling Jaya ini, keperibadian beliau masih menebal dengan ciri-ciri ketimuran serta sangat menjaga pertuturan, sesuatu yang sangat berbeza jika dilihat dengan gaya penulisan beliau yang sangat kritis dan berterus terang tentang apa saja isu dan keadaan.
Sebagai penulis pojok yang menulis untuk beberapa akhbar utama negara selain beberapa akhbar di negara-negara Asean seperti Indonesia, Singapura dan Filipina, ketajaman dan kritikan pedas yang diluahkan seringkali dilihat sebagai satu cubaan provokasi terhadap pemimpin politik mahupun sebagai satira umum berkaitan dengan dilema sosial masyarakat.
Namun kebanyakan kita hanya mengetahui Karim sebagai seorang penulis berbakat besar namun sangat sedikit maklumat yang diketahui tentang peribadi dan latar belakang beliau.
Lelaki yang dilahirkan pada tahun 1963 ini sememangnya mengakui bidang penulisan merupakan perkara yang sudah menjadi darah daging dan beliau menggambarkan hidupnya tidak akan lengkap dalam sehari jika tidak menulis.
Karim berasal dari sebuah keluarga elit di Kuala Kangsar dan berdarah campuran dimana ibunya berasal dari England. Bapanya merupakan akauntan negara Melayu pertama yang turut bertanggungjawab menubuhkan Bank Bumiputera di mana orang Melayu masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi ketika itu.
Beliau membesar di dalam keluarga yang mengakuri tradisi dan amat mementingkan cara lama. Namun kematian bapanya ketika Karim berusia tujuh tahun dalam satu kemalangan benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.
Menurut Karim, bapanya telah dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh bapa saudaranya. Dipandu ke sekolah dengan kereta Daimler, lengkap dengan orang gaji yang menunggu di luar sekolah untuk memberikan minuman dan diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di England.
Keturunan
Namun kemudiannya kembali ke tanah air dengan membawa isteri berbangsa Inggeris dan bekerja di ibu negara. Ayahnya memilih untuk kehidupan moden dan tidak ingin kembali kepada cara lama kerana tidak mahu terperangkap dengan kesombongan keturunan yang terlalu mementingkan status dan kedudukan. Bapanya begitu mementingkan soal kemajuan dan pembangunan melalui pemerintahan yang baik dan peluang untuk semua.
Walaupun hanya bersama dengan ayahnya untuk tempoh yang singkat namun adalah jelas sifat dan karakter bapanya banyak mempengaruhi sikap dan pendirian Karim dalam kerjayanya sekarang.
Satu sikap yang sangat menonjol dalam diri Karim ialah walaupun berasal dari golongan elit tetapi golongan rakyat kebanyakan merupakan topik utama yang menarik minat beliau untuk menulis.
Setelah kematian bapanya, ibunya membawa Karim dan adik beradiknya pulang ke England pada 1970. Beliau dibesar dan disekolah di sana sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge dalam jurusan bahasa Inggeris dan undang-undang. Memandangkan Karim sudah membuat keputusan untuk menjadi penulis sejak kecil beliau pada awalnya mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang penulisan dan kewartawanan.
Tetapi pesanan dan nasihat yang diberikan ibu tercinta supaya melanjutkan pelajaran dalam bidang guaman untuk masa depan yang lebih baik membuatkan beliau akur dengan kehendaknya.
Namun Karim melihat keputusan tersebut sebagai sesuatu yang betul kerana ia membenarkan beliau menggunakan jaringan luas bapanya untuk membantu dalam perniagaan serta bidang penulisan.
Setelah menetap di England selama 17 tahun, Karim membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia pada 1987 kerana bosan berada di sana selain mengikut naluri bahawa negara ini adalah yang terbaik untuknya meneruskan kehidupan.
Beliau kemudiannya terlibat dalam banyak perkara mendirikan syarikat guaman, menjadi pengacara dan sebagainya namun yang pastinya keinginan sebenar beliau adalah menulis. Maka Karim membuat keputusan berundur dan dan menjual syarikat guamannya untuk menumpukan perhatian kepada bidang penulisan sebagai penulis bebas dan penyunting untuk pelbagai akhbar.
Berbicara mengenai Karim pasti tidak akan sah jika tidak menyentuh tentang bukunya yang mendapat sambutan ramai iaitu Ceritalah 1, Malaysia Dalam Peralihan dan Ceritalah 2, Menjajat Asia Tenggara. Terbaru beliau akan melancarkan buku terbaru, Ceritalah 3, Impian Malaysia yang tertunda. Kedua-dua buku beliau yang pertama jelas menggambarkan pemikiran kritis Karim tentang sudut pandangan politik dan sosial mengenai Malaysia dan negara serantau.
Menyuarakan
Dalam Ceritalah 1 beliau dengan lantang menyuarakan pandangannya tentang permasalahan sosial masyarakat dan serakah politik yang berlaku di dalam negara. Dalam Ceritalah 2, hasil penulisan beliau semakin matang dan berpengaruh bersesuaian dengan kematangan usianya selain pengalaman luas beliau dalam pengembaraan.
Mengenai pengembaraan, satu sudut yang pastinya sangat dicemburui oleh semua wartawan dan penulis (termasuk saya) dan kerana itu penulisan beliau sangat mendalam, kemas dan berpandangan jauh.
Pengembaraan bagi beliau bukanlah satu pengembaraan biasa seperti pergi melancong dan bersantai, sekadar melihat kawasan dan tempat-tempat menarik. Tetapi pengembaraan bagi Karim adalah turun ke lapangan menemui semua golongan masyarakat dari petani di Jawa Timur, peniaga tepi jalan di Balik Pulau, nyonya kaum Kayan, pelajar perempuan di Manila hinggalah golongan eksekutif dan pemimpin muda yang berpotensi.
Bagi beliau pengembaraan dan turun ke lapangan menyaksikan sendiri wajah dan kejadian yang berlaku menimbulkan keghairahan sebenar dalam penulisan. Apa yang menarik dalam setiap pertemuan dan wawancara, beliau menulis sendiri apa yang diucapkan mereka tanpa menggunakan alat perakam.
Bagi Karim walaupun berasal dari golongan elit namun untuk mendapat kepuasan dan kepercayaan beliau harus benar-benar memahami apa yang mereka alami. Dan dari situ beliau akan menulis dengan cara yang jujur dan ikhlas.
Corak penulisan beliau ini lebih kepada kualitatif dan bukan kuantitatif. Karim lebih cuba untuk menghampiri individu dan kehidupan mereka selain menyelami perasan dan kemudian baru ditanya tentang perkara yang lebih provokatif seperti politik dan persekitaran sosial mereka. "Saya sangat suka mendengar. Itu sebab nama siri saya ceritalah. Saya menganggap diri sebagai tukang cerita kerana banyak mendengar cerita orang lain dan kemudian dari cerita tersebut mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku.," katanya
Selain itu bagi Karim adalah penting untuk beliau menulis di dalam kolum akhbar yang dikeluarkan dalam akhbar berlainan bahasa supaya semua orang dapat membacanya tanpa mengira kaum dalam bentuk malaysia
Ini adalah bersesuaian dengan pendirian beliau sebagai seorang warga Malaysia yang sederhana dan berada di tengah-tengah dan tidak memihak kepada mana-mana kelompok ekstremis.
Beliau merupakan seorang yang sangat prihatin dan bimbang tentang apa yang akan dilalui oleh rakyat namun tugasnya adalah sekadar memasukkan idea yang mungkin boleh diterima tetapi sama ada idea itu mahu digunapakai adalah terpulang kepada mereka.
"Saya bukan orang politik dan saya bukan orang yang boleh membuat keputusan kerana bukan pemerintah.
"Namun bagi saya adalah penting untuk menulis di mana sahaja tanpa mengira pendapatan kerana penulisan itu bakal dibaca oleh pelbagai peringkat dari golongan biasa hinggalah mahasiswa dan ahli politik supaya saya dapat memberi perspektif yang berbeza kepada mereka," katanya mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment