Sunday, January 31, 2010
Akhirnya...
Selepas SRP di SM Agama Khairiah Gong Kapas, saya ditawrkan ke Kolej Islam Kelang, Selangor. Tentulah kenangan hidup dengan rakan pelbagai negeri, pelbagai ragam di sekolah berasrama penuh itu merupakan saat-saat suka saya. Di sana, di samping mengambil sijil peperiksaan akademik, kami (sebilangan) mengambil Sijil Tinggi Kolej. Kami ialah calon perintis dan dikatakan jika pelajar lulus cemerlang akan ditawarkan ke Mesir. Semasa SPM, B. Arab tidak bagus, tetapi semasa di tingkatan 6, semangat saya untuk belajar Bahasa Arab bagai ditiup-tiup, mungkin sebab faktor saya terpilih ke kelas khas B. Arab. Dan, saya telah mendapat keputusan sangat baik. Pelbagai usaha telah dibuat untuk membawa kami yang lulus cemerlang itu ke Mesir, namun, segala usaha itu menemui jalan buntu. Sijil kami masih belum diiktiraf di sana.
Setelah STPM, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang ekonomi selama 3 tahun. Usai pengajian, saya pulang ke kampung. Ekonomi dunia meleset. Banyak penganggur muncul. Rasalah saya hidup di kampung sejenak. Saya berumah tangga. Kemudian menyambung KPLI di Jitra. Sekali lagi bermula lagi detik perkelanaan saya/kami. Negeri pertama saya ditugaskan sebagai pendidik ialah Kedah, iaitu di Serdang. Tempohnya 6 bulan sahaja. Tapi, saya rasa seronok sangat di sana, mungkin sebab pengalaman hidup yang pertama, dan tempat itu agak terpencil.
Kemudian saya bertukar ke Seberang Perai Utara, bertugas di SMKA Irshad. Saya di sana selama 5 tahun. Saya berpindah lagi, seterusnya ke Negeri Sembilan, hinggalah ke hari ini, sudah 13 tahun 1 bulan. Saya suka negeri Sembilan, negeri kecil negeri beradat.
Beberapa tragedi menempuh keluarga saya. Lalu selama 2 tahun saya berusaha untuk mengisi burang untuk berpindah balik ke negeri asal saya. 19 tahun di perantauan nampaknya bukan alasan kukuh bagi menukarkan saya. Banyak lagi alasan peribadi yang menyebabkan saya getir di sini.
Akhirnya..ya, akhirnya, permohonan saya untuk pulang ke kampung diperkenankan juga. Sehingga saya beranggapan; memohon pulang ke Kelantan bagai memohon untuk ke bulan.. tetapi,, tidak ada perkara mustahil di dalam dunia ini kerana sudah ada manusia yang ke bulan.
Saya akan berangkat pulang menjelang cuti hari raya cina nanti. Sekarang kami sedang berkemas-kemas.
Mungkin ini penangan 'ayat seribu dinar?' Bukan itu sahaja berita gembira yang kami terima. Anak ketiga saya, Zahid sudah diterima untuk menyambung studi di ALAM sebagai 'marin engineering'. Kursus diploma akan bermula bulan Mei nanti selama 3 tahun.
Syukur. Allah telah memakbulkan doa seorang ibu. Bukan mudah melahirkan dan membesarkan 7 orang anak, terutama sekarang yang terpaksa melakukannya bersendiri. Setakat ini, dari segi akademik, saya sudah cukup berpuas hati dengan pencapaian 3 anak-anak saya yang teratas. Lebih penting lagi bagaimana untuk membawa bahtera ini menuju ke pulau syurga..
Sunday, January 24, 2010
Thursday, January 14, 2010
Anda Teruk Diduga?
Mengambil iktibar cabaran dilalui nabi ketika berdepan kesusahan
MANAKAH yang besar penderitaan kita dengan penderitaan Nabi Adam? Yang dalam syurga bersenang-senang dengan isterinya, lalu disuruh keluar. Manakah yang susah penderitaan kita dengan penderitaan Nabi Nuh, yang menyeru umat kepada Islam, pada hal anaknya enggan mengikut?
Hingga seketika disuruh Tuhan segala ahli kerabatnya naik perahu, anak itu tidak ikut. Malah sama karam dengan orang ramai di dalam gulungan banjir di hadapan matanya. Kemudian datang pula ketetapan Tuhan anak itu bukan keluarganya.
Pernahkah kita lihat cubaan serupa yang ditanggung Ibrahim? Disuruh menyembelih anak untuk ujian, ke manakah dia lebih cinta, kepada Tuhannya atau kepada anaknya?
