Monday, February 01, 2010

Detik-detik Akhir di Perantauan...

Syukur, berkat doa dan usaha yang tidak putus-putus daripada banyak orang, bonda saya, ahli keluarga saya, para sahabat yang memahami akhirnya saya dapat juga apa yang dihajati.
Usia bonda saya sudah mencecah 82 tahun pada tahun ini, dan sering menyebut-nyebut nama anak..dan saya yang berkelana bersendirian dengan anak-anak ini tentulah menjadi bahan kerisauan beliau. Semoga Allah memanjangkan umur kami dan dapatlah saya membuat hati bonda saya gembira...

Baiklah, mari saya telusuri detik-detik saya mendapat khabar itu. Saya cuba ringkaskan. Saya telah mendapat surat arahan pertukaran dari SMK Undang Rembau ke SM Agama Mardziah, Kelantan. . Saya mencari alamatnya di internet. Ya, sekolah agama bantuan kerajaan. Saya juga mendapatkan nombor hubungannya melalui telekom. Akhirnya saya dapat bercakap sendiri dengan mudirnya (pengetua). Saya diberi pemahaman bahawa sekolah itu ialah sekolah yang sudah agak lama beroperasi, tapi baru saja diambil alih oleh kerajaan pada tahun 2008. Kemudahan seperti makmal, bengkel dll masih tiada. Pelajarnya cuma 66 orang dan guru sedia ada 10 orang!

Saya juga diberi penjelasan iaitu, sekolah agama begini mementingkan subjek agama dan bahasa Arab. Di sekolah biasa, subjek agama hanyalah Pendidikan Islam, tapi di sini ada pelbagai contoh tauhid, fekah, semua dalam bahasa Arab. Jika saya dapat mengajar beberapa subjek B. Arab, ini dapat meringankan tugasan ustaz/ustazah yang sedia ada. Arr, macam mana ni? Saya sudah tinggalkan subjek ini lebih kurang 30 tahun.. Tapi, jika diberi, insya Allah saya tak tolak, cuma beri yang asas-asas saja dahulu, dan siap letakkan baris dan makna..(hihi)..Ini juga peluang untuk saya mengingat balik bahasa al Quran ini, bahasa ahli syurga. Mungkin Allah telah menetapkan saya menghabiskan tugas saya sebagai guru mencurah bakti di sekolah agama yang serba kekurangan ini..Ya, bahkan saya sepatutnya bersyukur atas takdir-Nya yang luar biasa ini.

Tadi saya telah ke JPNS, iaitu ke unit naik pangkat untuk memaklumkan pertukaran saya ini. Saya juga telah ke unit pendidikan Islam untuk urusan perpindahan anak saya dari SMKA Pedas ke SMKA Naim lil banat. Harap segala-galanya berjalan dengan lancar.

Kami juga kena merancang barang-barang yang akan dibawa pulang nanti. Kami diingatkan bahawa tuntutan perjalanan untuk membawa barang-barang masih tidak pasti, bergantung kepada kedudukan ekonomi semasa. Jadi perabot saya yang banyak ini (dah anak ramai), apakah nasibnya. Sebuah lori memang tak muat ni. Mungkin kami bawa yang penting-penting sahaja.

Saya juga bersyukur kerana banyak mendapat pertolongan Allah melalui hamba-hamba-Nya yang berjiwa pengasih. Ketika saya dirundung masalah, Dia hulurkan bantuan dengan tangan-Nya yang tak nampak. Urusan saya setakat ini berjalan lancar, sehingga saya sendiri pun kehairanan; jika dinisbahkan dengan diri saya yang serba kekurangan ini, pasti amat sukar saya melaluinya. Maka, perlahan-lahan bagai terdengar di cuping telinga saya; 'maka nikmat Tuhan kamu yang manakah kamu dustai?'

