Monday, February 22, 2010

Selamat Tinggal Negeri Sembilan.

Saya dan anak-anak berkemas-kemas barangan kami di rumah yang sudah didiami hampir 11 tahun. Ada pelbagai rasa yang teradun dalam atma. Sedih, dan suka. Sedih kerana rumah ini cantik, dan nyaman. Meninggalkan kenalan yang sudah terbina ukhuwah sejak kami menetap di Rembau selama 13 tahun 2 bulan. Saya bukanlah dikenali sebagai seorang yang peramah. Saya tidak mempunyai ramai kawan. Tetapi, syukurnya di sini, saya punya banyak sahabat yang prihatin dan sama-sama menangis ketika saya berduka. Walaupun saya tidak menyatakan satu persatu nama-nama anda yang banyak membantu dan menceriakan kami sekeluarga, tapi kenangan manis itu bak seindah dan seharum mawar. Manis dan murni. Saya amat-amat menghargainya. Selama saya menumpang berteduh di bumi N. Sembilan penuh beradat ini, saya mendapat layanan yang sungguh memuaskan, sama ada sahabat, jiran sekampung atau masyarakat pekan Rembau.

Saya juga tidak akan melupakan semua orang yang telah menabur bakti dan jasa sepanjang kami di perantauan, sama ada sahabat handai, jiran atau pihak pengurusan. Juga Menteri Besar N. Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Muhammad bin Hassan yang telah memberi sumbangan kewangan untuk pendidikan anak-anak saya (yang berjaya ke IPT). Saya berharap di negeri-negeri lain juga turut menyediakan sumbangan kewangan begini kerana untuk melangkah ke IPT bukan sedikit persediaan yang diperlukan terutama bagi golongan senasib saya ini..

Di negeri ini juga saya telah berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Terima kasih kepada PEN terutama Pn Nisah Haron dan Pn Mahaya Yasin. Kesungguhan dan komitmen yang diberi masih berbekas di hati ini, insya Allah akan terus dibajai.

Barang-barang atau perabot saya di sini hanya sedikit yang saya membawanya. Rumah kediaman kami di Rembau adalah banglo 1 ½ tingkat dan rumah yang saya bakal duduki di Kelantan adalah rumah teres setingkat. Saya juga telah menyiapkan pokok-pokok bunga berpasu untuk dibawa pulang sama. Terharu sungguh saya kerana toking yang menjalar di pergola seolah-olah mengucapkan selamat berpisah dengan harumnya yang sungguh memukau. Segar dan syahdu. Saya turut membawa pulang 2 pasu toking dan memotong beberapa ranting thumbergia untuk diteruskan hayat mereka di tempat baru saya.

Lori Peladang 3 tan yang penuh sarat dengan muatan bertolak meninggalkan Rembau jam 10.30 pagi lebih kurang. Kami perlu menyiapkan barang-barang yang akan dibawa pulang selebihnya dan mengemaskan barang-barang yang akan ditinggalkan sedangkan masa sungguh terlalu suntuk.

Pagi Ahad, jam 7, saya dan anak-anak menaiki 2 buah kereta menuju ke Cheras iaitu ke rumah kakak saya. Dari sana kami akan konvoi 2 buah kereta pulang ke Kelantan. Jiran kami, Makcik Esah anak-beranak mengucapkan selamat jalan dengan mata yang membasah. Dalam perjalanan saya terkenangkan kenalan saya di sini yang sungguh banyak berjasa kepada kami. Syukur walau banyak dugaan yang kami tempuh selama ini, saya telah dikurniakan dengan sahabat/kenalan yang banyak membantu. Semoga Allah mencucuri rahmat dan berkah kepada kalian (dan kami semua).

Perjalanan begitu lancar. Kebanyakan penghijrah sudah meninggalkan ibu kota semalam sempena cuti Hari raya Cina. Sebelum ini saya menghadapi masalah jika menempuh sesuatu perjalanan kerana masih trauma dan fobia dengan tragedi kemalangan 2 tahun lepas, tapi kali ini alhamdulillah. Saya memang hendakkan kepulihan sebab salah satu hobi saya ialah berjalan/makan angin. Saya ingin menjajat pantai, pulau, ke kawasan pergunungan atau jika rezeki lebih ingin ke luar negara. Angin sejuk yang membelai tubuh ketika di Cameroon Highland dan Beijing dahulu masih terasa. Panorama syahdu dan kudus di tanah suci masih bergentanyang di ruang mata.

Iswara kami dipandu oleh anak-anak bujang saya, Afiq dan Zahid. Pertama kali mereka memandu dalam jarak yang jauh (568 kilometer). Alhamdulillah perjalanan lancar. Terima kasih kepada kakak saya sekeluarga yang sanggup mengetuai konvoi itu. Kami tiba di kampung halaman jam 8 malam. Syukur..bagai mimpi menjadi nyata...

Kepulangan kami disambut oleh bonda, kakak dan ahli keluarga yang lain dengan penuh gembira dan terharu. Semua anak saya ada di sini meraikan peristiwa ini. Kami menikmati hidangan nasi kukus ayam madu bakar dan nasi minyak haji Halim yang terkenal itu. Satu permulaan yang baik.

3 comments:

fZL said...

Salam, saya seorang yang selalu membaca tulisan puan/ cikgu di blog ini dan mengikutinya sejak beberapa tahun lalu. Saya pernah memberi komen ketika puan menceritakan perihal anak puan yang telah pergi buat selamanya....Entah mengapa saya sering sahaja merasa tersentuh membaca tulisan-tulisan puan. Cuma akhir-akhir ini saya amat jarang membuka laman blog puan. Semoga kepulangan puan ke tanah kelahiran sendiri akan mendapat limpahan rahmat dan kebahagiaan yang lebih lagi.

fZL said...

Salam, saya seorang selalu mengikuti tulisan puan di dalam blog ini. Saya pernah memberi komen pada posting yang menceritakan perihal anak puan yang telah pergi buat selamanya....Entah mengapa saya seing saja tersentuh dengan tulisan puan, cuma akhir-akhir ini saja saya amat jarang mengikuti tulisan di blog puan...Semoga kepulangan puan sekeluarga ke tanah kelahiran mendapat rahmat dan kebahagiaan yang lebih lagi.

wan salmah said...

waalaikumsalam,
terima kasih kerana sudi membaca tulisan saya yg tak seberapa ini.. blog saya ni tak popular dan tak ramai peminat, saya sedar ini semua faktor saya sendiri iaitu tak pandai beramah mesra dgn pembaca..
kalau sesekali kena sapa tu suka jugak, tapi,mmg dah sifat saya kot yg tak pandai memaniskan mulut.

saya cuma menulis apa2 yg terlintas dlm fikiran saya. sedih sedih jugak tapi skrg alhamdulillah..hidup mesti diteruskan..
syukur kepulangan ini byk ertinya buat kami..