Yaakub dipisahkan daripada anaknya Yusuf. Yusuf diperdayakan seorang perempuan. Ayub ditimpa penyakit parah. Daud dan Sulaiman kena pelbagai fitnah. Demikian Zakaria dan Yahya, yang memberikan jiwa mereka untuk korban keyakinan. Isa Al-Masih pun demikian pula. Muhammad lebih-lebih lagi.
Pernahkah mereka mengeluh? Tidak, kerana mereka yakin kepercayaan kepada Tuhan menghendaki perjuangan dan keteguhan. Mereka tidak menuntut kemenangan zahir kerana mereka sudah menang.
Mereka memikul beban seberat itu, menjadi Rasul Allah, memikul perintah Tuhan kerana mencintai manusia. Sebab itu mereka tempuh kesusahan, pertama membuktikan cintakan Tuhan, kedua menggembleng (mengekang) batin, ketiga kerana rahim yang sayang segenap umat.
Apakah lagi yang akan kita keluhkan apabila berdepan cubaan? Sehingga manakah baru darjat kita, dibandingkan dengan nabi? Mari kita tempuh liku hidup, mari kita berjuang, bersabar, bertawakal dan berani menurut contoh nabi.
Sumber: Tasauf Moden oleh Prof Dr Hamka
Berita Harian 14 . 1. 2010
Monday, January 11, 2010
Sembang-sembang sekolah..
Setelah sesi persekolahan dimulakan, saya cuba merajinkan diri untuk melaksanakan tugas-tugas yang datang bagai ombak membanting pantai..
"Kak, rasa banyak pula tugas tahun ini," saya berkeluh kepada Kak Norzi.
"Ya lah, rasa macam tak terkejar pula." Jawapan spontan Kak Norzi mengiyakan bahawa semua cikgu dilimpah kerja.. biasalah fenomena awal tahun.. Saja-saja je berkeluh sebenarnya, kerja-kerja yang datang kami lunaskan.
Tadi, pengetua cemerlang kami iaitu Datin Azimah hj Alis, dengan tetamu khas iaitu Dato' Afandi, GPK1, GPM, ketua-ketua bidang, semua ajk PSS sekolah kami menghadiri mesyuarat PSS. Kali ini PSS telah diamanahkan menjalankan satu program untuk memperkasa PSS.
Program ini merupakan program yang sangat menarik, kerana jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berjaya, program ini mampu membuat anjakan paradigma kepada landskap sekolah kami.
Ideanya begini. PSS ialah satu tempat penting untuk menyalurkan ilmu. Selama ini PSS dikatakan kurang menarik perhatian pelajar kerana pengisiannya yang tradisional, ada buku-buku, majalah, ensaiklopedia (macam perpustakaan biasalah). Anjakan yang dimaksudkan di sini ialah, bagaimana untuk menarik minat pelajar menceduk ilmu di sini dan menjadikan mereka berfikir jauh ke hadapan. Supaya pelajar nampak buku macam nampak coklat.. (ayat saya..).
Buku-buku yang dibekalkan mestilah berkualiti, menarik minat pelajar. Contoh, jika pelajar datang dan menaakul buku-buku di sini (juga bahan-bahan lain seperti CD, LCD, software yang sesuai, internet di PSS dsb), pelajar bukan setakat mendapat ilmu bahkan rasa tertarik untuk menjadi juru terbang misalnya. Buku yang mendedahkan kerjaya juru terbang, langkah-langkah dari awal untuk pelajar turuti bagi merealisasikan pelajar ke dalam kerjaya ini.
Seterusnya juru terbang yang mengenakan uniform kerja akan dijemput memberi pendedahan
dalam kerjaya ini. Pelajar mungkin juga dibawa melawat ke tempat-tempat yang berkaitan bidang ini.
Program ini memerlukan rangkaian komuniti setempat seperti PIBG, agensi atau jabatan-jabatan berhampiran, serta bekas pelajar sekolah ini.
Langkah pertama yang perlu kami lakukan ialah, senaraikan judul buku, atau bahan-bahan untuk bidang kami. Seterusnya langkah-langkah akan diambil untuk mendapatkan buku/bahan-bahan tersebut dengan mengumpul dana, "menjual meja" dsb.
Saya sokong apa-apa saja usaha yang bagus untuk anak bangsa. Kerja lebih sikit berbaloi dengan kejayaan akan digapai nanti, sementelah saya suka pada ilmu atau buku.
Insya Allah jika kita bekerjasama kita dapat melakukannya dengan lebih mudah.
Kepada diri saya sendiri, saya harap akan terus gigih menapak. Tahun ini nampaknya tahun kerja keras untuk saya. Secara peribadinya, saya sedang bergelut dengan urusan jualan rumah saya yang sudah memakan masa lebih setahun. Saya juga berusaha supaya dapat berpindah balik ke negeri kelahiran saya, jika anda pernah membaca catatan saya, saya sifatkan untuk dapat berpindah ke Kelantan bagai ingin terbang ke bulan...contoh la.. Saya juga sedang bergelut dalam bidang penulisan..hihi, yang ini tidak berani ulas panjang-panjang selagi hasilannya tidak sempurna agamnya di depan mata...
Besok kami akan bermesyuarat untuk bidang saya, iaitu bidang teknik dan vokasional. Sebelum ini agenda pun sudah bersusun 7, tambah dengan program PSS ni, bertambah lagilah agendanya.. Saya bersyukurlah setakat ini ahli-ahli bidang saya ni hebat-hebat.. masing-masing ada kemahiran, maklumlah bidang teknik dan vokasional..banyak pakar terkumpul di sini..
Antara agenda yang telah kami rancang ialah mengadakan Minggu teknik dan Vokasional. Kalau tahun lepas kami lakukan sehari sahaja, dan sebagian pelajar sedang bergelut dengan peperiksaan akhir tahun, kali ini kami jalankan seawal bulan 4. Jadi, usaha untuk memantapkan minat pelajar dalam bidang kami (dengan mengaitkan program PSS tadi) sangatlah sesuai. Kami juga bercadang mengadakan Karnival Hari Keusahawanan..
Semoga semuanya berjalan lancar. Semoga para pelajar cakna akan peranan mereka, dan yang penting tahu hala tuju mereka dan dapat menentukan kerjaya mereka dari awal-awal lagi..
Sunday, January 10, 2010
10.01.10
Seminggu persekolahan sudah berlalu. Semoga hari-hari yang sudah kita lalui penuh cemerlang. Jika tidak, masih ada peluang untuk kita mengkoreksi diri, insya Allah.
Semoga tahun ini berlaku sesuatu yang membahagiakan, atau yang di luar kebiasaan kita (tapi membahagiakan)..amin...langit tidak selalu gelap, kan kan kan..
Friday, January 01, 2010
Selamat datang 2010, Seribu Dinar
Kata-kata itu ialah lebih kurang begini;
Hidup ini tidak akan sunyi daripada dugaan. Tatkala kita berasa berputus asa, berdoalah juga bagai orang yang berputus asa, kerana nanti kita tidak akan sangka pada saat-saat orang tidak mempedulikan kita, ada Tuhan yang sentiasa dekat, dan maha mendengar segala keluh resah kita...
Sebenarnya ayat-ayat di atas merupakan tag lama saya. Oleh sebab pengirim tidak membacakan sumber, jadi tidak tahu diambil dari mana..cuma saya kot-kot terperasan lebih sebab saya memang menjadikannya sebagai kata-kata awal pada blog saya/tag.
Tak kisahlah. Saya pun mengambilnya daripada pembacaan juga dengan sedikit ubah suai. Sempena tahun baru ini, saya ingin mengubah tag tersebut kepada ayat-ayat yang lebih mantap. Iaitu:
Bermaksud :
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)
Marilah kita sama-sama menghayati dan mengamalkan ayat-ayat ini, semoga kita akan termasuk dalam golongan hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya
Maka, pada kesempatan ini, saya menukarkan tag di atas dengan ayat seribu dinar ini. Jadikan amalan, insya Allah saya cuba membacanya setiap selepas solat 3 kali, atau pada masa-masa yang sesuai. Yakinkan diri setiap membaca bait-bait suci tersebut. Saya akan cuba aplikasikan/tafsirkan ayat-ayat tersebut mengikut penghayatan saya setakat ini. Iaitu...
"Segala sesuatu di alam semesta ini adalah milik-Nya. Dia ialah raja di langit dan di bumi, di dunia mahupun di akhirat. Maka selayaknya kita menganggap-Nya sebagai "raja", pemerintah, penguasa, pemilik. Dan berbuat sesuatu perkara bertuhankan-Nya, bukan kerana lain seperti takut kepada bos, pasangan, alam dsb.
Jadi apabila kita hamba-Nya menyerah diri setulus ikhlasnya kepada raja kita, seharusnyalah kita akan disayangi oleh-Nya. Akan diberinya jalan keluar atau rezeki tanpa diduga.
Mengapa, jika kita sudah bertindak baik, tapi masih ditimpa kecelakaan. Ingatlah, kita ada rencana, Allah pun ada rencana. Rencana kita itu terlalu rapuh kerana sudut pandang kita terlalu sempit, sedang sudut pandang Allah tembus segala-galanya, Dia Maha Mengatahui.
Dia sesekali tidak menyusahkan kita, apalagi berlaku tidak adil, bahkan membenci makhluk yang dicipta-Nya. Dia menjadikan mati dan hidup untuk menguji kita. Terimalah takdir Allah kerana rencana-Nya yang sangat halus dan bijak dan tidak terduga oleh kita itu. Segala-galanya sudah dirancang kejadian langit dan bumi, hidup dan mati, alam semesta dan kiamat. Siapa kita untuk mempertikaikan?