Sekarang saya akur dan merasainya. Hidup ini betul-betul bagai pentas ujian. Sama ada di situ ada penonton, atau kita bersendiri, kita tetap diperhati, dihitung dan dinilai. Apa yang penting ialah hati yang bersih, dan redha dengan takdir. Mungkin kita akan kalah dengan percaturan dunia. Kita rasakan dunia ini tidak adil. Namun, itu hanyalah ukuran kaca mata manusia yang tersangatlah lemah. Jika pun hari ini kita rasakan kita dirundung malang, dan tidak mendapat apa-apa yang dihajati, janganlah menganggapnya kita telah kalah. Selagi kita berbuat yang betul di mata-Nya (dan mata masyarakat), kita bersabar akan segala dugaan, itu bermakna kita sudah menang. Hadiahnya? Mungkin dibayar tunai, segera, lambat atau 'tidak dibayar langsung'..tapi Allah tetap membalasnya di akhirat nanti, atau kepada anak-anak kita/generasi kita atau dihindari segala bala dsb.

Sesungguhnya kita merancang, Allah juga merancang, rancangan Allah yang akan terlaksana..terimalah takdir seadanya, kerana Allah sangat halus perhitungannya, sangat mengasihi hamba-hamba-Nya apatah lagi menzalimi kita.

Sehari dua ini kesihatan saya rasa terganggu. Mungkin jangkitan daripada anak-anak yang tidak sihat, terlalu banyak berfikir tentang pertukaran ini dsb. Saya menjadi sukar untuk tidur. Namun, saya mesti cekal. Saya adalah ketua keluarga, pemimpin keluarga saya. Saya patut bersyukur anugerah nyawa yang Allah kurniakan kepada saya. Jaga kesihatan, berihat yang sepatutnya dan teruskan kerja. Kerja-kerja di sekolah perlu dibereskan sebelum saya tinggalkan SMKUR, juga proses perpindahan nanti seterusnya bagaimana keadaannya setelah saya sampai ke sana. Setakat ini semuanya berjalan lancar.

Saya bukanlah sebagus mana. Seorang arkitek berbangsa India datang ke rumah saya minggu lepas. Lelaki, separuh baya. Urusan pernjualan rumah saya belum selesai. Syukur dia telah memudahkan kerja saya dengan kehendak Allah.
"Bagaimana awak tinggal di rumah ini, kalau saya, tidak!"
Mungkin dia ingin barbasa-basi dengan saya dan berpsikologi.
"Saya tidak kuat, tapi saya minta tolong sama Tuhan, kerana Dialah yang kuat," saya rasa dia faham sebab 2 minggu sebelum itu semasa saya berurusan di pejabatnya, ada banyak unsur tuhan dipaparkan menghiasi ruang.

Syukur sekali lagi. Ada seorang sahabat lama saya, iaitu sahabat dari bangku sekolah rendah lagi, dan kami sama-sama belajar di tingkatan 6 di KIK. Dia telah bermurah hati memudahkan saya mencari rumah sewa, sekolah rendah untuk anak saya, nurseri untuk si kecil saya. 'Tempat yang baik, tidak terperangkap oleh kesesakan lalu lintas dsb,' Setakat ini semuanya berjalan seperti dirancang.. malah saya rasa terharu dengan pertolongan yang Allah anugerahkan ini..'haza min fadhli rabbi..' -ini semua adalah anugerah Allah'..

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah bacaan yang bagus untuk menjadi basahan lidah atau amalan hidup. Jawapan saya, banyak. Yang mudah diamalkan ialah, ayat 1000 dinar, ayat kursi, doa nabi Yunus yang terselamat dari ikan nun, ayat 'rabbi yassir wala tuassir' dll, pokoknya hati kena sentiasa mengharap pada Allah..insya Allah..

2 comments:

nurul farhana yanti a.ghani said...

salam cg wan...
mge diprmudahkan urusan cg ke kelantan.smga jd benih yg mampu mencambahkan hasil2 yg trbaik di bumi Allah ni.. hehe sori bahasa xbpe nak bgs pn. mge gmbira di tmpt br.jgn lpekn kami di sni

wan salmah said...

walaikum salam farhana..
sama2 doakan semoga semuanya berjalan lancar, selamat semuanya, tak ada apa2 yg tak diingini berlaku..insya Allah,
moga2 saya mampu memikul amanat memakmurkan bumi ini..
insya Allah tak lupa org NS, dah 13 tahun di sini..