Saya sudah berkelana dari satu negeri ke satu negeri sejak saya di tingkatan 2 lagi. Negeri pertama ialah Negeri Terengganu. Saya suka Terengganu (pada masa itu) kerana bandarnya masih lapang dan lengang. Yang paling saya suka ialah pantai-pantai dan pulau-pulaunya. Terima kasih kepada kakak saya Wan Kelthom yang suka membawa saya bersiar-siar di sana.
Selepas SRP di SM Agama Khairiah Gong Kapas, saya ditawrkan ke Kolej Islam Kelang, Selangor. Tentulah kenangan hidup dengan rakan pelbagai negeri, pelbagai ragam di sekolah berasrama penuh itu merupakan saat-saat suka saya. Di sana, di samping mengambil sijil peperiksaan akademik, kami (sebilangan) mengambil Sijil Tinggi Kolej. Kami ialah calon perintis dan dikatakan jika pelajar lulus cemerlang akan ditawarkan ke Mesir. Semasa SPM, B. Arab tidak bagus, tetapi semasa di tingkatan 6, semangat saya untuk belajar Bahasa Arab bagai ditiup-tiup, mungkin sebab faktor saya terpilih ke kelas khas B. Arab. Dan, saya telah mendapat keputusan sangat baik. Pelbagai usaha telah dibuat untuk membawa kami yang lulus cemerlang itu ke Mesir, namun, segala usaha itu menemui jalan buntu. Sijil kami masih belum diiktiraf di sana.
Setelah STPM, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang ekonomi selama 3 tahun. Usai pengajian, saya pulang ke kampung. Ekonomi dunia meleset. Banyak penganggur muncul. Rasalah saya hidup di kampung sejenak. Saya berumah tangga. Kemudian menyambung KPLI di Jitra. Sekali lagi bermula lagi detik perkelanaan saya/kami. Negeri pertama saya ditugaskan sebagai pendidik ialah Kedah, iaitu di Serdang. Tempohnya 6 bulan sahaja. Tapi, saya rasa seronok sangat di sana, mungkin sebab pengalaman hidup yang pertama, dan tempat itu agak terpencil.
Kemudian saya bertukar ke Seberang Perai Utara, bertugas di SMKA Irshad. Saya di sana selama 5 tahun. Saya berpindah lagi, seterusnya ke Negeri Sembilan, hinggalah ke hari ini, sudah 13 tahun 1 bulan. Saya suka negeri Sembilan, negeri kecil negeri beradat.
Beberapa tragedi menempuh keluarga saya. Lalu selama 2 tahun saya berusaha untuk mengisi burang untuk berpindah balik ke negeri asal saya. 19 tahun di perantauan nampaknya bukan alasan kukuh bagi menukarkan saya. Banyak lagi alasan peribadi yang menyebabkan saya getir di sini.
Akhirnya..ya, akhirnya, permohonan saya untuk pulang ke kampung diperkenankan juga. Sehingga saya beranggapan; memohon pulang ke Kelantan bagai memohon untuk ke bulan.. tetapi,, tidak ada perkara mustahil di dalam dunia ini kerana sudah ada manusia yang ke bulan.
Saya akan berangkat pulang menjelang cuti hari raya cina nanti. Sekarang kami sedang berkemas-kemas.
Mungkin ini penangan 'ayat seribu dinar?' Bukan itu sahaja berita gembira yang kami terima. Anak ketiga saya, Zahid sudah diterima untuk menyambung studi di ALAM sebagai 'marin engineering'. Kursus diploma akan bermula bulan Mei nanti selama 3 tahun.
Syukur. Allah telah memakbulkan doa seorang ibu. Bukan mudah melahirkan dan membesarkan 7 orang anak, terutama sekarang yang terpaksa melakukannya bersendiri. Setakat ini, dari segi akademik, saya sudah cukup berpuas hati dengan pencapaian 3 anak-anak saya yang teratas. Lebih penting lagi bagaimana untuk membawa bahtera ini menuju ke pulau syurga..
3 comments:
ALHAMDULLILLAH..
Ya syukur alhamdulillah..
Salam ,..Alhamdulillah, setelah membaca entri puan, saya dapat merasai kecekalan dan kesabaran itu telah diberi ganjaran, Alhamdulillah.
Post a Comment