Mengapakah aku diuji terlalu lama? Mengapakah aku diuji bertimpa-timpa? Hinakah aku, lupakah Tuhan kepadaku? Astaghfirullah...
Allah telah menentu segala-galanya dengan segala alasan yang tidak terlintas di fikiran kita. Dan segala sesuatu yang terjadi ada tempoh-tempohnya. Sehari, seminggu, sebulan, setahun, sepuluh tahun...? Kita hidup di dunia ini, bak ombak, ada pasang ada surutnya. Bagai putaran jam, sekali di atas, sekali di tepi, sekali di bawah. Jika kita teruk ditimpa kesusahan, cuba ingat-ingatkan, kita pun pernah bahagia. Tidak kira lah apa jenis bahagia. Ada keluarga, ada harta dsb. Cuba kita buat perhitungan, nikmat yang kita peroleh, dengan kekurangan yang ada. Nikmat dapat bernafas, nikmat dapat berjalan, nikmat dapat melihat, dapat merasa, dapat membuang air, dapat menikmati muzik, terlalu banyak nikmat yang selalu kita lupakan. Nikmat dapat bernafas, macam remeh. Cuba sekali kita sesak nafas, rasa macam hendak tercabut nyawa. Sedangkan nikmat-nikmat yang kita peroleh setiap hari kita hirup/telan tanpa ada kita mengucapkan terima kasih kepada pemberinya...Cuba bandingkan dengan orang-orang di sekeliling kita pula. Ada insan yang tiada pasangan. Ada yang tiada zuriat. Ada yang tiada anggota badan. Ada yang langsung tiada harta. Ada yang dinafikan hak untuk hidup. Macam-macam yang boleh kita fikirkan.
Ingatlah, dunia ini bukan neraka yang menjadikan kita ini sentiasa menderita, atau tiada harapan. Dunia ini juga bukan syurga yang menjadikan kita memperoleh apa-apa saja yang terlintas di fikiran kita. Dunia ialah pentas, dan kita ialah pelakonnya. Dan Allah ialah hakimnya...
Setiap orang di atas muka bumi ini diduga dengan bahagian masing-masing. Ada yang diuji dengan kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang, kemusnahan, kesempitan rezeki dsb dan sebaliknya ada juga yang diuji dengan memperoleh kekayaan, mendapat semua apa yang dihajati.
Maka, ketika keluh dan kesah, kita mesti sentiasa ingat pada Allah, mengharap pada Allah, bertawakkal kepada-Nya kerana Dialah pemilik segalanya yang terdapat di alam semesta ini, yang zahir mahupun yang batin.
Tidak disangkal sebagai manusia, oleh sebab terlalu lelah menahan segala ombak dan tsunami, kita mungkin akan jatuh, rebah tidak bermaya. Tidak berdaya melangkah bahkan membuka mata. Kita rasa berputus asa... Maka dalam asa yang putus, kita berdoa kepada penguasa kita... sebagai orang yang berputus asa...
Namun, setelah menjejak pelbagai onak dan duri, rebah dan jatuh tidak berdaya, ada satu perkara yang menusuk di atma saya... Ya, sebagai orang Islam, saya tidak sepatutnya sekali-kali pun berputus asa..tidak akan!
Jika jatuh, ambil nafas panjang-panjang, cuba ingat kepada Allah. Dia sentiasa ada di mana-mana, melihat kita, mengira berapa banyak air mata yang tumpah. Sentiasalah bergantung kepada-Nya. Itu adalah adalah kepada kita makhluk-Nya. Jika besar ujian itu, bukan bermakna Allah pilih kasih, tidak sayangkan kita. Bayangkan Allah merencana pelbagai perkara untuk kita. Jika Allah tidak kasihkan kita, dibiarkan kita bersendiri, diberi apa saja yang kita inginkan, tanpa mengira apa akibatnya nanti..hendakkah kita begitu, tidak dipedulikan.
Diberinya kita ujian, supaya kita lebih kuat (jika berjaya melepasinya, bak kita menghadapi peperiksaan lainnya), dugaan untuk menghapus dosa, dugaan untuk mengangkat martabat kita. Mungkin kita meminta sesuatu ganjaran yang terlalu tinggi nilainya, rutin biasa yang kita jalani tidak mampu kita melunasi permintaan yang kita hajati, jadi Allah berikan kita ujian yang sangat berat. Contoh, kita berdoa agar Allah memasukkan kita ke dalam syurganya yang sangat indah-indah, bersama-sama kesayangan kita. Murahkah harga syurga? Apatah lagi syurga itu ada tahap-tahapnya. Adakah Allah akan memperkenalkan permintaan kita hanya dengan berdoa? Tanpa usaha, tanpa diuji?