Friday, January 01, 2010

Selamat datang 2010, Seribu Dinar

Selamat datang tahun 2010m. Ada satu kenangan manis semasa menyambut tahun baru pada tahun lepas. Iaitu pada hari pertama persekolahan, seperti biasa saya akan mendengar radio IKIM di dalam kereta saya. Apa yang menarik ialah juruhebah membacakan satu kata-kata hikmat yang dikirim oleh pendengar sebagai renungan menyambut hari/ tahun baru. Tentulah saya terkedu beberapa harakat; "ai macam pernah dengar kata-kata ni", bisik saya dalam hati.. lantas saya tersenyum sendiri. Ada rasa gembira sebenarnya.

Kata-kata itu ialah lebih kurang begini;
Hidup ini tidak akan sunyi daripada dugaan. Tatkala kita berasa berputus asa, berdoalah juga bagai orang yang berputus asa, kerana nanti kita tidak akan sangka pada saat-saat orang tidak mempedulikan kita, ada Tuhan yang sentiasa dekat, dan maha mendengar segala keluh resah kita...

Sebenarnya ayat-ayat di atas merupakan tag lama saya. Oleh sebab pengirim tidak membacakan sumber, jadi tidak tahu diambil dari mana..cuma saya kot-kot terperasan lebih sebab saya memang menjadikannya sebagai kata-kata awal pada blog saya/tag.

Tak kisahlah. Saya pun mengambilnya daripada pembacaan juga dengan sedikit ubah suai. Sempena tahun baru ini, saya ingin mengubah tag tersebut kepada ayat-ayat yang lebih mantap. Iaitu:

5c8e262b.jpg

Bermaksud :

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Marilah kita sama-sama menghayati dan mengamalkan ayat-ayat ini, semoga kita akan termasuk dalam golongan hamba-hamba-Nya yang dikasihi-Nya



m

Maka, pada kesempatan ini, saya menukarkan tag di atas dengan ayat seribu dinar ini. Jadikan amalan, insya Allah saya cuba membacanya setiap selepas solat 3 kali, atau pada masa-masa yang sesuai. Yakinkan diri setiap membaca bait-bait suci tersebut. Saya akan cuba aplikasikan/tafsirkan ayat-ayat tersebut mengikut penghayatan saya setakat ini. Iaitu...

"Segala sesuatu di alam semesta ini adalah milik-Nya. Dia ialah raja di langit dan di bumi, di dunia mahupun di akhirat. Maka selayaknya kita menganggap-Nya sebagai "raja", pemerintah, penguasa, pemilik. Dan berbuat sesuatu perkara bertuhankan-Nya, bukan kerana lain seperti takut kepada bos, pasangan, alam dsb.
Jadi apabila kita hamba-Nya menyerah diri setulus ikhlasnya kepada raja kita, seharusnyalah kita akan disayangi oleh-Nya. Akan diberinya jalan keluar atau rezeki tanpa diduga.
Mengapa, jika kita sudah bertindak baik, tapi masih ditimpa kecelakaan. Ingatlah, kita ada rencana, Allah pun ada rencana. Rencana kita itu terlalu rapuh kerana sudut pandang kita terlalu sempit, sedang sudut pandang Allah tembus segala-galanya, Dia Maha Mengatahui.

Dia sesekali tidak menyusahkan kita, apalagi berlaku tidak adil, bahkan membenci makhluk yang dicipta-Nya. Dia menjadikan mati dan hidup untuk menguji kita. Terimalah takdir Allah kerana rencana-Nya yang sangat halus dan bijak dan tidak terduga oleh kita itu. Segala-galanya sudah dirancang kejadian langit dan bumi, hidup dan mati, alam semesta dan kiamat. Siapa kita untuk mempertikaikan?

Mengapakah aku diuji terlalu lama? Mengapakah aku diuji bertimpa-timpa? Hinakah aku, lupakah Tuhan kepadaku? Astaghfirullah...

Allah telah menentu segala-galanya dengan segala alasan yang tidak terlintas di fikiran kita. Dan segala sesuatu yang terjadi ada tempoh-tempohnya. Sehari, seminggu, sebulan, setahun, sepuluh tahun...? Kita hidup di dunia ini, bak ombak, ada pasang ada surutnya. Bagai putaran jam, sekali di atas, sekali di tepi, sekali di bawah. Jika kita teruk ditimpa kesusahan, cuba ingat-ingatkan, kita pun pernah bahagia. Tidak kira lah apa jenis bahagia. Ada keluarga, ada harta dsb. Cuba kita buat perhitungan, nikmat yang kita peroleh, dengan kekurangan yang ada. Nikmat dapat bernafas, nikmat dapat berjalan, nikmat dapat melihat, dapat merasa, dapat membuang air, dapat menikmati muzik, terlalu banyak nikmat yang selalu kita lupakan. Nikmat dapat bernafas, macam remeh. Cuba sekali kita sesak nafas, rasa macam hendak tercabut nyawa. Sedangkan nikmat-nikmat yang kita peroleh setiap hari kita hirup/telan tanpa ada kita mengucapkan terima kasih kepada pemberinya...Cuba bandingkan dengan orang-orang di sekeliling kita pula. Ada insan yang tiada pasangan. Ada yang tiada zuriat. Ada yang tiada anggota badan. Ada yang langsung tiada harta. Ada yang dinafikan hak untuk hidup. Macam-macam yang boleh kita fikirkan.

Ingatlah, dunia ini bukan neraka yang menjadikan kita ini sentiasa menderita, atau tiada harapan. Dunia ini juga bukan syurga yang menjadikan kita memperoleh apa-apa saja yang terlintas di fikiran kita. Dunia ialah pentas, dan kita ialah pelakonnya. Dan Allah ialah hakimnya...

Setiap orang di atas muka bumi ini diduga dengan bahagian masing-masing. Ada yang diuji dengan kehilangan harta benda, kehilangan orang tersayang, kemusnahan, kesempitan rezeki dsb dan sebaliknya ada juga yang diuji dengan memperoleh kekayaan, mendapat semua apa yang dihajati.

Maka, ketika keluh dan kesah, kita mesti sentiasa ingat pada Allah, mengharap pada Allah, bertawakkal kepada-Nya kerana Dialah pemilik segalanya yang terdapat di alam semesta ini, yang zahir mahupun yang batin.

Tidak disangkal sebagai manusia, oleh sebab terlalu lelah menahan segala ombak dan tsunami, kita mungkin akan jatuh, rebah tidak bermaya. Tidak berdaya melangkah bahkan membuka mata. Kita rasa berputus asa... Maka dalam asa yang putus, kita berdoa kepada penguasa kita... sebagai orang yang berputus asa...

Namun, setelah menjejak pelbagai onak dan duri, rebah dan jatuh tidak berdaya, ada satu perkara yang menusuk di atma saya... Ya, sebagai orang Islam, saya tidak sepatutnya sekali-kali pun berputus asa..tidak akan!

Jika jatuh, ambil nafas panjang-panjang, cuba ingat kepada Allah. Dia sentiasa ada di mana-mana, melihat kita, mengira berapa banyak air mata yang tumpah. Sentiasalah bergantung kepada-Nya. Itu adalah adalah kepada kita makhluk-Nya. Jika besar ujian itu, bukan bermakna Allah pilih kasih, tidak sayangkan kita. Bayangkan Allah merencana pelbagai perkara untuk kita. Jika Allah tidak kasihkan kita, dibiarkan kita bersendiri, diberi apa saja yang kita inginkan, tanpa mengira apa akibatnya nanti..hendakkah kita begitu, tidak dipedulikan.

Diberinya kita ujian, supaya kita lebih kuat (jika berjaya melepasinya, bak kita menghadapi peperiksaan lainnya), dugaan untuk menghapus dosa, dugaan untuk mengangkat martabat kita. Mungkin kita meminta sesuatu ganjaran yang terlalu tinggi nilainya, rutin biasa yang kita jalani tidak mampu kita melunasi permintaan yang kita hajati, jadi Allah berikan kita ujian yang sangat berat. Contoh, kita berdoa agar Allah memasukkan kita ke dalam syurganya yang sangat indah-indah, bersama-sama kesayangan kita. Murahkah harga syurga? Apatah lagi syurga itu ada tahap-tahapnya. Adakah Allah akan memperkenalkan permintaan kita hanya dengan berdoa? Tanpa usaha, tanpa diuji?

No comments: